Majlis penyatuan dua jiwa menjadi saksi termeterai ikatan cinta sejati. Busana yang digayakan menjadi perhatian dek status mereka sebagai seorang selebriti. Pastinya masing-masing memiliki pereka fesyen pilihan, ada yang selesa dengan stail barat dan ada yang suka menyuntik elemen tradisi. Jom kita lihat 10 busana hari bahagia selebriti-selebriti terkenal Malaysia ini.
Busana anggun rekaan Rizman Ruzaini untuk Elfira ini digayakan sewaktu majlis pertunangan mereka. Penulis suka dengan busana ini kerana ia menampilkan elemen batik jawa yang cukup klasik. Potongan duyung menjadikan gadis genit ini kelihatan tinggi.
Baju malam berinai selebriti Mawar Rashid ini adalah rekaan jenama fesyen Ardaputra. Bagi penulis rekaan busana ini cukup menarik dengan suntikan elemen seperti puteri siam. Pemakaian ‘pending’ di pinggang menyerlahkan kemewahan dan juga rona ungu lembut menyerlahkan stail yang cukup feminin.
Warna putih memang sinonim dengan busana perkahwinan. Seperti yang digayakan oleh Sari Yanti di hari pernikahannya dengan Jep Sepahtu. Wanita ini memilih untuk mengenakan busana rekaan Cosry. Busana rona putih ini diserikan dengan kemewahan sulaman dan juga perincian labuci.Leretan layah panjang menyerlahkan lagi keserian ratu sehari ini.
Ummi Nazeera mengadakan beberapa majlis resepsi dan busana ini antara yang penulis suka. Mungkin ada yang tidak gemar dengan keringkasan busana ini namun bagi penulis itu adalah kekuatan busana ini. Direka oleh Rizman Ruzaini, Umi kelihatan bak puteri dalam persalinan songket ini. Diserikan dengan hiasan ala cucuk sanggul dempak di atas kepala ia memberikan efek yang cukup ‘grandeur’.
Sekali lagi busana Ummi menjadi pilihan. Gaun rona hijau zamrud rekaan Fizi Woo ini menyerlahkan gaya mewah dengan tambahan fabrik di belakang menyerlahkan stail seperti gaun kembang. Perletakan sulaman yang tidak menyeluruh juga seolah-olah menyeimbangkan siluet busana yang sudah gah. Memang cantik.
Fairytale dress. Siti Saleha memilih gaun rekaan Nurita Harith untuk majlis resepsinya. Rekaan gaun ini cukup sempurna dengan aura bagaikan seorang puteri apabila digayakan oleh Saleha. Kekuatan gaun ini terletak kepada potongan dan juga penggunaan fabrik yang menjadikan ia nampak ringan, segar dan tidak terlalu sarat.
Majlis Fattah & Fazura merupakan satu majlis penyatuan penuh kontroversi tahun ini. Namun kita tolak perkara tersebut ke tepi, apa yang penulis ingin highlight adalah busana pertunangan ini yang cukup menarik. Gaun rekaan Rizman Ruzaini ini menyerlahkan siluet ala kebaya dengan tambahan ropol dempak di bahagian belakang yang menyuntik aura penuh dramatik. Pemilihan rona ungu lembut juga cukup manis.
She looks like a Grecian goddess. Juliana Evans yang berkahwin dengan ahli kerabat diraja Selangor ini melangsungkan majlis respsi di tepian pantai di Langkawi. Mengenakan busana rekaan Cosry, gaya boatneck ala off shoulder ini memberikan rasa ringkas sesuai dengan tema beach wedding. Namun ia diberikan suntikan dramatik dengan leretan fabrik di bahagian belakang. Dengan tatarias dan gaya rambut menawan, Juliana jelas menyerlahkan pesona seorang puteri.
Jubah penikahan Fazura rekaan Rizman Ruzaini memberikan satu dimensi baru kepada gaya busana penikahan. Biasanya orang memilih gaun, baju kurung atau kebaya namun tampilan juga ini memberikan sisi penuh sopan seorang wanita. Dengan siluet yang longgar ia hanya diserikan dengan pilihan renda dan perletakan batuan jemeki minimal. Mungkin ada yang terinspirasi mahu gaya begini pada hari pernikahan nanti, tidak salah untuk anda mencuba.
Akhir sekali, tidak sah kalau penulis tidak sertakan busana ikonik yang menjadi talk of the town. Baju pernikahan Izara Aishah rekaan Rizalman Ibrahim cukup gah dengan padanan kerudung besar yang diinspirasikan dari busana orang melayu dahulu kala. Busana ini kelihatan ringkas namun perincian yang diletakkan pada busana ini cukup mewah, dengan perletakan sulaman bunga 3d ia menyerlahkan nilai eksklusiviti yang sangat tinggi.
Jadi busana mana yang menjadi pilihan pembaca anda?
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI