
Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun, pagi Isnin.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 28 September 2026. Berita pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir seperti dilaporkan Bernama.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah tentunya meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah rakyat Malaysia yang mengenali beliau sebagai seorang tokoh perubatan, pejuang kesihatan wanita serta figura yang cukup dekat dengan masyarakat.
Dilahirkan pada tahun 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal menceburi bidang perubatan. Beliau menamatkan pengajian perubatan pada 1955 sebelum menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Sepanjang kerjayanya, beliau mencipta beberapa sejarah termasuk menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak pada 1965 serta wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Negeri pada 1974.
Selain kerjayanya dalam bidang perubatan, Tun Dr Siti Hasmah turut dikenali menerusi usaha memperjuangkan isu kesihatan wanita, perancangan keluarga, pembanterasan penyalahgunaan dadah dan pendidikan masyarakat.
Kisah rumah tangganya bersama Tun Dr Mahathir juga sering mendapat perhatian ramai. Pasangan itu bertemu ketika sama-sama menuntut dalam bidang perubatan sebelum mendirikan rumah tangga pada Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh orang anak.
Pada Ogos lalu, Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir sempat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70. Dalam bulan yang sama, pasangan berkenaan turut menerima pengiktirafan rekod selepas masing-masing mencapai usia lebih 100 tahun.
Sepanjang puluhan tahun mendampingi Tun Dr Mahathir, termasuk ketika suaminya menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah kekal dikenali dengan perwatakannya yang sederhana serta penglibatan aktif dalam pelbagai usaha kemasyarakatan dan kesihatan.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah menutup satu lembaran panjang kehidupan seorang wanita yang bukan sahaja dikenali sebagai isteri kepada seorang negarawan, tetapi turut meninggalkan legasi tersendiri dalam bidang perubatan dan kesihatan awam negara.