Gaya Hidup

Usah Rahsiakan Pernikahan, Hebahan Bukan Tanda Bermegah Tetapi Mengelakkan Fitnah

Share

Pernikahan merupakan khabar gembira yang sewajarnya dikongsikan. Ia bukan semata-mata tentang mengadakan majlis besar atau mempamerkan kebahagiaan kepada seluruh dunia, tetapi sebagai pemberitahuan bahawa dua insan kini sah menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Namun, ada pasangan memilih untuk merahsiakan pernikahan atas pelbagai alasan. Ada yang mahu menjaga privasi, mengelakkan perhatian atau belum bersedia berdepan reaksi orang sekeliling. Walaupun setiap pasangan berhak menjaga kehidupan peribadi, menyembunyikan pernikahan terlalu lama boleh mencetuskan salah faham dan membawa kesan yang lebih rumit.

Islam menganjurkan agar pernikahan dihebahkan secara munasabah. Hebahan tersebut bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya untuk membezakan hubungan suami isteri yang halal daripada hubungan yang boleh mengundang keraguan.

Mengelakkan Fitnah Dan Sangkaan Buruk

Apabila orang sekeliling tidak mengetahui bahawa dua individu sudah berkahwin, kemunculan mereka bersama boleh menimbulkan pelbagai persoalan. Lebih-lebih lagi jika pasangan sering dilihat keluar berdua, tinggal bersama atau berkongsi perjalanan ke sesuatu tempat.

Walaupun hubungan itu halal, masyarakat yang tidak mengetahui keadaan sebenar mungkin membuat andaian dan menyebarkan cerita yang tidak tepat.

Menghebahkan pernikahan dapat mengelakkan salah faham sedemikian. Setidak-tidaknya fitnah tidak akan berlaku kerana umum mengetahui bahawa pasangan tersebut mempunyai hubungan yang sah.

Melindungi Maruah Suami Dan Isteri

Pernikahan membawa identiti serta tanggungjawab baharu. Seorang lelaki kini bergelar suami, manakala seorang wanita mempunyai kedudukan sebagai isteri yang wajar dihormati.

Apabila pernikahan disembunyikan, salah seorang pasangan mungkin berasa seolah-olah kewujudannya tidak diakui. Situasi ini boleh menjadi lebih menyakitkan jika pasangan masih memperkenalkan diri sebagai bujang atau mengelak daripada mengakui status perkahwinan di hadapan orang lain.

Mengumumkan pernikahan menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap pasangan. Ia membawa mesej bahawa hubungan tersebut dibina secara serius, terbuka dan penuh tanggungjawab.

Mengelakkan Pasangan Didekati Orang Lain

Status perkahwinan yang disembunyikan juga boleh menyebabkan seseorang terus dianggap masih bujang. Akibatnya, dia mungkin didekati, dipinang atau dijadikan sasaran hubungan romantik oleh individu lain yang tidak mengetahui perkara sebenar.

Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah boleh membuka ruang kepada konflik dan kecurigaan dalam rumah tangga yang telah dibina.

Mengumumkan perkahwinan tidak bemakna pasangan suami isteri perlu menghebahkan setiap perincian kehidupan perkahwinan mereka. Namun, status sebagai pasangan yang sah tidak sepatutnya sengaja disembunyikan sehingga mengelirukan orang lain.

BACA JUGA: Majlis Sehari, Hutang Bertahun! Jangan Biar Impian Kahwin Jadi Beban Rumah Tangga

Menjaga Hubungan Dengan Keluarga

Bagi kebanyakan keluarga, mengetahui tentang pernikahan anak atau saudara terdekat merupakan perkara besar. Apabila berita itu disembunyikan dan hanya diketahui selepas tempoh tertentu, ahli keluarga mungkin berasa diketepikan, dikhianati atau tidak dihormati.

Walaupun pasangan mempunyai sebab tersendiri, tindakan merahsiakan pernikahan boleh meninggalkan luka yang mengambil masa lama untuk dipulihkan. Ia juga boleh mewujudkan ketegangan antara pasangan dengan keluarga mentua.

Jika terdapat konflik atau tentangan keluarga, pasangan sebaiknya mencari jalan penyelesaian dengan bantuan individu dipercayai, pegawai agama atau kaunselor. Menyembunyikan pernikahan mungkin kelihatan seperti jalan paling mudah, tetapi kesannya boleh berpanjangan.

Mengelakkan Pembohongan Berterusan

Satu rahsia lazimnya memerlukan rahsia yang lain untuk terus disembunyikan. Pasangan mungkin terpaksa mereka alasan apabila ditanya tentang tempat tinggal, perjalanan, perbelanjaan atau individu yang sering bersama mereka.Pada akhirnya, mereka bukan sahaja merahsiakan pernikahan, malah mungkin terjebak dalam pembohongan berulang kali.

Keadaan ini boleh memberi tekanan emosi kepada pasangan dan merosakkan kepercayaan orang sekeliling apabila perkara sebenar terbongkar. Pernikahan yang sepatutnya membawa ketenangan akhirnya menjadi sumber keresahan kerana sentiasa perlu disembunyikan.

Melindungi Hak Pasangan Dan Zuriat

Perkahwinan bukan sekadar hubungan antara dua individu. Ia turut melibatkan hak, tanggungjawab dan masa depan keluarga yang bakal dibina.

Jika pernikahan disembunyikan atau tidak diuruskan dengan baik, isteri dan anak-anak berisiko berdepan kesukaran apabila mahu menuntut nafkah, menguruskan pendaftaran kelahiran, menentukan hak penjagaan atau menyelesaikan urusan pusaka.

Lebih membimbangkan jika hanya segelintir orang mengetahui tentang perkahwinan tersebut. Apabila berlaku kematian, perpisahan atau pertikaian, pasangan mungkin berdepan kesukaran membuktikan serta mempertahankan haknya.

Oleh sebab itu, pernikahan bukan sahaja perlu diketahui secara munasabah, malah hendaklah didaftarkan mengikut prosedur pihak berkuasa agama negeri.

Hebahan Tidak Bermaksud Perlu Mengadakan Majlis Mewah

Ada pasangan memilih merahsiakan pernikahan kerana tidak mempunyai kemampuan untuk mengadakan kenduri besar. Sebenarnya, menghebahkan pernikahan tidak bermaksud pasangan wajib menyediakan pelamin mewah, busana mahal atau jamuan untuk ratusan tetamu.

Majlis kecil bersama keluarga terdekat sudah memadai mengikut kemampuan. Malah, pasangan boleh sekadar memaklumkan berita pernikahan kepada saudara-mara, sahabat dan kenalan penting.

Nilai sesebuah perkahwinan tidak diukur melalui kemeriahan majlis. Apa yang lebih utama ialah ikatan tersebut diketahui, dihormati dan tidak membuka ruang kepada fitnah.

Privasi Berbeza Daripada Menyembunyikan Status

Menjaga privasi rumah tangga merupakan perkara yang baik. Pasangan tidak perlu berkongsi segala-galanya di media sosial, termasuk lokasi majlis, jumlah mas kahwin, wajah ahli keluarga atau setiap detik kehidupan selepas berkahwin. Namun, menjaga privasi berbeza daripada berpura-pura masih bujang atau sengaja menafikan kewujudan pasangan.

Anda boleh memilih untuk tidak berkongsi foto pernikahan kepada umum, tetapi keluarga dan insan terdekat tetap wajar dimaklumkan. Anda juga boleh mengadakan majlis tertutup, tetapi status perkahwinan tidak sepatutnya menjadi rahsia yang memerlukan penipuan.

Pernikahan Adalah Ikatan Yang Wajar Dihormati

Menghebahkan pernikahan bukan bertujuan mencari perhatian atau membuktikan kebahagiaan kepada orang lain. Sebaliknya, ia menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap ikatan yang telah dibina serta perlindungan kepada pasangan daripada fitnah dan salah faham.

Tidak semua orang perlu mengetahui setiap perincian majlis. Namun, pernikahan juga tidak seharusnya disembunyikan sehingga pasangan kehilangan pengiktirafan, keluarga terluka dan hak pada masa hadapan terabai.

Raikanlah mengikut kemampuan dan kongsikanlah berita bahagia secara sederhana. Perkahwinan tidak perlu dipamerkan secara keterlaluan, tetapi ia juga tidak wajar dilindungi sebagai suatu rahsia yang akhirnya membebankan kedua-dua pihak.

Published by
Reporter Pesona Pengantin