Membaca baris demi baris ayat-ayat yang ditulis oleh Puan N, saya menangkap rasa pedih yang mengikuti setiap luahan jiwanya. Untuk itu, saya cuba menelusuri setiap patah kata bagi memahami sebab kepada berlakunya perbalahan yang berulang-ulang itu.

“Sebenarnya sejak awal perkahwinan lagi, saya melihat suami agak liat untuk solat berjamaah. Ke masjid sudahlah jarang-jarang, di rumah pula dia lebih selesa solat seorang. Mula-mula mungkin kerana segan agaknya, bila saya mengajak solat bersama, dia turutkan juga. Tapi, lama kelamaan, suami saya semakin beralasan. Ada saja sebab untuk dia menolak agar kami solat berjamaah; letihlah, nak rehat dulu dan bermacam lagi. Saya sedih dan tertekan. Kerap timbul pertanyaan, kenapa asyik saya yang memulakan. Bukankah suami yang sepatutnya berperanan sebagai pemimpin rumahtangga?

Sudah banyak yang saya lakukan agar suami berubah, termasuk doa kepada TUHAN, tapi usaha saya bagai sia-sia. Saya iri bila melihat keluarga lain yang mementingkan nilai beragama dalam rumahtangga dan saya mengimpikan kebahagiaan sebegitu.

Saya sedar suami seorang yang sibuk dengan businessnya. Wang bukan masalah kehidupan kami, dan suami juga selalu memberi saya hadiah berjenama. Namun saya merasakan kehidupan kami tidak sempurna. Tolong beri saya nasihat kak….”N mengakhiri bicaranya dalam emosi gelisah seorang isteri.
Entah mengapa, tatkala membaca baris-baris akhir dari ayat yang tertera, saya bagai menemukan jawapan kepada persoalan yang ditanya.

Namun saya ulang membaca buat kesekian kalinya untuk kepastian diri. Setelah beberapa kali, saya merasakan ada dua sebab utama yang perlu diambil perhatian oleh Puan N dalam rangka usahanya menyelesaikan kemelut yang melanda. Solusinya bukan harus ditumpukan pada masalah yang berlaku, tetapi ia harus difokuskan pada hati dan jiwa. Itulah sebenar punca.

PERTAMA : TIDAK SEJIWA
Banyak masalah dalam hidup berlaku memang bukan berawal dari harta, tetapi ia bermula pada orientasi hidup manusia. Ketika seorang insan menempatkan perubahan orientasi kehidupannya dari akhirat kepada dunia, maka terjadi pula perubahan dalam berbagai aspek di dalam hidupnya. Kerana itu, bermula dari berubahnya orientasi hidup, rumahtangga yang berawal dari hulu yang penuh kesejukan, dapat berubah menjadi gersang dan hampa di muara.

Justeru itu, sudah lama saya memikirkan bahawa kemungkinan, jika sesebuah rumahtangga itu terlalu sukar untuk mewujudkan faham memahami serta toleransi adalah kerana pertembungan orientasi kehidupan di antara suami isteri yang menatijahkan ‘roh’ kedua-duanya tidak serasi.

Andai seorang cenderung memilih akhirat, manakala seorang memilih dunia yang jelas memikat, maka bagaimana mungkin keduanya dapat bersatu menuju matlamat?

Rasulullah SAW bersabda :

الأرواح جنود مجندة فما تعارف منها ائتلف وما تناكر منها اختلف

Maksudnya : “Bermula roh-roh itu berkelompok-kelompok, maka yang mana sesuai ( secocok ) sifatnya, akhlaknya, tujuannya, maka roh-roh itu itu menjadi ‘jinak’ ( saling mencintai ), manakala jika sifatnya, akhlaknya dan tujuannya tidak sepadan, maka ia akan saling menjauh ( bertelingkah ).” ( Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan selain mereka)

Imam An-Nawawi mengemukan pandangannya dalam Syarah Muslim. Beliau menukilkan :

IKLAN

“Para ulama mengatakan, maknanya mereka adalah sekelompok manusia yang berkumpul atau manusia yang bermacam-macam lagi berbeza. Ruh-ruh itu saling mengenal kerana suatu perkara yang ALLAH SWT menciptakan ruh-ruh itu di atasnya. Ada yang mengatakan, kerana mereka dijadikan oleh ALLAH SWT di atas sifat-sifat yang saling sepadan dan tabiat yang saling bersesuaian. Ada yang mengatakan, kerana mereka diciptakan secara bersama kemudian jasad mereka saling berpisah, sehingga yang bersesuaian dengan tabiatnya, dia akan bersatu dengannya. Dan yang saling berjauhan tabiatnya maka dia akan ‘lari’ dan menyelisihinya.”

Ramai yang memaklumi dan turut merasakan pengalaman ini iaitu wanita/lelaki yang baik agamanya akan mencintai lelaki/wanita yang baik agamanya, manakala wanita/lelaki yang tidak baik akan mencintai lelaki/wanita yang tidak baik pula.

Sebaliknya, pasangan atau salah seorang dari keduanya yang ‘jauh’ dari kehidupan bersama TUHAN, akan menyebabkan perkahwinan terasa sempit, dipenuhi dukacita dan pergolakan yang tidak berkesudahan.

Justeru, andai berlaku perkahwinan antara jiwa-jiwa yang tidak serasi ini, maka perselisihan akan kerap berlaku hingga jika tidak diselia dengan bijaksana, perceraian akan menjadi titik noktahnya.

KEDUA : MERASA MULIA

Ini adalah sebab kedua yang pada saya lebih utama untuk direnungi oleh para isteri seperti Puan N. Ia berpunca dari hati yang sakit dan memerlukan rawatan segera. Apabila merasa diri lebih baik dari orang lain kerana usaha ketaatan yang dilakukan, maka ketika itu jarum syaitan telah berjaya menusukkan racun mazmumahnya. Kebenaran yang disampaikan bersulam rasa ‘aku lebih baik, lebih berusaha atau lebih lain-lainnya, seakan-akan menghimpit keikhlasan dalam melakukan ketaatan. Bimbang-bimbang, berpunca tiada ikhlas dan merasa lebih mulia itulah yang menjadi hijab dari sampainya kebenaran.

Sememangnya, manusia beribadah, melaksanakan suruhan, meninggalkan larangan dan memanjatkan permohonan kepada TUHAN Yang Maha Kaya, meminta sesuatu berkait kehidupan di dunia ini kepada-NYA, akan tetapi yang selalu berlaku adalah dek kerana banyak meminta namun merasa belum tertunai hajat yang dipinta menyebabkan limpahan nikmat-nikmat lain tidak disyukuri, sementara dosa dan noda tidak pula dipinta agar ditaubati.

Sedangkan seharusnya, sebagai hamba yang benar-benar mengharapkan rahmat TUHAN; ibadah, ketaatan dan doa yang dilaksanakan bukan bertujuan agar permintaan itu dan ini dalam hidup ditunaikan secepatnya, akan tetapi ia lebih kepada berhajatnya manusia untuk bermesra bersama Rabb-NYA, buat penerus hidup sebagai hamba.

IKLAN

Saya merenungi pesanan ALLAH SWT lewat firman-NYA yang bermaksud : “Jika kamu menyintai ALLAH, maka ikutilah aku…”, mudah untuk lidah menuturkan, tetapi sukar mengamalkan kerana kebenaran itu bukan diukur pada perkataan semata, tapi lebih kepada amal perbuatan menjadi buktinya.

BELAJAR DARI BAYANG-BAYANG

Oleh itu, baik seorang isteri atau suami itu berada pada kedudukan yang dinasihati atau menasihati, kedua-duanya perlu kembali menjadi HAMBA ILAHI untuk menyatukan semula dua hati. Renungkan bayang-bayang diri yang selalu ada bersama hadirnya cahaya.

Di pihak suami, sebagai seorang yang perlu dinasihati, bawalah dia merenung keadaan orang yang mengejar urusan dunia dengan meninggalkan akhirat yang lebih kekal di sana. Keadaan ini tak ubah seperti seseorng sedang mengejar bayang-bayang dengan membelakangi cahaya yang menyimbah, pasti tidak akan berhasil mendapatkannya. Sebaliknya, jika dia membelakangi bayang-bayang dan menghadapkan wajah kepada cahaya yang memancar indah, pasti dia mendapati bayang-bayang itu mengikutinya di setiap langkah menuju cahaya.

Andai mengejar dunia, manusia tidak akan pernah merasa kepuasannya, tetapi bagi yang mengejar akhirat, dunia pasti menjejak bersama-sama di setiap langkah kakinya. Oleh itu, hanya dengan nasihat atau peringatan yang berhikmah melalui bicara yang kena dengan suasana, akan melunakkan jiwanya kerana naluri beragama yang suci dan bersih itu ada pada setiap jiwa. Tinggal lagi ia perlu digilap agar kecenderungan dan kecintaannya memihak kepada kebaikan dan kebenaran.

Inilah fitrah, ia wujud sejak azali lagi di dalam diri manusia, iaitu sebelum mereka dilahirkan ke dunia; ketika masih di alam ruh. Fitrah dan ruh itu saling berkait rapat antara satu sama lain. Seterusnya, ruh pula bertindak sebagai rantaian yang menghubungkan nafsu, akal dan hati. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya :

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

Maksudnya : “Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini.” ( Surah al-Araf ayat 172)

IKLAN

Sementara di pihak isteri, selaku orang yang menasihati, insafilah bahawa seseorang yang merasa lebih mulia, lebih baik, lebih taat, lebih berjasa, lebih berkebaikan dan seumpamanya daripada orang lain hakikatnya sedang ditipu oleh syaitan durjana. Bukankah, semakin seseorang menghampiri cahaya mentari, semakin gelap bayang-bayang yang mengikuti ?

Demikianlah perumpamaan orang yang semakin hampir kepada TUHAN nya; kian dekat, kian terserlah dosa dan salah dirinya. Lantas dia memperbaiki diri tanpa rasa sombong dan bangga diri seterusnya mengajak insan-insan tersayang di sampingnya dalam kerendahan hati mengharapkan bantuan ILAHI. Dia memuhasabah diri, mengintai ke dalam jiwa, adakah ikhlas menjadi paksi tindakannya atau ada terselit maksud lain yang memungkinkan datangnya rasa ujub, riak atau perasaan buruk lain sehingga nasihat yang sepatutnya membuahkan hasil yang manis, bertukar menjadi kata-kata yang tajam, menikam dan melukakan hati.

Seorang insan yang sedar, faham dan tahu bahawa dirinya hanyalah seorang hamba, akan sentiasa merendah diri dan tidak berbangga dengan usaha serta penat lelah dirinya. Andai selepas usaha, kejayaan mengiringinya, maka kesyukuran dipanjatkan dengan ikhtiar yang lebih dilipatgandakan. Sebaliknya, jika masih belum menampakkan hasil yang diinginkan, maka dia bersabar, tetap berusaha dan terus memohon petunjuk kerana keyakinannya bahawa hidayah itu milik Yang Maha Esa semata, sedangkan seorang hamba itu hanya dituntut untuk berusaha seupaya dirinya.

BAYANG-BAYANG SEORANG ‘HAMBA’

Akhirnya, saya menamatkan jawapanbalas kepada Puan N bersama satu renungan buat diri saya sendiri : “Dalam rumahtangga, pandangan hidup yang banyak membantu kelangsungan perkahwinan adalah pandangan tawadu’ iaitu saling meletakkan keadaan pasangan pada diri masing-masing untuk diperhati dan dihalusi. Bila ini dilakukan, maka sikap faham memahami , bertoleransi dan nasihat menasihati itu akan lebih mudah disuburkan.

Suami yang lalai dalam ketaatan kepada ALLAH SWT, dan isteri yang merasa lebih taat dan lebih baik dari pasangan, mereka sebenarnya adalah sama dari sudut jiwa walau zahirnya terlihat berbeza. Kedua-duanya tidaklah lebih mulia lantaran kedua-duanya sedang melakukan dosa. Untuk meraikan keberhasilan sesuatu usaha ketaatan, ia hanya akan sempurna melalui tasbih kehambaan beriring istighfar kerana kealpaan.

Justeru itu, teruskan merenung bayang-bayang, kerana ia mengingatkan bahawa kita ini hanya hamba ar Rahman. Firman ALLAH SWT :

وَلِلّهِ يَسْجُدُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلالُهُم بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ

Maksudnya : “Hanya kepada ALLAH-lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri atau pun terpaksa (dan sujud pula) bayang-bayangnya di waktu pagi dan petang hari.” ( Surah ar Ra’d 13:15 )

Mari bersama bermuhasabah…..

sumber:http://www.facebook.com/noraslina.jusin