Kepada pasangan yang baru berkahwin dan pertama kali berhari raya di rumah mentua, pasti teruja untuk mengalami suasana baru dengan keluarga pasangan. Ketika itu pelbagai perasaan dan tanda tanya bermain di fikiran.
Maklumlah jika selama ini berhari raya dengan keluarga sendiri, pada kali ini di tempat orang lain akan memberi suatu pengalaman baru dan secara tidak langsung menimba pengalaman mempelajari budaya dan adat istiadat pasangan.
Walaupun tidak dinafikan perasaan sedih tetap ada kerana tidak berhari raya dengan keluarga sendiri dan sanak saudara di kampung halaman, namun saat pertama berhari raya dengan keluarga mertua adalah momen penting dalam sejarah perkahwinan. Lelaki ini kongsi, adab beraya di rumah mertua.
ADAB BERAYA DI RUMAH MEnTUA
Setiap tahun, pasti banyak keluarga yang akan beraya di kampung. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan ini saya tujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mentua
1. Bantu mentua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Ads
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Ads
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
Ads
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
*****
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Semoga dengan penulisan ini dapat membuka mata kita semua. Janganlah terlepas pandang lagi.
Tolong SHARE supaya satu Malaysia lebih peka tentang adab beraya di rumah mentua.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kala mengenakan inai di jari bagai melengkapi penampilan si ratu. Lukisan tangan yang kreatif lagi berseni ini diolah hebat oleh pelukisnya dengan corak yang bersesuaian sebaik busana digandingkan. Jika sebelum ini inai rona merah menghiasi si pengantin, kini hangat malah menjadi trend yang kerap digunakan oleh pengantin ialah inai putih. Terpulang kepada diri pengantin untuk memilih mana yang sesuai dengan diri. Jika memilih inai putih , lihat beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan.
Mudah Rosak
Meskipun ada beberapa pilihan inai putih yang kalis air, namun ketika diaplikasikan pada permukaan kulit, motif inai yang dicoret cepat kering, mudah retak dan rosak. Bahkan beberapa produk inai putih ini sangat mudah mengelupas ketika si pengguna melakukan banyak gerakan.
Jika anda sudah tahu kelemahannya dan tetap ingin menggunakan inai putih, maka anda perlu minimakan gerakan pada tangan yang diinai supaya boleh bertahan lama.
Tidak Bertahan Lama
Majlis kahwin yang mengambil masa seharian, penggunaan inai putih patut dipertimbangkan. Jenis inai ini tidak boleh bertahan lama, paling tidak hanya dua hingga enam jam saja. Ada juga beberapa produk inai yang bertahan seharian, namun tidak boleh terkena air dan tergesel dengan benda lain.
Inai putih diperbuat daripada bahan cat body painting yang akan mengering di tangan. Inai jenis ini juga tidak akan meninggalkan bekas di tangan. Jadi lebih mudah dibersihkan dibandingkan inai semulajadi, cukup dibasuh dengan air.
Oleh kerana lebih mudah dibersihkan, aplikasi inai putih dilakukan di hari perkahwinan , ketika waktu mekap. Untuk anda yang bersolat, penggunaan inai ini harus dipertimbangkan, kerana inai secara automatik terhapus ketika anda berwudhu.
Cara Membersihkan Inai Putih
Inai putih sangat mudah melekat pada bulu-bulu halus di permukaan kulit. Oleh itu, ketika anda hendak mengupil inai itu, bulu-bulu di tangan akan ikut terangkat dan itu cukup menyakitkan. Sebaiknya gunakan air dan sabun untuk membersihkan inai dan gosok secara perlahan.
Ilham Corak Inai Putih
Buat anda yang masih bingung menentukan desain inai untuk majlis kahwin nanti, berikut ada beberapa idea yang boleh anda rekomen pada henna artist anda.
sumber : pic Pinterest
sumber : pic Pinterest
sumber : pic Pinterest
sumber : pic Pinterest
sumber : pic Pinterest
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pesanan orang lama, nak rapat dengan mentua, golongan menantu kena elakkan duduk sebumbung. Ini lebih ‘manis’ dan bertahan lama.
Baik macam mana pun, memang akan ada sahaja isu yang membuatkan hubungan mentua dan menantu menjadi panas. Seakan tidak mudah untuk kekal baik selamanya, kalau tak selalu mungkin sesekali akan tercuit tentang sesuatu.
Nak Rapat Dengan Mentua
Beruntungnya bila ada mentua dan menantu yang cukup rapat. Anggap menantu ini macam anak sendiri. Macam-macam dibual bila berjumpa. Kadang-kadang ‘terbalik’ pula sebab anak sendiri macam tak berapa nak rapat bukan!
Namun, tak semua dapat rezeki seperti ini. Bergantung pada seseorang itu juga nak rapat, baik dan anggap macam anak sendiri. Menantu ok, mentua pula terlebih cerewet dan sebagainya. Ada juga mentua ok, tapi menantu pula tak ok.
Mentua Layan Menantu Macam Anak Sendiri
Tak dinafikan, ada menantu dan mentua tinggal berpuluh tahun bersama serumah. Alhamdulillah semuanya tiada masalah, dah dianggap seperti anak sendiri. Tapi, ada juga yang tinggal bersama, menantu makan hati pula atau sebaliknya.
Ada satu rahsia nak tahu menantu dan mentua rapat macam anak sendiri. Pesanan daripada mentua ini adalah jangan tinggal sekali. Duduklah asing-asing.
Kawan aku (perempuan) ajak aku pergi ke rumah dia untuk beraya.
Aku nampak hubungan dia dengan mak mentua cukup rapat. Ibarat ibu dan anak kandung.
Jadi, aku pun tanyalah kawan aku,
“Rapat gila kau dengan mak mentua. Siap boleh bergurau macam mak sendiri.”
Dia respons, “Kalau nak tahu rahsia ini, hang pi direct tanya mak mentua aku.”
Jadi, aku pun pergi tanya mak mentua dia. Aku tanya dalam nada bergurau.
“Mak cik, rapat betul noh mak cik dengan menantu. Kongsi rahsia sikit.”
“Mai, mak cik nak pesan sikit,” dia mula berkongsi.
“Lepas kahwin, mak cik memang akan suruh anak menantu dok jauh dari mak cik. Jangan tinggal sekali dalam serumah.”
“Pasal apa?”, aku tanya lagi.
Dia sambung bercerita,
“KALAU TINGGAL SERUMAH, SILAP HARIBULAN MENANTU DAN MAK MENTUA BOLEH BANYAK MAKAN HATI. BAHAYA TUH.”
“Tapi kalau tinggal jauh, depa cuma makan jem (sesak) bila nak balik rumah masa raya. Itu takpa, tak bahaya.
Fuh, deep sungguh pesanan mak cik ini!
Bersyukur dan beruntungnya bila mentua dan menantu ‘satu kepala’.
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.
Surah al-An’am, (6:151)
Penyerupaan amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini hanyalah menghalang lahirnya anak-anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, maka hukum tujuan ialah hukum wasilah (sarana).
Rezeki itu adalah milik Allah, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah. Firman Allah Taala:
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Surah al-Baqarah, (2:216)
Pendapat kedua
Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga atau tanzim al-usrah kepada tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal (membataskan anak).
Tanzim al-Nasal merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan denga syarat-syarat:
Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
Maksudnya: Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 5209) dalam al-Sahih
Ertinya, tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan. Dalam riwayat Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka baginda menjawab:
Maksudnya: Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.
Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 7409)
Ertinya, jika Allah mengkehendaki seorang anak itu dikandungkan dan dilahirkan juga, tiada siapa yang boleh menghalang. Maka, pasagan yang merancang itu hendaklah reda, beramanah dan berasa tanggungjawab.
Manakala Tahdid al-Nasal menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatahlagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin. Pengecualian ialah bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.
Fatwa-fatwa ulama
Imam al-Ghazzali berpendapat pengguguran kandungan ialah haram mutlak sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan manusia. Namun, beliau beliau berpendapat bahawa azal ialah harus dan menyatakan beberapa niat syarie untuk melakukan azal antaranya ialah faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan bagi mengelakkan talaq. Beliau juga menyatakan faktor yang fasid (rosak) yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan.
Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (2/52)
Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jamadilakhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan, antara lain:
Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau pun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syarie.
Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh Syarak, berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada.
Rujuk Majallah al-Majma’ Siri 4 (1/73).
Syeikh Atiyyah pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius.
Rujuk Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.
Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam(ms. 138)
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang dikemukakan, dibolehkan bagi kedua pasangan untuk menggunakan kaedah tanzim al-nasal yang diharuskan oleh Syarak bagi tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak, bagi tujuan pengurusan ekonomi kerana berpendapatan rendah. Ini perlu disertakan dengan niat bahawa jika Allah berkehendakkan pasangan itu anak, maka tiada siapa yang boleh menghalang dan hendaklah pasangan itu reda kepada taqdir Allah dan bersikap bertanggungjawab.
SUMBER : http://www.muftiwp.gov.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!