Perginya Pereka Fesyen Tersohor, Pengasas COSRY Putra Aziz. Moga Tenang Di ‘Alam Abadi’

Share

Industri fesyen Malaysia baru sahaja kehilangan seorang pereka hebat dan ternama, Putra Aziz yang juga merupakan pengasas bersama Cosry.

Putra Aziz, 45, dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 8.30 malam pada Khamis. Berita pemergian Allahyarham disahkan dengan perkongsian di laman Facebook rasmi Cosry pada malam Khamis.

Menurut sumber yang rapat dengannya, kesihatan Allahyarham mula merosot sejak 2 minggu lalu.

Menyingkap permulaan karier, Allahyarham mula menceburi bidang fesyen sejak tahun 2004. Jenama Cosry bermula secara kecil-kecilan ketika Allahyarham dan rakan perniagaannya, Ariff Quasry Md Nor mula menawarkan perkhidmatan menjahit dari rumah ke rumah untuk teman-teman rapat mereka. Kemudian rekaan fesyen Allahyarham mula mendapat tempat di hati ramai penggemar fesyen. Cosry juga sering menjadi pilihan bakal pengantin termasuklah di kalangan VVIP, selebriti dan artis terkenal.

Selain itu, Allahyarham dan rakan perniagaannya pernah berpindah dari premis di Shah Alam, Selangor ke Bangsar, Kuala Lumpur. Allahyarham pernah bekerjasama dengan selebriti tempatan termasuk Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Lisa Surihani dan Erra Fazira, dan ramai lagi. Pada Oktober 2010, jenama Cosry diberi tanggungjawab mengemudi majlis perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Datin Dr Halina Mod Yunos.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Segambut pada pagi Jumaat bersamaan 31 Disember 2021. Semoga Allah SWT menempatkan arwah Putra Aziz bersama para solihin serta dikurniakan kebaikan abadi di alam sana. Ameen.

Al-Fatihah.

Sumber: Astro Awani

IKLAN