Persediaan Ramadan, Ini Resipi Pes Untuk Memudahkan Anda Memasak

Share

Ramadan semakin dekat dan semestinya ramai yang sedang membuat persediaan untuk menyambut Ramadan. Para isteri pastinya sibuk untuk restock barang dapur. Maklumlah dah kena masak untuk sahur dan berbuka.

Selain mengasingkan bahan basah dan kering, ada juga sesetengah individu yang menyediakan pes-pes dimana akan memudahkan mereka untuk memasak dalam masa yang singkat dan tidak perlu terkejar-kejar.

Mudah kan bila dah ada pes ni? Jadi, kami akan kongsikan 6 resipi pes yang telah dikongsi oleh Fauzi Karim menerusi laman Facebooknya. Semoga bermanfaat untuk anda semua!

RESEPI PES MEMUDAHKAN ANDA MEMASAK

1. Pes Sambal Ijo (ala Padang)

  • 20 biji cabai hijau besar *
  • 10 biji cili api hijau *
  • 10 ulas bwg merah *
  • 8 ulas bwg putih *
  • 5 biji tomato hijau (yg muda) *
  • 1 kiub bilis
  • 3 helai daun limau purut

Bahan bertanda * rebus sampai lembik sikit, pastu lenyek dengan lesung batu ataupun blend kasar. Panaskan minyak, tumis semua bahan sampai pecah minyak, masukkan kiub bilis, perasakan dengan garam dan gula dan masukkan daun limau purut tadi.Masak biar jadi pekat atau kering, bila dah sejuk, masukkan dalam tupperware yang kedap udara, pastu leh simpan dalam freezer. Nak guna, pakai sudu yang kering ok.

2. Pes Tom Yam

  • 20 biji cili kering (rebus pastu goreng gareng ngan minyak)*
  • 15 ulas bwg putih *
  • 10 ulas bwg merah *
  • 10 batang serai *
  • 8 helai daun limau purut *
  • 2 inci lengkuas *
  • 2 inci halia *
  • 3 sudu besar udang kering *
  • 3 cm belacan yg dibakar *
  • 1/4 gula melaka (dari sekeping)
  • Air asam jawa
  • 3 sudu besar sos ikan (amik yang gambar ikan bawal)
  • Air, minyak, garam

Kisar semua bahan bertanda * dengan sedikit air atau minyak goreng cili tadi. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan sampai pekat. Masukkan air asam jawa, sos ikan, gula melaka dan garam. Masak betul-betul pecah minyak dan pekat.Masak biar jadi pekat atau kering, bila dah sejuk, masukkan dalam tupperware yang kedap udara, pastu boleh simpan dalam freezer. Nak guna, pakai sudu yang kering ok.

3. Pes Masak Kicap Berempah

  • 20 biji cili kering(goreng dengan minyak sampai garing) *
  • 10 ulas bawang merah *
  • 8 ulas bawang putih *
  • 2 inci halia *
  • 2 sudu besar jintan manis ※
  • 2 sudu besar jintan kasar ※
  • 1 sudu besar lada hitam biji ※
  • 1 sudu besar ketumbar biji ※

Bahan bertanda ※ kena goreng tanpa minyak

  • Air asam jawa
  • Minyak, garam, gula, kiub bilis
  • 4 sudu besar Sos cili, sos tiram, kicap manis, kicap masin

Kisar bahan bertanda * dan bahan bertanda ※ guna minyak cili goreng tadi sampai lumat. Tumis dengan minyak sampai garing dan pecah minyak. Perasakan dengan sos-sos tadi. Jangan lupa bubuh garam, gula dan kiub bilis sebiji.Masak biar jadi pekat atau kering, bila sudah sejuk, masukkan dalam tupperware yang kedap udara, pastu boleh simpan dalam freezer. Nak guna, pakai sudu yang kering ok.

4. Pes Asam Pedas

  • 20 biji cili kering (rebus dulu) *
  • 10 biji cili merah (rebus dulu) *
  • 5 biji cili padi (rebus dulu) *
  • 15 ulas bwg merah *
  • 10 ulas bwg putih *
  • 2 inci lengkuas *
  • 2 inci halia *
  • 2 inci belacan bakar *
  • 1 sudu besar biji ketumbar *
  • 1 sudu besar jintan manis *
  • Air asam jawa, gula n garam

Kisar bahan bertanda * sampai sebati. Panaskan minyak dan tumis sampai garing dan pecah minyak. Perasakan ngan garam, air asam jawa dan gula.Masak biar jadi pekat atau kering, bila dah sejuk, masukkan dalam tupperware yang kedap udara, selepas itu boleh simpan dalam freezer. Nak guna, pakai sudu yang kering ok.

5. Pes Cili Padi

  • 20 biji cili padi merah (rebus)
  • 20 biji cili merah besar (rebus)
  • 2 inci kunyit hidup
  • Garam

Kisar semua bahan dengan sedikit air. Pastikan guna air panas atau suam.Lagi bagus kalau kisar kering.Selepas itu terus simpan dalam tupperware kedap udara, bubuh dalam freezer. Pes ni sesuai lau nak masak gulai yang tak gunakan bawang.

6. Pes Sambal Serbaguna Ikan/Ayam/Seafood

  • 20 biji cili kering (rebus) *
  • 20 biji cili merah (rebus) *
  • 4 biji tomato *
  • 15 ulas bawang merah *
  • 10 ulas bawang putih *
  • 2 inci halia *
  • 1/4 gula melaka (daripada sekeping)
  • 4 sb sos cili dan sos tiram
  • 1 biji kiub bilis, leh gak ganti 3 sudu besar udang kering*
  • Garam
  • Minyak

Kisar semua bahan guna sedikit air. Kalau dapat kisar kering lagi bagus. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar sampai pecah minyak dan garing. Masukkan gula melaka, kiub bilis, air asam jawa dan sos. Perasakan dengan garam.Masak biar jadi pekat atau kering, bila sudah sejuk, masukkan dalam tupperware yang kedap udara, pastu boleh simpan dalam freezer. Nak guna, pakai sudu yang kering ok.

Ekstra tip:

  1. Masak guna api yang perlahan ye.
  2. Guna air masak/air panas/air suam.
  3. Sudah betul-betul sejuk baru masuk freezer.
  4. Keluarkan pes awal 1 jam sebelum digunakan bagi tujuan defrost.
  5. Seeloknya penggunaan lebih kurang sebulan kalau guna suhu sejuk biasa, kalau sejuk beku confirm lagi tahan. Tapi sapa rajin masak, confirm tak tahan sebulan.

Selamat Mencuba

Sumber: Rarra Sakura via Fauzi Karim

IKLAN