Kalau salah pilih suami, hidup anda akan dalam ketakutan, derita air mata. Anak-anak lagilah, takut nak dekat. Kasihannya…
Salah Pilih Suami
Seksa sungguh bila bersuamikan lelaki begini. Dalam hati isteri yang cuba dan usaha bertahan, konon nak bagi peluang. Moga suatu hari baran suami hilang. Bertahan sekalipun isteri, jangan sampai maki hamun suami jadi makanan harian. Kena ajar sayangkan diri sendiri.
Bertindaklah! Jadi berani.. bak kisah benar yang dilalui Firda Ashaary ini. Yang pernah melalui episod paling malang bagi seorang wanita bergelar isteri. Syukurlah.. dengan keberanian yang masih bersisa. Dapat juga melepaskan diri dari suami yang menghamba abdikan isteri sendiri.
Salah Pilih Suami, Bertahun Derita Air Mata
YES!! Aku setuju, aku pernah dah kena kes gini. Kenal sekejap ja. Dia terus melamar dan nak jumpak famili. Ikhlaslah kata kan?
Ads
Konon dia nak berubah jadi orang. Mak aku mulanya setuju tapi lepas tu tak sedap hati mungkin. Dan mak ubah fikiran. Mak cakap, “Tak payah la. Orang tu tetap orang yang sama. Takdak nak berubah mana eh!”
Aku pulak jawab, “Apa salah bagi peluang dia berubah. Kita pun tak baik mana Mak. Dia tu baik cuma panas baran sikit ja.” Kemain yakin aku membela.
Pendekkan kisah, aku menang. Mak mengalah. Lepas tu baru aku tahu langit tu tinggi ke rendah. Manisss sangat cinta aku tu. Tapi semua dah terlambat. Aku dah jadi isteri dia yang sah. Hiduplah aku berendam airmata dari hari pertama nikah dan begitulah hari-hari seterusnya.
Ads
Walau disimpan dalam ‘mahligai’ tapi kaki dirantai. Hidup diherdik macam bibik. Disuruh duduk, aku duduk. Disuruh berdiri aku perlu berdiri. Sedang menangis aku dipaksa senyum. Dalam sebulan boleh kira dengan jari berapa hari airmata tu tak tumpah. Sampai aku lupa bila masa aku tersenyum. Aku macam patung bernyawa.
Anak-anak Diherdik Tanpa Salah
Anak-anak juga kena tempias barannya. Pedih hati tengok anak-anak diherdik tanpa salah. Aku selalu pertahankan anak-anak walau teruk aku dimaki.
Ads
Akhirnya mujurlah Allah tu masih sayangkan aku, dibuka jalan untuk aku bukak langkah seribu. Aku tak toleh lagi dah. Aku pegang tangan anak-anak kiri kanan, sehelai sepinggang aku lari. Walau dia datang melutut, merayu, minta dimaafkan, malah diugut nak disaman dan dituduh nusyuz, aku tak peduli.
Lantak kau lah. Aku takkan ulang kesilapan aku percaya pada orang yang psiko. Cukuplah sekali. Bertahun tragedi tu berlalu, tapi sedetik pun aku tak pernah lupa. Bagai layar perak memapar satu persatu kejadian.
Aku bukan berdendam, jauh sekali nak sedih sebab benda dah lama. Cuma aku sejenis yang susah nak lupa apa orang buat kat aku. Im sorry.
Gais, kajilah dulu dalam luar sebelum terima lamaran. Kenal terus ajak kahwin belum tentu betul-betul ikhlas. Manusia sekarang banyak ja pandai berlakon.
Bukan mudah nak lepas, kalau dah terikat. Ingat tu!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saat memilih bakal suami yang boleh membawa kebahagiaan dalam rumah tangga, tentu sahaja wanita ingin mencari seorang lelaki yang boleh memenuhi ciri-ciri yang diidamkan, selain membimbingnya menjadi seorang isteri dan peneman hidup yang sempurna. Dalam banyak-banyak kriteria, pastikan anda jangan tersalah pilih!
Pemilihan bakal suami penting agar hubungan rumah tangga yang bakal dibina tidak terjejas. Jika tersalah pilih, bimbang bakal suami dengan ciri-ciri ini boleh membuatkan suasana rumah tangga anda tidak tenteram, selain anda sering ‘makan hati’.
Selesai sahaja akad nikah, maka bermulalah tanggungjawab yang besar di bahu seorang lelaki dan wanita kerana detik ini anda berdua akan berkongsi hidup. Jika tidak mahu menyukarkan kehidupan rumah tangga, pastikan anda jauhi 10 ciri-ciri bakal suami ini.
1. Lelaki Yang Tidak Beriman
Paling penting setiap wanita tentu impikan seorang bakal suami yang cukup solat dalam sehari, boleh menjadi imam dalam solatnya, seorang yang beriman dan sempurna agamanya. Ciri-ciri ini penting agar bakal suami tersebut boleh menjadi seorang ketua keluarga yang boleh membimbing isteri dan keluarganya ke jalan yang diredai.
2. Lelaki Yang Tidak Serius
Dalam menjalinkan hubungan pasti setiap pasangan ingin mengakhirinya dengan sebuah ikatan yang halal. Jika bakal suami yang anda cintai sering mengelak pertanyaan anda untuk mengakhiri hubungan ini ke satu ikatan yang halal padahal anda berdua sudah lama bercinta dan susah bersedia, sebaiknya anda segera angkat kaki. Terang-terang dia jenis lelaki yang tidak mahu ada komitmen yang lebih serius dan hanya ingin mempermainkan cinta anda.
3. Lelaki Yang Pemalas
Elakkan diri anda daripada menjalinkan hubungan dengan jenis lelaki yang tidak tahu menguruskan dirinya, tidak bercukur, tidak menggosok pakaian ketika anda berdua bertemu janji, rambut dan badan berbau, sering ponteng kuliah ataupun kerja, kenderaannya yang kotor dan sebagainya. Bimbang jika berkahwin nanti segala tanggungjawab diserahkan bulat-bulat kepada anda seorang dalam menguruskan rumah tangga dan dirinya kerana menganggap semua kerja tersebut merupakan tugas seorang isteri sahaja.
4. Lelaki Kaki Pukul
Ada sebahagian wanita yang masih berhubungan dengan teman lelakinya yang kaki pukul gara-gara cinta dan sayang terhadap teman lelakinya. Ingatlah wahai wanita, jika sebelum berkahwin pun teman lelaki anda sudah bertindak memukul anda, bagaimana pula setelah berkahwin nanti. Jangan kerana sayang ataupun takut ditinggalkan lelaki sebegini, anda sanggup diperlakukan sedemikian rupa. Takut apabila sudah berkahwin nanti, saban minggu anda bakal menjadi pelanggan tetap hospital kerana dipukul teruk oleh suami.
5. Lelaki Yang Tiada Toleransi
Lelaki sebegini hanya menganggap dirinya sahaja yang betul. Baginya pandangan dan idea orang lain semuanya salah. Sebenarnya dalam menjalinkan hubungan haruslah ada toleransi antara kedua-dua pasangan agar hubungan yang dibina berjalan dengan lancar. Mana ada wanita yang tahan jika dia sering dimarahi teman lelakinya gara-gara pendapat yang dilontarkannya dianggap salah dan berlainan daripada pandangan teman lelaki anda. Silap hari bulan, setiap kali berjumpa pasti anda berdua bercakaran pendapat.
6. Lelaki Panas Baran
Ciri lelaki yang satu ini juga harus anda elak dalam memilih bakal suami. Lelaki yang panas baran tentu sahaja mudah mengamuk apabila berlaku sesuatu perkara. Ternyata ciri-ciri ini tidak sesuai untuk dijadikan bakal suami kerana bimbang apabila berkahwin nanti apa sahaja yang isterinya lakukan boleh mendatangkan kemarahannya tanpa dia siasat terlebih dahulu. Malah ciri panas baran ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada aksi memukul.
7. Lelaki Yang Suka Membangga Diri
Elakkan bakal bakal suami jika dia seorang yang sombong dan sering membanggakan dirinya apabila bercakap dengan anda ataupun apabila bercakap dengan rakan-rakannya. Lebih parah jika dia seorang yang kaya, kacak, mempunyai karier yang bagus, gaji yang lumayan dan kereta yang mewah, lagi berlagaklah jadinya. Jika hubungan ini diteruskan takut di kemudian hari nanti rumah tangga yang anda bina tidak harmoni.
8. Lelaki Yang Kedekut
Jika saat menjalinkan hubungan pun bakal suami anda itu berkira dalam membelanjakan sesuatu atau sering menyuruh anda membayarkan untuknya, sah dia seorang yang kedekut. Untuk menjadi seorang suami mana boleh ada ciri-ciri kedekut. Ini kerana apabila sudah berkahwin nanti menjadi tanggungjawab suami sebagai ketua keluarga untuk menyediakan nafkah secukupnya kepada isteri dan anak-anaknya.
9. Lelaki Yang King Control
Lelaki yang king control selalunya seorang yang kuat cemburu. Apa sahaja yang anda hendak lakukan, haruslah memberitahunya dan mendapat keizinannya terlebih dahulu. Diri anda seolah-olah dikawal sepenuhnya oleh lelaki sebegini kerana menganggap anda miliknya. Malah dia akan menghubungi anda setiap masa untuk mengetahui anda berada di mana dan dengan siapa anda ketika itu. Kalau beginilah bakal suami anda, larikan diri sebelum terlambat.
10. Lelaki Yang Penakut
Ciri yang ini juga jangan dipandang ringan. Lelaki yang penakut dan tidak berani untuk mempertahankan anda, buat apa ingin anda jadikan calon suami. Sebagai bakal suami, lelaki haruslah berani kerana dia bakal menjadi pelindung dan harapan kepada isteri dan anak-anaknya nanti jika berlaku sesuatu perkara.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berbakat, berkarisma dan bercita-cita tinggi. Semua pakej lengkap yang ada pada Azura Mazaruddin. Anugerah yang ada tidak pernah disia-siakan malah terus digilap agar terus memancarkan gemerlapannya. Menyertai pertandingan rekaan fesyen Anugerah Jarum Berlian dan seterusnya memenangi pertandingan tersebut, Azura berjaya memecah dominasi kaum lelaki dalam bidang seni rekaan fesyen tanah air.
Siapa sangka dalam usia 19 tahun, Azura berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Nyata tahun 2003 telah membawa tuah kepada anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini. Sejak detik itu, bintang anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini terus berkelip terang dalam industri fesyen tempatan setanding dengan pereka-pereka senior yang sedia ada.
“Saya meminati bidang fesyen sejak alam persekolahan lagi. Meskipun saya tidak ada kemahiran menjahit namun saya amat berminat dalam mata pelajaran seni. Ketika di tingkatan lima, saya mengambil subjek pendidikan seni dan lulus dengan baik dalam subjek tersebut.
“Ketika memohon untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya memohon kursus dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen di peringkat Diploma. Usai menamatkan pengajian di peringkat diploma, saya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah pula. Ketika itulah saya menyertai pertandingan Anugerah Jarum Berlian dan memenangi pertandingan tersebut,” cerita Azura membuka lembaran bicara.
INGIN BEBAS BERKARYA
Oleh kerana kecintaan Azura dalam dunia rekaan fesyen selain ingin hidup berdikari, beliau sudah mula menerima tempahan pakaian daripada pelanggan sejak masih menuntut di UiTM. Pernah menaiki kenderaan awam untuk bertemu dengan pelanggan serta bergerak dari rumah ke rumah, Azura tekad untuk serius dalam bidang ini.
“Saya berjaya membeli kereta sendiri dengan wang simpanan hasil daripada tempahan-tempahan tersebut. Dengan adanya kereta sendiri, ia lebih ‘memanjangkan’ lagi langkah saya untuk berurusan dengan pihak pelanggan. Ketika itu saya masih lagi belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Pernah juga saya cuba untuk mereka pakaian korporat namun ia bukanlah ‘jiwa’ saya yang sebenar.
“Saya gemar berkarya maka saya lebih selesa menumpahkan idea dalam seni rekaan busana pengantin. Selepas setahun bergerak secara mobile akhirnya saya berjaya membuka butik dengan menyewa sebuah rumah. Alhamdulillah tidak lama kemudian saya berjaya membuka sebuah butik di Taman Melawati,” ungkap Azura sambil mengakui sudah lapan tahun beliau beroperasi di butik.
Dengan adanya butik, Azura punya lebih banyak kebebasan untuk melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan. Maka bermulalah jenama di bawah Azura Couture seperti Shellebelle dan juga Mazazitv.
Ditanya tentang resipi kejayaannya dalam mengusahakan bisnes, jawab Azura, sikap degil yang ada pada dirinya telah membuahkan hasil. Di sebalik kelembutan yang terpamer pada riak wajahnya, wanita ini ternyata seorang yang berani.
“Memang saya agak degil namun degil saya bertempat. Apa sahaja perkara yang ingin saya lakukan saya akan rujuk kepada ahli keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa saya terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan dalam apa jua perniagaan pasti ada persaingan. Walau bagaimanapun saya menganggap persaingan itu sebagai sesuatu yang sihat.
“Saya menjadikan pesaing-pesaing saya sebagai satu cabaran untuk mengukur sejauh mana tahap swadaya untuk bersaing. Bagi saya, jika mereka boleh melakukannya dengan baik, saya juga boleh berjaya seperti mereka. Saya mencabar diri saya untuk mencipta kejayaan seperti yang dicapai oleh pesaing-pesaing saya,” jelas Azura yang kini berusia 33 tahun.
Jelas Azura lagi, beliau banyak mengaplikasikan sikap jujur dalam soal menguruskan perniagaannya. Ia merangkumi semua aspek seperti membina kepercayaan dua hala antara dirinya dengan pelanggan.
“Ketika berurusan dengan para pelanggan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kepercayaan. Jika tidak, mana mungkin kita saling dapat bekerjasama dengan baik. Sikap telus perlu ada dan saya melayan setiap pelanggan sama rata.
“Saya selalu berpesan kepada staf bahawa servis dan layanan kepada pelanggan itu amatlah penting. Saya melatih staf saya untuk belajar cara-cara melayan pelanggan agar pelanggan berasa diri mereka selesa dan dihargai,” jelas Azura yang sering tampil dengan rekaan-rekaan yang elegan, kreatif dan tersendiri.
“Saya mencabar diri saya untuk mencipta kejayaan seperti yang dicapai oleh pesaing-pesaing saya,”
CEREWET KETIKA BEKERJA
Ibarat isi dengan kuku, begitulah akrabnya cabaran dalam dunia perniagaan. Bagi Azura, setiap tahun, cabaran datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Akui Azura, tahun 2017 lebih kepada cabaran daripada dunia sosial.
“Perkembangan dunia sosial yang berkembang dengan pesat menyebabkan rekaan kami mudah untuk diciplak memandangkan ia tersebar dengan cepat di dalam media sosial. Bohonglah jika tiada perasaan terkilan apabila rekaan saya diciplak. Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu rekaan kerana ia memerlukan daya konsentrasi yang tinggi.
“Selain itu antara cabaran lain yang perlu didepani oleh seorang pereka fesyen ialah apabila rekaan fesyen yang telah diciplak dijual dengan harga yang tidak munasabah. Namun saya percaya masyarakat hari ini bijak membezakan dari sudut harga dan juga kualiti. Kekemasan jahitan serta rekaan kami lebih teliti dan eksklusif,” tutur Azura yang menitikberatkan pemilihan fabrik yang bukan sahaja selesa untuk dipakai tetapi juga mudah digosok, selain tidak mudah berkedut.
Sikap cerewet yang ada pada diri Azura merupakan tunjang kekuatan dalam mengemudikan bisnesnya. Ia bagi memastikan setiap tugasan dilakukan mengikut landasan yang betul terutama daripada segi pengurusan perniagaan dan juga penghasilan rekaan fesyen.
“Fokus itu amat penting untuk mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi. Saya boleh bekerja sehari suntuk tanpa henti hanya untuk mendapatkan karya seni yang terbaik. Rekaan fesyen juga berbeza setiap tahun dan kami cuba hasilkan rekaan yang bersesuaian dengan pemakai.
“Selalunya rekaan yang dihasilkan mampu ‘dibawa’ dengan baik oleh pelanggan. Saya mahu pelanggan kelihatan cantik apabila memperagakan rekaan busana berlabelkan Azura Couture,” akhiri Azura yang sedang merancang membina laman web sendiri bagi memudahkan urusan jual beli agar ia lebih cepat dan efisien terutamanya untuk koleksi ready to wear dari Shellebelle.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai wanita hari ini memiliki rambut yang nipis, sehinggakan sukar untuk digayakan dan ia sememangnya mengecewakan. Ada juga yang hilang keyakinan diri sehingga membuatkan hari-hari dilalui kurang bermakna. Pelbagai faktor boleh dijadikan punca masalah rambut nipis berlaku. Sama ada membabitkan faktor genetik, perubahan cuaca atau sebagainya, ia adalah antara masalah paling besar dan digeruni wanita.
Cuba banyak cara
Bagi yang bertudung, ia mungkin boleh dijadikan jalan untuk menutup ‘kecacatan’ pada rambut memandangkan hijab menutup seluruh bahagian kepala. Namun, ia tidak mampu menyelesaikan masalah dihadapi.
Bagi yang berdepan masalah rambut nipis, banyak cara dicuba, antaranya mengikat rambut lalu dibiarkan semalaman dengan harapan rambut akan menebal dan kelihatan menawan selepas bangun daripada tidur.
Bagaimanapun, ia hanyalah sia-sia. Tanpa rawatan perubatan, rambut tidak akan menebal, sebaliknya boleh mendatangkan kesan buruk yang lebih serius.
Beri kesan buruk
Jika seseorang itu sering mengikat rambut dalam tempoh lama, banyak kesan buruk boleh terjadi, antaranya alopecia. Alopecia adalah masalah keguguran rambut paling ditakuti wanita sehingga boleh menyebabkan kepala seseorang itu botak.
“Mengikat rambut pada waktu malam misalnya, menjadikan ia kurang rehat dan menerima tekanan yang kuat akibat ikatan dalam tempoh lama.
“Rambut seharusnya dibiarkan terlerai supaya bebas daripada sebarang aktiviti dan dapat tumbuh subur pada waktu malam. Mandi menggunakan air panas secara kerap juga boleh menyebabkan rambut menipis dan terus gugur dengan tidak terkawal.
“Air panas boleh menyebabkan air dalam kulit kepala hilang, seterusnya menjadikan rambut kering dan rapuh.
“Akar rambut juga akan cepat rosak jika selalu terdedah kepada air panas ketika mandi. Oleh itu, elakkan mandi menggunakan air panas bagi menjadikan kulit kepala terus lembap.”
Amal diet bersesuaian
Mengamalkan diet yang salah juga mempengaruhi proses memperbaiki struktur rambut dan menjadikan tubuh kekurangan nutrien penting yang diperlukan sehari-hari.
“Antara nutrien penting yang diperlukan tubuh kita adalah protein. Jika ia berkurangan, tubuh akan mengambil protein yang ada pada rambut dan membuatkan ia tidak dapat tumbuh subur lalu menjadi nipis hari demi hari.
“Walaupun seseorang itu dalam program diet, mereka tetap perlu mematuhi keperluan nutrien setiap hari bagi mengelakkan komplikasi.
“Makanan yang kaya dengan protein seperti ikan dan kekacang mampu membantu mengekalkan rambut supaya terus tebal dan terhindar daripada masalah keguguran.”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!