

Apabila ketua telah mengeluarkan arahan dan perintah, maka dengan mudah orang-orang bawahannya akan akur dan menurut tanpa membantah.Justeru segala yang dirancang oleh ketua dapat dilaksanakan dengan mudah dan berjaya.
Begitulah juga bagi seorang suami yang soleh,menanam kecintaan kepada agama dalam diri ahli keluarganya akan menjadi mudah apabila suami yang memainkan peranan utama bermula dari awal pagi.Isteri pasti akan membantu dan anak-anak akan sentiasa akur,kerana mereka sangat menghormati ketua iaitu suami yang juga seorang ayah.
Bila Pasangan Kita Ada Rupa, Mesti Selalu Buruk Sangka Sampai Hati Jadi Tak Tenang

Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia seperti ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup dan keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.
Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Berkahwin menjadi wajib apabila seseorang itu berkemampuan fizikal dan mental serta bimbang diri terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina.
Perkahwinan boleh menjadi sunat apabila seseorang itu yakin tidak terjebak zina dan maksiat. Namun, pada masa sama dia tidak ragu untuk berkahwin kerana mampu menyediakan keperluan asas dan menjaga kebajikan isteri dengan baik. Makruh melangsungkan perkahwinan seandainya seseorang itu bimbang melakukan kezaliman terhadap isteri seperti tidak mampu menyediakan keperluan asas.
Kebimbangan itu tidak cenderung kepada yakin, tetapi sedikit ragu saja. Individu diharamkan berkahwin ialah yang mempunyai kesanggupan berkahwin, tetapi menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti lelaki yang berkahwin bertujuan menyakiti bakal isterinya. Maka, perkahwinan itu hukumnya haram. Itu hukum berkahwin yang digariskan syarak.
Apabila sudah berkahwin, maka setiap pihak terikat dengan hukum yang ada dalam perkahwinan itu sendiri iaitu yang membabitkan hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri serta isteri terhadap suami. Tanggungjawab dipikul itu akan memberi kesan kepada imbangan amalan yang menjadi bekalan kepada kehidupan abadi
di akhirat kelak.
Komunikasi, berkasih sayang, bermesra antara satu sama lain adalah satu keperluan dalam perkahwinan. Apabila keperluan itu terlaksana, maka akan memudahkan setiap pasangan mencapai matlamat perkahwinan. Kehidupan dan kebahagian di dunia akan dirasai dan dinikmati walau apa ujian yang menimpa.
Namun, apabila ciri-ciri kebahagiaan dan keperluan dalam perkahwinan itu gagal ditunaikan, ia memberi kesan kepada kedua-dua pihak. Sepertimana puan alami ketika ini, ketiadaan komunikasi yang harmoni, kemesraan dan belaian kasih sayang tertera daripada sikap dan layanan suami terhadap puan.
Perbuatan buruk sangka dan tuduhan negatif itu adalah merupakan percikan hasutan syaitan yang tidak mahu melihat umat Nabi mendirikan sunahnya. Jika keadaan sedemikian dibiarkan, ia boleh menyebabkan kegagalan perkahwinan mencapai matlamatnya. Akhirnya menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Lebih buruk lagi, jika berlaku kezaliman dan pengabaian tanggungjawab suami atau isteri yang dipersoalkan di akhirat nanti.
Justeru, keadaan sedemikian tidak wajar dibiarkan dan berterusan dengan masing-masing membuat hal sendiri. Pasti setiap tindakan mempunyai punca yang hanya diketahui kedua-dua pihak. Ibu bapa atau keluarga adalah orang asing yang tidak tinggal bersama dan sudah pasti tidak mengetahui apa yang berlaku.
Cari masa sesuai seperti bercuti ke suatu tempat tanpa gangguan juga tanpa anak-anak.Dalam usaha penyelesaian dan perdamaian, tiada salahnya untuk meletakkan ego dan memohon maaf. Sebagai suami isteri mungkin ada beberapa sikap atau perbuatan yang tidak disenangi pasangan. Oleh itu, mohon kemaafan terlebih dahulu, akui sebarang kesilapan serta perbaiki diri masing-masing. Langkah perdamaian itu adalah perkara baik yang disukai Allah.
Mohon doa supaya niat untuk membuat kebaikan iu dipermudahkan dan dilembutkan hati kedua-duanya. Pembabitan orang ketiga pada peringkat ini belum diperlukan kerana masalah yang berlaku adalah masalah dalaman yang hanya diketahui pasangan suami isteri. Jika usaha perdamaian tetap gagal, puan boleh merujuk masalah ke Bahagian Kaunseling di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri.
Di sana kaunselor menjalankan sesi kaunseling dan cuba menyelesaikan masalah puan supaya perkahwinan dapat dipertahankan dan matlamat perkahwinan dapat diteruskan.
Penulis peguam syarie
Bila Suami Diberhentikan Kerja, Isteri Kenalah Bijak Untuk Kurangkan Beban

Hidup ini penuh dengan perkara yang berlaku secara ‘tiba-tiba’. Jika tiba-tiba terjadi sesuatu yang menggembirakan pasti hati kita rasa bahagia. Namun bila perkara sedih menimpa, pastinya hal tersebut akan menguji kesabaran dan ketabahan diri dalam mengharunginya.
Namun persoalannya, adakah kita sebagai isteri telah mempersiapkan diri untuk menempuh saat-saat tidak terduga? Sebagai contohnya, andai suami tidak lagi bekerja.
Melalui perkongsian daripada Puan Nurul Ilyani ini diharap dapat menyalurkan motivasi dan inspirasi kepada wanita bergelar isteri. Jom semak perkongsian penuh daripadanya untuk manfaat bersama.
9 tip melalui situasi andai suamimu tidak lagi bekerja..
Wanita bersuami perlu bersedia, suami diberhentikan kerja, berhenti sukarela atau berhenti dengan persetujuan bersama. Isteri perlu bersedia hilangnya tempat bergantung saat suami kembali kepada Tuhannya.
Beberapa hari lepas, suami saya membawa berita yang tidak berapa baik. Namun, kami sudah bersedia. Dari dulu sentiasa bersedia. Tiada yang kekal di tangan kita.
Firman Allah azza wa jalla
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
Al An’am ayat 32
10 tahun lepas, apabila kami mendirikan rumah tangga, kami sudah merancang kehidupan bagaimana yang kami mahukan. Ia bukan yang indah-indah.
- Tiada percutian mewah.
- Tiada rumah mewah-mewah. Malah rumah pertama kami beli, kondominium berharga RM142k pada tahun 2010. Ia bersesuaian dengan kemampuan kami.
- Tiada kereta mewah. Di saat rakan-rakan seperjuangan saya di satu syarikat kewangan dulu memprovokasi saya membeli Toyota Camry untuk impress pelanggan (sangat normal jika kerja begini, mereka suka impress pelanggan, tapi bukan saya), kami memilih Toyota Avanza yang sekarang masih ada sehingga kini.
- Tiada 2 kereta. Kebanyakan orang yang bekerja akan perlukan 2 kereta terutamanya yang tempat kerja tiada pengangkutan awam yang baik. Kami masih bertahan dengan satu kereta, dan suami hanya naik motorsikal yang dibeli cash pada tahun 2015.
- iada barangan branded. Ini memang tagline kami. Pilih yang paling murah dengan kualiti. Biasanya suami akan tukar kemeja dan seluar bundle setahun sekali dengan yang lebih baik. Kos tukar semua paling tinggi pun RM50 dapat hampir 10 pasang baju dan seluar, ikut harga.
- Tiada baju branded juga buat anak-anak.
- Tiada juga kasut dan hand bag branded. Apa yang ada pakai.
Tapi, jangan salah faham. Bukan kedekut. Bukan tidak mampu. Inilah namanya hidup 50% di bawah garis kemampuan.Contoh, sekiranya anda mampu membayar kereta dengan installment RM1200, maka pilih kereta dengan installment RM600. Habis. Itu strategi ikat perut. Jadi kemana duit jika asyik ikat perut?
- Pendidikan anak-anak. Kami sentiasa memastikan kualiti. Bayar mahal tak apa, janji sesuai, bagus dan demi kebaikan anak-anak
- Ibubapa
- Simpanan
- Pelaburan semula-Bisnes, hartanah, emas
Cukup dulu. Kenapa saya cerita di atas, ini untuk kita betulkan mind setting. Hidup seadanya supaya berlaku sesuatu kita tidak terduduk lesu. Tip ini, jika sudah diamalkan boleh teruskan, jika belum, mulakan untuk tahun-tahun seterusnya.
Tip 1 – Kereta
Beli kereta berharga setahun gaji. Jadi kalau anda baru bekerja, kira. Gaji 3000×12=36,000. Beli kereta harga 36,000. Kalau kahwin, tiba-tiba ada dua kereta, fikir apa nak buat dengan salah satu. Kereta ini bebanan. Bukan aset.
Tip 2 – Rumah
Beli rumah 3 kali gaji tahunan. Kalau gaji 40000 setahun x 3= 120,000. Kalau bajet cukup beli rumah flat, beli sajalah. Ukur baju di badan sendiri.
Tip 3 – Urus wang
Urus wang suami isteri, kena urus sama-sama. Bukan akaun awak, akaun awak, akaun saya, akaun saya. Pastikan suami bayar semua kewajipan dan tanggungjawab dia sampai habis duit gaji dia (minta maaf, ini mesti suami ramai kecam), baru isteri masuk tolong. Top up mana yang tidak cukup. Ini supaya suami tidak salah faham dan lepaskan tanggungjawabnya kepada isteri. Kes begini saya biasa jumpa semasa saya jadi perunding kewangan. Suami culas.
Isteri pula jangan kedekut tahi hidung masin dengan suami. Kalau suami tidak cukup, bantulah. Begitulah saya buat. Dulu pendapatan saya 2 kali ganda suami. Saya bayar majoriti, tapi saya masuk lepas suami habis bahagikan duit untuk pembayaran tanggungannya. Bukan saya masuk dulu.
Dari situ suami saya sentiasa berazam mahu naik gaji, naik pangkat dan mahu memikul tanggungjawab kewangan. Sehingga saya boleh duduk di rumah dan buat bisnes. Suami masih jadi investor bisnes saya.
Tip 4 – Tahu anda di didik dengan parenting bagaimana dan bagaimana anda parenting anak anda?
Sekiranya anda dari keluarga kelas pertengahan atau atasan yang banyak ibubapa manjakan, hati-hati anda mungkin tidak mampu survive tanpa anda meningkatkan survivaliti anda.
Ibubapa saya dari kelas B40, ibubapa susah. Saya susah dari kecil. Saya sudah bisnes dari kecil. Setiap sen sangat bernilai, jadi lebih mudah adjust dengan kegawatan dan kesusahan.
Jadi, biasakan anak-anak hidup susah. Bukan serba kekurangan makan sihat, pendidikan, tempat tinggal, tapi susahkan dari segi proses untuk mereka mendapatkan sesuatu. Perlu kerja, perlu berjualan, perlu bisnes supaya mereka faham susahnya cari duit.
Tip 5 – Mulakan dari sekarang turunkan gaya hidup.
Sedikit-sedikit buang lifestyle, ambil yang perlu saja. Apakah lifestyle? Hobi mahal yang perlu kos, entertainment, percutian dan sebagainya sehingga anda dapat mengumpul satu amount kecemasan sebanyak 3 bulan gaji dana kecemasan. Kemudian, tambah lagi kepada 6 bulan. Kemudian hiduplah macam biasa dan tidak berlebih-lebihan.
Tip 6
Mula tambah pendapatan dengan bisnes. Tiada cara lain memang perlu bisnes. Juallah apa saja dengan modal kurang dari RM2000. Lagi kecil lagi baik. Untuk orang yang tidak pernah bisnes, jika salah langkah terbakar duit. Cari pengalaman.
Tip 7
Belajarlah. Menuntutlah. Membacalah. Itu saja membezakan orang yang tahu dan tidak tahu.
Tip 8
Hentikan alasan. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Dia bolehlah. Aku ni macam mana? Semua kata-kata negatif, hentikan. Bertindak dengan satu langkah pertama.
Tip 9
Doa. Allah azza wa jalla seperti sangkaan hambaNya. Kita sangka baik, inshaAllah. Yang teruk, yang buruk, yang sengsara pun boleh diharungi. Ya, saya mengingatkan diri saya. Dunia tidak pernah tidak memenatkan. Kita semua penat. Jadi ambillah seadanya. Jangan sampai lupa akhirat.
Wallahu’alam.
sumber :Nurul Ilyani
Hidupkan Ta’lim Di Rumah. Moga Allah Jaga Kita Agar Tak Digoda Syaitan Hingga Sanggup Curang

Masih ramai yang gagal mencari kunci bahagia dalam rumahtangga, nampak manisnya di media sosial kadang belum tentu hatinya benar-benar menikmati kasih sayang daripada pasangannya.
Sebab itulah kena hidupkan TA’LIM di dalam rumah, sama-sama baiki mana yang kurang dan bagi Allah jaga hati kita agar tidak mudah digoda syaitan sampai sanggup CURANG!
Nauzubillah, bak kata saudara Muhammad Hassan, tolonglah betulkan niat nak kahwin dan pimpin pasangan ke syurga.
Hidupkan TA’LIM Di Rumah
Perkara pertama saya lakukan apabila baca kisah keretakan rumah tangga, suami curang. Saya istiqhfar banyak-banyak, saya peluk isteri dan anak tanda syukur punyai isteri yang baik. Saya pesan kepada isteri.
“Awak Tolong doa untuk saya ya, agar tidak termakan godaan syaitan untuk hampiri maksiat. Tolong doakan saya ya.”
Sepanjang hari saya fikir tentang ini. Saya takut baca kisah begini. Takut sangat untuk herdik, perli, maki, hina orang lain, takut sangat terjadi kepada diri sendiri. Setiap lelaki akan diduga dengan wanita-wanita cantik.
Saya harap para suami yang pernah curangi isteri agar lebih menghargai si dia. Bagi tumpuan sepenuh hati kepada isteri dan anak. Tidak lekang di bibir memohon maaf, tunaikan HAK ISTERI, tulis setiap hari kebaikan isteri, ingat sentiasa keburukan kita. Buka buku baru. Hidupkan TA’LIM di rumah, luangkan masa dimasjid, luangkan masa di masjid. Kita semua ada kesilapan dan kesilapan itu bukan sahaja berhajat kepada kemaafan bahkan perlu taubat nasuha.
Suami mana tidak sayangkan isteri. Namun tewas dengan godaan syaitan, lemah diulik nafsu, tergoda dengan lunakan suara, rebah dek kerana kecantikannya. Pujuklah hati,ini semua dugaan dan ujian untuk kita. Fikir apa kesan jika curangi isteri.
Nabi s.a.w teladan yang terbaik dalam melayani isteri-isteri baginda. Tenang,bahagia saat isteri bersama baginda Muhammad s.a.w, bahkan Nabi Muhammad s.a.w melarang kita untuk memukul wajah, mengherdik isteri.Lihatlah cinta Nabi Muhammad s.a.w terhadap khadijah r.ha. Setelah 3 tahun wafatnya khadijah r.ha barulah Baginda berkahwin dengan Saudah rha dan Seterusnya Aisyah R.ha dLL.
Betulkan Niat Nak Kahwin
Saya selalu pesan kepada anak-anak muda. Jika sayang awek, jaga si dia betul-betul, niat untuk kahwini dia. Belajar dan kerja sungguh-sungguh. Jangan lupa mantapkan ilmu agama. Ambil tahu basic ilmu KELAHIRAN,PENYUSAAN dan Ilmu bagaimana untuk jaga emosi isteri ketika berpantang.(POSTPARTUM).
Kenang balik jerit perih mereka kandungkan anak kita, betapa sakitnya untuk lahirkan anak. Setiap minit contraction berlaku sehingga ada yang lebih rela untuk dibedah. Bang, mereka pernah ‘mati’ untuk lahirkan anak kita, lagi sedih setelah bersalin bermacam penyakit pula dapat.
Saya pernah jumpa seorang ibu dukung anak Epidermolysis Bullosa (Penyakit kulit rapuh). Kuatnya ibu itu setiap masa lap darah anak sehingga darah menitis ke lantai. Beginilah seorang ibu, seorang isteri 100% jiwanya untuk keluarga ini.
Tiada lagi istilah ME TIME untuk mereka, tiada lagi reunion bersama rakan perempuan, sanggup berhenti kerja demi menjaga anak yang sakit. Tiada lagi masa untuk ziarah ibu bapa di kampung, bahkan kadang-kadang setahun sekali dapat jumpa ahli keluarga yang lain. Ini semua untuk kita para suami.
Kadang-kadang merekalah doktor, misi, merekalah cikgu, merekalah ustazah, merekalah chef, merekalah security untuk anak-anak.
Pimpinlah Isteri Dan Anak-anak
Sebagai suami kita adalah pemimpin untuk isteri dan anak-anak. Bagaimana kita dapat PERBAIKI mereka untuk taat Allah dan Rasul. Bagaimana agar kita pertaruhkan nyawa kita untuk MELINDUNGI mereka dan bagaimana untuk kita beri PERHATIAN kepada mereka setiap massa.
Jika kita fikirkan kecantikan semata ia akan pudar ditelan usia. Sememangnya Wanita diciptakan Allah cantik dimata lelaki. Sedangkan perkahwinan bukan untuk ‘bersedapan’ sahaja, bahkan ia satu amanah yang besar dari Allah. Boleh jadi perkahwinan ini asbab kita masuk syurga, sebaliknya akan menempah bara api neraka.
Perbaiki niat kita,kahwin untuk dapat redha Allah, untuk pegang tangan pasangan sama-sama masuk syurga.