
Dalam sesebuah hubungan, perbuatan itu adalah lebih penting daripada kata-kata manis dalam memastikan ikatan yang terjalin sentiasa mewangi.
Sesiapa sahaja boleh mengucapkan kata-kata seperti ‘saya sayang awak’ tetapi berapa ramai yang sanggup berkorban untuk anda dan melakukan perkara yang adakalanya tidak masuk akal untuk anda bagi membuktikan cinta mereka?
.
Jika anda tertanya-tanya sama ada hubungan yang terjalin benar-benar bahagia atau pun sebaliknya, ada beberapa hal yang boleh menggambarkan situasi ikatan yang terjalin.
Menurut ahli terapis pasangan, Dr Gary Brown, walaupun sesuatu perkara itu nampak remeh namun sebenarnya ia jelas menunjukkan perasaan sebenar kedua-dua belah pihak terhadap satu sama lain dan keadaan hubungan seseorang itu.
Pun begitu, kekurangan itu bukan bererti hubungan anda sudah tidak boleh diselamatkan sebaliknya ia adalah indikasi untuk mengenal pasti dan melakukan perubahan agar ikatan yang terjalin kekal utuh dan bahagia.
Berikut adalah 5 situasi yang boleh menjadi petunjuk sama ada anda atau pasangan berada dalam keadaan tidak bahagia.
1. Terima Kasih
Perkataan terima kasih itu nampak remeh tetapi ia sebenarnya penunjuk jelas tahap hubungan anda.
Menurut Dr Brown jika dahulu anda saling berterima kasih atas hal kecil seperti membancuh kopi, mengemas rumah dan kini tidak lagi berupaya menzahirkan penghargaan buat pasangan ia petanda hubungan anda menjurus ke arah kehancuran.
Ini kerana anda tidak bahagia sehingga tidak lagi memberi perhatian terhadap hal-hal remeh dilakukan pasangan dan mungkin anda tidak menyedari tentang pentingnya ‘terima kasih’.
.
2. Tiada lagi luahan isi hati
Sebagai pasangan suami isteri – komunikasi adalah sangat penting termasuk berbicara tentang hal-hal penting sehinggalah apa yang berlaku kepada anda setiap hari.
Perbualan dari hati ke hati itu sebenarnya menunjukkan anda peduli terhadap pasangan dan merasakan mereka insan paling penting untuk mengetahui segala yang terbuku di hati.
Kata Dr Brown, apabila anda atau pasangan mula mengelak daripada bercakap tentang hal-hal penting keadaan ini perlu diberi perhatian.
Ini kerana ia memberi petanda bahawa anda tidak lagi berminat dalam hubungan itu malah dalam situasi lebih buruk ia boleh menimbulkan perasaan benci sehingga akhirnya rasa tidak bahagia itu muncul.
3. Tidur pada waktu yang berbeza
Mungkin nampak remeh tapi kata Dr Brown ia memberi kesan cukup besar apabila pasangan akan mula merasakan mereka tidak lagi penting.
Bayangkan sebelum ini, masuk tidur bersama, bangun bersama – melakukan aktiviti berkualiti bersama namun kerana waktu tidur berbeza ia menunjukkan bukan sahaja anda tidak berminat dengan pasangan. Adakah itu bahagia?
4. Tiada lagi panggilan sayang
Panggilan nama seperti sayang, baby, honey dan sebagainya mungkin kedengaran biasa tetapi ia juga penting dalam mengeratkan ikatan suami isteri.
Ini kerana panggilan manja itu menunjukkan perasaan anda terhadap pasangan dan ia antara cara meluahkan rasa kasih di antara suami isteri.
5. Tiada lagi kiriman mesej atau ciuman selamat malam
Kadang-kadang perkara paling kecil dan remeh boleh menunjukkan betapa sayangnya anda terhadap pasangan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Trend Nama Anak Panjang Berjela, Mak Ayah Muda Perlu Tahu Makna Yang Diberi

Sebaik sahaja seorang isteri disahkan hamil, pemberian nama anak menjadi antara perkara utama yang akan difikirkan.
Secara kasarnya, ramai yang berpandangan proses boleh dilakukan sekelip mata, namun hakikatnya, ia tidak mudah. Mengapa? Ini kerana nama melambangkan identiti anak dan akan digunakan sehingga hari akhirat. Nama yang diberikan itulah yang akan diseru nanti.

Dalam hal itu, ada satu peristiwa yang ingin dikongsi penulis. Ibu bapa kepada rakan baik penulis terpaksa menukarkan nama salah seorang anak mereka selepas anak itu kerap menangis dan berpenyakit. Selepas mendapat nasihat daripada ulama, rupa-rupanya namanya membawa maksud yang buruk dan perlu ditukar. Semoga ia menjadi teladan kepada kita.
Baru-baru ini, melalui media sosial tular dengan nama 'canggih' dalam kalangan murid tahun satu di sebuah sekolah. Masakan tidak, nama anak masing-masing bukan sahaja panjang malah ada suku kata yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Contohnya, Langit ditukarkan kepada Sky.
Bukan mahu menempelak, namun terus terang, secara teknikal, pendekatan itu menyusahkan banyak pihak termasuk anak itu sendiri. Pendek kata, janganlah terlalu ghairah menamakan anak.
Ketahuilah bahawa Islam menganjurkan setiap insan untuk memberi nama yang elok untuk keturunan kita.
Justeru, apakah panduan untuk memberi nama anak menurut pandangan Islam? Nama apa yang paling disukai ALLAH dan Rasulullah SAW?

Tarbiah awal
Ini jelas pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau Imam Muda Aran.
Ujar beliau, kepentingan membubuh nama kepada setiap zuriat ada kaitan dengan tarbiah awal kepada seseorang.
"Apabila kita sebut perkataan yang baik, secara tidak langsung kita sebenarnya mendidik anak dengan cara dan punca didikan yang baik. Ia juga satu doa.
"Disebabkan itu, kita mesti meletakkan nama yang elok. Jangan hanya kerana bunyi nama itu sedap saja, tetapi siasat juga maksud di sebalik nama berkenaan," jelasnya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.
Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut menegur sikap segelintir masyarakat yang taasub memberikan nama anak dengan kalimah yang ada dalam al-Quran secara semberono tanpa meneliti maksud terlebih dahulu.
"Ada orang ketika membaca al-Quran, nampak ayat sedap seperti kalimah huthamah, terus mengambil perkataan itu untuk dijadikan sebagai nama anaknya. Hakikatnya, huthamah sebenarnya antara nama-nama neraka.
"Sesetengah orang pula ingin meletakkan nama para nabi dan rasul untuk anak-anak mereka. Malangnya, mereka meletakkan nama nabi dan rasul dalam bahasa Inggeris. Contohnya, nama Nuh jadi Noah dan Ibrahim pula ditukar kepada Abraham. Meskipun tidak salah berbuat demikian, namun sebaiknya letaklah nama dalam bahasa Arab kerana itulah keutamaannya," ujar beliau.
Begitupun, jikalau ibu bapa ingin memilih nama selain daripada bahasa Arab, ia tidak menjadi masalah selagi perkataan itu membawa maksud yang bagus.
Keistimewaan nama Abdulrahman, Ibrahim
Apakah nama yang disukai ALLAH SWT dan Rasulullah SAW? Menjawab pertanyaan itu, agamawan itu memberitahu: "Abdulrahman dan Ibrahim antara nama yang paling disukai-NYA dan kekasih-NYA itu."
Sabda baginda SAW: "Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh ALLAH daripada nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdulrahman." (Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku (datukku), Ibrahim." (Riwayat Muslim)
Sudah mengetahui nama disukai ALLAH dan rasul-NYA, apa pula panduan untuk kita dalam memberikan nama si kecil? Kata Imam Muda Aran, umat Islam disarankan mengikuti penduan berdasarkan nas dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.
Paling tidak pun, kata beliau, bertanyalah kepada orang alim ulama.
"Apa pun, elakkan daripada meletak nama Tuhan agama lain, nama yang tiada maksud (tidak kiralah dalam bahasa apa) dan elak bagi nama yang buruk.
"Sebolehnya, elakkan (nama) berunsurkan fitnah kepada anak sebab kalau budak itu membesar di negara lain, dia akan menjadi bahan gelak orang," ujar beliau.

Jadi panggilan syurga
Ini pula kata pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz untuk mengupas tentang topik hangat yang tidak akan ternoktah itu.
Agamawan itu menjelaskan, kita dituntut supaya membubuh nama yang paling cantik dan terbaik untuk zuriat masing-masing. Nama itulah yang akan dipanggil di syurga kelak.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu." (Riwayat Abu Dawud)
Jelas beliau lagi, nama yang cantik sebenarnya bermula dengan kalimah Muhammad jika anak itu lelaki. Namun, jika melibatkan anak perempuan, lihatlah kalangan orang baik-baik sepertimana keturunan Rasulullah SAW dan para sahabat.
"Misalnya, nama Aminah, Aisyah dan Fatimah. Itulah nama yang terbaik. Pun begitu, tidak salah untuk memberikan nama yang lain, cuma paling bagus, semua yang ada kaitannya dengan sejarah Islam.
"Jika kita meletakkan nama anak yang tidak sesuai, ibu bapa yang akan bertanggungjawab dan berdosa. Contohnya, anaknya cantik, tetapi diletakkan dengan nama yang hodoh. Apabila kelak kawan-kawannya mengejek dan namanya bukan daripada nama yang dikenali seperti datang dari negara Barat dan sebagainya serta disebut dengan bunyi yang lain, maka rosaklah nama itu," kata beliau.
Seperkara lagi, Hassan Mahmud berpesan, agar kita mengelakkan nama-nama orang Yahudi, Barat dan sebagainya.
"Seandainya mampu, biarlah nama itu dipilih mengikut Islam, sesuai dan diterima oleh masyarakat Islam. Jangan terlalu panjang nama berkenaan, biarlah yang munasabah," pesan beliau.
Kepada satu soalan, agamawan itu menjelaskan: "Jika nama anak kita bermula dengan Muhammad, ini bermakna kita mengikuti sunah nabi. Jika meletakkan nama Abdul Wahab juga tiada masalah.
"Perkara salahnya jika kita meletakkan nama Razak, Rahman atau Rahim sahaja tanpa Abdul pada pangkal nama tersebut. Haram hukumnya berbuat demikian kerana itu adalah sifat-sifat ALLAH.
"Mana mungkin jika dipanggil Razak yang bermaksud pemberi rezeki itu ialah manusia?
"Sebab itu, perlu letakkan Abdul di hadapan nama Razak menjadikan maksudnya sebagai hamba kepada yang memberi rezeki. Begitu juga dengan nama Abdul Rasul, kita tidak boleh berikan nama sedemikian. Kena pastikan frasa betul digunakan."
Selain nama para nabi, rasul dan malaikat, kita juga digalakkan untuk mengambil berkat nama ulama seperti al-Syafie, Hanbali, Abu Bakar dan Umar, ujar beliau.
Panggil anak dengan nama lengkap, bukan singkatan
Memberi nama yang panjang kepada anak seakan menjadi trend sekarang. Lebih mendukacitkan, ada juga ibu bapa meletakkan nama yang pelik-pelik sehingga tergeliat lidah untuk disebut.
Bagaimanapun, pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin menjelaskan, tiada masalah untuk berbuat demikian, namun masyarakat perlu berwaspada ketika memanggil nama anak tersebut.
"Katakan nama anak panjang sehingga empat patah perkataan, jika ingin memanggilnya secara ringkas, gunakan salah satu daripada nama anak berkenaan. Sebutlah dengan penuh. Contohnya, nama anak Nadia Sofia Karina Jamilah, mungkin boleh memanggilnya Jamilah.
"Jangan pula kita memanggilnya 'Jamm' yang tiada maksudnya. Apabila kita panggil nama anak itu penuh dan lengkap, ia sebenarnya berupaya menyuntik motivasi, ibarat kita membacakan doa kepada anak," katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Pemilihan nama anak, kata Ustazah Asmak, begitu signifikan dalam Islam.
"Ia kerana, ia merupakan hak anak-anak. Jika kita memberikan nama yang tak betul buat anak, mereka boleh menuntut sebab kenapa dia dinamakan sedemikian pada hari akhirat kelak.
"Apabila seorang anak itu lahir ke dunia, ibu bapa bertanggungjawab melakukan beberapa perkara iaitu melaksanakan akikah, mencukur rambut bayi dan memberikan nama. Seeloknya, lakukan semua perkara itu pada hari ketujuh kelahiran anak jika ingin mendapatkan keberkatan," jelas beliau.
Ustazah Asmak turut menitipkan pesan agar ibu bapa mengambil kira agama, aspek perundangan Jabatan Pendaftaran Negara dan budaya masyarakat setempat ketika menamakan anak masing-masing.
"Dalam hal itu, faktor budaya penting. Misalnya, kita ingin menamakan anak dengan nama Faid, tetapi orang sekeliling mungkin payah hendak menyebutnya kerana tidak biasa dengan nama sebegitu, lalu memanggilnya Paid.
"Jika begitu, maka tidak payahlah bubuh nama berkenaan. Kalau orang sekeliling tak biasa (dengan nama berkenaan), mesti mereka akan panggil nama anak kita dengan tidak elok. Lebih baik kita letakkan satu nama yang orang boleh panggil anak kita dengan cara dan panggilan yang bagus.
"Apa pun, kita kena ingat bahawa nama itu suatu doa. Jadi, letaklah nama supaya orang mendoakan anak kita dengan sifat-sifat yang sangat bagus," nasihat beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Yang Selalu Marah-Marah Anak Sebenarnya Dahagakan Perhatian Dan Cinta Suaminya

Mendirikan rumahtangga merupakan keputusan paling besar yang anda perlu lakukan seumur hidup. Ini kerana ianya merangkumi cara hidup anda buat selamanya.
Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang remeh-temeh. Ianya melibatkan dua insan yang bersetuju untuk sentiasa bersama tidak kira susah atau senang. Termasuklah saling membantu satu sama lain ketika menjaga amanah dari Allah, iaitu anak.
Namun, ada juga perkara yang sering menjadi perbincangan ramai iaitu mengenai isu seperti isteri dilayan seperti orang gaji dan hanya duduk di rumah untuk menjaga anak-anak tanpa mendapatkan perhatian yang sepenuhnya.
Ianya juga merupakan salah satu sebab kenapa isteri-isteri di luar sana cepat letih dan akan mudah melenting kepada anak-anak. Mereka penat dan tidak cukup tangan untuk melakukan kesemua benda seorang diri.
.
Baca perkongsian oleh seorang ustaz iaitu Ebit Lew di laman Facebook mengenai isu kenapa isteri mudah melenting dan marahkan anak-anak. Mungkin ianya boleh membuka mata masyarakat di luar sana dan tahu cara yang betul untuk atasi masalah ini.
Perkongsian penuh di bawah:
Suami perlu cuba sebaik mungkin untuk fahami hati isteri yang selalu marah dan menjerit pada anak-anak. Ada sebabnya..
Seorang suami minta nasihat mengenai isterinya. Isterinya asyik marah anak-anak. Anak saya 3 orang ustaz. Isteri asyik mara dan jerit pada anak-anak. Terasa kasihan pada anak-anak. Terasa tiada hari anak-anak tak kena marah. Kadang-kadang saya tengok isteri saya sayang yang kecil je. Kakak sulung asyik kena marah je.
Semua salah kakak besar. Saya takut anak jadi trauma. Dia kalau menjerit atau marah saya rasa nak lari rumah. Kalau saya cuba pertahankan anak saya. Dengan saya-saya kena marah.
Abang nak tahu tak Allah sayang abang. Bila saya dengar ketua keluarga ingin bertanya soalan begini tandanya dia seorang yang baik dan bertanggungjawab. Abang nak bantu dan selesaikan.
Sebenarnya selalu wanita tanya masalah suka cubit dan marah anak-anak. Bila saya dengar saya terus tanya ada bincang dengan suami..itu antara punca utama.
Selalunya wanita yang kerap dan mudah marah dan menjerit kepada anak-anak ini berasa mereka kurang kasih-sayang dan dahagakan perhatian dari seorang suami
Abang nak tahu tak sebenarnya bukanlah kita nak salahkan sesiapa. Selalunya wanita yang selalu marah-marah anak dan tak boleh kawal emosinya kerana dia dahagakan perhatian dan cinta suaminya. Dia rindukan suaminya. Dia ingin suaminya bersamanya.
Isteri kita wanita yang Allah jadikan sensitif. Jiwa mereka lembut. Mereka dahagakan kasih sayang dan rasa kebersamaan dalam membuat segala urusan rumahtangga. Wanita ini bila kita dah dapat hati dia. Semuanya akan jadi superb. Juta-juta kali lebih layanan dan kasih sayangnya kepada suami dan anak-anak. Bila dah terluka dan sakit semuanya berubah.
Kita perlu sedar. Dia bukan bibik kita. Dia bukan orang gaji kita. Mereka wanita yang kita nikahi maksudnya ingin kita cintai, sayangi, bimbing dan pembantu kita sehingga syurga Allah. Mereka bukan milik kita. Mereka amanah Allah.
Sebab tu kata ulama pintu agama sebuah keluarga ialah Ayah. Pintu agama buat anak-anak ialah ibu. Jika kita membimbing isteri kita dengan Islam dengan cinta dan sayang insyaAllah isteri kita akan bimbing anak-anak kita Islam dengan cinta dan sayang. Mereka dahagakan belaian dan kasih sayang.
.
“Esok kita mati, anak-anak tak berebut harta tapi berebut nak bagi syurga paling tinggi buat mak dan ayah mereka. Cinta ialah pendidikan yang utama pada keluarga selepas iman.”
Peluk mereka. Sayangi mereka. Lihatlah nanti mereka akan peluk dan sayang anak-anak. Bila sampai rumah sunnah beri salam dan peluk atau cium ahli keluarga. Anak-anak dahagakan pelukan dan ucapan sayang.
Mak anak yakni isteri kita yang penat sepanjang hari tu lagi dahagakan ciuman, pelukan dan ucapan sayang terima kaseh dari suaminya. Begitu juga kita kan abang. Kita pun ingin begitu. Kita semua cuma manusia yang sedang belajar nak jadi baik.
Begitulah juga seorang ibu yang melayan anak besar sampai anak kecil dengan cinta dan sayang..begitulah kakaknya pula akan mencintai adiknya. Esok adiknya pun akan saling mencintai dan menyayangi kakak dan mak ayahnya. Esok kita mati mereka tak berebut harta tapi berebut nak bagi syurga paling tinggi buat mak ayah. Cinta ialah pendidikan yang utama pada keluarga selepas iman.
Suami isteri yang saling membantu. Saling mencintai. Saling menghargai akan membuat anak-anak pun jadi begitu. Janganlah pernah bergaduh depan anak-anak. Nanti anak kita akan jadi stress dan mereka akan jadi hipokrit. Jangan paksa anak kita terpaksa memilh antara kedua ibu bapa.
Dalam kata lain satu bas tapi ada 2 pemandu dan 2 arah tujuan. Kerana itu biarlah tidur sekali dan mimpi pun sama.
.
Para suami harus tahu, apabila isteri memarahi anak-anak, jangan pula anda marah atau tengking isteri depan anak-anak. Malah, buat apa yang patut. Bantu mereka dalam situasi itu.
Bila isteri marah anak. Jangan lawan atau marah isteri depan anak. Bila isteri marah kita bantu apa yang patut. Kadang-kadang masa tu dia tengah susu anak, 2 anak lagi bergaduh dan jatuhkan air atau makanan. Kita tolong kutip makanan yang jatuh bersihkan. Kita tolong jaga 2 anak lagi.
Biasa mereka marah sedang mereka masak lauk di dapur seorang diri. Kita suami kadang-kadang tengok tv atau hp. Anak-anak dah sepahkan rumah ada yang mengacau di dapur. Mereka kunci jam Mereka masak sahur, mereka kena hidang. Mereka kejut anak. Mereka kejut suami, mereka kemas pinggan dan dapur. Mereka kena marah kalau tak kemas. Mereka kena marah kalau terlambat. Mereka kena marah jika penat tak bangun sahur.
Mereka bukan marah anak sebenarnya abang. Seperti anak-anak. Mereka buat hal, mereka jadi pelik, mereka bergaduh, mereka tak nak pergi sekolah, mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang ibu bapanya. Lagi mereka kena marah dan jerit lagi mereka berusaha tarik perhatian..buat macam-macam.
Sebab tu banyak isteri yang dulunya baik dan lemah lembut. Tapi bila suami dia buat hal dan ada perempuan lain. Dia maafkan tapi belum dapat lupakan mereka jadi berubah. Terus jadi pemarah dan kuat mengamuk dan bermasam muka, mula minta macam-macam. Cemburu lain macam. Sangka macam-macam sebab hati mereka dah luka.
Apa para suami perlu lakukan untuk mengatasi masalah seperti ini di antara keluarga?
Ubatnya kita sebagai ketua keluarga hidupkan amalan ta’lim dalam rumah. Pergi berdating berdua. Berjuang di jalan Allah. Cuba bawa isteri 3 hari belajar iman. Berada di jalan Allah.
Pergi umrah. Ziarah Kaabah. Ziarah Rasulullah saw. Solat malam sama-sama. Bersyukur kunci segalanya. Sentiasa sabar. Lihat orang yang lebih susah dari kita.
Ya Allah sayangilah isteri kami yang tercinta. Kami maafkan segala salah silap mereka semua kepada kami. Kerana semua ini salah kami sebagai suami kerana belum menjadi suami yang baik. Maafkan kami kerana belum menjadi isteri yang baik.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Malaikat Rahmat Tak Masuk Rumah-Rumah Orang Ini

DALAM kehidupan di dunia ini, setiap orang memerlukan tempat tinggal yang aman, damai, sejahtera, selesa dan harmoni sebagai tempat berlindung atau berteduh. Malah, sebagai umat Islam, pasti kita juga mengharapkan rumah yang diduduki sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah.
Persoalannya, bagaimanakah cara kita selaku umat Islam untuk mendapatkan rumah yang dirahmati? Sebenarnya, antara faktor menyebabkan sesebuah rumah itu mendapat rahmat dan keberkatan adalah disebabkan rumah itu sentiasa dikunjungi Malaikat Rahmat.
Malaikat Rahmat sentiasa taat menjunjung akan perintah Allah SWT dan tidak pernah menderhakai-Nya sebagaimana firman Allah dalam Surah At Tahriim ayat 6, yang bermaksud: “Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Apabila Malaikat Rahmat memasuki rumah seseorang, inilah yang disifatkan sebagai satu rahmat, keuntungan dan kebaikan bagi penghuninya.
Penghuni yang beriman akan dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan, memperoleh ketenangan dan ketenteraman hati serta dipohonkan keampunan oleh malaikat. Mereka dipelihara ketika tidur dan jaga, didoakan malaikat, selain doa mereka turut ‘diaminkan’ malaikat ketika mengerjakan solat.

Ini antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu setiap orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah kita.
Sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita, ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya. Apabila syaitan berada pada satu tempat disebabkan ada maksiat dilakukan, malaikat tidak akan masuk ke tempat itu kerana syaitan adalah musuh malaikat.
Perlu diketahui, ada banyak sebab mengapa rumah atau tempat kediaman tidak dimasuki Malaikat Rahmat, antaranya:
1. Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan. Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya maksiat dan berdosa besar.
2. Rumah orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Menderhaka adalah sebesar-besar dosa selepas syirik kepada Allah. Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah terletak pada kebencian ibu bapa terhadap anaknya.
3. Rumah orang yang memakan harta anak yatim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)
4. Rumah yang mempunyai anjing. Islam menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Adanya anjing dalam rumah seorang Muslim memungkinkan adanya najis pada persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing atau seumpamanya.
Riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Abi Talhah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung.”
5. Rumah yang mengadakan majlis namun langsung tidak menyebut perkataan mengingati Allah. Sesuatu majlis yang tidak diisi dengan zikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan tidak diisi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauh daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya syaitan dalam majlis itu.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah satu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah SWT melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala.” (Riwayat Al-Imam Ahmad)

6. Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki. Contohnya mencaci maki sesama Muslim, mencaci maki orang yang telah meninggal dunia, kejadian alam, penyakit dan sebagainya. Bagi setiap Muslim dan Muslimah mestilah sentiasa memelihara atau menjaga lidahnya daripada setiap kata atau ucapan melainkan yang jelas ada manfaatnya.
Di antara rahsia di sebalik menjaga lidah itu ialah memudahkan Malaikat Rahmat mendekatkan diri kita dan datang berkunjung ke dalam rumah kita. Orang yang celupar lidahnya, suka memaki hamun, mencela dan mengutuk tidaklah disifatkan sebagai orang yang beriman sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Dari Abdullah telah berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Seorang yang beriman itu bukanlah orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya”. (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
7. Rumah orang yang dilaknat. Antara golongan yang dimaksudkan ialah orang yang terbabit dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis bulu kening, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Untuk menjadikan rumah kita sentiasa dikunjungi oleh Malaikat Rahmat hendaklah kita menjauhi perkara-perkara yang dilarang dalam agama kita. Biarlah segala yang makruf itu dijadikan sebagai prinsip dan syiar dalam kehidupan kita seharian.
Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan Malaikat Rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah kita dengan membawa berkat dan mendoakan kebaikan serta keselamatan terhadap diri dan keluarga kita. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahzab ayat 43 tafsirnya :
“Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya pula berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dan taat). Dan adalah Ia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman di dunia dan di akhirat”.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI