
Setiap pasangan tentu mengimpikan majlis perkahwinan yang indah. Dewan cantik, busana memukau, dekorasi mewah, makanan terbaik dan gambar yang sempurna untuk dikenang. Namun di sebalik impian itu, ada satu perkara yang sering terlepas pandang, kehidupan sebenar baru bermula selepas tetamu pulang.
Tidak salah mahu meraikan hari bahagia dengan cara terbaik. Tetapi apabila sebuah majlis perlu dibiayai melalui pinjaman peribadi, kad kredit atau hutang yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dilangsaikan, pasangan mungkin perlu menilai semula keutamaan.
Bayangkan majlis hanya berlangsung beberapa jam, tetapi ansurannya masih dibayar lima atau bahkan 10 tahun kemudian. Ketika itu mungkin pasangan sudah mempunyai anak, sedang membayar rumah, kereta, yuran taska dan pelbagai komitmen lain. Hutang majlis yang dahulu terasa kecil boleh menjadi satu lagi beban dalam perbelanjaan bulanan keluarga.
Kahwin Bukan Pertandingan Siapa Paling Gah
Media sosial sedikit sebanyak mengubah cara kita melihat sebuah majlis perkahwinan. Pelamin besar, venue eksklusif, bunga segar memenuhi ruang, busana beberapa persalinan dan majlis berkonsepkan selebriti mudah membuatkan kita merasakan semuanya perlu ada.
Hakikatnya, kemampuan setiap pasangan berbeza. Jangan kerana mahu majlis kelihatan hebat di mata orang lain, kita memaksa diri menyediakan sesuatu yang sebenarnya di luar kemampuan. Tetamu mungkin bercakap tentang majlis kita untuk sehari atau dua, tetapi pasangan yang perlu membayar hutangnya setiap bulan.
Lebih baik mengadakan majlis yang sederhana tetapi pulang ke rumah dengan hati tenang, daripada majlis gah yang meninggalkan tekanan kewangan bertahun-tahun.
Bezakan Antara ‘Mahu’ Dengan ‘Perlu’
Sebelum menentukan bajet, duduk bersama pasangan dan senaraikan perkara yang benar-benar penting. Adakah anda benar-benar memerlukan tiga persalinan? Adakah dekorasi perlu mencecah puluhan ribu ringgit? Perlukah menjemput seribu orang jika kemampuan hanya untuk 500 tetamu?
Kadangkala kos perkahwinan meningkat bukan kerana perkara asas, tetapi kerana terlalu banyak tambahan kecil yang akhirnya menjadi jumlah besar. Pilih perkara yang benar-benar memberi makna kepada anda berdua. Tidak semua trend perlu diikuti.
Dalam mencipta sebuah memori yang akan kekal ke akhir hayat, jangan terlalu obses mengikut trend sebaliknya sebagai bakal penganti baru anda harus bersikap realistik dengan keadaan ekonomi anda dan pasangan. Kawal bajet dengan bezakan perkara tersebut adalah kehendak mahupun keperluan.
Jangan Mulakan Rumah Tangga Dengan Tekanan Wang
Selepas berkahwin, banyak perkara memerlukan wang. Deposit rumah sewa, kelengkapan rumah, bil bulanan, simpanan kecemasan, perbelanjaan kesihatan dan mungkin juga perancangan untuk memiliki anak.
Jika sebahagian besar pendapatan sudah terikat dengan ansuran pinjaman majlis, ruang kewangan pasangan menjadi semakin sempit. Lebih membimbangkan apabila masalah kewangan mula mencetuskan pertengkaran. Apa yang pada awalnya dibuat demi sebuah hari bahagia akhirnya menjadi perkara yang sering dipersoalkan dalam rumah tangga.
Sebab itu, berbincang tentang kemampuan sebelum berkahwin sebenarnya jauh lebih romantik daripada memaksa pasangan memenuhi gambaran majlis impian yang tidak mampu ditanggung.
Kalau Tak Cukup Bajet, Kecilkan Majlis, Bukan Tambah Hutang
Ada satu prinsip mudah yang boleh dijadikan pegangan, kalau bajet tidak mencukupi, ubah skala majlis. Kurangkan jumlah tetamu. Pilih lokasi yang lebih sederhana. Hadkan jumlah persalinan. Gunakan dekorasi yang minimal. Utamakan makanan dan keselesaan tetamu berbanding elemen yang hanya cantik untuk gambar.
Majlis yang sederhana tidak pernah mengurangkan nilai sebuah perkahwinan. Malah, pasangan yang mampu memulakan kehidupan tanpa dibebani hutang mempunyai ruang lebih besar untuk membina simpanan, merancang membeli rumah, melancong bersama atau menyediakan dana kecemasan.
Yang Kita Mahu Bina Adalah Perkahwinan, Bukan Sekadar Majlis
Pada akhirnya, perkahwinan bukan tentang sebesar mana pelamin atau semahal mana busana yang dipakai. Ia tentang dua orang yang memilih untuk membina kehidupan bersama selepas semua bunga diturunkan, lampu dewan dipadam dan gambar perkahwinan selesai dimuat naik ke media sosial.
Raikan hari bahagia mengikut kemampuan. Tidak perlu berhutang semata-mata mahu membuktikan sesuatu kepada orang lain. Kerana majlis hanya sehari, tetapi kehidupan selepas akad itu mudah-mudahan untuk sepanjang usia.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

