Tip-tip yang saya kongsikan ini boleh dipakai supaya anda dapat melihat akaun bank anda membesar dari semasa ke semasa. Lebih banyak duit anda akan tersimpan.
Siapa tak nak ada duit lebih kan? Menyimpan duit adalah kewajipan kita dalam dunia moden ni. Kalau ada duit lebih rase tenang je hati kita. Susah kalau kita tak menyimpan.
Kita akan betul-betul rasa pentingnya duit ni betul-betul bila waktu susah nanti. Ataupun beli rumah. Atau kereta. Ada beberapa soalan yang timbul apabila anda ingin menyimpan duit anda. Berapa banyak duit yang anda boleh jimat?
Di mana anda mahu meletakkan duit duit anda, dan bagaimana anda boleh pastikan duit anda tak pergi mana-mana? Kalau anda nak tahu macam mana anda boleh simpan lagi banyak duit dan mahu meningkatkan pulangan pelaburan anda, cuba klik butang di bawah.
Sekarang, kita teruskan. Di bawah ini ialah tip-tip yang akan membantu anda menjawab soalan-soalan tersebut.
HAPUSKAN Hutang Anda Terlebih Dahulu.
Kira berapa banyak anda telah habiskan untuk membayar hutang anda. Anda akan mendapati bahawa menghapuskan hutang adalah cara terpantas yang boleh anda gunakan untuk mendapatkan duit lebih untuk disimpan.
Apabila anda tidak menggunakan wang untuk pembayaran hutang, anda boleh menyimpan duit tersebut. Lagi cepat anda membayar hutang, lagi tenang hati anda kerana anda tak perlu lagi fikir pasal hutang.
Anda hanya perlu fikir tentang simpan, simpan dan simpan sahaja. Ataupun melabur
Tetapkan Matlamat Tabungan Anda.
Berapa banyak sebenarnya yang anda nak simpan? Jika anda ingin membeli rumah, anda tentuka berapa banyak bayaran muka yang anda perlu buat. Untuk matlamat jangka panjang, seperti persaraan, anda perlu melakukan perancangan yang lebih rapi.
Anda kena memikirkan berapa banyak wang yang anda perlukan untuk hidup dengan selesa selama 20 atau 30 tahun selepas anda berhenti kerja dan anda juga perlu memikirkan bagaimana pelaburan akan membantu anda mencapai matlamat anda.
Bila anda dah ada duit lebih, anda boleh laburkan duit tu.
Buat Satu Jangka Masa Untuk Anda Menyimpan.
Sebagai contoh: “Saya nak beli sebuah rumah dua tahun akan datang bermula dari hari ini.” Apabila anda sudah menetapkan tarikh tertentu, tarikh tersebut membolehkan anda fokus untuk mencapai matlamat itu.
Anda perlu pastikan dalam jangka masa itu anda boleh capai objektif anda. Jika matlamat yang anda tentukan itu tidak boleh dicapai, anda akan merasa kecewa.
Cuba kira-kira berapa banyak anda boleh simpan setiap bulan. Dari situ anda boleh tengok berapa banyak anda boleh simpan dalam jangka masa yang lebih panjang.
Dan itu membawa saya ke point seterusnya…
Fikirkan Berapa Banyak Yang Anda Perlukan Untuk Menyimpan.
Anda perlu fikir berapa banyak yang boleh anda simpan duit selama seminggu, sebulan atau setiap kali anda mendapat gaji untuk mencapai setiap matlamat penyimpanan duit anda.
Ambil kira setiap perkara yang perlu menggunakan duit dan berapa banyak yang anda perlukan untuk memulakan simpanan harian anda bermula hari ini.
Fikir tentang simpan duit tu hari ini juga. Jangan tunggu-tunggu lagi.
Sebagai contoh, jika anda mahu meletakkan bayaran muka sebanyak RM20 ribu untuk sebuah rumah dalam masa 36 bulan (tiga tahun), anda akan perlu mencari jalan untuk menyimpan kira-kira RM560 (560 x 36 = RM20,160) setiap bulan.
Tetapi jika gaji anda sedikit. Sebagai contoh lebih kurang RM1,000. Saya pasti anda tahu menyimpan sebanyak itu BUKAN satu matlamat yang realistik.
KECUALILAH jika anda tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab dan anda dapat makanan percuma dan tidak perlu keluar duit minyak untuk prgi tempat kerja.
Anda kena adaptasi matlamat anda dengan hidup anda.
Simpan Rekod Perbelanjaan Anda.
Dengan kata lain, keep track perbelanjaan anda. Ada dua perkara mengenai duit anda: berapa banyak yang anda dapat dan berapa banyak yang anda belanjakan.
Tulis perbelanjaan anda untuk setiap bulan. Buat seperinci yang mungkin, dan pastikan anda masukkan pembelian kecil seperti shavers atau syampu dan lain-lain. Buat kategori untuk setiap pembelian seperti insuran kereta, bayaran kereta, bil telefon, bil elektrik, hiburan, dan lain-lain.
Simpan satu nota kecil dengan anda pada setiap masa (sekarang anda boleh gunakan telefon pintar anda). Jadikan satu tabiat anda untuk merakamkan setiap perbelanjaan dan simpan resit untuk setiap perbelanjaan.
Kemudian, duduk seminggu sekali dengan nota kecil dan resit anda. Rekodkan perbelanjaan anda ke dalam Microsoft Excel. Anda boleh menggunakan fungsi kira di dalam Excel.
Terdapat juga app yang anda boleh muat turun di Play Store untuk membantu anda menjejaki perbelanjaan anda.
Ads
Kurangkan Perbelanjaan Anda.
Dah rekodkan perbelanjaan anda? Cuba anda lihat kembali rekod perbelanjaan anda tu. Anda mungkin akan terkejut apabila anda melihat kembali rekod perbelanjaan anda: RM30 untuk ais krim, RM10 untuk tiket letak kereta, dan mungkin juga RM40 untuk tiket wayang (bila anda belanja kawan-kawan ataupun anak-anak anda).
Anda akan melihat beberapa banyak pembaziran yang anda lakukan. Dan yang anda boleh kurangkan. Bergantung kepada berapa banyak yang anda perlukan, mungkin anda perlu membuat beberapa keputusan yang sukar. Apa yang penting?
Fikirkan tentang keutamaan anda dan potong mana-mana yang boleh potong. Kira berapa banyak yang anda boleh berjimat kemudian tengok berapa yang akan anda dapat dalam tempoh setahun. Anda akan menjadi lebih bermotivasi untuk untuk menyimpan bila anda tahu berapa banyak anda dapat jimat.
11 soalan di bawah boleh digunakan untuk anda bertanyakan kepada diri anda mana yang anda boleh potong kos hidup anda.
Bolehkah anda bergerak ke sebuah apartmen atau rumah yang sewanya lebih murah?
Bolehkah anda membiayai semula (refinance)?
Bolehkah anda menjimatkan wang pada minyak, atau tidak menggunakan kereta langsung? Jika keluarga anda mempunyai banyak kereta, bolehkah anda menggunakan hanya satu?
Bolehkah anda mendapatkan kadar caj yang lebih baik untuk insurans anda? Telefon bank-bank dan syarikat insurans yang ada dan pastikan anda mendapat harga terbaik.
Bolehkah anda berhenti menggunakan telefon landline (talian darat) dan menggunakan telefon bimbit anda atau menyimpan wang dengan menghubungi melalui internet secara percuma dengan perkhidmatan seperti Skype?
Bolehkah anda hidup tanpa Astro?
Bolehkah anda mengurangkan bil-bil utiliti (telefon, elekktrik dan air) anda?
Bolehkah anda mengurangkan makan di luar?
Bolehkah anda membeli bahan makanan secara banyak-banyak untuk mengelakkan anda kerap keluar?
Bagaimana dengan menggunakan kupon?
Boleh anda masak di rumah? Anda mungkin dapat menjimatkan wang yang banyak apabila membeli banyak-banyak sekali gus.
Beli hanya semasa diskaun TETAPI jangan jadikan alasan untuk membeli sepanjang masa ada diskaun. Kadang-kadang itu adalah trik pasaraya dengan letah harga tinggi dan cakap ada diskaun sebanyak tu.
Berhati-hati dengan taktik pasaraya. Jika anda boleh jimat berbelanja sampai 50% pun dah bagus dah.
Nilai Semula Matlamat Simpanan Anda.
Cuba buat ni: tolak perbelanjaan anda daripada pendapatan yang anda bawa pulang. Tolak juga cukai. Berapa banyak bezanya? Dan adakah ia sepadan dengan matlamat simpanan anda?
Katakan anda telah memutuskan anda 100% pasti anda boleh hidup dengan RM1500 sebulan, dan jumlah gaji anda ialah RM2300 sebulan. Ini bermakna anda mempunyai RM800 untuk disimpan.
Jika anda tidak boleh memuatkan objektif simpanan anda mengikut bajet anda, lihat kembali kenapa anda menyimpan dan tolak ke tepi perkara yang kurang penting atau anda boleh menyesuaikan jangka masa simpanan anda.
Jika anda rancang dalam 2 tahun anda beli kereta baru, mungkin anda boleh tambah setahun lagi untuk membelinya (3 tahun) dan pada waktu itu pun kereta sudah semakin canggih untuk anda beli
Buat Bajet Anda Sendiri
Bila anda dah rekod, dah tahu objektif anda, anda boleh buat bajet anda. Sebaik sahaja anda telah berjaya untuk mengimbangi pendapatan anda dengan matlamat simpanan anda dan perbelanjaan, tuliskan bajet supaya anda akan tahu setiap bulan berapa banyak gaji yang akan anda gunakan.
Jangan lupa pasal bajet sebab selalunya bila kita nampak benda kita rasa nak beli. Dengan bajet, kita boleh cuba elakkan benda ni daripada berlaku. Kita tetapkan terus berapa banyak kita nak belanja. Sebagai contoh: “Saya hanya akan membelanjakan RM30 sebulan pada wayang / coklat / kopi / dan lain-lain.”
Berhenti Menggunakan Kad Kredit.
Bayar untuk segala-galanya dengan wang tunai Jangan gunakan cek. Dengan kata lain, jangan berlagak kaya. Kita secara automatik akan lebih mudah berbelanja apabila kita tak nampak duit tu di depan mata.
Kenapa? Sebab anda tak nampak duit tu berkurangan di depan mata anda. Jika anda guna wang tunai, anda boleh melihat duit tu berkurang dan berkurang dan sekurang-kurangnya adalah rasa menyesal bila belanja banyak sangat.
Jika anda perlu mempunyai kad kredit tetapi tak nak tergoda, letakkan dalam kertas matlamat anda dalam dompet anda. Anda rasa nak guna je, anda nampak matlamat anda atas kertas. Kalau semangat anda kuat, anda akan ingat pelan anda dan berhenti gunakan kad untuk benda yang tak perlu.
Atau anda boleh letakkan kata-kata semangat untuk memastikan kad itu anda gunakan betul-betul untuk benda yang penting. Kad kredit tidak semestinya jahat. Guna kad kredit ni sebenarnya tentang bagaimana kita kawal diri kita.
Jika anda menggunakan kad kedit dengan bertanggungjawab. Bayar hutang kad kredit anda, anda boleh mendapat manfaat daripada penggunaan kad kredit ni. Tetapi ingat. Syarikat kad kredit membuat duit apabila anda membelanjakan wang.
Ads
Syarikat kad kredit akan mempromosikan pelbagai benda kepada anda. Tawaran wang kembali, pengenalan, poin penerbangan dan macam-macam lagi.
Letak Duit Dalam Balang
Cuba anda letakkan duit yang anda nak pakai setiap bulan tu dalam balang masing-masing. Untuk kereta, untuk minyak, untuk makan minum… Letak dalam balangnya sendiri. Kalau nak pakai duit tu, tarik keluar duit daripada balang tu.
Pergh, anda mesti nampak betapa cepatnya duit tu habis. Dan disebabkan itu, anda akan berfikir banyak kali sebelum nak habiskan duit.
Lihat Jika Anda Boleh Mencari Akaun Bank Dengan Kadar Dividen Yang Lebih Tinggi
Senang je nak faham kan poin ni? Cari bank yang boleh bagi dividen yang lebih tinggi. Cuba buat dalam bentuk carta ke. Itu cara termudah untuk tahu mana bank yang boleh tawarkan dividen yang tinggi.
Cuba lihat pelaburan berisiko rendah tetapi mempunyai dividen yang tinggi. Tabung Haji juga menawarkan peratus yang tinggi. Satu lagi ialah Bank Rakyat. Cuba anda tengok semua pilihan yang ada.
Bayar Diri Sendiri Dahulu.
Simpanan harus menjadi keutamaan anda. jadi jangan kata yang anda simpan apa yang tinggal pada akhir bulan. Anda tipu diri sendiri kalau anda cakap begitu. Anda takkan simpan.
Simpan duit sejurus selepas anda dapat gaji ke dalam akaun ataupun tabung anda. Cara yang mudah dan berkesan untuk memulakan penjimatan adalah dengan mendepositkan 10% setiap cek dalam akaun simpanan.
Anda boleh membuat pemindahan automatik dari akaun anda ke akaun anda yang lain (yang anda takkan sentuh duit di dalamnya).
Jangan Mudah Kecewa atau Berputus Asa.
Anda mungkin tidak fikir anda boleh menjadi kaya. Dan untuk menjadi jutawan adalah mustahil. Tapi bayangkan… sedikit demi sedikit anda menyimpan.
Pada mulanya memang sedikit. Seperti tak cukup. Lama makin lama, perubahan mula berlaku. Anda akan dapat nampak duit yang dsimpan… yang sedikit itu… mula bertambah. Sehinggalah pada satu hari anda akan berasa gembira kerana anda menjadikan menabung itu sebahagian daripada hidup anda.
Sebenarnya Banyak Cara Nak Menyimpan Kan?
Setiap kali anda pergi untuk membeli sesuatu, cuba fikir sebab yang menyebabkan anda menyimpan. Dan betapa dekatnya anda dengan objektif simpanan anda sebenarnya.
Cuba anda kongsi benda yang anda cuba buat. Anda akan dapat lihat sama ada rakan anda sokong ataupun lawan tapi cuba motivasikan mereka untuk mengikut anda kerana ini akan membentuk satu kitaran mulia (virtuous cycle).
Ingat Tentang Harta Anda!
Anda kena pandai jaga harta benda anda. Kalau anda ada berus gigi elektrik dan motor untuk biar berusnya berpusing itu rosak anda tak perlu beli baru. Guna terus. Tengok waranti barang yang anda beli.
Kalau ada ada hobi, anda perlu fikir lebih banyak. Anda kena tentukan satu peraturan di mana anda perlu tentukan berapa banyak duit yang akan anda habiskan untuk hobi tersebut. Ini sangat penting terutama sekali kalau anda ada hobi yang mahal.
Jika anda dapat durian runtuh, anda boleh mengenepikan duit yang anda dapat tu mengikut jadual anda. Kalau anda tetapkan diri anda kena simpan 10% daripada semua duit yang anda dapat… simpan duit sebanyak tu.
Apabila anda membuat pembelian dengan wang kertas, akan ada baki. Simpan baki anda dalam balang atau dalam mug (saya gunakan mug plastik untuk simpan duit syiling saya).
Ads
Satu mug kalau penuh boleh dapat lebih daripada RM50. Ada masa tu saja kumpul-kumpul dapat nak dekat RM100. Hanya daripada satu mug. Jangan guna duit tu pula nanti lepas dah tebus kepada wang kertas ya!
Sebenarnya kita boleh menyimpan duit tanpa mengambil kira pendapatan kita. Mula sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, RM50 secara automatik dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji anda. Setahun dah dapat RM600. Ini hanyalah satu kiraan yang sangat konservatif. Saya rasa anda boleh simpan lagi banyak.
Bila anda mula sedikit demi sedikit tabiat menabung ni, anda akan perasan yang anda sebenarnya tidak perlu pakai duit yang banyak.
Tentang Kad Kredit Anda Tu
Kalau anda rasa anda tak boleh potong kad kredit anda. Sekurang-kurangnya anda boleh kurangkan penggunaan kad-kad anda. Jangan letakkan dalam dompet. Letakkan kad-kad itu d tempat yang lain.
Lagi susah nak capai lagi bagus. Anda hanya dibenarkan guna bila anda betul-betul perlu sahaja. Cara ini agak lawak tapi kalau anda susah nak capai, susah lah anda nak guna. Kalau anda setiap bulan dapat gaji yang lebih kurang sama, senang untuk anda kawal bajet anda.
jika gaji anda setiap bulan berubah, susah sikit. Tapi jangan menyerah! Senaraikan perbelanjaan anda ikut kategori dan mana yang anda boleh kurangkan perbelanjaan. Jangan letakkan sasaran tinggi. Anda kena tahu had anda.
Bila anda dah boleh dapat konsisten gaji, baru anda sasarkan tahap yang lebih tinggi. Anda perlu berikrar kepada diri anda yang anda akan simpan duit. Ulangi pada diri anda sendiri mengenai sebab anda menyimpan dan cuci minda anda sendiri mengenai hutang. Hutang bukan satu pilihan.
Jangan Lupa Berseronok
Cuba cari keseronokan tanpa perlu membazirkan duit. Mungkin anda boleh belajar menari (boleh menari dengan isteri/suami anda), atau anda bersenam, bermain teka-teki dan sebagainya.
Cuba cari sesuatu yang tidak memerlukan anda mengeluarkan duit. Kadang-kadang anda boleh luangkan masa dengan berbincang mengenai falsafah, mungkin juga mendalami ilmu agama dan ilmu kewangan (seperti yang anda buat sekarang ini) tanpa perlu menghabiskan duit.
Sebenarnya banyak benda yang anda boleh buat tanpa perlu menghabiskan duit. Anda hanya perlu imaginasi dan lihat apa yang ada di luar sana.
Pelbagai talian persahabatan boleh terjalin bila anda terlibat dalam permainan-permainan yang ada di luar sana. Jumpa orang, dan main. Tak pakai duit dan memupuk semangat kekitaan anda.
Ada Alasan Untuk “Ponteng” Berjimat?
Setiap kali anda mencari alasan untuk ponteng berjimat, saman diri anda. Caj diri anda 50 sen untuk setiap alasan ke dalam tabung anda. Anda akan dapat tengok berapa banyak alasan sebenarnya yang anda beri pada diri anda untuk tidak berjimat.
Jika betul anda memerlukan sesuatu, cuba anda tanya diri anda, adakah anda betul-betul memerlukannya atau hanya keinginan anda semata-mata? Sebahagian besar daripada benda yang anda ingat anda perlukan, adalah sesuatu yang anda tidak perlukan.
Peringatan Untuk Mereka Yang Ingin Menyimpan Duit
Jika anda mempunyai kawan yang boros, anda mungkin perlu membuat satu senarai alasan untuk menjelaskan mengapa anda tidak boleh keluar dengan mereka sepanjang masa.
Jangan keluar window shopping dengan membawa duit. Anda lambat laun akan terdorong untuk membelanjakan wang anda. Hanya membeli-belah dengan senarai barang yang telah ditetapkan.
Selepas seminggu yang panjang bekerja, anda mungkin terdorong untuk berbelanja dengan memberitahu diri anda sendiri, “Saya berhak dapatkan ni”.
Ingat: perkara yang anda beli bukannya hadiah pada diri sendiri. Tapi adalah satu pertukaran antara wang anda dengan satu produk.
Anda boleh katakan pada diri anda: “Sudah tentu saya layak untuk beli, tetapi sebenarnya saya mampu atau tidak? Jika saya tidak mampu, saya memang layak, dan saya masih layak untuk memenuhi matlamat simpanan saya!”
Melainkan jika anda berada di dalam yang benar-benar terdesak (seperti anak anda kelaparan ataupun ada orang mengacu pistol ke kepala anda), jangan sentuh langsung duit tu.
Jangan fikirkan perkara yang remeh-temeh seperti keluar makan dengan rakan anda ataupun buat perkara yang membazir. Benda-benda ni boleh tunggu kemudian hari kerana apabila anda ponteng membuat tabungan, anda akan mendapat masalah pada kemudian hari.
Jangan risau kalau tak dapat ikut 100%. Anda boleh cuba lagi nanti.
Tip Terakhir
Bila anda dapat duit raya, jangan lupa simpan duit raya tu! Terutama sekali bila anda masih kecil. Masa tu anda boleh dapat banyak dan bila anda dah besar, susah nak dapat duit raya banyak.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mungkin pada zaman sekarang kita jarang mendengar pasangan yang mendirikan rumah tangga tanpa menjalin kasih terlebih dahulu. Istilah “couple” sering kita dengar di kalangan remaja dimana ia adalah tempoh untuk mengenali pasangan dan seterusnya membawa hubungan tersebut ke fasa seterusnya.
Namun, dalam islam tiada istilah “couple” dan perkara tersebut dilarang sama sekali kerana ia boleh membawa kepada perkara maksiat atau perkara yang dilarang dalam islam. Namun Islam menyediakan sebuah proses perkenalan menuju pernikahan iaitu mengenali calon pasangan hidup, melalui proses yang sering disebut taaruf.
Persoalannya, bolehkan cinta muncul dalam taaruf yang begitu singkat ini? Hanya memandang sudah mampu membuatkan seseorang jatuh cinta? Apa yang harus diungkapkan kepada calon pasangan ketika taaruf? Untuk mengenali calon pasangan hidup dengan lebih mendalam, jom kita lihat 4 cara kenali bakal pasangan hidup tanpa perlu bercinta!
1. HARAPAN DAN PRINSIP HIDUP
Warna kehidupan kelak ditentukan dengan visi dan misi suatu keluarga. Terutama si suami kerana dia adalah qowwam dalam suatu keluarga. Sebagai pemimpin dia laksana nakhoda sebuah bahtera. Oleh itu, setiap calon pasangan harus mengetahui harapan dan prinsip hidup masing-masing.
Pertanyaan tidak harus diiringi dengan kata-kata sedemikian rupa seperti, “Jika awak menjadi isteri saya nanti, harapan saya semoga kita semakin dekat kepada Allah“, atau, “Jika awak menjadi isteri saya nanti, mari bersama mewujudkan keluarga sakinah, rahmah dan mawaddah.“
Kita boleh menggunakan bahasa yang lebih verbal, seperti, “Apa yang kamu rancang bila sudah berkahwin nanti“. Bahasa ini lebih sopan dan tidak menunjukkan harapan terlebih dahulu. Segalanya masih banyak kemungkinan.
2. KEADAAN KELUARGA
“Pilihlah calon suami / isteri yang baik demi keturunanmu, sebab pengaruh keturunan itu sangat kuat” -Hadis Riwayat Abu Daud
Jelaskanlah kepada calon pasangan tentang anggota keluarga masing-masing. Misalnya tentang berapa jumlah saudara kandung kita, anak ke berapa, bagaimana tahap pendidikan, pekerjaan dan lain-lain. Perkara ini untuk melengkapkan informasi mengenai calon pasangan kita.
Dari informasi ini anda boleh mengetahui siapakah calon-calon pasangan hidup anda. Bagaimanakah latar belakang keluarganya dan perkara-perkara lain yang penting untuk anda ketahui.
3. KETAKWAAN PASANGAN
Ketakwaan disini bermaksud ketaatan kepada Allah. Ini kerana, apabila seorang lelaki itu senang, dia akan menghormati isterinya, dan jika dia tidak menyenanginya, dia tidak akan berbuat zalim kepadanya. Tetapi bagaimana caranya menilai lelaki itu bertakwa atau tidak?
Tanyakan kepada orang-orang yang dekat dengan dirinya, misalnya sahabat, saudara atau sahabatnya tentang ketaatannya menjalankan ketentuan yang telah menjadi rukun Iman dan Islam dengan jujur. Contoh ketaatan misalnya tentang solat 5 waktu, puasa Ramadhan, atau pula bagaimana sikapnya kepada jiran tetangga atau orang yang lebih tua, dan lain-lain.
Apatah lagi bila lelaki itu juga rajin melakukan ibadah sunat, nampaknya tidak perlu ditawar-tawar lagi untuk dipilih menjadi pasangan hidup.
4. PERKARA YANG DISUKAI DAN TIDAK DISUKAI
Dari awal sebaiknya dijelaskan apa yang disukai, atau apa yang kurang disukai. Sehingga nanti pada saat telah menjalani kehidupan berumahtangga dapat saling memahami, kerana telah dijelaskan dari awalnya. Dalam pelayaran bahtera rumah tangga perlu saling mengerti. Contoh paling mudah, isteri yang suka masakan pedas, sesekali masakannya janganlah terlalu pedas, kerana suaminya kurang suka.
Suami yang memang tidak suka berkemas kerana lama menjadi bujang, setelah berkahwin mungkin boleh belajar lebih kemas. Semua ini menjadi mudah dilakukan kerana telah dijelaskan dalam taaruf. Namun harus diingat bahawa perkahwinan itu bukan untuk merubah pasangan. Namun ia juga bukan untuk terus bersikap seolah-olah belum berkahwin.
Perubahan sikap dan keperibadian dalam tahap tertentu adalah sangat wajar. Juga hendaknya perubahan yang terjadi adalah natural, dan tidak saling memaksa.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai mungkin mempunyai pandangan yang sedemikian. Namun mungkin ada juga yang masih bebas untuk melakukan apa sahaja. Namun sebagai seorang isteri, kita harus ingat yang kita umpama pakaian buat suami kita. Setiap tingkah laku kita adalah air muka buat suami kita. Jaga batas pergaulan dan jangan terlalu bebas.
Berikut adalah perubahan yang mungkin menyebabkan kita rasa ‘tak berkembang’ selepas mendirikan rumah tangga.
7 SEBAB RAMAI PEREMPUAN RASA ‘TAK BERKEMBANG’ LEPAS BERKAHWIN
1. TERLALU SIBUK / LETIH
Perkara pertama yang paling sering diucapkan oleh wanita yang telah berkahwin adalah ‘letih’ dan ‘sibuk’
Setiap hari duduk di rumah mengerjakan tugasan yang tak pernah habis, menguruskan suami, dan anak-anak. Bagi yang bekerja juga, begitulah juga rutinnya sehingga tiada ruang bagi memikirkan perkara lain dalam fikiran. Kalau dah hari-hari sibuk dan asyik buat benda yang sama, mesti rasa ‘tepu’ juga…
Jadi, belajarlah berehat dan berbagi tugasan agar keletihan anda dapat dikurangkan. Ingat, anda bukannya ‘selfish’ kalau berbuat demikian ya.
2. TIADA PELUANG BERSOSIAL
Semakin meningkatnya usia kita, makin ramai kawan yang dah ‘lost contact’. Yang ada cuma kawan-kawan di media sosial yang kita hanya ‘scroll’ dan imbas sekali lalu. Nak tegur pun segan, apatah lagi nak ajak keluar bersama.
Kalau janji dengan kawan-kawan, 1001 perkara yang perlu difikirkan dek kerana rutin harian yang padat. Ada yang ‘last minute’ terpaksa batalkan pula sebab anak tak sihatlah, nak balik kampunglah, kenduri kahwinlah, dan sebagainya. Faham kan?
3. TIDAK MENERUSKAN HOBI / PERKARA YANG DIMINATI
Dahulunya mungkin ada antara kita yang berbakat melukis, menjahit, membuat kraf, atau berzumba. Tapi bila dah ada anak, kita letakkan semua hobi ini di tangga paling bawah dalam senarai prioriti.
Ada yang rasa leceh nak teruskan sebab ada anak kecil yang suka mengacau. Baru nak ‘beraksi’, seorang demi seorang anak minta itu ini. Bagi sesetengah wanita pula, ini semua tak penting. Anak-anak lebih penting.
Sampai satu masa, kita rasa rindu dan kekok pula nak melakukan kembali aktiviti yang diminati itu. Akhirnya, hobi tinggal hobi. Sudahnya, kita ‘terperuk’ saja dengan rutin harian di rumah.
4. MENGABAIKAN PENJAGAAN DIRI
Samalah dengan kes yang di atas tadi. Kita dahulukan anak-anak. Tak kiralah dari segi belanja harian, pakaian, makanan dan macam-macam lagi. Hinggakan kesihatan dan penampilan diri pun terabai.
Apabila keperluan emosi dan fizikal tidak dipenuhi, sesiapa pun boleh dilanda kemurungan!
5. KURANG MEREBUT PELUANG
Belajar tidak hanya melalui buku atau tempat kerja. Sebenarnya, banyak situasi yang dapat dimanfaatkan untuk menambah pengetahuan serta mengembangkan potensi diri. Tinggal lagi sama ada kita peka tehadap peluang itu ataupun tidak.
Tapi apabila dah berkahwin, bukan mudah nak buat keputusan untuk memajukan diri. Kena berkorban dan fikir apa yang terbaik untuk keluarga. Mungkin ada yang melepaskan jawatan tinggi, kenaikan pangkat, dan peluang bisnes yang cerah semata-mata untuk fokus terhadap penjagaan anak serta pengurusan keluarga – tak sanggup rasanya melihat anak asyik bertukar pengasuh, asyik berulang jarak jauh, dan kurang masa untuk bermanja.
6. TIDAK MENDAPAT SOKONGAN SUAMI / KELUARGA
Dalam membuat keputusan untuk memajukan diri, suami memainkan peranan yang amat penting. (Mungkin juga paling penting.)
Dengan izin suami, isteri akan berasa lebih yakin. Dengan sokongan yang padu, dah tentu isteri akan menjadi lebih kuat semangat dan tak gentar dengan cabaran. Semuanya nampak seolah-olah boleh dihadapi apabila bersama.
Sebaliknya, kalau suami buat kisah tak kisah dan selalu merungut, rasa serba salahlah kita dibuatnya.
7. RASA RENDAH DIRI
Dengan kurangnya jaringan sosial, kemahiran yang timbul tenggelam, dan kesibukan rumah tangga, ramai wanita berasa kurang percaya diri untuk menyahut cabaran. Rasa takut mencuba kelainan dan merombak rutin harian kerana telah berada di dalam zon selesa.
Tetapkan semula matlamat dan berusahalah mengejar impian tersebut. Jangan malu memasang cita-cita walaupun ia hanya sesuatu yang kecil. Setidak-tidaknya, pencapaian itu akan menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghadapi sesuatu yang lebih besar.
Sumber : Sirap limau
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani). Baca perkongsian ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Pesan untuk para isteri:
“Sekalipun suamimu tidak baik, tetapi kau masih boleh menjadi wanita yang solehah dengan mentaati perintah dan kehendaknya yang tidak menyalahi syariat. Lihatlah betapa Siti Asiah boleh menjadi isteri yang solehah walaupun suaminya (Firaun) adalah sejahat-jahat manusia. Selagi dia menyuruh kepada kebaikan… walaupun dia bukan orang yang baik, kau wajib taat.”
Satu artikel yang baik untuk perkongsian:
Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Walaupun wanita mudah masuk syurga kenapa pula wanita ramai di neraka sebagaimana Rasulullah SAW melihat ketika Israk dan Mikraj.
“Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dimuliakan, walaupun banyak jalan-jalan kebaikan boleh dilakukan dan memudahkan wanita memasuki syurga Allah SWT, tetapi terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi oleh para wanita. Jika wanita tidak mengambil perhatian serius dan tidak berwaspada halangan, dugaan dan cabaran dikhuatiri wanita akan terjebak melakukan dosa dengan itu mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang besar dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka (nusyuz).
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.”(Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)
Dalam sebuah hadis yang lain pula baginda bersabda bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban)
Apakah ciri-ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut adalah di antara ciri-ciri atau tanda-tanda isteri derhaka.
Pertama: Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah SAW ditanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ibnu ‘Asakir pula menyebut: “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.” Isteri yang mementingkan harta dunia, suka kepada kemewahan dan perhiasan dunia tidak akan ada sifat qanaah dan sering membebankan suami dengan perkara-perkara diluar kemampuan suami. Sifat kebendaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan bersyukur di atas nikmat rezeki yang diberikan oleh suaminya.
Kedua: Suka menyakiti hati suami.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Baginda menjawab, “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Biasanya apabila seorang wanita (isteri) memegang jawatan yang tinggi daripada suaminya, mempunyai keluarga yang berharta atau sebuk memegang jawatan di dalam masyarakat akan wujud sifat riak dan bangga diri. Suaminya dipandang sepi dan sukar untuk diberi nasihat. Bila dirumah sifat menjadi “bos” ketika dipejabat akan terbawa-bawa dirumah dengan ini sifat menghormati suami akan hilang dan jadilah dia seorang isteri yang derhaka.
Ketiga: Menerima kedatangan seorang lelaki di rumah tanpa izin suaminya.
Suasana di akhir zaman ini kadangkala pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tanpa batas. Wanita muslim terbawa-bawa sikap wanita barat yang bebas bergaul walaupun mereka sudah menjadi isteri seperti keluar makan bersama ditempat kerja, keluar membeli belah dipasaraya dan membawa kawan lelaki datang kerumah dengan alasan membincangkan urusan perniagaan atau aktiviti masyarakat.
Akibat daripada pergaulan bebas tanpa had ini amat mudah boleh mengakibatkan wanita (isteri) berlaku curang kepada suaminya di luar rumah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .
Keempat: Keluar rumah tanpa izin suami.
Maksud firman Allah: “Janganlah mereka (perempuan-perempuan) menampakkan perhiasannya melainkan untuk suaminya.”(Surah an-Nur ayat 31)
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)
Wanita sering keluar rumah dengan berhias, berwangi-wangian dan berpakaian tanpa menutup aurat yang sempurna. Terdapat kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat ketika keluar rumah. Suka memakai seluar jean, berbaju kemeja T-lengan pendik, tudung tiga segi yang nipis dan kecil dan berpakaian ketat menampakkan susuk tubuh mereka. Walaupun suaminya mengizinkan isterinya memakai pakaian tersebut (tidak sempurna berpakaian menurut Islam) darisegi akhlak Islam suami dan isteri tersebut akan mendapat dosa disisi Allah SWT.
Kelima: Meminta cerai daripada suami.
Sabda Rasulallah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.”(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang di benarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.
Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam Al-Quran dan ianya di halalkan oleh Allah SWT. Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya mencerikan madunya dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi dayus apabila mengikut telunjuk isteri pertama dengan mengabaikan isteri keduanya.
Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangkan hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif ganjaran yang akan kalian terima cukup besar disis Allah SWT. Jika kalian bertindak secara melulu tanpa di dorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.
Keenam: Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW terlihat wanita yang mengagumkan baginda. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adonan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)
Sahabat yang dikasihi, demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ia akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya pihak isteri supaya enam ciri-ciri yang boleh mendatangkan derhaka (nusyuz) dapat dielakkan.
Jika reda anak datang daripada reda ibu bapa maka reda isteri datang daripada reda suami. Isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari di syurga nanti sedangkan isteri yang nusyuz tempatnya di neraka Kalian pilihlah mana yang terbaik kerana ahli hikmah ada berkata: “Wanita yang cerdik adalah wanita yang sanggup mengorbankan sedikit daripada perasaannya dan bersusah payah di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.” Wallahualam
(Dipetik dari tulisan Abu Basyer dalam FBnya. Jazakallahu Khairan kathira Abu Basyer).
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!