Pasangan suami isteri, Dr Kathreena Kadir dan Dr Muhammad Lee Weng Ho berjaya membuktikan mereka mampu bahagia walau berlainan bangsa dan budaya. Kini, usia perkahwinan mereka menjangkau 12 tahun dengan kehadiran dua puteri yang comel serta bijak berusia 9 dan 4 tahun.
Dalam usia 40 tahun Dr Kathreena punya kehidupan ‘sempurna’ sebagai seorang isteri dan ibu. Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah Dr Kathreena merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Klinikal Mulut & Maksilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau merupakan pakar perunding bagi pesakit yang mengalami kanser. Menariknya, Dr Kath adalah anak jati Sabah pertama memiliki kepakaran dalam bidang diceburi. Manakala suaminya, Dr Muhammad Lee Weng Hong merupakan seorang doktor gigi berusia 41 tahun.
“Saya mengenali suami ketika sama-sama menuntut di Dental School, Universiti Malaya. Kami adalah rakan sekelas sewaktu belajar Dentistry selama 5 tahun. Saya merupakan ketua kelas manakala beliau adalah ‘mat photocopy’ dalam kelas kami. So setiap kali dapat nota kuliah dari pensyarah, sayalah orang pertama yang akan dapat. Saya akan serahkan nota itu kepadanya untuk dibuat salinan dan diedarkan kepada rakan-rakan sekelas. Kami tidak pernah ber’couple’ sewaktu di Dental School, hanya teman tapi mesra sebab berlainan agama dan bangsa.
Bercakap tentang hubungan saya dan keluarga mentua, syukur mereka menerima saya dengan hati yang terbuka. Seperkara lagi, mungkin sebab saya berasal dari Sabah dan sudah biasa bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama menyebabkan saya tidak kekok untuk membiasakan diri dengan adat serta budaya keluarga suami selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam. Manakala bahasa ibunda yang digunakan mereka ialah Mandarin dan Kantonis.
Bagi saya, antara kelebihan kahwin campur ialah anak-anak mendapat manfaat daripada dua budaya yang berbeza. Mereka menjadi multilingual iaitu dapat menguasai 3 bahasa serentak. Bagi saya berkahwin sesama bangsa atau berlainan bangsa tak banyak bezanya yang penting personaliti, sikap toleransi serta memahami antara suami dan isteri menjadi tunggak kebahagiaan rumahtangga.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dr Kathreena Kadir