Surah Al-Kafirun(سورة الكافرون) yang bermaksud orang-orang kafir adalah surah ke-109 dalam Al Quran. Surah yang mengandungi 6 ayat ini telah diturunkan di Makkah (Surah Makkiyah). Nama ‘Al Kafirun’ (orang-orang kafir) diambil dari kata yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Dalam Surah Al-Kafirun ini Allah SWT menegaskan tentang amal ibadat secara Islam dan menolak sebarang cara penyembahan dan amalan syirik. Ia dengan jelas menyatakan tidak ada tolak ansur dan kompromi untuk mencampuradukkan ajaran agama, terutama dalam soal akidah dan ibadah dengan orang-orang kafir. Surah ini telah ditujukan kepada kaum Musyrikin kerana orang kafir tersebut tidak mahu menerima seruan dan petunjuk kebenaran yang dibawakan Nabi Muhammmad SAW kepada mereka.
Penyangkal Kaum Kafir
Pada masa penyebaran Islam di Mekkah, kaum Quraisy yang menentang Rasulullah SAW tidak putus- putus mencari jalan untuk menyekat pengaruh dan ancaman Islam terhadap kepercayaan nenek moyang mereka. Antaranya mereka telah berusaha mengajukan cadangan kompromi kepada Rasulullah SAW dimana mereka menawarkan; jika Rasulullah SAW bersetuju memuja Tuhan mereka, mereka pun akan memuja Tuhan sebagaimana konsep Islam.
Dengan demikian mereka akan bertukar-tukar mempraktikkan ibadat sehingga salah satu daripada cara mereka terbukti benar. Maka, menurut fikiran kaum kafir, jika ajaran Nabi benar, mereka akan memperoleh keuntungan dan mengikuti ajaran Nabi; tapi, jika cara ibadat kaum kafir benar, maka mereka dan kaum muslim akan mendapat keuntungan dari menyembah berhala-berhala. Kemudian surah ini diturunkan untuk menjawab hal itu.
Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa orang Quraisy telah mengundang Nabi SAW untuk memberinya harta yang banyak, sehingga Baginda SAW boleh menjadi orang terkaya di Mekkah dan akan mengawinkannya dengan wanita mana saja yang Baginda sukai. Mereka berkata, “Inilah untukmu, wahai Muhammad tetapi (sebagai imbalannya) kamu berhenti menghina tuhan-tuhan kami dan tidak menrendah-rendahkannya. Jika kamu tidak bersedia, maka mari kita bergiliran; kamu menyembah tuhan-tuhan kami selama setahun, lalu setahun berikutnya giliran kami yang menyembah tuhan-mu.”
Ads
Maka, Rasulullah SAW menjawab, “Nanti dulu hingga wahyu diturunkan Rabbku kepadaku.”Lalu Allah menurunkan, [Qul Yâ Ayyuhal Kâfirûn] dan juga turun ayat lainnya, iaitu [Qul Afaghairallâhi Ta`murûûni A’budu Ayyuhal Jâhilûn; “Katakanlah, ‘maka apakah kamu menyuruh aku menyembah selain Allah, hai orang-orang yang tidak berpengetahuan.’] -az-Zumar:64
Keutamaan Dan Kelebihan Surah Al-Kafirun
Terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang fadhilat dan faedahnya surat ini, di antaranya:
Surah ini menyamai 1/4 Al-Quran. Jika dibaca ketika naik matahari dan terbenam matahari, nescaya terpelihara dari syirik.
Jika dibaca sebanyak 10 kali ketika naik matahari, kemudian berdoa apa-apa hajat yang dikehendaki. InsyaAllah dikabulkan walau apa hajat sekalipun.
Jika diamalkan selalu surah ini, nescaya semua makhluk suka dan kasih kepadanya.
Ads
1. Menyamai Seperempat Al-Qur’an
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda, “Bukankah kamu hafal (Al Kafirun).?” Orang itu menjawab, “Benar.” Baginda menjawab, “(Ia senilai) seperempat al-Qur’an.” (HR. At-Tarmizi r.a.)
Rasulullah SAW bersabda: “Surah ‘Qul ya ayyuhal kafirun’, sama dengan seperempat Al-Quran.” (HR. Al Hakim).
Ubay bin Ka’b berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapayang membaca surah Al-Kafirun, pahalanya seperti membaca seperempat Al-Quran, ia akan dijauhkan dari godaan setan, diselamatkan dari kemusyrikan dan diampuni pada hari kiamat.” (Tafsir Nur Ats-Taqalayn 5/684).
Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang membaca Surah Al Kafirun maka bandingannya seperti membaca 1/4 dari al quran, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa bencana yang mengejutkan.” (HR. At Tirmizi)
2. Membebaskan Diri Dari Kesyirikan
Riwayat ath-Thabaraniy dengan sanadnya dari Jibillah bin Haritsah, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu telah ke tempat tidurmu, maka bacalah (Al Kafirun) hingga kamu membacanya sampai akhir, sebab ia membebaskan diri dari kesyirikan.” (al-Mu’jam al-Kabir, jld.II, h.278. Al-Haytsamiy berkata di dalam Majma’ az-Zawa`id, jld.I, h.121, “Para periwayatnya telah dinilai Tsiqah.”
Dari Farwah bin Naufal, dari ayahnya ra. bahawa Nabi SAW bersabda: “Bacalah surah Al Kafirun, kemudian tidurlah setelah itu, kerana sesungguhnya itu adalah pembebas (pembersih) dari syirik.” (HR. Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban, dan Al Hakim).
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu hendak tidur di waktu malam maka hendaklah kamu membaca…(surah al-Kafirun) kemudian tidurlah bila selesai membacanya kerana ia adalah pembebasan daripada syirik.” (H.R. al-Tirmidzi)
Ads
3. Sunnah Membaca Bersama Surah Al-Ikhlas
Disunnahkan membacanya dalam solat dua raka’at sebelum Tawaf. Hal ini berdasarkan riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya dari Jabir bahwasanya Rasulullah SAW pernah membaca keduanya. Demikian juga, disunnahkan membaca keduanya pada solat sunat Qabliyyah Subuh berdasarkan hadits dari Abu Hurairah dalam Shahîh Muslim.
Dari Abu Hurairah ra. Berkata, “Rasulullah SAW telah membaca kedua surah ini (Qul ya ayyuhal kafiruun dan Qul huwallahu ahad) dalam solat sunat Fajar.” (HR. Muslim).
Dari Ibnu Umar dikatakan, “Rasulullah SAW membaca surah al-Ikhlash dan al-Kaafiruun dalam dua rakaat sebelum solat Subuh (solat sunat fajar) dan dua rakaat setelah Mahgrib (Ba’diyyah Maghrib) lebih dari 20 atau 10 kali.” (HR. Ahmad)
Dari ‘Aisyah r.ha. Bahawa Nabi SAW bersabda, “Kedua surah itu ialah sebaik-baik surah!” (HR. Ahmad, Ibnu Majah).
Dari Ibnu Masud katanya, “Rasanya tidak dapat saya hitung betapa kerapnya saya mendengar Rasulullah SAW dalam kedua rakaat solat sunat sesudah solat Maghrib dan kedua rakaat sunat sebelum fajar, membaca surah Qul yaa ayyuhal kaafiruun dan Qul huwallaahu ahad.” (HR. Ibnu Majah, Tirmidzi).
Nabi pernah mendengar seorang sahabat membaca surah pertama (Al-Kafirun) pada raka’at pertama, lalu Baginda bersabda,“Orang ini adalah orang yang beriman kepada Tuhannya.” Seterusnya, ia membaca surah kedua (Al-Ikhlash) pada raka’at kedua, lalu Nabi bersabda, “Orang ini benar-benar mengenal Tuhannya.” (HR. Thahawi, Ibnu Hibban dalam Shahihnya di Hasankan oleh Hafizh dalam kitab Al-A’aliyaat).
Imam Ja’far Ash-Shadiq berkata: “Sesiapa yang membaca surah Al-Kafirun dan surah Al-Ikhlash dalam solat fardhu, Allah akan mengampuni dosanya dan dosa orang tuanya. Dan ia tidak akan melahirkan anak yang celaka, walaupun semestinya anak itu tergolong pada anak yang celaka, Allah SWT menghapusnya dari lembaran catatan orang-orang yang celaka dan menetapkannya di lembaran catatan orang-orang yang bahagia, menghidupkannya dengan kehidupan yang bahagia, mematikannya sebagai syuhada’, dan membangkitkan (dari kuburnya) seperti orang yang syahid.” (Kitab Tsawabul A’mal, hlm 127).
Imam Ja’far Ash-Shadiq, dari ayahnya berkata: “Surah Al-Ikhlash adalah sepertiga Al-Qur’an dan surah Al-Kafirun seperempat Al-Qur’an.” (Tafsir Nur Ats-Taqalayn 5/687).
Dari Ali r.a., “Seekor kala jengking menyengat Rasulullah SAW, Baginda segera meminta air dan garam yang digunakan untuk mengusapnya sambil membaca surah Al-Kafirun, Al-Falaq dan An-Naas.” (HR. Thabrani).
Maka marilah kita sama-sama beramal, memahami dan menghayati surah al-Kafirun yang senilai dengan seperempat al-Quran ini, dimana ia mengandungi pokok akidah, segala perbuatan hati dan larangan menyembah selain Allah SWT supaya kita dapat menjaga akidah kita supaya tidak syirik kepada Allah Ta’ala.
Dalam bab akidah dan tauhid kita langsung tidak boleh berkompromi atau bertolak ansur kerana akidah ini adalah hak Allah SWT yang tidak boleh disekutukan dengan perkara-perkara syirik kepada-Nya.
Ya Allah! Janganlah Dikau pesongkan hati kami sesudah Dikau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu.
Amin…
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perilaku dan perangai isteri dalam melayani ragam suami kadangkala membuatkan suami bertambah sayang dan jatuh cinta kepada anda. Mungkin tanpa isteri sedari, perangai comel anda yang mencuitkan hati suami boleh membuatkan cinta suami semakin bersemut setiap hari, malah sayangnya juga semakin bertambah.
Ini antara lima perilaku dan perangai comel isteri yang bakal membuatkan suami anda bertambah jatuh cinta dan sayang anda ketat-ketat. Dah tahu ni, pastikan isteri buat setiap hari ye!
1. LETAK KEPALA DI DADA SUAMI
Kadang bila penat sangat dengan semua kerja dan masalah, isteri akan menghabiskan masa dengan meluahkan semua yang terpendam pada suami. Ketika itulah anda rasa mahu bermanja dan mendapat perhatian suami. Jangan tak tahu, suami sebenarnya suka kalau isteri meletakkan kepalanya di dada suami tau!
Suami rasa seperti seorang lelaki sebenar yang boleh memberi perlindungan kepada orang kesayangannya. Jadi, kerap-kerapkanlah meletakkan kepala anda di dada suami apabila mengeluh dengan pasangan! Lebih seronok kalau suami dapat membelai lembut rambut isteri.
2. PUJI SUAMI DI LAMAN SOSIAL
Suami juga menghargai penghargaan di media sosial. Bukan isteri saja, ya! Sebab itu anda kadang-kadang bolehlah memuji tindakan suami. Contohnya tag suami pada mana-mana artikel yang bercakap tentang suami yang hebat atau update status Facebook yang memuji suami. Pastinya buat suami rasa dihargai! Tapi jangan terlebih buat, nanti menyampah pula pembaca di Facebook.
3. PICIT SUAMI SAAT PENAT MEMANDU
Belaian lembut seperti memicit bahu suami kerana penat memandu juga membuatkan suami rasa dihargai, malah sayangnya kepada anda akan bertambah. Apabila suami penat, berehatlah seketika di tempat rehat dan urut bahu suami. Cara ini akan membuatkan suami lega dan kepenatan saat memandu itu akan hilang. Paling penting jangan lakukan ketika suami sedang memandu, bimbang boleh mengganggu tumpuan suami terhadap jalan raya. Berbahaya pula jadinya! Perilaku isteri ini sebagai tanda kasih sayang dan penghargaannya buat suami.
4. SENTIASA FIKIRKAN SUAMI
Walau sesibuk manapun seorang isteri, dia pasti akan terfikir fasal suaminya. Sudah makan ke belum? Sudah beli ubat sebab dia demam ke? Apa dia buat? Sibuk ke?
Macam-macam yang isteri fikirkan. Jadi, bila isteri hantar mesej peringatan suruh suami makan atau ayat ringkas seperti “take care” sahaja sudah cukup untuk membuatkan suami “makin sangkut” dengan anda. Ini membuatkan mereka gembira kerana anda masih memikirkan tentang kesejahteraan dirinya walaupun anda sibuk.
5. MENDENGAR TANPA JEMU
Otak wanita berfungsi agak berbeza berbanding lelaki. Kalau anda sebagai isteri boleh sahaja membuat semua kerja dalam satu masa sambil mengeluh dan membebel tapi lelaki tidak boleh. Sebab itu bila suami mula bercerita tentang sesuatu, dia akan rasa semakin jatuh cinta dan sayang kepada isteri yang tidak pernah jemu mendengar ceritanya.
Walaupun apa yang dia cakap langsung anda tidak faham! Tapi, teknik mendengar anda akan membuatkan suami rasa anda benar-benar menyayanginya. Lepas ini anda jangan menyelit atau membebel kalau suami nak bercerita sesuatu, tau!
6. TUNJUKKAN ANDA ISTRI PRIHATIN
Jangan ingat suami tidak suka kalau anda tunjuk kemesraan di tempat awam. Janji ia tidak berlebih-lebihan. Sebenarnya, cukuplah anda memegang tangan suami ketika ingin melintas jalan atau membetulkan rambut dan baju suami. Semua ini akan membuatkan suami semakin jatuh cinta dengan isteri. Betul tak para suami?
Untuk menyemarakkan rasa cinta, janganlah berhenti tunjuk betapa anda menyayanginya. Sesungguhnya rumah tangga yang bahagia terletak di tangan suami isteri yang bijak mengemudi cabaran dan menyemarakkan rasa cinta.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cekalnya seorang isteri, perempuan, wanita dan ibu itu kerana satu hal. Bukan kerana seorang suami tapi sesuatu yang dikongsikan lelaki bernama Abu Hurairah Asifa.
Seorang ibu.
Seorang isteri.
Seorang perempuan.
Seorang wanita.
Dia kuat kerana sebuah hati. Sekalipun hati itu telah pecah dan menjadi serpihan, asalkan yang baki sebesar zarah itulah yang akan membina semula sebuah hati yang kuat lagi.
Sebab itu, jagalah hati.
Dekatkan ia dengan Tuhan. Buat sebanyaknya kebaikan. Isi hati dengan Al Quran.
InsyaAllah. Allah akan menjaga wanita yang di uji.
Muzik semestinya salah satu aspek yang sememangnya penting di hari perkahwinan dan pasti anda tidak mahu merosakkannya. Band dan deejay yang yang mempunyai kualiti bagus mampu menghidupkan suasana dan menjadikan majlis kahwin anda lebih meriah.
Namun begitu, terdapat beberapa kesalahan berkaitan muzik yang boleh menjejaskan keseluruhan majlis kahwin anda. Pilihan lagu yang kurang tepat antara penyebab majlis kahwin menjadi suram dan sendu. Jom kita lihat kesalahan-kesalahan muzik lain yang harus anda elakkan di majlis kahwin!
1. BIARKAN DEEJAY BUAT KEPUTUSAN SENDIRI
Jangan mengharapkan band yang anda pilih atau deejay yang akan memainkan kesemua lagu kesukaan anda. Ada sesetengah pengantin agak cerewet tentang pemilihan lagu di majlis kahwin. Namun jika anda jenis orang yang tak kisah tak mengapa, kerana kebiasaannya deejay majlis kahwin sudah mempunyai pelbagai koleksi lagu untuk dimainkan ketika majlis kahwin. Sebaiknya beritahu mereka lagu jenis bagaimana yang anda ingin mereka mainkan sama ada lagu rancak, balada, lagu orang kahwin dan sebagainya. Ini penting agak tetamu tidak rasa terganggu dengan bunyi lagu yang bingit dan menyakitkan telinga ketika mereka datang bertandang.
2. TAK ASINGKAN LAGU YANG ANDA NAK DAN TAK NAK
Duduk bersama tunang anda dan berbincanglah tentang pemilihan senarai lagu yang perlu dimainkan dan senarai lagu yang tidak perlu dimainkan. Jika anda membuat keputusan untuk menggunakan band berbanding deejay, berikan mereka masa yang lebih untuk memeriksa lagu pilihan anda, sekiranya mereka perlu menambah lagu dalam majlis anda nanti.
Apabila anda memberi mereka senarai tersebut, biarkan mereka yang mengendalikannya dan berhati-hati untuk tidak micromanage (itulah sebab anda yang mengupah perkhidmatan mereka).
Jika senarai lagu anda menjadi terlalu lama, buat senarai yang ketiga. Ini boleh menjadi lebih daripada satu senarai lagu yang ingin dimainkan sekiranya tetamu anda bertindak balas secara positif terhadap mereka.
3. KURANG SENSITIF DENGAN PEMILIHAN LAGU
Anda tidak dapat memuaskan hati semua orang, tetapi tanya deejay atau band untuk menyimpan sekurang-kurangnya beberapa lagu PG-13 semasa di majlis nanti. Apabila ia hanya anda, kawan kolej dan sepupu dewasa anda di majlis selepas itu, anda bebas memainkan lagu-lagu yang tidak sesuai dengan orang yang berumur dan anak saudara anda yang kecil sekitar waktu malam.
Selain itu, pertimbangkan lirik dan makna lagu-lagu yang anda pilih. Mungkin anda rasa sesetengah lagu itu lucu atau menyeronokkan, tetapi mungkin tetamu anda rasa sebalikya.
4. ABAIKAN VOLUM LAGU
Majlis anda bukan kelab malam untuk anda dengan menggunakan volum yang tinggi. Ia akan menjengkelkan tetamu, selain membuatkan mereka sukar untuk bercakap antara satu sama lain dan menikmati majlis anda sepenuhnya.
Sebaiknya, berbincanglah dengan deejay mengenai volum yang sesuai untuk digunakan. Minta kepadanya untuk memperlahankan volum pada waktu tertentu (seperti instrumen dan balada yang lembut)
Pada hari perkahwinan, mintalah wakil anda untuk menjaga tahap volum yang sesuai dan memberi amaran kepada deejay jika ia menggangu tetamu atau jiran tetangga.
5. HANYA NAK SATU GENRE LAGU SAHAJA
Anda berdua benar-benar menyukai lagu Nirvana dan sepanjang lima jam majlis lagu Nirvana sahaja yang dipasang. Pasti ini akan membuatkan tetamu anda balik lebih awal. Anda berkongsi hari anda dengan keluarga dan rakan-rakan, jadi simpanlah senarai lagu anda untuk bulan madu anda dan mintalah deejay memainkan lagu-lagu yang sesuai dengan suasana perkahwinan. Anda juga boleh meminta deejay untuk memainkan lagu lama supaya ibu bapa anda juga boleh menikmati majlis anda itu.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!