Kena ingatkan banyak kali, jangan impikan isteri sempurna dalam perkahwinan. Berharap isteri cantik setiap hari, teratur kemas segala benda, dan semua terhidang tepat pada waktunya. Ini kena betulkan.
Nak tahu lebih jelas situasi seorang wanita bergelar isteri, jemput baca perkogsian Puan Farhanah Ibrahim ini. Pasti anda lebih memahami tentang sebuah perkahwinan.
Jangan Impikan Isteri Sempurna
Ya, masa awal nikah, rumah sentiasa kemas, bilik tidur wangi, cadar katil simetri, bantal pun susun selari, bantal peluk betul-betul centre kat tengah katil.
Tak ada satu sampah pun atas lantai. Pintu almari tertutup rapi. Langsir dihias seimbang kanan dan kiri. Tingkap licin tak ada sebutir kotoran. Bawah bantal tersedia daun pandan. Fuh, harumnya bau wangi-wangian!
Isteri pun mekap comel-comel, tangan kaki berinai. Buku lali ada gelang loceng bunyi ting ting ting. Pakai pula baju seksi. Rambut letak bunga-bungaan. Perfume sampai 15 jenis. Mata kening terkebil-kebil nak goda suami. Excitedlah toklaki. Nak keluar gi mengail pun tak jadi.
Bila Sudah Bertahun Kahwin, Ini Jadinya
Tetapi bila sudah 6 tahun nikah, semua dah berubah. Hilang sudah kecantikan si isteri.
Dah tak wangi, jarang pakai baju seksi. Atas kepala dah tak ada bunga-bungaan menghiasi. Rumah pun dah start bersepah.
Bawah bantal dah takda daun pandan, yang ada taik kucing (gurau). Ustaz kata, sebab tulah suami malas nak balik rumah. Sebab isteri dah tak pandai jaga suami. Pergi main badminton, pergi mengail, pergi main dam 3-4jam layan kawan-kawan lelaki lagi seronok.
Cuba kalau isteri buat macam malam pertama. Comel, seksi, wangi, pastu menari pulak. Fuh, kompom suami tak gi keluar dah. Melekat saja di rumah.
Semua Harap Isteri Buat
Bukanlah niat nak membela wanita. Cuma takut ramai lelaki salah faham, terutama yang belum nikah. Risau para lelaki semua masuk ke gerbang perkahwinan hanya harapkan kepuasan nafsu semata. Saya juga risau lelaki-lelaki berkahwin dengan mindset:
“Balik keja isteri kena tunggu depan pintu, siapkan air teh panas untuk aku.”
“Isteri kena layan nafsu aku setiap hari.”
Ads
“Senanglah lepas kawin nanti, dah tak payah susah-susah basuh baju, sidai kain, lipat baju. Uniform kerja pun ada orang gosokkan setiap malam, bolehlah bangun lewat sikit.”
“Untunglah lepas kawin nanti, hari-hari ada isteri masakkan. Bangun pagi pun breakfast dah tersedia, tak adalah kena makan mamak dah pepagi.”
“Bestnya lepas kawin, ada orang kemaskan rumah, lepas makan pun takyah basuh pinggan dah, isteri buat semua.”
Seolah-olah pernikahan itu satu #KESENANGAN untuk lelaki tapi #KESUSAHAN untuk wanita.
KEUNTUNGAN untuk lelaki tapi BEBANAN untuk wanita.
Sedangkan si isteri kat rumah hari-hari macam medan perang. Dari celik mata sampai pejam mata semua benda dia urus seorang.
Kahwin Seminggu Tak Sama Kahwin Bertahun
Mungkin situasi lepas 6 tahun kawin dah tak sama macam 6 hari pertama lepas kawin. Lepas 6 tahun kawin, anak dah berderet ustaz, 4 orang rapat-rapat, selang 1-2 tahun sorang. Berdua-duaan dengan suami TAK SAMA DAN TAK AKAN SAMA dengan hidup dengan anak-anak kecik yang perlu diuruskan.
Anak yang 5 tahun & 3 tahun biasanya juara berkreativiti (baca: sepahkan rumah). Jadi selalunya baru kemas rumah tak sampai 5 minit dah sepah semula, itu biasa. Baru habis mengemop dah ada yang terbabas kencing atas lantai, itu biasa.
Anak yang 2 tahun dan 2 bulan pula masih menyusu badan. Mungkin kain baju yang berbasuh tak sempat nak sidai, yang dah kering belum sempat nak lipat. Sebab selang 1-2 jam, si kecil 2 orang tu nak menyusu tandem kanan dan kiri.
Ads
Mungkin juga dapur tak sebersih dulu, lantai tak sekilat dulu. Yelah, baru nak kemas, empat-empat anak meraung berebut perhatian si ummi.
Baru nak sinsing lengan basuh pinggan, yang sulung terkencing pulak dalam seluar, yang kedua terberak, yang ketiga main kasar dengan adik, yang baby dah menangis sebab sakit.
Sungguh tak sama, dah nikah 6 tahun dengan baru nikah 6 hari. Mandi pun kadang ala kadar, apatah lagi nak berseksi-seksi berwangi-wangi. Badan pun cuma mampu pakai “perfume” natural bau susu masam setiap hari.
Anak bangun menyusu gilir-gilir sepanjang malam, kadang terlalu exhausted sampai tak terlayan kehendak suami.
Merancang Keluarga Pun Kelaut
Nak ambil perancang, suami pula tak bagi. Kata cik abang, dapat baby tu kan rezeki. Lebih sadis kalau ditambah dengan BABY TUA yang bernama suami, tapi tak pandai urus diri sendiri, dan tak pula ringan tulang bantu isteri.
Suami hanya tahu bila balik kerja, rumah kena tiptop. Makanan terhidang atas meja. Anak-anak bersih dan wangi. Kain baju dah siap basuh dan berlipat rapi. Baju untuk esok dah siap gosok hari ini. Nak tolong basuh pinggan? Hello, tu tugas isteri.
Nak sidai kain kat luar? Eh, kang jiran kata aku kena queen control nanti. Nak basuh berak anak? Sori aku geli. Nak vacuum dan mop rumah? Jatuhlah maruahku sebagai suami.
Nak lipat kain? Uii dayuslah aku macam ni. Jika begini, janganlah harapkan layanan 5 star dari isteri.
Kalau suami langsung tak bother nak bantu uruskan anak & rumahtangga sekali. Isteri itu pun manusia biasa. Bukan robot, bukan malaikat. Dia punya perasaan. Dia juga keletihan.
Ads
Sedangkan Nabi pun uruskan dirinya sendiri, jahit baju sendiri, repair kasutnya sendiri, ringan tulang bantu isteri, angkatkan air dan perahkan sendiri susu kambing untuk santapan keluarganya.
Nabi sangat berlembut terhadap isteri, jaga hati isteri, tak pernah tinggi suara apatah lagi maki hamun isteri.
Dengan akhlak suami yang begitu mulia persis sang Nabi, selayaknyalah Nabi sebut, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami.”‘
Suami sebegini memang layak dapat penghormatan dari isteri, bukan saja sebab suami tu bagi nafkah kat isteri, bukan saja sebab kedudukan (dan tanggungjawab) suami lebih tinggi, tapi juga sebab suami tu sendiri sangat muliakan isteri.
Tapi sayang, hadith ini selalu disalahguna nak agungkan kedudukan lelaki sampai boleh buat isteri macam #hamba, kerah isteri macam #bibik sampai takda sikit pun tenaga yang tersisa.
Ramai sangat isteri yang berkorban sampai TERKORBAN.
Terkorban kesihatan fizikal.
Terkorban kewarasan mental sampai depresi.
Terkorban kecantikan dan pengurusan diri.
Terkorban ketenangan emosi.
Terkorban amal ibadah fardhu.
Hanya nak ajak sama-sama bermuhasabah. Bahawa perkahwinan memang SUSAH DAN BERAT bagi seorang isteri, TAPI JAUH LEBIH BERAT bagi seorang lelaki bergelar suami. Suatu TANGGUNGJAWAB BESAR yang menambah beban buat suami, bukan tempat membuang beban ke bahu isteri.
Hebatnya Isteri!
Bukan berniat nak lebihkan wanita berbanding lelaki. Hanya reflection terutama untuk diri sendiri. Ramai suami-suami hebat yang tak kekok buat kerja rumah, tak kisah tukar lampin anak, ringan tulang lipat kain kemas rumah, walau di celah-celah kesibukan mencari nafkah, walau saban malam sibuk dengan urusan dakwah tarbiyah. Anda semua suami mithali, moga Allah berkati hidup tuan-tuan.
Dan tabik spring juga untuk isteri yang banyak handle urusan anak-anak dan rumah sendiri, tanpa rehat, tanpa cuti.
Tetapi jangan lupa tentang kesihatan fizikal dan mental, berhenti bila penat dan buat setakat mana tubuh badan mampu.
Owh ya, jangan lupa berterima kasih buat encik suami yang mengemudi keluarga penuh santun.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi wanita yang memilih untuk berada di samping lelaki berusia, lebih dewasa dan berpengalaman pastinya merupakan momen yang menyenangkan. Kajian mendapati lelaki berusia merupakan lelaki yang sempurna dan memiliki banyak keistimewaan sehingga membuatkan wanita mudah tergoda dan jatuh cinta dengan mereka.
Faktor berikut menjadi sebab mengapa lelaki berusia merupakan sahabat juga pasangan terbaik buat wanita.
1. PENYABAR
Ramai mengatakan lelaki yang lebih berusia daripada pasangannya adalah seorang yang penyabar. Sedar atau tidak, lelaki yang matang memiliki peribadi yang lebih tenang dan lebih menghargai orang di sekitarnya. Mereka juga akan berusaha untuk mengalah demi kebaikan dirinya mahupun kebaikan pasangan.
2. SEKSI & MENAWAN
Wanita melihat lelaki yang lebih berusia sebagai seorang yang seksi dan menawan. Selain memiliki fizikal yang gagah, lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun merupakan lelaki yang jelas akan tujuan hidupnya, punya pekerjaan yang lebih terjamin serta stabil kewangannya.
3. ADA BANYAK PENGALAMAN
Faktor usia yang sudah matang membuatkan lelaki mampu melakukan hal-hal terbaik untuk dirinya sendiri ataupun orang lain. Dia juga telah banyak belajar daripada kesalahannya di masa muda sehingga dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Malah dia juga menjadi seorang yang lebih berhati-hati dan akan berfikir dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan.
4. PENUH RASA HORMAT
Lelaki yang berusia dan matang ialah lelaki yang sentiasa memperlakukan pasangannya atau orang di sekitarnya dengan penuh rasa hormat. Lelaki ini akan berusaha menunjukkan sikap terbaik pasangan kepada rakan kerja, teman dan juga keluarga. Selain menunjukkan rasa hormat, dia juga sentiasa menjadi pendamping yang menyenangkan, menyayangi dengan penuh kasih dan sentiasa berlaku dewasa.
5. TEGAS & DISIPLIN
Tegas dan disiplin merupakan sifat bawaan daripada setiap lelaki yang sudah matang. Tidak suka pada suatu yang remeh, selesa dengan dirinya sendiri dan sentiasa berusaha untuk membuatkan orang yang disayangi rasa selesa serta dihargai.
* Waau bagaimanapun, tidak semua lelaki berusia daripada pasangan adalah yang terbaik dan bersifat dewasa. Masih ramai lelaki muda yang turut memiliki pemikiran dewasa dan matang. Hal ini bergantung pada corak pemikiran serta pengaruh persekitaran terhadap dirinya sendiri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
PERASAN atau tidak, kad undangan perkahwinan yang kita terima selalunya bukan sahaja cantik, tetapi ada juga yang mengandungi perkataan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi.
Apabila undangan walimah sudah dipenuhi, kadangkala kita akan buang kad berkenaan.
Barangkali ada yang gemar menyimpan kad kahwin unik, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian.
Dalam kes kad kahwin yang mengandungi kalimah ALLAH, bagaimana kaedah terbaik untuk melupuskannya?
Asalnya, pelupusan al-Quran yang terkena banjir, koyak ataupun berlaku perkara-perkara yang tidak boleh lagi dibaiki lagi pada al-Quran itu, maka para ulama terbahagi kepada dua pandangan.
Mazhab Hanafi dan Hanbali menyatakan, hendaklah ditanam, manakala Mazhab Syafie dan Maliki pula menyatakan, hendaklah dibakar.
Hukum itu berdasarkan kepada tindakan Amirul Mukminin Saidina Uthman bin Affan RA.
Ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf, beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya.
Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat RA.
Imam Ibn Battal mengatakan bahawa perintah Uthman RA supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama-nama ALLAH SWT boleh dibakar dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya daripada dipijak oleh kaki-kaki manusia dan memeliharanya daripada dibuang di atas tanah.
Pendapat Imam Ibnu Battal itu juga terpakai kepada apa-apa sahaja risalah atau kertas yang tertulis kalimah ALLAH SWT.
Ia hendaklah dibakar atau boleh juga ditanam mengikut sebahagian pandangan ulama yang lain.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du'at (Murshid), pendakwah dan penulis.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apa hukumnya sesetengah AJK dan orang ramai mengambil banyak-banyak dan bawa balik makanan yang disedekahkan orang untuk Jemaah masjid, dan menafikan hak orang yang datang kemudian?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Dalam masyarakat kita, seringkali kita lihat fenomena memberi sedekah dengan meletakkan barang sedekah itu di masjid atau surau. Budaya baik ini telah memberikan manfaat yang banyak kepada orang ramai. Antara barang yang sering disedekah orang ialah barang makanan. Pemberi sedekah akan meletakkan barang sedekahnya itu di sudut masjid dan memaklumkan niat sedekahnya kepada ahli-ahli jawatankuasa masjid. Umum mengetahui bahawa orang fakir dan miskin adalah layah untuk menerima sedekah seperti mana firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin,”
(Surah al-Taubah: 90)
Adapun bagi orang kaya, atau orang yang tidak memiliki keperluan mengambil sedekah sunat itu, maka kami telah menjawabnya dalam Al-Kafi #1397 : Hukum Memberi Sedekah Kepada Orang Kaya. Kesimpulannya, diharuskan mereka mengambilnya jika mereka tidak meminta-minta atau berebut-rebut mendapatkannya. Ertinya, jika mereka mengambil sedekah maka sedekah itu menjadi haknya untuk dimakan. Ini dikuatkan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
Maksudnya: “Setiap orang yang mendahului pada perkara-perkara harus, maka dia yang paling berhak terhadap perkara tersebut”
Rujuk al-Bayan fi al-Mazhab al-Syafie (7/508)
Sheikh Abdul Muhsin al-Zamil Hafizahullah mengatakan: “Kaedah ini meliputi banyak perkara…antaranya ialah yang mendahului orang lain di tempat-tempat awam” Rujuk Syarah Qawaid as-Sa’diyyah (1/179-180)
Kaedah ini diasaskan daripada hadis-hadis yang semakna dengannya seperti juga hadis yang diriwayatkan oleh Asmar bin Mudharris RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendahului pada perkara-perkara yang tidak didahului oleh orang Islam yang lain, maka dia berhak untuknya”
Riwayat al-Baihaqi (11779) dalam Sunan al-Kubra
Para ulama Syafieyyah meletakkan hadis ini dalam bab ihya’ al-mawat (menghidupkan tanah), hak penggunaan air, hak mengambil barang dan anak pungut dan lain-lain. Kami juga telah membahaskannya dalam Bayan Linnas Siri Ke-180: Fiqh Jalan Raya Sempena Hari Raya berkenaan isu memotong trafik dengan cara yang salah.
Namun jika mereka meminta-minta sedekah, maka hukumnya adalah haram. Maka orang kaya itu sebenarnya disunatkan agar menjauhkan diri daripada mengambil sedekah dan dimakruhkan ke atas mereka untuk mendedahkan diri untuk mendapatkannya.
Bahkan jika mereka meminta sedekah dengan menzahirkan dirinya sebagai seorang fakir, maka hukumnya adalah haram. Kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdab (6/239): “Tidak dihalalkan ke atas orang kaya untuk mengambil sedekah sunat dalam keadaan dia menzahirkan dirinya sebagai seorang fakir.”
Ini berdasarkan dalil riwayat daripada bahawa Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki daripada Ahli Suffah telah meninggal dunia lalu ditemui baginya dua dinar emas, lalu Nabi ﷺ bersabda: “Dua logam panas dari Neraka.”
Maksudnya: “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
(Surah al-Taubah: 35)
Kemudian, Imam al-Nawawi juga menyebut pendapat ulama Syafieyyah seperti al-Mawardi bahawa diharamkan ke atas orang kaya untuk meminta sedekah. Bahkan, di sisi Imam al-Ghazali pula mengatakan haram ke atas orang yang mampu bekerja untuk meminta sedekah. Adapun permintaan sedekah daripada orang yang mempunyai hajat keperluan sedangkan dia tidak mampu bekerja yang boleh menghilangkan hajat itu adalah diharuskan dan tidak makruh.
Berkata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin (3/343):
“Adapun jika seseorang meminta sedekah, maka berkata pengarang al-Hawi (yakni al-Mawardi) dan selainnya: Jika dia seorang yang memerlukan, maka tidak haram meminta, tetapi jika dia seorang kaya (yakni cukup) dengan harta atau pekerjaan, maka meminta itu adalah haram, dan apa yang diambil juga haram ke atasnya. Di sisi kami (Syafieyyah) adalah wajh (pendapat ashab) yang lemah seperti mana yang disebut oleh pengarang al-Kitab (al-Syirazi) dan selainnya, dan selainya dalam bab al-Nafaqah: Tidak diharamkan.”
Berkata Syeikh Taqiuddin al-Hisni dalam Kifayah al-Akhyar (ms. 196): “dan barangsiapa yang memiliki pekerjaan yang baik maka haram ke atasnya untuk meminta sedekah dan apa sahaja yang diterima daripada sedekah yang diminta adalah haram.”
Berdasarkan kenyataan dan fakta diatas, kami menyimpulkan bahawa hukum mengambil sedekah secara berlebihan terikat dengan situasi-situasi berikut:
Sekiranya orang yang mengambil sedekah itu ialah orang yang memerlukan, atau mengambilkan untuk orang lain yang memerlukan seperti keluarganya yang dinafkahi, atau tetamu yang dirainya, maka hal itu dibolehkan dan tidak dilarang oleh Hukum Syarak.
Sekiranya orang yang mengambil sedekah itu adalah seorang yang sudah cukup keperluannya atau kaya, maka hukum mengambil sedekah itu adalah diharuskan tetapi makruh, kerana orang kaya tidak dilarang daripada mengambil sedekah tetapi disunatkan untuk mengelakkan diri daripada mengambil sedekah.
Sekiranya orang yang mengambil sedekah itu adalah seorang yang sudah cukup keperluannya atau kaya, sedangkan sedekah itu telah dikhaskan untuk orang miskin, atau telah diamanahkan oleh pemberi untuk diberikan dengan kaedah tertentu, maka hukum mengambil sedekah itu adalah haram apabila tidak diberikan dengan kaedah yang ditetapkan oleh pemberi sedekah. Ini boleh membawa kepada menafikan hak orang lain. Yang dimaksudkan dengan menafikan hak orang lain ialah hak golongan fakir apabila sedekah itu diberikan kepada mereka seperti zakat, nazar dan seumpamanya.
Larangan di atas hendaklah dikecualikan jika tujuan mengambil sedekah adalah untuk mengelakkan daripada sedekah itu rosak seperti halnya makanan atau minuman, atau untuk mengelakkan pembaziran makanan akibat lamanya diletakkan di suatu tempat.
Kami berpendapat masalah di atas berlaku atas sebab salah faham sahaja dan tidak wajar diperbesarkan. Ini kerana perbuatan seseorang yang mengambil lebih barang makanan yang disedekahkan orang boleh ditakwilkan dengan alasan-alasan seperti keperluan mendesak, ambil bagi pihak orang dan khuatir berlakunya pembaziran. Namun begitu sekiranya sudah dianggap mengambil hak orang lain seperti hak orang fakir miskin seumpamanya, maka perkara ini wajib dielakkan khususnya jika melibatk ahli jawatankuasa masjid seumpamanya. Jalan yang terbaik dalam isu ini ialah mengadakan perjumpaan dengan pihak yang bermasalah untuk mendengar penjelasan dan menasihati mereka dengan penuh harmoni dan keikhlasan. InsyaAllah suatu yang baik pasti akan terbit daripada amalan Syura dan keikhlasan. Wallahua’lam.