
Sebuah perkahwinan yang dibina melambangkan ikatan suci antara dua jiwa. Agar rumah tangga seperti di alam bulan madu selamanya maka sesebuah rumah tangga itu perlu dibajai dengan kasih sayang.
Tidak dapat dinafikan bayangan kehidupan berumah tangga seringkali membuatkan pasangan muda ragu-ragu untuk menamatkan zaman bujang mereka.
Persoalan apakah hubungan rumah tangga akan bahagia? Atau benarkah bahawa dalam rumah tangga selalu ada badai? Pendek kata semua persoalan ini ‘menghantui’ diri.
Bahagia itu tidak datang tanpa sebarang usaha. Lalu, apakah yang boleh dilakukan oleh pasangan muda agar rumah tangga berlangsung bahagia? Ini adalah rahsia dalam alam rumah tangga yang sepatutnya diaplikasikan sejak awal berumah tangga.
Fahami Kekurangan
Pasangan pengantin baharu harus lebih menerima kekurangan masing-masing. Misalnya, dalam soal pekerjaan dan kedudukan kewangan yang belum mampan di usia ini. Namun, tidak menjadi masalah jika masing-masing memahami dan mengejar ke tingkat yang lebih tinggi.
Memiliki Cahayamata Dalam Usia Masih Muda
Memiliki anak di usia muda merupakan satu perjuangan dalam meneruskan kehidupan. Tenaga anda masih ‘banyak’ dan anda dan pasangan masih kuat untuk mengasuh anak-anak. Antara kelebihan berkahwin dalam usia yang muda ialah anak-anak akan lebih cepat dewasa dan berdikari dalam usia anda dan pasangan masih muda. Hadirnya cahayamata dalam usia yang masih muda juga menjadikan rumah tangga lebih bahagia.
Komunikasi Lancar
Saat menghadapi masalah apa pun, pasangan harus sentiasa mengawal emosi. Isteri perlu memainkankan peranan untuk ‘membantu’ menenangkan suami, begitu juga sebaliknya. Kuncinya lakukan komunikasi positif secara telus dan terbuka.
Kepuasan Bercinta
Soal bercinta juga menjadi salah satu faktor penentu rumah tangga yang bahagia. Jadi, jangan lupakan kepuasan batin dalam bercinta. Berkomunikasilah dengan pasangan tentang apa yang anda inginkan atau tidak inginkan. Hasilnya anda berdua akan memperolehi kepuasan yang diinginkan bersama.
Saling Memenuhi
Banyak idea-idea segar dan kreatif yang muncul ketika di usia muda. Kolabirasi anda dan pasangan akan meletuskan sesuatu yang terbaik dan lain dari yang lain. Ini kerana masing-masing tahu kelebihan dan kelemahan diri masing-masing.
Saling Menyokong
Pasangan adalah penyokong utama dalam hidup anda. Tidak perlulah mengadu tentang masalah anda kepada orang lain, bimbang ‘rahsia’ anda itu akan bocor kepada orang lain. Berbanding mengadu dengan pasangan sendiri, pasangan anda bukan sahaja menjadi pendengar yang boleh dipercayai tetapi juga dalam masa yang sama dapat memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anda.
Tujuan Perkahwinan
Selalu ingat ke mana tujuan bersama daripada perkahwinan anda berdua. Maka, hadapi segala masalah dan perubahan dalam hidup dengan pandangan yang positif. Dan, jangan lupakan apa yang telah disepakati bersama pasangan anda agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke hujung nyawa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Pasangan Korang Ada Ciri-Ciri Ini, Kemungkinan Dia Bukan Seorang Yang Serius

Perkahwinan merupakan suatu perkara yang amat dituntut. Melalui perkahwinan jugalah hubungan kita menjadi halal.
Di sini ada menyenaraikan 5 tips kepada anda untuk mengenali orang yang tidak serius untuk berkahwin.
1. Selalu Memberi Alasan
Apabila anda mengajak dia untuk berkahwin, bakal pasangan anda itu memberikan banyak alasan untuk menolak pelawaan anda. Antara alasan yang sangat popular ialah;
‘Maaf, saya tidak bersedia lagi.’
Selain itu mungkin juga anda akan dengar alasan yang berbunyi macam ini;
‘Saya bukan tak mahu berkahwin lagi, tetapi saya malas nak fikir lagi soal perkahwinan.’
Ini adalah beberapa contoh alasan yang mungkin akan diberikan kepada anda apabila anda mengajak si dia untuk berkahwin.
2. Tidak Ada Tabung Kewangan Perkahwinan
Setiap perkahwinan memerlukan perbelanjaan yang terpaksa anda hadapi nanti. Sama ada besar atau kecil nilainya ia tetap memerlukan kewangan. Tanda yang kedua untuk mereka yang tidak serius untuk berkahwin ialah mereka tidak mempunyai tabung kewangan atau simpanan perkahwinan.
3. Lebih mengejar Cita-cita
Mengejar cita-cita merupakan perkara yang baik kerana memasang impian untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Namun, jika dengan berkahwin si dia menganggap perkahwinan itu akan menghalang cita-citanya, maka ia adalah satu yang salah.
4. Ibu Bapa Dah Tentukan Jodoh
Tanda yang seterusnya untuk mengenali orang yang tidak serius untuk berkahwin dengan anda ialah si dia memberikan alasan bahawa jodohnya sudah ditentukan keluarga. Perhubungan yang seperti ini jika diteruskan tidak mempunyai hala tuju dan tujuan yang jelas.
5. Tidak Puas Lagi ‘Enjoy’ Sebagai Bujang
Ramai orang yang sudah berkahwin memberitahu kepada orang yang masih bujang supaya jangan berkahwin dahulu. Alasannya? Sebab nanti apabila sudah berkahwin, mereka tidak bebas. Sama ada bebas berjalan-jalan ke mana mereka mahu pergi mahupun dalam melakukan aktiviti yang disukai. Ini alasan yang sangat tidak kukuh.
Sumber : baitulmuslim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Buat Majlis Kahwin, Ikut Apa Yang Kita Mampu. Tak Payah Ikut Orang

Cuti sekolah sudah bermula. Mesti ramai yang sedang merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Alhamdulillah tahniah diucapkan buat yang bakal berkahwin.
Tapi, sebelum buat majlis kahwin, kena buat perancangan yang rapi supaya majlis yang dibuat berjalan dengan baik dan lancar. Jom baca panduan buat bajet kahwin yang sederhana. Antaranya:
1. Bila nak kahwin jangan buat pembiayaan peribadi. Buat majlis ikut bajet sendiri.
2. Pelamin dan meja makan tak perlu bunga beribu kuntum. Bunga pula tak perlu yang hidup saja. Nanti layu juga akhirnya. Lagi elok jika mampu buat sendiri. Minta tolong dengan saudara mara dan sahabat handai.
3. Hantaran boleh gubah sendiri. Tak perlu hantar kedai atau butik yang menelan belanja beribu ringgit.
4. Baju kahwin cukuplah dua pasang. Sepasang untuk akad nikah dan sepasang lagi buat bersanding.
5. Kad kahwin tak perlu yang hipster bagai. Kononnya nak nampak lain dari yang lain. Lepas kenduri orang buang jugak.
6. Kek kahwin tak perlu bertingkat-tingkat. Yang setingkat pun dah cukup menjadikan majlis meriah dan sanak saudara bahagia.
7. Kalau akad nikah dah bersanding hari yang sama, cukuplah make up sekali sahaja. Tak perlu membazir bagai.
8. Goodies cukuplah setakat kemampuan sahaja. Tak perlu tempah yang mahal sebab nak nampak hebat dan mewah.
9. Tak perlu tempah set karaoke, DJ, live band bagai. Pasang lagu nasyid Raihan, Maher Zain, Opick pun sedap juga.
10. Berbulan madu di tempat yang mampu sahaja. Tak perlu tiru kawan berbulan madu sampai ke Maldives sana.
Buatlah majlis kahwin mengikut kemampuan kau. Tak perlu ikut orang, tak perlu tiru artis kesayangan kau tu. Tak dosa buat majlis biasa-biasa. Yang penting, perkara yang wajib diselesaikan terlebih dahulu.
Kehidupan lepas kahwin itu lebih penting. Kalau buat majlis macam anak raja, lepas kahwin menumpang rumah mertua. Duit deposit pun belum ada. Entah tahun bila dapat beli rumah.
Baik buat majlis biasa-biasa tapi meriah. Tanpa perlu buat pembiayaan peribadi. Barulah dapat memulakan hidup berkeluarga tanpa beban hutang. Lebih baik!
Sumber : Facebook AmirSyahir
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lelaki Ini Kongsi 7 Rahsia Cari Jodoh Dari Kaca Mata & Pengalaman Sendiri!

Walaupun manusia ditakdirkan untuk hidup berpasangan, namun jodoh tak semestinya datang bergolek. Ada yang mudah bertemu jodoh, tak kurang juga yang ada hasrat untuk berkahwin tapi sukar bertemu kekasih hati. Ternyata bukan mudah sebenarnya nak memilih pasangan hidup.
Lelaki ini berkongsi rahsia, panduan dan tip mencari jodoh berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan pemerhatiannya bersama lelaki-lelaki di sekelilingnya. Semoga perkongsian dari kaca matanya ini dimanfaatkan bukan sahaja untuk anak-anak dara, anak-anak teruna bahkan bakal-bakal mertua. Silakanlah ambil teladan.
KAGUM DENGAN DIDIKAN ORANG TUA
Saya tertarik hati dengan tulisan Kak J yang disiarkan pada 18/10/2017, bertajuk PERSIAPAN KE ARAH PERKAHWINAN BUAT ANAK DARA.
Anak-anak dara mudah-mudahan “alert” dengan tips yang Kak J serta para pengomen yang lain berikan. Keseluruhannya saya bersetuju dengan apa yang Kak J luahkan. Selebihnya saya berpendapat segala bentuk cara hidup anak-anak dara bertitik tolak daripada ajaran yang diterima daripada ibubapanya di rumah. Melainkan, yang diajarkan oleh ibubapa sudah berbagai yang elok-elok tetapi yang tuan empunya diri memang tidak makan diajar, maka kita gelarkan sahajalah perangai sebegitu (pemalas) terhasil daripada sikap degil. Namun percayalah, pepatah Melayu yang berbunyi “bagaimana acuan begitulah kuihnya” atau “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” sangat tepat bagi menggambarkan bagaimana peribadi seseorang mengikut sepertimana sifat-sifat yang ada pada ibubapanya.
Memperkenalkan diri saya: Aizat, seorang suami yang sedang menantikan kelahiran anak pertama dalam tempoh beberapa bulan lagi. Saya merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik, yang memiliki seorang kakak (sudah berumah tangga dan memiliki dua orang cahaya mata), seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Hidup secara asasnya, hampir lengkap, cuma perlu mengekalkan mana yang baik dan memperbaiki mana yang kurang.
Bapa saya seorang kakitangan kerajaan, sementara ibu pula seorang surirumah yang mencari pendapatan sampingan dengan menjahit pakaian serta langsir selepas meninggalkan pekerjaan beliau di sebuah jabatan. Ibu saya sangat menitikberatkan soal kebersihan dan kekemasan, malah beliau amat teliti di dalam setiap kerja yang dilakukan. Sedikit sebanyak saya berempat beradik mewarisi sikap pembersih ibu. Bapa pula, tentulah tiada masalah kerana setiap keperluan bapa terjaga elok oleh ibu. Seingat saya, sedari saya kecil sehinggalah sekarang, bapa lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Saya yakin, hati bapa tenang apabila berada di rumah sendiri.
Ibu saya mengajarkan kami bahawa ruang tamu adalah tempat khas untuk tetamu, bukan tempat untuk tidur baring (melainkan sekejap), tanpa akhbar/majalah dan tidak diletakkan set televisyen. Kau mahu baring-baring sambil menonton TV, silakan ke ruangan lain. Ketika kecil pun kami adik beradik tidak bermain di ruang tamu. Rumah kami bukanlah besar, tetapi cara ibu menyusun atur membuatkannya selesa dan menjadi bahagian-bahagian khusus (khusus untuk belajar/membaca, khusus untuk kanak-kanak bermain, khusus untuk menyimpan pakaian dan sebagainya). Bayangkan bagaimana ibu “menyorokkan” bahan-bahan jahitannya kerana kami tidak melihat pun tempat ibu bekerja bersepah-sepah. Tahu-tahu, ibu selesai menyiapkan baju kurung kakak atau adik serta baju ibu sendiri. Ibu juga suka melakukan kerja “dua dalam satu”, contohnya sambil berbual di telefon (biasalah bila makcik-makcik bersembang, lama bebenor), sebelah tangan ibu memegang telefon manakala sebelah lagi mengelap meja/cermin atau mengemop lantai!
Semasa bersekolah, guru-guru selalu bertanya ibu bagaimana ibu mendidik kami adik beradik kerana selalu cemerlang dalam pelajaran? Jawapan ibu; cikgulah yang mengajar sehingga kami pandai. Sebenarnya kami fokus pada pembelajaran apabila di rumah justeru keadaan di rumah yang kemas bersih itulah.
Pesanan ibu; jika menghidangkan minuman kepada tetamu jangan sesekali kau gunakan cawan tanpa dilapik piring. Untuk makan-makan, pinggan mangkuk harus sedondon. Sediakan pengelap tangan (sapu tangan atau tuala kecil). Kadangkala ibu mengarah kami menghidang seperti di hotel layaknya, siap dengan adab-adab meletakkan sudu garfu. Kedengarannya seperti remeh, namun mungkin kerana terbiasa perkara ini menjadi amalan seisi keluarga kami.
Saya adik beradik, termasuk bapa tidak pernah tidak membasuh pinggan/cawan yang kami gunakan (kecuali ada orang lain tolong basuhkan hehe…) bahkan di dapur rumah kami tidak akan terlihat ada pinggan mangkuk tidak bercuci di dalam sinki ataupun yang telah dicuci tidak disusun terus ke raknya. Ibu mewajibkan kain baju yang sudah kering dilipat setiap hari dan disimpan ke dalam almari sebelum tidur. Biasanya ibu yang melipatkan baju-baju kami pada waktu petang. Kau akan kagum melihat hasil lipatan ibu, tanpa pengukur tetapi sama kesemua bucunya. Ibu juga “pantang” andai terdapat pakaian (terutamanya pakaian dalam) sama ada yang sudah dicuci ataupun belum ditinggalkan di dalam bilik mandi, wajib kau sidai di ampaian yang tersorok. Memang tidak berani ingkar larangan ini. Alasan ibu, simple sahaja… apakata tiba-tiba rumah kau dikunjungi tetamu dan tetamu ini masuk ke bilik air lalu melihat baju kecil atau seluar kecil kau. Malu oii. Lagi-lagi pula tetamu itu rupanya orang yang sengaja datang hendak merisik hal keluarga kau.
Ibu bukanlah seorang wanita yang terlalu berfesyen, namun dia sentiasa anggun dengan baju kurung, kemeja labuh, skirt labuh ataupun jubah. Saya tidak pernah melihat ibu memakai seluar jeans walaupun semasa ibu muda-muda dahulu. Ibu tidak akan memakai t-shirt (walaupun berlengan panjang) jika pergi ke mana-mana, apatah lagi berseluar track. Saya selalu merasa bangga apabila berjalan dengan ibu sebab penampilannya itu. Ibu nampak muda beberapa tahun daripada usianya. Ibu tidak perlu bersenam di gim atau berjogging kerana badan ibu “maintain” langsing. Kata ibu, cukuplah bersenam dengan cara melakukan kerja-kerja rumah. Peluh keluar, rumahpun bersih!
Ok, berbalik kepada tajuk artikel saya…
CARI JODOH DARI KACA MATA LELAKI
Kalau seorang gadis (anak dara mengikut istilah Kak J) pemalas tahap gaban, bangun lewat dan cuma tahu berjalan sana sini serta melawa (dah melawa tu, sibuk selfie untuk Facebook dan Instagram), kemudian bagi alasan nanti hendak kahwin belajarlah buat kerja rumah, kau rasa mereka ini hidup berangan sahajakah? Mereka tidak pandai membantu meringankan beban tugas ibu, tiba-tiba mereka mendapat “magik” untuk menjadi penjaga makan pakai suami? Tiba-tiba mereka boleh bertukar menjadi seorang perempuan yang super power apabila menjadi menantu kepada seseorang mertua? Mereka tidak tahukah, selain suami idaman dan mertua, mereka akan berhadapan dengan ipar duai, biras, sepupu sepapat serta anak-anak saudara sebelah pihak sana? Tak… saya tak kata, kaum wanita sahaja kena mempersiapkan diri. Kaum lelaki pun W.A.J.I.B.
TETAPI DISEBABKAN CONFESSION SAYA INI BERJUDUL “MENCARI JODOH DARI KACA MATA SEORANG LELAKI”, MAKA SEBENARNYA SAYA INGIN MENCERITAKAN RAHSIA (KALAULAH SESUAI DIPANGGIL RAHSIA) BERDASARKAN PENGALAMAN, PENGETAHUAN DAN PEMERHATIAN SAYA BERSAMA LELAKI-LELAKI DI SEKELILING SAYA. MANFAATNYA BUKAN SETAKAT UNTUK ANAK-ANAK DARA, ANAK-ANAK TERUNA BAHKAN BAKAL-BAKAL MERTUA, SILAKANLAH AMBIL TELADAN.
Sebagai seorang lelaki, apabila mencari jodoh saya turut terpengaruh dengan apa yang diajarkan oleh ibu. Saya pun terfikir tentulah ibu mahukan menantu yang rajin, pembersih dan anggun seperti ibu. Jadi, saya mengusahakan mencari isteri yang memiliki ciri-ciri yang boleh menyenangkan hati ibu. Semasa di universiti, biasalah ada perasaan terpesona pada rakan sekelas/sekuliah. Tetapi saya tahankan, sebab saya tidak mampu menyiasat bagaimana mereka ini di rumah. Masa dan kewangan tidak mengizinkan, mungkin juga belum begitu gatal untuk menjalinkan percintaan.
PERKARA PERTAMA: CARI CALON YANG MENYENANGKAN HATI IBU
Saya akhirnya bekerja di sebuah organisasi dan tidak lama kemudian timbul hasrat menamatkan zaman bujang. Saya berkenan pada seorang gadis yang bekerja di sebuah pejabat berhampiran tempat kerja saya. Kami bertegur sapa secara sepatutnya sebagai “jiran” pejabat. Penampilannya sesuai dengan jiwa saya. Beberapa bulan saya perhatikan dia dan ambil tahu serba sedikit mengenai latar belakangnya secara curi-curi.
Apabila ada acara-acara yang melibatkan penyertaan kakitangan pejabat-pejabat persekitaran kami seperti sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sukan atau majlis sosial lain, si dia (saya namakannya di sini sebagai Anna) tidak kelihatan turut serta. Saya anggap Anna tidak berminat atau mungkin malas berjemur panas kerana menjaga kulit. Hahaha. Maklumlah selalu ke pejabat dengan baju kurungnya lengkap bertudung. Suatu hari kebetulan kami bertembung di sebuah cafe yang ramai orang menyebabkan terpaksa berkongsi meja. Peluanglah tu kan… Sambil makan, sambil berbual kosong (kosong tapi ada isi tau!), saya meminta nombor telefon Anna dan aplikasi Facebook serta Instagramnya. Sebelum itu ada saya mencuba mencari-cari dengan memeriksa nama sebenar dan nama-nama yang saya rasa berkaitan. Tetapi hampa, tiada. Macam tak percaya, gadis moden tidak memiliki akaun media sosial. Rupa-rupanya Anna menggunakan profil yang langsung saya tidak terfikirkan. Dah sudah mendapat nama akaun, apalagi mengintailah jawabnya. Hmmm posting adalah sedikit, gambar pula berukuran passport tidakpun foto beramai-ramai yang Anna berada jauh di belakang orang lain. Jadi, saya main whatsapp sahajalah. Tak ada gelojoh-gelojoh, hubungi sekali sekala sahaja sebab tak mahu terkantoi yang saya telah terpikat kepadanya. Teringat pesanan ibu, selidiklah mengenai gadis yang kau berkenan, jangan cepat-cepat mencurahkan perasaan.
PERKARA KEDUA: SELIDIK SEBELUM MENCURAHKAN PERASAAN
Okay guys, long short story, suatu hari tu saya hadir sebuah majlis perkahwinan kawan lama. Sebenarnya saya bukanlah rajin bab-bab makan kenduri ni, tetapi tempat majlis tersebut diadakan tidak jauh dari kampung Anna. Waktu itu cuti beberapa hari dan saya tahu Anna balik kampung. Saya pun sengaja masuk jarum, saya mesej Anna tanya-tanya tentang tempat itu. Saya katakan teringin nak singgah rumah Anna, nak lihat sawah padi. Anna kata, singgahlah. Yahoo… seronok tidak terhingga. Memanglah saya singgah rumah Anna, lebih tepat lagi rumah ibu bapa Anna. Seorang diri pula tu! Ibu bapa Anna menerima kedatangan saya dengan baik.
Saya menjadi tidak sabar hendak balik ke rumah keluarga saya keesokan harinya. Sebab apa tau? Nak mengadap ibu… nak ceritakan tentang Anna. Perasaan ingin beristeri membuak-buak je rasanya pasal saya telah berjaya melalui perkara pertama dan perkara kedua. Tolong baca semula ayat saya yang berhuruf besar ye. Anna yang saya lihat sopan berbaju kurung ke pejabat, begitulah pakaiannya di luar pejabat dan ketika saya pergi ke rumahnya. Layanan yang saya terima daripada ahli keluarga Anna, elok sebagaimana ahli keluarga saya biasa berikan kepada tetamu kami. Keadaan rumah (luar dan dalam) menyedapkan mata memandang. Semasa ke bilik air, saya melalui kawasan dapur. Confirm, ibu saya tak komplin tentang keadaan dua tempat strategik ini.
Lagi sekali, long short story… kau dah berkenan, ciri-ciri idaman kau pun dia miliki, keluarga kau pun tidak membantah, kau nak tunggu apa lagi? Mula-mula kau tanyalah si dia, dah ada orang ke? Bila katanya tak ada, jangan kau melompat sampai pecah lantai pula. Kau “cool” sudahlah bro… cakap elok-elok kau nak jadikan dia teman hidup dengan restu daripada ibu bapa. Hahaha… Aizatlah yang mengambil langkah seperti ini.
PERKARA KETIGA: BUATLAH LAMARAN SECARA TIDAK RASMI DAN RASMI
Akhirnya bernikahlah saya dengan Anna setahun yang lalu. Doakan kami berbahagia sehingga ke Jannah. Senang hati dan tenang hidup bro sebab kau tidak mendengar keluarga kau merungut isteri kau tidak pandai memasak atau mengemas rumah. Bukan saya nak puji Anna sempurna. Biasalah mana ada manusia yang sempurna segalanya. Tetapi di sini, saya hanya menceritakan perkara yang elok-elok sahaja. Jika ada yang buruk-buruk itu masalah peribadi yang kena diselesaikan sendiri. Paling penting, kau kena faham apa aku ceritakan ini menggambarkan bagaimana untuk membina sebuah keluarga, kita dipengaruhi ajaran yang baik daripada ibu bapa kita. Kita mahu membina kehidupan masa hadapan yang penuh barakah dan rahmat agar generasi berikutnya berjaya dunia akhirat.
Tutup cerita saya dan Anna.
Mengenai lelaki-lelaki di sekeliling saya. Kami pun sama seperti kaum perempuan, ada naluri ingin mencintai dan dicintai, terpesona kepada kecantikan lahiriah dan dalam masa yang sama mengharapkan pasangan yang solehah. Makna solehah ini berbeza-beza di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Kawan saya kata, solehah pun ada tingkatannya (darjat) seperti syurga yang mempunyai tujuh darjatnya. Terpulang pada pandangan masing-masing. Bagi saya, cukuplah dia menjaga pergaulan, auratnya ditutup sempurna, mengerjakan amalan wajib sepenuhnya, pandai membaca Quran, mempunyai pekerjaan yang bersumberkan yang halal dan menghormati orang lain. Cantik dan rajin pula merupakan satu bonus.
PERKARA KEEMPAT: SOLEHAHNYA DI MANA?
Kawan seuniversiti saya dahulu, Zamri (bukan nama sebenar) seorang yang digilai ramai pelajar perempuan kerana pakej pelajar cemerlang berserta wajahnya yang tampan. Sebelum hatinya dimiliki seseorang, kami yang tukang sibuk mulalah dok “matching”kan Zamri dengan sis itu sis ini dan yang paling secocoklah kononnya ialah si Mira. Kami andaikan secocok kerana Mira pun tergolong dalam kategori gadis cantik jelita, malahan memang sah-sah minatkan Zamri. Tetapi Zamri tidak memilih Mira. Alasan Zamri ialah, Mira dengan alat solek tidak dapat dipisahkan. Pakaian up-to-date. “Maintenance” tinggi, tak mampu kata Zamri. Lagi haru, emak Zamri pandai menyelongkar Facebook, Twitter dan Instagram. Dengan siapa Zamri berkawan rapat dan bagaimana kawan rapat Zamri punya perangai semua dalam poket emaknya. Hahaha… bagus makcik-makcik ni bergiat dalam media sosial. Emak Zamri mempersoalkan tentang kawan-kawan perempuan Zamri (kawan-kawan sayalah juga), yang namanya A itu setiap hari hantar gambar dalam IG tak ada kerjakah? Bersolek bukan main, entah-entah rumah pun bersepah tak sempat dikemas. Ada masakah untuk mengaji Quran kalau asyik melawa? B itu pula asyik-asyik siarkan foto apa yang dia masak. Alahhh setakat buat cucur jagung pun bagitahu orang ke? Masak kicap ayam pun snap gambar khas untuk IG. Dari situ Zamri pun dapat menangkap maksud emaknya yang spesies-spesies seperti Mira bukanlah menantu pilihan.
PERKARA KELIMA: LELAKI TAKUT PADA PEREMPUAN YANG POPULAR DI MEDIA SOSIAL
Saya dengan kawan-kawan lelaki seuniversiti, samalah juga dengan kaum perempuan bila bersama-sama perempuan iaitu SUKA BERGOSIP. Tahu apa yang kami gosipkan? Pasal perempuanlah… Selain yang di hadapan mata, kat media sosiallah perempuan-perempuan ini menjadi punca gosip. Kawan yang ini kata, dia takut pada “girl” yang itu pasal mak oiii seksi. Seorang kawan pula kata, yang bertudung litup pun asyik keluar dalam Facebook dan Instagram, ustaz yang tengok pun terliur apatah lagi sang buaya. Seorang lagi mencebikkan bibir, katanya si anu tu selalu sangat update status seperti orang putus cinta kecewa menonggeng. Si anu tu macam gatal nak berlaki dengan ayat-ayat “bergetar tulang rusuk kiri”, “halalkan ikatan” dan sebagainya.
Dari gosip-gosip tersebut, saya jadikan contoh teladan kepada adik perempuan saya. Saya bagi amaran/nasihat… kau tak payah tunjuk sangat diri kau dalam media sosial. Bukan bakal suami sahaja tengok, bakal mertua, bakal ipar, bakal biras, bakal sepupu dan segala bagai bakal lagi tumpang lihat/baca kau punya status. Bentengkan diri dengan perasaan malu, barulah kau boleh berdoa “Ya Allah, kurniakan aku pasangan yang beriman”. Sayapun dahulu, bila keluarga diberitahu mengenai Anna, masing-masing minta nak lihat akaun Facebook dan Instagram Anna. Saya bagikan aje… akaun yang hidup segan mati tak mahu tu korang koreklah puas-puas.
PERKARA KEENAM: KAMI MENYIASAT
Untunglah kita boleh siasat perihal bakal pasangan kita melalui internet. Kau rajin, macam-macam kau jumpa. Ada kawan ini, cerewetnya tahap dewa. Kerjanya menyiasat tentang gadis yang cuba merapati atau dirapati. Sudahlah maklumat di internet dikumpulnya, cara manual pun dibuatnya. Sampai ke saat ini, asyik “reject”lah gegirls yang terlibat. Itu tak kena, ini tak betul. Ok bro, siasat-siasat tu kira patut-patut dahlah ye…
PERKARA KETUJUH: KAU RASA “SWEET” TAK MACAM KISAH INI?
Kakak saya sudah mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lalu. Pasal aurat dan kerajinan menguruskan rumah alhamdulillah saya nampak ada dia mewarisinya daripada ibu kami. Ibu mentua kakak setakat ini sangat ngam dengan kakak, malah dengan ibu saya pun rapat hubungan mereka (sesama besan) (ibu mentua saya pun sama, hehehe). Para besan ini kalau berkunjung ke rumah ibu bapa saya memang mereka akan memuji kerajinan ibu saya. Puji pi lah, benda betul.
Suatu hari, mentua kakak (saya panggil pakcik dan makcik M) datang ke rumah dengan sahabat baik mereka (saya panggil pakcik dan makcik S). Bersama mereka, seorang anak lelaki kepada pakcik dan makcik S bernama Khairul. Seperti biasa, tetamu dilayan sebaik mungkin – dihidangkan makan minum, disediakan tempat solat dan keperluan lain. Makcik-makcik ni pula rutinlah mereka suka meronda dalam rumah; belek langsir, tengok dapur dan mencari pokok bunga. Pakcik-pakcik dah keluar ke tempat jual ikan. Geng muda-muda (saya, Anna, kakak, abang ipar, Khairul dan adik-adik saya) meneruskan kerja masing-masing. Kakak, Anna dan Hanisah (adik perempuan saya) sibuk mengemaskan meja dan dapur serta pinggan mangkuk, abang ipar mengawasi anak-anaknya bermain sementara saya dan adik lelaki berbual-bual dengan Khairul. Saya perasan mata si Khairul ni asyik mencuri-curi pandang pada Hanisah. Cantik adik saya ni, sebab saya pun hensem. Please… jangan kecam saya, jangan kata saya perasan atau riak.
Long short story (lagi sekali istilah mat saleh ini muncul), sebulan selepas itu makcik S menghubungi ibu saya. Katanya, dia dan pakcik S datang tempoh hari memang saja-saja hendak melihat Hanisah kerana mereka sebelumnya bertanya kepada pakcik dan makcik M sama ada kakak mempunyai adik. Sebabnya mereka perhatikan kakak sebagai menantu yang baik kepada pakcik dan makcik M, maka teringin pula mereka memiliki menantu seperti kakak. Setelah berjumpa keluarga kami dan mengenali Hanisah, mereka terus berkenan. Khairul pun suka. Jatuh cinta pandang pertama barangkali. Jika Hanisah setuju dan kami sebagai ahli keluarga yang lain sudi menerima, mereka ingin melamar Hanisah untuk dijadikan suri hati Mr Khairul.
Hanisah baru sahaja tamat pengajian peringkat ijazah dan belum bekerja pun. Semua orang mengucapkan syukur dan menganggap betapa bertuahnya Hanisah, tanpa susah payah melalui liku-liku percintaan yang belum tentu menjadi jodoh, tanpa mempromosikan dirinya di laman sosial, Tuhan hadirkan seorang lelaki baik, berpendidikan, bekerjaya bagus dan kacak (mengalahkan kehenseman saya pulak tu!) sebagai pemimpin dalam rumah tangganya kelak.
Kau ingat Hanisah nak menolak ke? Tak adanya. Kau tahu, semasa saya perasan Khairul dok mencuri pandang pada Hanisah, kakak dan Anna pula sedar Hanisah pun berbuat perkara yang sama. Saya tanya ibu, apa sudah jadi ni… adik tak nak kerja ke, sudah mahu kahwin? Jawab ibu, ibu selalu berdoa agar anak-anak ibu dijodohkan dengan pasangan yang beriman. Apa lagi yang hendak dicari, calon yang sesuai telah menyerah diri. Selamat bertunang sudah si Hanisah dan Khairul, bulan Mac tahun hadapan mereka akan dinikahkan.
AKHIR KALAM, DOA ITU SENJATA ORANG MUKMIN
Wahai anak-anak dara, anak-anak teruna dan ibubapa sekelian, berdoalah semoga usaha dan persiapan yang kalian buat tidak sia-sia.
– Aizat, abang hensem –
Sumber: IIUM Confessions
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI