
Selepas 10 tahun menyulam cinta akhirnya pelakon Raysha Rizrose selamat bergelar isteri kepada pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri, pada jam 8.52 malam.
Majlis akad nikah tersebut dijalankan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka. Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Nabil atau nama sebenarnya Muhammad Nabil Jan Al Jeffri menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.
Nampak berseri mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, Raysha atau nama lengkapnya Farza Naquraisha Mohd Fariz bersyukur segala perancangan diatur berjalan lancar.

“Syukur segala-galanya yang dirancang salama ini dipermudahkan. Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.
“Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, Insya-Allah.”
Menyentuh kisah cinta yang bermula pada tahun 2013, adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose ini mendedahkan mereka berkenalan di laman Twitter.

“Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.
“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami.”
Nabil melamar Raysha pada 16 Ogos 2022. Lokasi lamaran berkenaan terjadi di tempat sama dia melamar Raysha sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu.

Pasangan ini melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Disember, tahun lalu. Raysha dan Nabil hanya berkongsi dan mendedahkan pertunangan mereka di media sosial pada 14 Februari lalu.
Pasangan ini akan diraikan pada tanggal 26 Februari ini dalam satu majlis resepsi juga di lokasi sama majlis pernikahan berlangsung.
Sumber: Oh Bulan dan Instagram Jaydee Mohamad
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah 10 Tahun Aeril Zafrel & Wawa Zainal Hidup Bersama, Bila Bergaduh, Aeril Tak Suka Pujuk, Biar Reda Sendiri

Dalam rumah tangga tentulah ada pasang surutnya. Tak adalah 24 jam bahagia sepanjang masa. Ada ketikanya tentulah terselit salah faham dan ketidaksefahaman antara suami dan isteri.
Bagi pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, pasangan ini sudah mendirikan rumah tangga hampir 10 tahun.

Menerusi laporan Gempak, Aeril berkongsi beberapa tip yang diamalkan untuk kekal bahagia bersama isteri tercinta.
Katanya, bukan sahaja perlu berperangai seperti budak-budak, Aeril berkata jika berlaku pergaduhan atau salah faham jangan dibiarkan berlarutan lebih dua hari.

“Kita kena berperangai budak-budak. Tak perlu nak terlampau serius. Sebolehnya kita kongsilah minat yang sama. Tak sependapat itu perkara biasa.
“Kalau kami bergaduh, saya tak suka pujuk…biar reda sendiri. Kami akan reda sendiri. Tapi jangan biarkan pergaduhan itu berlarutan sampai hari esoknya,” katanya.
Ujarnya lagi, kalau dah sampai dua hari masih bergaduh, kena cepat-cepat berbaik. Pergaduhan tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan. Seeloknya, berbincanglah jika masih bergaduh pada keesokan harinya.

Untuk info, Wawa atau atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 bersama Aeril Zafrel.
Pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, Ayya Soffya, 2 dan Muhammad Fahri.
Sumber: Gempak.com Kredit foto: Instagram Aeril Zafrel dan Wawa Zainal
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Beza ‘To-do List’ Bakal Pengantin Dulu & Sekarang. Senang, Jimat & Efisyen!

Ingat lagi tak ‘to-do list’ yang banyak dikongsikan bakal pengantin untuk memudahkan mereka membuat checklist? Bukan main panjang berjela sampai rasa tak cukup nak buat satu per satu. Tapi bakal pengantin sekarang ni tak perlu dah senarai panjang tu. Maklumlah, pengantin PKP. Serba ringkas dan memorable!
‘To-do list’ Dulu-dulu
Nah! Inilah senarai yang panjang tu. Setahun awal dah bersedia dengan senarai apa perlu dilakukan. Memang betul, sebelum ini nak sewa lokasi perkahwinan punyalah susah. Memang perlu tempah setahun lagi awal. Selepas memilih tarikh sesuai, terus tempah dewan. Sikit demi sikit bajet untuk perbelanjaan perlu disediakan.
6-12 bulan sebelum hari
- Tetapkan hari dan tarikh perkahwinan anda.
- Pastikan tarikh yang di pilih tidak bercanggah dengan mana-mana agenda keluarga lain.
- Tentukan bajet serta anggaran kos perbelanjaan perkahwinan.
- Kongsi simpanan untuk mempercepatkan serta menggandakan simpanan.
- Sediakan ‘checklist’ perkahwinan anda supaya perancangan berjalan dengan lancar.
- Lantik seseorang yang anda percayai untuk bersama-sama dalam proses perancangan majlis anda.
- Tetapkan tema perkahwinan yang diinginkan mengikut minat dan kesesuaian.
- Tentukan jumlah tetamu yang akan diundang.
- Tempah segera tempat untuk mengadakan resepsi perkahwinan.
- Buat pemilihan catering dan menu untuk hari langsung.
- Sediakan daftar tamu untuk menganggarkan bilangan tempahan kad.
- Pilihlah pengapit wanita dan lelaki yang bertanggungjawab sebagai PA anda di hari langsung.
- Temui dan kunjungi pereka pakaian pengantin, tentukan serta pilih busana pengantin.
- Jangan lupa menjaga adab dan pantang-larang sebelum hari penting anda. Semuanya ada hikmah dan kebaikan yang tersembunyi di sebaliknya.
- Mula menjaga pemakanan untuk menjamin tubuh yang sihat di waktu persandingan.
- Kurangkan aktiviti social.
- Mula mengurangkan belanja seharian, usah boros dan mula menabung.
- Rancang percutian bulan madu anda, lakukan tempahan tempat, tiket serta kenderaan.
Setelah perancangan untuk enam bulan pertama selesai. Kita ke senarai lima bulan sebelum tarikh pernikahan pula.
4-5 bulan sebelum hari bahagia
- Tempah waktu dan tempat pernikahanan beserta dengan juru nikah.
- Persiapan awal membolehkan anda membuat tinjauan akan harga dan reka bentuk kad yang diinginkan.
- Bertindak lebih awal, anda boleh mendapatkan khidmat mak andam kegemaran.
- Membuat pilihan tema warna busana pengantin yang akan dikenakan serta bunga tangan mengikut kesesuaian.
- Menempah busana pengantin lelaki sepadan dengan pengantin wanita.
- Beli atau sewa busana untuk pengapit pengantin wanita dan lelaki.
- Mula tetapkan dekorasi ruang majlis/pelamin mengikut tema warna yang di tetapkan.
- Mula tetapkan dekorasi pelamin mengikut kesesuaian tema serta pakaian.
- Memberitahu seluruh ahli keluarga akan tema pakaian di majlis resepsi anda nanti.
- Tempah dan hubungi jurufoto serta juruvideo sebelum majlis mahupun selepas majlis.
- Membuat tempahan awal kenderaan pengantin dan pengiring pengantin
- Tempah dan buat pemilihan kek pengantin mengikut tema majlis.
- Tetapkan pengerusi majlis yang bisa menghangatkan majlis persandingan anda.
- Tempah PA Sistem/ Sistem Bunyi bagi memainkan lagu-lagu pilihan anda.
- Lantik DJ yang bisa memainkan lagu selari dengan kehendak pengantin.
- Tempah kumpulan pemain Kompang untuk upacara lintas masuk ke dewan/khemah berlangsungnya majlis.
- Jika berkemampuan, anda digalakkan menjemput kumpulan pemain Gamelan atau Caklempong untuk memeriahkan majlis anda.
- Mungkin juga menarik jika menjemput Penari Kebudayaan atau Penyanyi jemputan begi menyerikan lagi majlis gemilang anda.
- Menempah cincin kahwin untuk majlis nikah.
- Mula membeli barang hantaran satu persatu.
- Lakukan diet atau senaman untuk tampil sihat dan segak pada hari bersejarah.
- Semak destinasi bulan madu pilihan.
- Pastikan tempahan sudah di tetapkan.
Ada lagi… Senarai ini belum habis selagi tak sampai tarikh sepatutnya…
2-3 bulan sebelum hari
- Daftar kursus kahwin bersama pasangan dan hadiri bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama.
- Mendaftar di pejabat kadi.
- Isi borang permohonan serta sediakan segala dokumen berkahwin yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan.
- Sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja.
- Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat anda.
- Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.
- Lakukan medical check up seperti HIV test dan lain-lain.
- Mohon cuti sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal.
- Maklumkan tentang perancangan perkahwinan itu kepada ketua anda.
- Siapkan semua kerja di pejabat yang telah dimulakan. Agar tiada pihak yang rasa terbeban sementelah anda bergembira membuat persiapan.
- Pastikan segala urusan di tempat berbulan madu sudah selesai. (buat pasport jika perlu)
- Hubungi pereka pakaian pengantin anda untuk fitting.
- Persiapkan segala barang hantaran untuk dihiasi di atas dulang hantaran, lantik seseorang untuk persiapkan dulang hantaran.
6-8 minggu sebelum hari
- Semak semula senarai tetamu.
- Tulis dan atur pengiriman kad undangan kahwin.
- Semak urusan dengan jabatan agama, jurunikah, saksi dan pihak yang terbabit dengan majlis akad nikah.
- Atur serta menetapkan menu makanan dengan pihak catering perkahwinan anda.
- Adakan sesi percubaan makanan bersama-sama caterer anda.
- Mula menyiapkan cenderahati bingkisan buat tetamu yang hadir.
- Lakukan make-up trial dan dandanan rambut bersama mak andam pilihan anda.
- Mula membeli kasut dan acessories tambahan.
- Susun dan garap muzik pilihan yang bakal didendangkan semasa majlis berlangsung.
- Buat satu temu janji bersama Pengacara Majlis untuk membuncangkan perjalanan majlis itu nanti.
- Diskusi juga harus di adakan bersama DJ serta pihak pengurus PA Sistem, agar perjalanan majlis selari dengan permintaan pengantin.
- Buat persiapan terakhir untuk semua kelengkapan.
- Sediakan jadual perjalanan majlis badi memudahkan orang yang terlibat.
- Membuat jadual penerimaan beserta checklist bagi memudahkan proses penghantaran daripada segala tempahan: kek, khemah, bunga-bungaan, cenderahati, hantaran, hiasan pelamin dan lain-lain.
4-5 minggu sebelum hari
- Kad jemputan perkahwinan mula di edarkan kepada tetamu serta VIP.
- Ambil pesanan cincin kahwin.
- Mula memesan traveller cheque/mata wang asing untuk berbulan madu.
- Orang-orang yang bertanggungjawab untuk melancarkan perjalanan majlis mula agresif dalam proses terakhir.
- Membuat semakan checklist untuk memastikan segala perkara berkaitan sudah ditempah dan dilakukan.
- Bertemu dan berbincang bersama jurufoto majlis anda tentang konsep serta gambaran majlis yang anda mahukan di dalam gambar kenangan anda nanti!
- Tidak ketinggalan, pastikan juruvideo juga tahu akan perjalanan majlis serta tetamu mana yang anda mahukan berada di dalam rakaman videao itu nanti.
- Pastikan dulang hantaran telah siap mengikut warna tema yang telah ditetapkan.
2-3 minggu sebelum hari
- Jadual acara telah ditetapkan, buat salinan dan edarkan kepada orang-orang penting majlis: keluarga pengantin, para pengiring, jurufoto dan juruvideo.
- Kemaskini jumlah tetamu yang diundang dan hal-hal lain yang diinginkan kepada pihak hotel atau catering.
- Tetapkan semua pesanan dan detail untuk bunga, sewa kenderaan, jurufoto, dekorasi, kek, band music dan lainnya.
- Sediakan susun letak pelamin, kerusi meja, kanopi atau dewan serta lain-lain supaya kelihatan tersusun.
- Mencuba busana pengantin lengkap dengan aksesorinya. Periksa ukuran, keselesaan dan sebagainya, bila ada yang harus disempurnakan.
- Pastikan juga pakaian tema untuk pengapit pengantin lelaki dan wanita agar selari dengan konsep persandingan anda nanti.
- Biasakan menggunakan kasut yang akan digunakan di hari pernikahan agar terasa lebih selesa.
- Siapkan barang-barang yang akan dibawa ke rumah mertua.
- Lakukan urutan badan serta spa untuk menaikkan seri pengantin.
- Tidak ketinggalan, lakukan rawatan rambut agar kelihatan kemas, menarik serta mudah di uruskan di hari persandingan anda.
- Rawatan muka juga perlu agar muka tidak kelihatan lesu di hari langsung.
- Jangan lupa juga, jalani rawatan manicure dan pedicure.
1 minggu sebelum hari
- Berehat dan yakinkan diri dan pasangan anda semuanya akan beres.
- Pastikan semua perkara berjalan dengan lancar.
- Lantik seorang ahli keluarga terdekat untuk meneliti kelancaran acara.
- Kumpulkan segala hantaran.
- Mula berkemas untuk berbulan madu, lengkapi dan beli keperluan yang penting.
- Pastikan sekali lagi semua pesanan yang telah dilakukan, sekadar untuk mengingatkan.
- Bila tiba sehari sebelum hari langsung, lantik seorang pengukir inai untuk melukis inai di jari jemari bakal kedua mempelai.
Hari Berlangsungnya Perkahwinan
- Kosongkan fikiran serta nikmati masa untuk bersendiri untuk menenangkan hati dan fikiran sebelum upacara akad diadakan.
- Bagi yang beragama Islam, eloklah sekiranya majlis Khatam Al-Quran diadakan di waktu pagi sebelum upacara pernikahan berlangsung.
- Jangan terlalu memikirkan tentang perjalanan majlis kerana ada orang yang bertanggungjawab telah mengambil alih tugas tersebut.
- Bertenang dan ukir senyuman manis di waktu pernikahan.
- Semasa acara resepsi luangkan sedikit masa untuk bertegur sapa serta mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir.
- Pastikan senyuman sentiasa terukir di wajah kerana lensa kamera sentiasa fokus kepada kedua mempelai.
‘To-do list’ Nikah PKP
Akhirnya selesai! Ok sekarang kita tengok pula ‘to-do list’ pengantin yang bernikah sewaktu PKP.
- Membuat ujian HIV
- Menyediakan segala dokumen penting untuk akad nikah (borang semua perlu disediakan lebih awal)
- Sediakan duit hantaran atau mas kahwin
- Jika ada barang hantaran yang ingin diberi, boleh terus beli secara online
- Membuat tempahan makanan untuk ahli keluarga di rumah. Memandangkan tetamu lain tidak dibenarkan berkumpul, jadi bolehlah tempah makanan yang sedap dan mewah untuk ahli keluarga
- Personalised door gift untuk tetamu yang ada (rasanya keluarga sahaja yang boleh ada bersama)
- Semua senarai di atas hanya boleh dilakukan sekiranya ANDA SUDAH MENDAPAT KEBENARAN BERNIKAH. Jadi, dapatkan kebenaran dahulu ok!
Ok siap! Nampak tak betapa ringkasnya pengantin yang berkahwin sewaktu PKP. Ada juga yang berkahwin hanya dengan jubah yang sedia ada (Baca kisah pengantin ini) membuat solekan sendiri dan hantaran pun DIY. Jimat dan tak perlu pening kepala.
Kredit foto: Twitter @amrhoth
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lisdawati Mahu Kongsi Gambar Kahwin Menutup Aurat, Naik Pelamin Sekali Lagi Dengan Fauzi Nawawi

Merakamkan gambar perkahwinan antara momen menarik yang pastinya menjadi kenangan buat setiap pasangan suami isteri. Bagi pelakon Lisdawati, dia sanggup bersanding sekali lagi di atas pelamin bersama suami, lengkap berpakaian pengantin kerana mahu foto perkahwinannya kelihatan sempurna dalam keadaan menutup aurat.
Memetik laporan Kosmo Online, Lisdawati atau nama penuhnya Nisdawati Nazaruddin, 44, terkilan apabila gambar pernikahannya bersama suami juga pelakon, Fauzi Nawawi yang dipotretkan 15 tahun lalu tidak dapat dikongsikan. Ketika itu dirinya masih belum berhijab dan menutup aurat.
“Saya sudah lama merancang untuk mengambil foto baharu. Ketika berkahwin dengan suami 15 tahun lalu, saya masih belum dalam keadaan sempurna (menutup aurat). Jadi saya tak dapat kongsikan.

“Jadi sempena meraikan majlis ulang tahun kelahiran yang ke-44, saya buat sekali majlis persandingan. Apa yang penting saya mahukan gambar perkahwinan sebagai kenangan,” jelasnya.
Cerita pelakon yang mencipta nama menerusi filem KL Menjerit itu lagi, sewaktu pernikahannya dahulu, dia mengenakan persalinan berwarna hijau dan songket kuning sewaktu majlis resepsi.
“Kenangan terindah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Ini sahaja yang dapat kami simpan untuk cucu cicit kami… Terima Kasih semua yang hadir ke majlis ringkas kami,” tulis Lisda ruangan kapsyen.
Sementara untuk persandingan ‘ganti’ kali kedua ini, dia memilih busana berona biru untuk ‘majlis nikah’ dan songket putih sewaktu resepsi.
“Saya buat majlis serba ringkas sahaja, bukan secara besar-besaran. Momen gambar itu yang penting. Saya buat juga video untuk kenangan cucu dan cicit saya nanti. Jadi selepas ini, kalau nak guna gambar perkahwinan saya, boleh guna yang terkini,” jelasnya.
15 tahun hidup bersama, pelakon yang kini bergelar nenek kepada dua orang cucu itu berkata, perkahwinannya juga tidak terkecuali mengalami proses pasang dan surut.
“Setiap pasangan yang berkahwin akan melalui fasa yang sama. Apa yang membezakan adalah bagaimana untuk bertahan, bersabar dan berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah. Kami tidak berbincang depan-depan. Kalau ada masalah yang memerlukan kami berkomunikasi, saya dan suami akan bercakap menerusi mesej sahaja.

“Sebelum ini guna Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Kalau sekarang guna WhatsApp. Kami elak berjumpa kerana takut akan bertikam lidah. Jadi bila kedua-duanya sudah ‘sejuk hati’, baru kami akan bersemuka,” katanya.
Untuk info, Lisdawati mendirikan rumah tangga bersama Fauzi, 50, pada 9 September 2007. Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 14, Nur Aina Fazneesya,13, Ahmad Nur Fyrdaus, 8, dan Ahmad Nur Fayyadh, 3.
Lisdawati juga mempunyai empat orang anak tiri menerusi perkahwinan terdahulu Fauzi iaitu Nurul Hainil Fatihah, 27, Fareez Hazwan, 25, Nurul Hana Farisya, 23, dan Mohd. Fikri Hakimi, 20.
Sumber: Kosmo Online Lisdawati15
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

