Bila kita bertemu dengan jodoh yang terbaik, pastinya kita meletakkan harapan untuk hidup bahagia sehingga ke Jannah. Namun soal jodoh dan maut adalah perancangan Allah SWT. Biarlah sebahagia mana pun kita di dunia, perpisahan itu pasti akan terjadi.

 

Dalam satu persoalan yang dikemukakan kepada Ustaz Abdul Rahman Iskandar, ia adalah mengenai pertemuan semula suami dan isteri di akhirat. Ini jawapan padu Ustaz.

 

Soalan : Ustaz.. Apakah benar seseorang yang sudah bernikah di dunia akan kembali bertemu isteri atau suaminya kelak di akhirat? Juga apakah benar seorang wanita akan bersama dengan suaminya yang terakhir di syurga nanti?

Untuk menjawab pertanyaan ini, Allah SWT telah menjawab dengan firmanNya yang bermaksud :

“Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh, baik laki-laki mahupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (QS. Al-Mu’min : 40)

“(iaitu) Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya…” (QS. Ar-Ra’d: 23).

Demikianlah orang-orang mukmin hidup di syurga bersama dengan pasangannya. Dan seluruh penduduk syurga akan hidup bersama suami atau isteri mereka dan tidak ada satu pun yang membujang (tidak menikah). Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Dan di dalam syurga tidak ada orang yang membujang (tidak menikah).” (HR Muslim, 5062).

Sungguh sangat beruntung bagi laki-laki soleh yang dikehendaki Allah SWT menjadi penghuni syurga. Bagi mereka disediakan bidadari-bidadari yang belum disentuh oleh sesiapapun. Bidadari-bidadari yang tidak terbayangkan kecantikannya. Dan dengan izin Allah – ia pun akan bertemu kembali dengan isterinya yang solehah di dunia.

Lalu ada pertanyaan, “Jika laki-laki di syurga mendapatkan bidadari, lalu apakah yang diperolehi oleh wanita?”. “Apakah ada bidadara syurga?”

Lebih jauh lagi, “Benarkah seorang isteri akan berjumpa lagi dengan suaminya di dunia? Bagaimana jika seorang wanita menikah lagi setelah suami pertamanya meninggal dunia, apakah wanita itu kelak di akhirat akan menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir?”

Keadaan wanita di dunia ada enam:
1. Meninggal sebelum nikah.
2. Ditalak suami pertama dan tidak nikah lagi sampai meninggal.
3. Nikah dengan lelaki yang bukan ahli syurga. Misalnya, suaminya murtad atau melakukan kesyirikan.
4. Meninggal lebih dahulu sebelum suaminya.
5. Ditinggal mati suaminya dan tidak menikah lagi sampai meninggal.
6. Ditalak atau ditinggal mati suaminya, kemudian menikah dengan lelaki lain.

Untuk menjelaskan keadaan-keadaan di atas, saya kutip penjelasan yang disampaikan oleh Syeikh Utsaimin :

1. Apabila wanita tersebut meninggal sebelum menikah, maka di syurga kelak Allah swt akan menikahkan wanita tersebut dengan seorang laki dari penduduk bumi berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

Dari Muhammad berkata: “Apakah mereka saling berbangga atau saling mengingatkan : kaum lelaki di syurga lebih banyak atau wanita? Maka Abu Hurairah berkata : Bukankah Abul Qasim s.a.w bersabda : “Sesungguhnya kelompok pertama yang masuk syurga menyerupai bentuk bulan purnama, kemudian yang berikutnya secerah cahaya bintang di langit, setiap orang di sana memiliki dua orang isteri, di mana dia dapat melihat sumsum mereka dari balik dagingnya. Dan di syurga tidak ada yang bujang” (HR Muslim No. 5062).

Syeikh Utsaimin berkata: “Apabila wanita tersebut belum pernah menikah di dunia maka Allah akan menikahkannya dengan laki-laki yang disukainya di syurga. Kerana kenikmatan di syurga tidak hanya terbatas untuk kaum lelaki saja, namun juga untuk kaum lelaki dan wanita, di mana yang termasuk kenikmatan : adalah menikah.

2. Keadaan no satu di atas juga berlaku bagi wanita yang meninggal namun bercerai.

IKLAN

3. Keadaan no satu di atas berlaku pula bagi wanita yang suaminya bukan termasuk penghuni syurga.

Syaikh Utsaimin berkata: “Apabila wanita tersebut termasuk ahli syurga dan belum menikah, atau suaminya bukan termasuk ahli syurga, jika dia masuk syurga, maka di syurga ada kaum lelaki-laki yang belum menikah sebelumnya, maka dia menikah dengan salah satu wanita tersebut.

4. Adapun wanita yang meninggal setelah menikah, dia termasuk ahli syurga, maka dia menikah dengan mantan suaminya di dunia.

5. Adapun wanita yang suaminya meninggal lalu dia tidak menikah lagi setelah itu sampai dia meninggal maka wanita itu menjadi isterinya di syurga.

6. Adapun wanita yang suaminya meninggal lalu dia menikah lagi sesudahnya maka wanita tadi menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir meskipun wanita tadi sudah berkali-kali menikah, maka sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. :

Dari Maimun bin Mihran berkata : Mu’awiyah r.a. melamar isteri Abu Darda’, namun dia tidak menerimanya dan berkata: Aku mendengar Abu Darda’ berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : “Wanita bersama suaminya yang terakhir,” dia berkata: dan aku tidak ingin pengganti untuk Abu Darda’ (Hadits sahih dikeluarkan oleh Abu Ali Al-Harrani Al-Qusyairi dalam Tarikhul Riqqah (2/39/3)).

Juga berdasarkan perkataan Hudzaifah ra kepada isterinya:

Dari Hudzaifah ra berkata kepada isterinya: “Jika kamu ingin menjadi isteriku di syurga maka jangan menikah lagi sesudah ku : kerana wanita di syurga bersama suaminya yang terakhir di dunia oleh kerana itu Allah mengharamkan kepada isteri-isteri Nabi untuk menikah lagi sesudahnya kerana mereka adalah isteri-isteri Beliau di syurga,” (dikeluarkan oleh Al Baihaqi dalam Sunannya (7/69-70)).

Persoalan lagi : Jika suamiku di syurga adalah suami terakhir ku di dunia, bagaimana jika aku nikah lagi namun aku ingin bersama dengan suamiku yang pertama kerana aku sangat mencintainya..?”

Syeikh Muhammad Ali Firkaus hafizhahullah, beliau ditanya oleh seorang wanita: “Setelah masa iddah-ku selesai disebabkan kerana suamiku meninggal, ada beberapa orang yang datang melamarku, dan aku enggan menikah agar aku menjadi isteri bagi suami pertamaku yang telah meninggal, yang ketika aku bersamanya kami memiliki 3 orang anak.

IKLAN

Alasanku dalam hal ini adalah sabda Rasulullah s.a.w. :

“Seorang wanita itu bersama suami terakhirnya.”

Dan telah dipraktikkan pula oleh Ummu Darda’ r.ha., apakah aku berdosa jika aku menolak untuk menerima pinangan orang yang telah diredhai agama dan akhlaknya?

Beliau menjawab :

Seorang wanita jika berada di bawah bimbingan seorang suami yang soleh lalu suaminya meninggal dan si isteri terus berstatus sebagai janda setelahnya dan tidak menikah, Allah akan mengumpulkan keduanya di dalam syurga dan jika dia memiliki beberapa suami di dunia, maka dia di dalam syurga bersama suami terakhirnya jika mereka setara dalam akhlak dan kesolehannya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :

“Seorang wanita bersama suami terakhirnya.”
(Dikeluarkan Ath-Thabrani dalam “Al-mu’jam Al-Ausath” (3/275), dari hadits Abu Darda’ radhiallahu anhu)

Seorang wanita jika membimbangi atas dirinya fitnah atau dia tidak punya kemampuan untuk sendirian dalam mengurus dirinya dan keperluan anak-anaknya baik dari sisi nafkahnya, pendidikannya, maka jika ada seorang lelaki yang datang melamarnya yang telah diredhai agama serta akhlaknya dan lelaki ini punya kemampuan untuk memenuhi berbagai keperluannya serta nafkah untuk anak-anaknya, maka tidak sewajarnya wanita tersebut menolaknya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

“Jika ada orang yang datang kepadamu lelaki yang telah engkau senangi agama dan akhlaknya maka nikahilah dia.”
(HR.Tirmidzi no. 1108, Baihaqi no. 13863)

Dan juga mengamalkan kaedah Usul Fiqh yang berbunyi :

IKLAN

“Menolak kerosakan lebih didahulukan daripada mendatangkan maslahat.”

Jika suami kedua itu setara dengan suami pertamanya yang telah meninggal dalam hal akhlak dan kesolehannya, maka dia (wanita tersebut) bersama yang paling terakhir dari kedua-duanya, namun jika tidak setara maka dia memilih yang paling baik kesolehan dan akhlaknya.

Boleh juga dijadikan sebagai dalil dari keumuman firman Allah swt yang bermaksud :

“Di dalamnya (syurga) apa saja yang disenangi oleh jiwa.” (QS.Az-Zukhruf: 71)

Maka dia diberi pilihan sehingga dia pun memilih yang dia sukai akhlak dan kesolehannya, sebagaimana faedah yang juga dipetik dari firman-Nya yang bermaksud :

“Mereka bersama dengan isteri-isteri mereka di bawah naungan (syurga).” (QS.Yasin: 56)

Di mana seorang wanita bersama dengan yang paling mendekatinya dalam hal agama, akhlak, watak, disebabkan pernikahan yang melahirkan perasaan cinta dan kasih sayang, saling akrab dan saling mencintai.

Demikian pula seorang wanita yang masih hidup bujang dan meninggal dalam keadaan belum sempat menikah, maka dia diberi pilihan sehingga dia memilih siapa yang dia sukai yang lebih mirip dengannya dalam hal tabiat dan akhlak, lalu Allah swt mewujudkan apa yang menjadi permintaannya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

“Tidak ada bujang di dalam syurga.” (HR. Muslim, dan Ahmad dari hadits Abu Hurairah r.a.)

Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Apapun ketetapan dari Allah subhanahu wa ta’ala adalah sebaik-baik ketetapan dari-Nya. Dan tidaklah kita patut mempertanyakannya…

Allah SWT berfirman maksudnya :
“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah: 216)

Semoga hal ini dapat menjadi motivasi kita untuk meningkatkan ketaatan kita kepada Allah SWT, berbuat baik dan beramal soleh, senantiasa istiqamah dan berada pada jalur fastabiqul khairat untuk menggapai syurga…

Wallahua’lam.

Ust Abdul Rahman Iskandar 

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI