
Kalau dah jodoh tak ke mana. Walaupun sudah lama mengenali antara satu sama lain tapi tak pernah bertegur sapa saat berjumpa, namun siapalah kita untuk menidakkkan jodoh kalau itu yang telah ditetapkan untuk kita.
Sama jugalah dengan kisah pemuda bernama Amir Rahim ini saat dia berkongsi pengalamannya sebelum berkahwin dengan isteri tercintai, Azira Said yang juga teman baik kepada sepupu rapatnya.
For 3 consecutive days, chat kat FB dgn Whatsapp, hati terus tergerak nak lamar dia ? and Alhamdulillah dia ada perasaan yg sama. Actually, kitaorang baru je moved on selepas ditinggalkan kekasih memasing sebelum tu – Amir Rahim
Sememangnya perancangan Allah untuk setiap hamba-hamba-Nya cukup cantik dan sempurna. Tiada siapa yang menyangka pada tahun 2016 dulu mereka bertemu dan bersua muka, tanggal 2 Disember 2017 menyatukan pasangan ini sebagai suami isteri juga di lokasi yang sama. Semoga perkahwinan pasangan ini akan terus diberkati dan berkekalan buat selama-lamanya.
Suami Kita Tak Kaya Dari Segi Duit. Tapi Hati Isteri Tersangatlah Tenang Bila Suami Kaya Budi Bahasa

Realitinya berapa ramai suami yang tak pernah berkira dalam membelanjakan wang ringgit, masa malah tenaga yang mereka ada untuk menggembirakan hati isteri. Bukan tiada, ada sebenarnya. Cuma isteri sajalah yang boleh jawab pertanyaan ini. Ini cara lebatkan rezeki suami. Sepanjang masa, isterilah yang akan berada di samping suaminya. Jadi nak tahu pemurah atau tak suami, isterilah yang paling dekat dan boleh jawab.
Salah satu cara nak bagi suami murah rezeki adalah dengan memberi sedekah pada isteri sendiri. Sedekah bukan saja wang ringgit. Sedekah masa, sedekah tenaga itupun dikira sedekah. Suami yang pemurah, takkan pernah berkira kalau kena basuh baju sendiri, isteri dan anak-anaknya. Sesekali turun ke dapur siapkan sarapan pagi untuk anak isteri.
Mungkin, suami kita tak kaya dari segi duit. Tapi hati isteri akan jadi tersangatlah tenang bila suami kita kaya budi bahasa. Suami yang kaya, adalah suami yang sentiasa berusaha menggembirakan orang di sekelilingnya. Biarlah dia letih sedikit. Dia tetap bahagia tengok orang lain bahagia.

Cara Buat Suami Murah Hati Bersedekah Pada Isteri
Memandangkan bukan semua suami bermurah hati dengan isterinya. Ada cara sebenarnya nak pujuk suami agar bermurah hati dan rajin bersedekah dengan isterinya
1. Isteri sendiri pun jangan terlalu ‘macam-macam’. Tengoklah kemampuan suami takat mana. Kalau dia cuma mampu menyediakan rumah sewa, janganlah kita memaksa suami belikan rumah mewah. Kelak, hidup kita dikelilingi hutang hanya kerana suami nak usahakan juga sedekah sebuah rumah untuk isterinya.
2. Isteri sendiri kenalah pemurah. Bukan saja pemurah dari segi wang ringgit. Tapi pemurahlah melayan dengan baik ibu bapa suami malah adik-beradik suami.
Hubungan baik itu akan buatkan suami jadi tenang. Mudah saja nanti nak minta suami hulurkan sedekah kepada kita. Percayalah! Suami memang takkan teragak-agak jika kita ikhlas sayangkan orang-orang yang pernah membesar dan berjasa dengannya.
3. Awas! Kata-katamu. Adatlah hidup berumah tangga ada masa tenang macam air tasik. Ada masa bergelora macam Laut China Selatan. Tengah marah sekalipun, jangan sampai keluar ayat-ayat yang menyakitkan.
Biarlah cuma ayat-ayat cinta pedas menusuk ke kalbu isteri berikan pada suami. Isteri yang bijak adalah isteri yang pandai bermain dengan bahasa. Kalau marah pun, marahlah dalam gurauan. Hati pun tak sakit, tapi pedasnya terasa.
4. Mengalahlah untuk satu-satu perkara yang memberi manfaat pada suami mahupun isteri. Kadangkala terlalu ego dan menegakkan benang yang basah pun ada tak eloknya.
Mungkin di mata kasar, isteri kalah. Tapi hikmahnya, isteri telah menang besar.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Tolong Jangan Buat 4 Perkara Ini Ketika Bertunang! Bimbang Mendatangkan Kesan Tak Dijangka

Sesetengah pasangan jika ingin mendirikan rumah tangga pasti akan melalui fasa pertunangan dan seterusnya ke perkahwinan. Tapi ada juga yang memilih untuk terus berkahwin tanpa bertunang dulu. Walau bagaimanapun, itu pihak masing-masing.
Setiap pasangan yang bertunang wajib menjaga adab dan akhlak pertunangan dari awal lagi kerana jika tidak dipelihara perkahwinan tidak diberkati Allah SWT. Walaupun pasangan itu diikat dengan tali pertunangan, mereka perlu ingat bahawa mereka seperti orang lain iaitu bukan mahram.
Dipetik dari Purewow, di bawah ini dinyatakan empat perkara tentang pertunangan yang sebaiknya tidak dimuatnaik di media sosial.
1. Jumlah karat
Tak perlu memuatnaik di media sosial berapa karat cincin yang anda pakai. Tak perlu pula memberitahu netizen berapa harga cincin yang dibelikan oleh pasangan anda. Selain menimbulkan kecemburuan sosial, memberitahu harga cincin di media sosial membuat anda nampak sombong.
2. Mengumumkan di media sosial sebelum memberitahu keluarga besar
Mengumumkan pertunangan di media sosial sah-sah saja. Tetapi jika mengumumkannya sebelum memberitahu saudara dan keluarga, boleh membuat perasaan mereka terluka. Bayangkan apa yang mereka rasakan ketika dapat tahu pengumuman pertunangan anda dari media sosial. Sebaiknya rahsiakan rancangan pertunangan anda dan beritahu secara diam-diam pada keluarga. Setelah itu baru umumkan khabar bahagia ini di media sosial untuk memberitahu teman-teman anda.
3. Tarikh dan butir-butir acara
Muat tarikh, tempat, dan butir-butir acara pertunangan di media sosial adalah hal yang sebenarnya tidak perlu dilakukan. Sebab seharusnya maklumat ini hanya diagihkan kepada mereka yang diundang.
4. Future Mrs
Anda sangat optimis meletakkan namanya di profil dengan gelaran Mrs. Ini adalah berita baik. Namun jika terlalu berlebihan di media sosial, boleh membuat followers anda rasa bosan dan menghapuskan persahabatan anda.
Bertunang Musim Raya Lebih Mudah, Jimat Dan Boleh Jemput Saudara Terdekat Sahaja

Pertunangan adalah janji bagi kedua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perkahwinan dan selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Antara persoalan yang selalu timbul di dalam pertunangan ini, adakah dibenarkan syarak untuk mengiklankan atau dihebahkan pertunangan tersebut sepertimana diiklankan majlis perkahwinan atau pun tidak.
Sebahagian ulama’ melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة
Maksudnya: Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.
Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:
وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ
Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.
Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk mengiklan serta menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.Anha yang disebutkan sebelum ini, di nilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis. Ini kerana terdapat perawi yang majhul (tidak dikenali) di dalam sanad hadis tersebut dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah juga tidak memberikan apa-apa komentar di dalam Mukhtasarnya (ringkasannya) terhadap Musnad al-Firdaus tersebut.
Al-Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr Rahimahullah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah al-Ifta’ al-Azhar di dalam satu soal jawab agama yang dikendalikan oleh beliau juga berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menghebahkan pertunangan dan menurut beliau tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Menurut al-Syeikh lagi, jika sahih sekalipun, yang dimaksudkan melaluinya adalah larangan untuk berlebih-lebihan dalam menghebahkan pertunangan.
Kesimpulan
Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perlunya agar pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam. Dengan mengiklankan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan dari berlakunya perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ
Maksudnya: Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.
Riwayat Muslim (1412)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut. Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa.
Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunagannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan boleh sahaja sesuatu pertunangan itu dibatalkan.
Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut dan boleh juga sekiranya seseorang itu untuk merahsiakan pertunangannya untuk aman dari berlakunya hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbulnya fitnah. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan