Nampaknya kes mahkamah melibatkan pelakon Hollywood, Johnny Depp dan Amber Heard mendapat liputan meluas di seluruh dunia kerana ia melibatkan dua selebriti berprofil tinggi di Amerika Syarikat. KIsah rumahtangga mereka menjadi tontonan umum di sepanjang prosiding sekaligus membongkar pelbagai kisah ‘dalam kain’ bekas pasangan suami isteri itu. Yang nyata, empunya badan turut menyifatkan ia sebagai ‘sesuatu yang memalukan’.

Meskipun begitu, tindakan pelakon filem The Pirates of the Caribbean itu adalah bagi membersihkan namanya atas tuduhan melakukan keganasan rumah tangga selepas Amber menulis satu artikel mengenai isu tersebut menerusi portal Washington Post pada 2018. Malah pada Khamis minggu lalu, mahkamah di Virginia mendapati Johnny tidak bersalah dan keputusan itu disifatkan sebagai telah membersihkan namanya daripada terpalit dari sebarang pertuduhan..

Usai segala perbicaraan di mahkamah, ia membongkar sebuah kisah perkahwinan di mana lelaki juga turut terpalit sebagai mangsa keganasan rumah tangga dan sekaligus membuktikan isu hubungan tidak sihat atau toxic relationship memberi kesan terhadap rumah tangga.

Apa sebenarnya yang boleh dipelajari daripada kes pasangan ini? Berikut adalah lima perkara perlu diberi perhatian dalam mengenal pasti sama ada seseorang berada dalam toxic relationship atau pun sebaliknya.

IKLAN

1. Adakah sudah benar-benar kenal pasangan?

Disebabkan cinta, seseorang boleh menjadi ‘buta’ untuk melihat perkara yang terbentang di hadapan mereka. Namun penting bagi memahami hubungan yang terjalin sama ada ia sihat atau pun sebaliknya. Ini kerana toxic relationship bukan hanya tentang kekerasan verbal atau fizikal, tetapi juga tentang kesihatan mental.

2. Kenali ‘red flag’

Apabila hati sudah tertawan, biasanya pada peringkat awal percintaan semua sikap buruk pasangan akan diabaikan meskipun ia boleh menceritakan tentang personaliti sebenar mereka. Penting untuk mengenali tanda-tanda itu sejak awal hubungan kerana ia boleh mengelak diri daripada terjerat dengan sikap manipulasi pasangan anda. Belum terlambat untuk angkat kaki sebelum keadaan bertambah rumit.

IKLAN

3. Berani ‘angkat tangan’ bukan perkara normal

Jangan sesekali menganggap penderaan secara fizikal perkara biasa dan dilupakan dengan hanya kata maaf. Percayalah, ia akan berulang dan menyebabkan hubungan itu menjadi tidak sihat. Ia juga bukan tanda sayang atau cinta tetapi petanda anda telah terjerat dalam dunia yang dicipta oleh diri sendiri.

IKLAN

4. Saling menyalahkan

Perilaku saling menyalahkan atau gaslighting juga adalah sejenis penderaan emosi yang cukup biasa dalam sesebuah hubungan. Jika merasakan berlakunya perkara tersebut dan ia sudah berlarutan, melepaskan si dia adalah jauh lebih baik daripada mempertahankan hubungan yang tidak sihat.

5. Perceraian

Mengambil contoh Johnny dan Amber, mereka memilih untuk bercerai selepas dua tahun berkahwin meskipun bukti yang dikemukan di mahkamah menunjukkan hubungan tidak sihat mereka sudah bermula sebelum mereka mendirikan rumah tangga Boleh dikatakan, keputusan bercerai itu sudah terlewat kerana ia meninggalkan kesan cukup mendalam kepada diri masing-masing selain saling menyalahkan dengan pelbagai tuduhan sehingga kes di bawa ke mahkamah. Pun begitu, keputusan dibuat adalah tepat kerana masing-masing sedar, hubungan mereka bukan berlandaskan cinta tetapi rasa dendam dan benci antara satu sama lain.

Sumber: MStar