Nak jadi suami bukanlah mudah! Banyak persediaan yang perlu lelaki lakukan sebelum bernikah. Ini kerana terdapat segelintir lelaki yang tidak bersedia sepenuhnya untuk berkahwin sebaliknya membiarkan diri mereka dikuasai oleh kehendak untuk segera menikmati keseronokan alam rumah tangga tanpa mengambil berat tentang peranan mereka sebagai suami.

Persediaan sebelum kahwin ternyata penting dimiliki oleh setiap lelaki agar mereka bersedia membimbing isteri dan anak-anak ke gerbang bahagia, selain memikul dan mejalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua keluarga dan pemimpin rumah tangga.

Ini ada enam persediaan paling penting untuk diperhatikan dan diusahakan oleh anak-anak muda sebelum menyahut gelaran sebagai seorang suami.

1. ADA TUJUAN & PERANCANGAN HIDUP

Penting bagi suami untuk memimpin keluarganya menuju ke sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan perkahwinan serta keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu, sebelum melangsungkan perkahwinan pastikan anda memiliki matlamat dan tujuan jelas yang mahu dicapai daripada perkahwinan ini agar ia dapat membantu anda memimpin dan memandu perkahwinan menuju ke matlamat yang dimahukan.

IKLAN

2. MILIKI ASAS KEKUATAN JIWA & KAWALAN DIRI

Kekuatan jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh seseorang yang boleh menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa yang paling mustahak untuk dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah kesabaran dan kawalan diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

3. MILIKI AKIDAH YANG SAH

IKLAN

Akidah yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang hamba dan Allah yang terjalin secara benar dan sah di sisi agama melalui petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Hal ini menjadi asas dan perkara yang paling penting dan utama dimiliki oleh setiap Muslim sebelum melakukan sebarang urusan keagamaan yang lain. Sebelum mendirikan rumah tangga seorang lelaki hendaklah berusaha membersihkan akidahnya daripada sebarang kesalahan dan kesilapan selain berusaha mengukuhkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah SWT menurut ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

4. MEMPUNYAI KESIHATAN YANG BAIK

Persediaan kesihatan sebelum bernikah bermaksud menjaga diri daripada penyakit, virus dan kuman berbahaya serta apa-apa yang boleh memudaratkan pihak isteri dan keluarga yang akan dibina. Anda juga perlu menjaga kesihatan seperti bersenam, menjaga pemakanan agar diri tetap sihat dan segar untuk pernikahan serta tidak menjadi beban kepada keluarga atau isterinya selepas bernikah.

IKLAN

5. ADA PEKERJAAN, PENDAPATAN & TEMPAT TINGGAL

Seorang bakal suami hendaklah memiliki pekerjaan dan pendapatan yang mampu untuk membiayai sara hidup dan kehidupan isterinya bersama keluarga sebelum mendirikan rumh tangga dengan cara bekerja atau berniaga. Tidak disyariatkan untuk memiliki rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah ia mampu melindungi keselamatan isteri dan auratnya serta dapat memberikan perlindungan dari hujan dan panas serta tidak memudaratkannya untuk menetap di dalamnya.

6. MEMILIKI KEMAHIRAN ASAS DALAM HIDUP

Antara kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran mendidik isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk para isteri dan anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan. Komunikasi boleh memberi kesan besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula boleh memberikan manfaat kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan boleh membantu keluarga apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.