
Memiliki pasangan yang menemai anda dari awal perjalanan anda sehingga ke hari ini adalah impian ramai orang, kerana orang yang setia menemani anda dari awal sdangat susah untuk dijumpai. Kebanyakan orang hanya akan hadir bila kita sudah ada segalanya yang ingin dicapai.
Namun sayangnya, ada beberapa individu memilih meninggalkan orang yang telah setia menemani dirinya dari awal berjuang demi seseorang yang lebih menarik pandangannya. Hal tersebut jelasnya adalah satu kebodohan, kerana meninggalkan seseorang yang telah lama kita kenal dengan kesetian dan berpaling pada orang yang selok-beloknya belum kita ketahui hanya kerana rupa paras atau harta.
Kesetian sangatlah mahal, apatah lagi disertai dengan sikap menerima apa adanya, kesetian pun akan tak ternilai harganya. Wajah yang rupawan belum tentu memiliki kesetian, tapi orang yang mendekati kesempurnaan ialah dia yang akan menemani anda dari awal.
Orang ini yang faham keadaan anda dan selalu ada sejak awal perkenalan anda dengannya. Jadi, untuk apa anda meninggalkan orang yang menemani anda sejak awal demi mencari yang lebih sempurna?

Ingatlah bahawa tidak semua orang sempurna, jangan hanya pandang seseorang hanya kerana paras rupa atau harta. Ia tidak menjamin kebahagiaan melainkan hati yang ikhlas. Semoga anda berjumpa dengan orang yang betul dan boleh membahagiakan anda!
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Ibu Ayah Janganlah Didik Anak Terlalu Kasar, Nanti Dewasa Mereka Akan Ingat Sampai Bila-Bila

Selalu kita dengar, bila nampak seseorang anak itu nakal kelakuannya, orang akan kata, “Haaa.. mak bapak dia tak ajar la tu. Apa nak jadi la budak tu. Dah besar nanti mesti jahat”. Agak keras bunyinya bukan? Bagaimana kalau anak itu adalah anak kita sendiri? Tentu sungguh meruntun jiwa. Kadang-kadang bukan kita tidak ajar anak kita, cuma anak itu terpengaruh dengan kawan-kawan yang lain. Apa salahnya datang hampir pada anak nakal itu dan berikan sedikit nasihat? Bimbang jika tiada siapa peduli, mereka akan jadi lebih teruk lagi.
Jadi apakah sepatutnya yang ibu-bapa lakukan? Mengambil serba sedikit dari sumber ini, mari kita lihat tips dan panduan mendidik anak,
4 TAHAP MENDIDIK ANAK MENGIKUT SUNNAH RASULLULLAH S.A.W

1) Umur anak-anak 0-6 tahun.
Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yg tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.
Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibubapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.
2) Umur anak-anak 7-14 tahun.
Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka.
Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.
Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibubapa samada ingin menjadikan mereka seorang muslim, yahudi, nasrani ataupun majusi.
3) Umur anak-anak 15- 21 tahun.
Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka.
Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka.Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan memandangkan semua kebahagian dan keseronokkan telah ada di rumah bersama keluarga.
4) Umur anak 21 tahun dan ke atas.
Fasa ini adalah masa ibubapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibubapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul.
Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah. Insha’Allah dengan segala displin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibubapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkahlaku yang baik seperti yang ibubapa inginkan.
Sesungguhnya anak, merupakan amanah..semoga kita semua dapat memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan bijaksana…
Lredit: Ustaz Ahmad Dusuki
Orang Cakap Kalau Bakal Isteri Taraf Pendidikan Level PHD, Wang Hantaran Cecah 30 Ribu?

Apa Beza Wang Hantaran dan Mas Kahwin?
Apa yang menjadi bebanan pasangan yang ingin berkahwin ketika ini adalah wang hantaran. Wang hantaran merupakan satu bentuk hadiah berupa wang tunai yang perlu dipersetujui oleh kedua pihak keluarga untuk majlis perkahwinan. Ia adalah tidak wajib dan tidak terdapat di dalam rukun nikah.
Tetapi pada zaman ini ia dianggap sesuatu yang wajib pihak lelaki perlu beri kepada pihak wanita dan jumlah tersebut ditetapkan oleh keluarga pihak perempuan.
Malah ada pulak trend menetapkan wang hantaran mengikut taraf pendidikan bermula RM2000 bagi UPSR dan PRM sehingga RM30,000 untuk kelulusan Ijazah Kedoktoran. Wang hantaran tidak kisah berapa asalkan ia tidak membebankan bagi pihak lelaki.
Sebaliknya Mas kahwin (mahar) merupakan pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri bagi tujuan pernikahan.
Dalam ayat empat Surah an-Nisa’, Allah SWT berfirman untuk menjelaskan bahawa mas kahwin itu sebagai pemberian yang wajib, dan supaya tidak ada perkahwinan secara percuma dalam kalangan pasangan Islam.
Di Malaysia, mas kahwin ditetapkan mengikut negeri kelahiran si isteri dan wang tersebut adalah milik isteri sepenuhnya.

Kenapa Wang Hantaran Perlu Tinggi?
Ada yang berpendapat wang hantaran bukan untuk membebankan tetapi ia adalah sebagai persiapan untuk mengadakan majlis bagi tujuan penghebahan pasangan tersebut.
Bayangkan menu catering paling murah masa kini ialah RM10.50 satu kepala. Sebagai contoh jemputan keluarga 1000 orang dan kos makanan sahaja mencecah lebih RM10,000. Itu belum termasuk kos sewa dewan, pelamin, baju, cenderahati dan sebagainya.
Tetapi adakah wajar kos kenduri pihak perempuan menggunakan wang hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki?
Selain itu, ada segelintir juga ibu bapa yang meletakkan nilai hantaran tinggi kerana ingin melihat persiapan bakal suami anak mereka dari segi kewangan sama ada kukuh untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga anak kesayangan mereka.
Melayari alam rumah tangga tidaklah indah setiap masa malah akan memburukkan keadaan apabila berkait dengan soal kewangan. Banyak kes dilaporkan rumah tangga runtuh dan berlaku keganasan rumah tangga kerana soal duit.
Dulang Hantaran Perlu Ke?
Selain dibebani dengan wang hantaran, pasangan juga akan dibebankan dengan barang hantaran yang kebiasaannya akan diberi ketika majlis pertunangan dan pernikahan.
Kalau zaman dahulu barang hantaran ini terdiri daripada manisan, makanan, kuih-muih, tetapi zaman sekarang ini semua barang adalah berjenama. Antara barang yang sering diberi ialah pakaian, set wangian, set alatan solek, telefon bimbit, kasut dan bermacam lagi.
Kalau mengikut adat dulang hantaran mestilah diberi mengikut angka ganjil. Paling sedikit
3 dulang (pihak lelaki) berbalas 5 (pihak perempuan), 5 dulang berbalas 7, 7 dulang berbalas 9 , 9 dulang berbalas 11.
Untuk barang hantaran sahaja kebiasaannya pasangan pengantin akan berhabis sehingga ribuan ringgit. Itu tidak termasuk dulang hantaran yang perlu digubah. Kos bagi gubahan hantaran pula bermula dari RM50 hinggalah ratusan ringgit bergantung kepada gubahan yang diinginkan.
Pembaziran Di Dalam Perkahwinan
Jika kita melebihkan adat daripada perkara wajib di dalam sesuatu perkahwinan, sudah pasti kita akan rasa terbeban. Ini kerana zaman sekarang kebayakkannya diadakan menggunakan kos yang besar dan mendatangkan pembaziran.
Malah perkara yang tidak sepatutnya pun kita ada-adakan kononnya untuk melihat sesuatu majlis perkahwinan itu indah. Secara tidak langsung perkara ini boleh membuatkan kita riak dan jatuh hukum berdosa.
Sedangkan perkahwinan merupakan satu ibadat dalam agama Islam di mana matlamatnya adalah untuk membina sebuah institusi keluarga yang bahagia.
Seharusnya proses untuk membina kehidupan bahagia itu perlulah mengikut cara yang betul agar diberkati dengan melakukan secara sederhana, tidak membebankan, tiada unsur pembaziran, tiada perasaan riak untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
Suami Miskin Tak Apa Tapi Janji Dia Rajin Dan Membahagiakan Isteri

Membina rumah tangga tidak semudah membina rumah.
Siapa yang mahu hidup sengsara setelah berumah tangga? Semua orang mahu bahagia dan hidup senang lenang dengan orang yang mereka sayang tetapi takdir Allah tidak seperti yang kita rancang.
Apa yang kita tidak mahu, itulah yang kita dapat. Mahu tidak mahu, harus reda dan harungi kepayahan itu walaupun hidup sengsara dan terseksa. Ingat satu perkara, Allah sedang menguji hambaNya yang tabah.
Inilah mukadimah catatan saya minggu ini. Kisah seorang isteri yang nekad menuntut cerai kerana tidak larat lagi menanggung suami yang malas dan tidak bekerja.
Ini kisahnya.
“Nama saya Yatie (bukan nama sebenar). Saya berusia awal 30-an, dikurniakan dua orang anak perempuan berusia enam dan tiga tahun, hasil pernikahan dengan seorang lelaki yang saya kenal di alam maya.
“Saya bekerja di sebuah bank di pinggir bandar raya. Sebelum kahwin, hubungan kami mendapat restu keluarga kedua-dua pihak walaupun saya tidak tahu apa pekerjaan suami yang sebenar. Katanya, dia jual insurans.
“Kami berkawan hampir dua tahun. Saya langsung tidak tahu dia kerja apa, sebab pada saya, dia tidak pernah berbohong sepanjang kami berkawan. Silap saya juga tidak siasat betul-betul latar belakangnya.
“Setelah bernikah, baru rahsianya terbongkar. Rupa-rupanya dia tidak ada kerja tetap. Saya bertahan dan tidak menunjukkan rasa marah kerana saya yakin satu hari, dia akan berubah dan berusaha mencari kerja tetap untuk menyara saya dan anak-anak.
“Saya berdoa agar dia akan berubah demi rumah tangga kami. Sekurang-kurangnya, carilah apa sahaja kerja, asalkan halal. Dua tahun berlalu tanpa ada sebarang perubahan.
“Saya terus terbeban dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga. Sewa rumah, kereta dan bayaran nurseri, saya yang tanggung. Dia rileks sahaja di rumah…, makan, tengok TV, tidur.
“Selama dua tahun itulah juga hidup saya terumbang-ambing. Keluarga mula menyisihkan saya dan anak. Mentua turut pandang sinis. Anak-anak membesar dalam suasana yang tidak selesa, sebab ayah tidak bekerja.
“Saya pula terpaksa bekerja keras untuk mencari duit bagi menampung hidup kami. Penat saya dibuatnya. Ketika usia anak menjejak dua tahun, saya mengandung lagi. Suami tetap tidak bekerja. Bayangkan dalam pantang, semua buat sendiri. Harapkan dia, tak makanlah saya.
“Saya mula risau. Anak kedua bakal lahir tetapi suami buat tidak tahu. Saya umpama menanggung biawak hidup di dalam rumah. Kerja suami…, tidur, makan…, tidur, makan. Sedangkan saya ke hulu ke hilir, urus anak-anak.
“Tanggungjawab tidak ditunaikan. Saya suruh cari kerja, dia mengamuk. Yang dia tahu minta duit. Memang hidup perlukan duit. Tapi gaji saya cukup untuk tanggung saya dan anak kami, di samping bayar ansuran kereta, sewa rumah dan upah orang jaga anak.
“Setiap bulan setelah ditolak semua itu, lebihan duit cukup-cukup untuk minyak, tol pergi kerja dan makan. Suami terus minta duit setiap hari. Saya cadang jual burger, dia kata sudah ramai orang jual. Semua cadangan saya, dia tak terima.
“Bila saya tidak bagi, dia mengamuk dan memukul saya. Bukan sekali dua, tapi banyak kali. Akhirnya saya laporkan kepada pihak berkuasa kerana dia mengancam nyawa saya. Dia didapati bersalah kerana memukul saya dan mengancam keselamatan kami anak beranak dan dipenjara setahun.
“Saya terus hidup dalam kepayahan. Saya nekad akan menuntut cerai. Bukan sebab saya tidak sayangkan suami tetapi saya tidak mahu masa depan anak-anak saya menjadi gelap dan tidak ada arah.
“Setelah mendapatkan nasihat peguam dan pejabat agama, saya failkan tuntutan cerai. Saya sedih terpaksa buat keputusan nekad ini tetapi pada saya, ia lebih baik untuk masa depan saya dan anak-anak kami. Biar tidak ada suami daripada ada tapi menyusahkan.
“Saya tahu suami tidak akan berubah kerana apabila keluar nanti, dia akan kembali kepada perangai lamanya. Sudah lama saya bersabar. Dia macam itu juga. Baran tak menentu. Malah kadang kala saya takut tinggal bersamanya dalam rumah.
“Mungkin ramai yang kata saya kejam tetapi saya harus fikirkan masa depan saya dan anak-anak. Orang hanya tahu bercakap, saya yang menanggungnya. Sebelum terlambat dan keadaan menjadi lebih teruk, saya perlu buat keputusan. Saya tidak boleh harapkan sesiapa lagi kerana keluarga juga tidak mahu ambil tahu.
“Saya perlu teruskan hidup sebab anak-anak perlukan saya. Saya mahu tutup buku lama dan buka buku baharu, nak lupa semua masalah sebelum ini. Nak bahagia dengan cara saya sendiri
“Nasihat saya kepada wanita di luar sana, berhati-hati apabila mencari suami terutama yang dikenali di alam maya. Baik siasat dahulu latar belakang, asal usul, pekerjaan dan sebagainya.
“Jangan jadi seperti saya, menyesal kemudian sudah tidak berguna. Cinta jadikan saya buta hati, terus terima tanpa usul periksa. Akhirnya inilah harga yang perlu saya bayar kerana terlalu ikut kata hati. Bagaimanapun saya anggap ini sebagai ujian untuk saya.
“Semoga Allah permudahkan urusan hidup saya dan lindungi saya dan anak-anak di dunia dan akhirat. Saya tetap sayangkan suami tetapi saya lebih sayangkan masa depan anak-anak.
“Kepada Allah, saya panjatkan doa. Semoga Allah bagi saya ruang untuk bahagia bersama anak-anak saya. Saya tidak akan pisahkan anak-anak dari ayah mereka. Jika jodoh kami masih kuat, Insya-Allah, Dia akan tunjukkan jalan,” kata Yatie menamatkan ceritanya.
Begitulah ragam rumah tangga. Ada bahagia dan ada yang derita. Semuanya kehendak Allah, dan saya rasa Yatie telah membuat satu keputusan yang bijak untuk masa depan dia dan anak-anaknya.
Pesan saya buat Yatie, jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Kuatkan semangat dan reda dengan keputusan yang telah dibuat. Saya sangat kagum dengan keberanian Yatie.
Menamatkan catatan pesanan saya, bahagia akan wujud apabila kedua-dua pihak suami dan isteri saling lengkap melengkapi dan mengisi ruang yang ada dalam diri untuk istiqomah. Kesetiaan dan kasih sayang akan bertahan bila kita saling memberi dan menerima.