Suamiku…sudikah bernikah lagi..?

Ini bukan soalan saya pada suami..takut saya nak tanya suami , kot suami jawab ‘sudi’.

Hanya saja, persoalan ini yang bermain di minda – bila sehari dua ni terfikir ‘boleh ke bagi suami berkahwin lagi ‘ – melihatkan ada teman-teman terdekat masih sendiri mencari teman hidup.

Realiti Hari Ini, Isteri Kena Ada Kerja Sendiri, Tahu Memandu Dan Berdikari. Takut Suami Cari Lain, At Least Masih Boleh Berdiri

Sedikit sebanyak hati wanita tersentuh..kita kan sama wanita? Sama punya rasa ingin mengasihi dan dikasihi..? Bolehkah kita berkongsi rumahtangga dengan harmoni..?

Saya tahu kalau saya tanya suami, abang nak kahwin lagi tak? ‘No thank you’ akan jawabnya. Sebab suami tahu poligami adalah tanggungjawab dan sudah punya 3 isteri ini sudah berat peranannya. Banyak faktor perlu diambil kira dan perlu perbincangan mendalam suami dan madu madu saya juga.

Poligami adalah jihad emosi – begini antara perumpamaan yang diberi. Jika orang lelaki berjihad di medan perang terluka tubuh, poligami adalah medan yang berpotensi melukakan jiwa wanita sekalipun wanita itu sendiri yang membenarkan suami bernikah lagi.

Namun, medan jihad ini pasti berjaya dan membuah bahagia jika dilalui dengan ilmu dan keimanan.

————

Coretan saya 5 tahun dulu. Tazkirah untuk diri ini dan semua muslimah yang dikasihi.

Poligami itu umumnya berat diterima isteri. Kerana apa ya..? Di sana ada rasa dan alasan yang berbeza bagi isteri yang tidak menyenangi hasrat suami untuk berpoligami.

Secara peribadi, bagiku ia terasa berat kerana dirasakan seandainya suami kahwin lagi, suami akan membawa pergi sayang dan kasihnya meninggalkan diri ini. Kasih sayang suami akan beralih ke isteri baru yang mungkin lebih baik dari kita dalam banyak aspek. Rasa dilupakan. Rasa tidak disayangi seperti sebelumnya.. Itulah antara yang datang membolak balik hati dan perasaan.

IKLAN

Sedangkan kalau suamiku kahwin lagi, mungkin itu ubat yang terbaik untuk hati ini. Suamiku adalah kurnia ALLAH yang besar, benar-benar untuk menguji diri ini. Saat yang aku lalui tika ini dilimpahkan kesenangan yang ALLAH berikan melalui usaha seorang suami. Perhatianku dan sayangku banyak tertumpu pada suami. Rasa bersemangat dengan hadirnya suami di sisi. Rasa sepi dan sunyi bila suami meninggalkan diri.

Melalui suami dan perkahwinan juga, kadangkala ALLAH datangkan ujian yang selalu membawa diri ini bermujahadah untuk terus mendahulukan redha tuhan dari kepuasan perasaan.

Rindu. Lumrah bila rasa rindu menjelma pada suami. Lumrah jua merasa bahagia dan gembira dengan hadirnya pasangan yang setia di sisi.. Namun apa khabar dengan rindu pada Ilahi…? Di mana gembira dan bahagia bercinta kerana Ilahi?

Ku tercari-cari rindu dan semangat yang pernah subur dalam cintaku pada Mu , Ya Rabbi.

Orientasi hidup sedikit sebanyak berubah di waktu indah melalui alam rumahtangga. Berbuat dan tidak berbuat sesuatu itu hanya kerana suami. Ada suami jadi baik, suami tak ada rasa biasa-biasa..Wahai diri, Inikah erti ikhlas kerana ALLAH?

Realiti Hari Ini, Isteri Kena Ada Kerja Sendiri, Tahu Memandu Dan Berdikari. Takut Suami Cari Lain, At Least Masih Boleh Berdiri

Moga poligami menjadi wasilah meluruskan hati. Supaya hati tidak terlupa, suami yang disayangi ini hanya pinjaman Ilahi. Supaya hati tidak terleka, cinta yang murni itu benar-benar milik Ilahi. Tak perlu takut kehilangan cinta sayang manusia. Kerana, selama ini adakah rasa cinta di bawah naungan pernikahan itu suami yang bagi? Atau cinta itu percuma saja kita temui, bila-bila masa datang dan pergi…?

Tidak. Cinta dan kasih sayang itu ALLAH yang bagi. Seperti pesan Baginda Muhammad SAW, tatkala ALLAH mencintai, ALLAH menjadikan suami mengasihi diri ini. ALLAH mengikat hati suami isteri dengan rindu dan kasih sayang. ALLAH juga yang menjadikan insan-insan lain mengasihi kita bila kita mentaatiNYA.

IKLAN

Jadi cinta ALLAH itulah yang perlu dicari gali. Dengan mencintai ALLAH, rasa bersemangat melangkah mencari redha dan bimbinganNYA. Rasa bahagia berbuat baik kerana ikhlas mengharap rahmatNYA.

Lalu poligami akan dirasakan sebagai syariat yang indah suci. Pernikahan itu kan memang indah. Di sana ada ruang berkasih sayang dalam ketenangan dan keselamatan. Kita gembira memiliki suami, apakah kita tidak merasa bahagia jika saudara perempuan kita juga berbahagia ada lelaki halal lagi baik yang menyayangi?

Realiti hidup waktu ini, ramai wanita mampu berdikari – punya rumah dan kereta sendiri, punya kerjaya dan jawatan tersendiri, hebat dan cemerlang potensi diri sebagai anak dan pekerja, namun itu semua tidak memenuhkan keingian fitrah insani – yang ingin bercinta dan dicintai. Ingin punya pasangan halal dalam memperoleh separuh kebahagiaan beragama. Jiwa tabiie yang ingin bermanja dan dimanja. Setiap hati terdetik dan merindui kehadiran keluarga sendiri didahului seorang insan bernama suami. (Walau tak dinafikan ada juga wanita bahagia memilih hidup sendiri)

Perkahwinan bukanlah segalanya. Perkahwinan hanya wasilah yang menghantar diri merintis jalan baru dalam perjalanan pulang ke kepada Ilahi.

Namun ada banyak kebaikan duniawi dan ukhrawi dalam medan pernikahan ini, insyaALLAH. Kemanisannya tak terungkap dengan perkataan. Namun kesulitan yang datang juga sama berat dengan kebaikan.

Pernikahan dan poligami hal yang amat manusiawi. Jika diriku redha dan menerima poligami, mudah-mudahan kerana diri ini berusaha membina cinta mukmin yang tulus. Cinta pada saudara perempuan yang mengharap kehadiran teman bernama suami. Lelaki yang bujang zaman ini, sebahagian lemah tanpa jati diri. Ada banyak juga yang baik, tapi mungkin lebih baik suami-suami kita yang matang dan lebih berpengalaman turut tersenarai dalam barisan yang layak dinikahi…

(hmm… rasa beratnya nak berkongsi suami.. kemesraan dan perhatian suami yang eksklusif pada kita akan beralih pada isteri seterusnya…)

IKLAN

Telah ku rasakan sakinah wa mawaddah dalam hati, ku ingin juga berkongsi dengan saudara-saudara perempuanku indahnya hidup di sisi seorang suami. Bahagia luar biasa dalam perkongsian rasa di dakapan dan ciuman suami. Apatah lagi bila kalian memiliki suami yang baik, berilmu dan bertanggungjawab. Suami yang berilmu dan mengenal ALLAH dan Rasul akan melayani isteri dengan makruf – penuh cinta dan kelembutan. Menjaga kebajikan luaran dan keperluan perasaan.

Namun kita yang bernama isteri perlu telus melihat realiti dan bersabar menghadapinya. Jua membantu suami bersabar menghadapinya. Tanggungjawab suami berat sekali, apatah lagi jika punya isteri lebih dari satu. Moga diri ini bersungguh berbakti, memahami dan pandai mensyukuri.

Jika isteri-isteri dalam poligami tak tabah, suami akan rebah penuh resah. Perlu saling melengkapi, saling menghulur tangan dalam melangkah mencari keredhaan. Ada masa gembira mendaki kehidupan, ada masa sakit terjeropok di bawah. Komunikasi suami isteri yang dibangunkan dan hubungan dengan tuhan akan terus menyinarkan kekuatan.

Tidak perlu dibahas poligami dengan data dan hujah tanpa henti jika suami dan isteri-isteri tidak mengerti tujuan dan cara hidup yang diredhai. Kerana bagi yang bertaqwa, pasti ada jalan keluar, itulah janji ALLAH di dalam Al Quran. Iman dan taqwa itulah sebenarnya yang perlu di cari.

Iman yang kurang, tidak akan mampu rasa senang dan tenang dalam perkahwinan. Walaupun tidak bermadu, keindahan pernikahan terasa hanya mimpi yang jauh untuk dikecapi, andai iman selalu menghilangkan diri. Apatah lagi poligami, suami sering jauh di sisi, tanpa iman dan ketaqwaan – hati dan jiwa akan kosong dan sepi.

Ohh…panjangnya tazkirah untuk diri sendiri. Jadi harus sudah redha dan bersedia andai suami bertemu jodoh lagi.

InsyaALLAH redha.

Andai suami orang yang harithun ‘ala waqtihi (menjaga waktu), insyaALLAH akan mampu menyusun waktu dengan baik untuk para isterinya. Andai suami orang yang arif memantau ekonomi, insyaALLAH ekonomi keluarga kan terjaga dengan baik. Andai suami orang yang jelas tujuan dan wawasan, mudah-mudahan para isterinya kan jua bermotivasi untuk maju ke hadapan.

Ohh,,..jangan lupa, suami kita juga insan biasa miliki kelemahan dan kesilapan, jadi para isteri harus siap untuk memaafkan dan ikhlas kita semua melakukan perbaikan.

Tak cukup jika hanya seorang dua suami yang mahu, berusaha dan bersedia untuk menambah isteri. Untuk kita melihat poligami ini menciptakan kemajuan, jom para isteri, kita teguhkan perasaan, permudahkanlah perkahwinan, agar ummah ini berjaya dengan poligami dan institusi pernikahan.

sumber : Nurul Adni Adnan

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI