
Perkahwinan Jarak Jauh Bukan Alasan Tak Boleh Bahagia, Ini Rahsianya!
Tak semua pasangan yang berkahwin dapat tinggal sebumbung kerana ada yang tinggal berjauhan atas komitmen kerja atau belajar. Walaupun ramai yang kata perkahwinan jarak jauh sukar, tapi ia bukan alasan untuk anda berdua kekal romantis dan bahagia.
Paling penting kedua-duanya perlulah saling menghargai perasaan dan mempercayai antara satu sama lain. Baru anda berdua akan merasai kenikmatan berumah tangga.
Jika anda tergolong dalam pasangan yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang, ayuh terapkan dalam diri enam petua ini agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan romantis seperti pasangan lain.
1. Tetapkan matlamat dalam hubungan
Sebelum anda dan pasangan tinggal berjauhan, menentukan dahulu arah hubungan, sebab-sebab kenapa tinggal berjauhan dan bilakah tarikh untuk anda berdua akan tinggal bersama. Ia penting agar anda dan pasangan ada matlamat untuk berusaha tinggal bersama seperti pasangan yang lain.
2. Perlu ekstra percaya terhadap pasangan
Hubungan dalam rumah tangga menuntut kita untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan saat berjauhan kepercayaan akan teruji. Oleh itu belajarlah untuk meningkatkan kepercayaan dalam diri masing-masing. Singkirkan segala perasaan curiga terhadap pasangan kerana sikap tersebut jika dibiarkan boleh menjadi duri selain membuatkan anda memikirkan perkara yang buruk.
3. Sentiasalah berkomunikasi
Walaupun anda berdua terpisah disebabkan oleh komitmen kerja atau pelajaran, jangan sesekali mengabaikan komunikasi. Sentiasalah berhubung antara satu sama lain. Ceritakan kepada pasangan tentang aktiviti harian, masalah yang dihadapi ataupun luahkan rasa rindu anda kepadanya. Apatah lagi zaman yang serba moden ini lebih memudahkan kerana terdapat banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan orang tersayang.
4. Kirim hadiah kejutan
Apabila tiba tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir pasangan, tarikh mula bertemu, ulang tahun dan sebagainya, hantarkan hadiah untuknya. Jangan disebabkan anda berdua tinggal berjauhan, anda mengabaikan tarikh-tarikh penting ini. Sebenarnya kejutan sebegini boleh membuatkan pasangan rasa dihargai dan teruja apatah lagi menerima kiriman istimewa daripada insan tersayang. Cara ini akan menghangatkan lagi kasih sayang anda.
5. Ambil masa untuk mengunjungi pasangan
Jika pasangan masih dalam negara, latihlah diri anda dan pasangan untuk saling mengunjungi antara satu sama lain. Buatlah giliran agar anda berdua boleh berjumpa, mungkin seminggu sekali atau dua minggu sekali. Dengan cara ini hubungan romantis dan bahagia anda berdua bertambah semarak dan tidak akan pudar. Saat bertemu itu lakukan aktiviti bersama sepuas-puasnya seperti menonton wayang, masak makanan kegemaran suami dan sebagainya. Dengan cara ini akan membuatkan hubungan anda dan pasangan bertambah bahagia.
6. Hantarkan mesej romantis
Tentu pasangan rasa teruja apabila menerima pesanan cinta daripada anda. Anda boleh menghantar pesanan ringkas dengan mesej cinta atau kata-kata romantis di telefon bimbitnya. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan terbuai dengan cinta anda, lantas timbul rasa tidak sabar untuk bertemu dengan anda nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download sekarang!
Memang Ramai Lelaki Pentingkan Kerjaya, Sebab Dia Nak Senangkan Hidup Orang Yang Dia Cinta
ANTARA WANITA DAN KERJAYA, MANA SATU KEUTAMAAN LELAKI?
Pastinya ada daripada wajah pembaca yang berkerut setelah membaca persoalan di atas. Susahnya untuk membuat pilihan antara wanita (cinta sejati) mahupun kerjaya. Kedua-duanya sama penting, sama ‘hebat’ dan adakalanya kedua-dua pilihan ini saling berkaitan dan memerlukan. Dan sudah tentu ramai yang akan memilih kedua-duanya. Syaratnya anda perlu bijak membahagikan masa untuk kedua-duanya.
Kita sering mendengar ungkapan “Wanita merupakan tulang belakang kejayaan seseorang lelaki” terutamanya dalam soal kerjayanya. Ini secara tidak langsung membuktikan wanita sentiasa ada di sisi lelaki bagi menyuntik semangat kepada mereka untuk terus berusaha dan berusaha bagi mencapai impian. Seolah-olah lelaki amat memerlukan wanita di belakangnya. Namun, kita juga kadang-kala terdengar akan pelbagai situasi di mana ramai wanita yang mengeluh dan juga tidak suka apabila pasangan mereka lebih menumpukan banyak masa ke arah kerjaya sehingga mengabaikan perhubungan yang terbina. Ini membuktikan lelaki adakalanya meletakkan kerjaya sebagai ‘top priority’ dalam senarai hidup mereka.
BAGI MEREKA YANG MEMILIH WANITA
– Tidak salah rasanya bagi para lelaki mahupun anda sendiri yang membuat pilihan untuk memilih wanita berbanding kerjaya. Ini bermakna anda pastinya seorang yang romantik, pentingkan perhubungan dan sangat penyayang. Bayangkan, anda sanggup untuk menolak tawaran pekerjaan di bandar semata-mata untuk menemani si dia yang sangat berat untuk melepaskan anda. Itu tandanya anda adalah seorang yang begitu komited dalam sesuatu perhubungan dan wanita tersebut boleh dianggap bertuah jika memiliki pasangan seperti anda.
– Anda juga adalah seorang yang percayakan falsafah ‘cinta akan mengatasi segalanya’. Walaupun tanpa kerjaya, anda masih boleh teruskan hidup kerana anda tidak mudah mengalah dan patah semangat. Pasangan anda sentiasa ada di sisi bersama-sama dalam menghadapi apa-apa jua rintangan yang datang.
– Anda merupakan seorang insan yang sangat mengambil berat akan perasaan orang lain. Anda sanggup mengorbankan masa depan anda demi bersama yang tersayang. Anda lebih rela untuk menunggu tawaran yang akan datang ataupun lebih baik dari berpisah dengan wanita yang anda miliki sekarang kerana anda percaya cinta sejati hanya datang sekali.
– Anda juga percaya wanita yang dicintai ialah sumber inspirasi bagi anda. Anda mungkin berpendapat ‘buat apa kerja tinggi-tinggi kalau tiada inspirasi dari pasangan hidup’. Anda percaya kerjaya anda tidak akan ke mana-mana tanpa semangat dan dorongan dari kaum wanita.
– Namun pada masa yang sama anda juga boleh dikategorikan sebagai seorang yang tidak yakin dan tidak ‘selamat’ akan perhubungan intim dengan teman wanita. Anda risau jika anda bekerjaya nanti, anda mungkin tidak dapat menghabiskan banyak masa dengan si dia dan anda khuatir yang perhubungan tidak akan tahan lama jika komited pada kerjaya.
BAGI MEREKA YANG MEMILIH KERJAYA
-Bagi mereka yang memilih kerjaya pula, tidak dapat dinafikan anda seorang lelaki yang berwawasan tinggi, punya impian menggunung untuk berjaya. Mungkin sejak dari dulu anda sudahpun memasang angan-angan untuk mencapainya dengan apa cara sekalipun. Anda tidak perlukan sebarang perhubungan dalam mencapai misi anda.
– Anda ialah seorang yang mampu berdikari. Tanpa wanita di sisi anda tidak punya apa apa masalah. Bagi anda, menjalinkan perhubungan hanya akan melambatkan mahupun membantutkan usaha untuk anda mencapai impian yang dihajati.
– Anda juga merupakan seorang lelaki yang percaya bahawa lelaki patut bekerjaya, mempunyai hidup yang stabil dan mampu membuat duit sendiri terlebih dahulu sebelum menjalinkan apa-apa hubungan. Bagaimana mahu menyara hidup teman sejiwa jika hidup sendiri pun tidak tentu?. Ini membuktikan anda ialah seorang yang merancang hidup dengan sistematik dan teratur (well-planner). Anda bukanlah seorang yang suka ‘main-main’ dalam soal kehidupan, kerjaya dan keluarga. Bakal isteri anda pastinya cukup bertuah memiliki anda sebagai pasangan hidup.
– Namun, anda juga boleh dikategorikan sebagai seorang lelaki yang cukup tinggi egonya. Walaupun anda mempunyai misi dalam mencapai impian, namun anda lebih suka dan rela hidup bersendirian tanpa wanita di sisi. Bukan bermakna anda sombong mahupun bongkak, cuma mungkin anda masih belum bersedia untuk memulakan sebuah keluarga kerana anda sendiri yakin untuk memberi nafkah kepada keluarga. Anda juga mungkin boleh dianggap ‘low profile’ dan sukar untuk menonjolkan diri, kerana setiap saat dan ketika, kerjaya merupakan yang paling penting di dalam hidup anda
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download sekarang!
Buat Wanita, Ini Antara Perkara Yang Tak Perlu Anda Lakukan Untuk Lelaki
Setiap wanita yang menjalinkan hubungan cinta pasti ingin sentiasa bahagia di samping insan tercinta. Ada segelintir wanita yang sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan hubungan yang dibina terus terjalin. Namun, seringkali mereka mengambil peranan lelaki dalam perkahwinan mereka dan ada juga yang sanggup mengorbankan kebahagiaan sendiri atas nama cinta.
Tidak salah untuk berbuat demikian, tapi anda juga harus memgutamakan diri sendiri dan tidak terlalu taasub dengan sesebuah hubungan hingga boleh menyebabkan anda terluka. Sikap saling membantu antara satu sama lain perlu ada dalam hubungan untuk memastikan hubungan yang dijalin lebih sihat.
Pesona Pengantin senaraikan 6 perkara yang wanita tidak patut lakukan untuk pasangan anda!
Tampil cantik di depan suami itu adalah lumrah biasa bagi seorang isteri. Tetapi jika pasangan anda memberikan tekanan pada anda untuk mengubah penampilan anda secara drastik, maka anda tidak perlukan dia dalam hidup anda. Pada masa yang sama, jika suami anda meminta anda untuk mengubah sesuatu yang boleh anda setujui dengan mudah, lakukannya dan jangan degil. Ia tidak akan menyebabkan kerosakan dalam hubungan anda, tetapi sebaliknya ia akan mengukuhkan hubungan emosi anda bersama suami.
Ia adalah langkah yang terbaik sekiranya anda dan pasangan anda memberikan hadiah yang sama nilai pada satu sama lain. Memberikan hadiah yang mahal untuk orang kesayangan, terutama sekali apabila dia tidak boleh membalasnya dengan hadiah dengan nilai yang sama akan membuatkan si dia berasa janggal dan rendah diri.
Selain itu, ia juga boleh mendatangkan musibah pada diri sendiri sekiranya anda menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab maka kerana dia akan menggunakan cinta anda untuk mendapatkan apa yang dia mahu.
Walaupun suami anda mempunyai masalah kewangan atau masalah di tempat kerja, jangan cuba untuk menyelamatkannya dari masalahnya sendiri. Anda boleh membantu dalam mencari jalan penyelesaian tetapi biarkan suami anda selesaikan yang selebihnya.
Jika anda kerap membantunya, anda akan hidup dengan pasangan yang sentiasa ragu-ragu, tidak berdaya dan takut untuk memikul tanggungjawab untuk masa depannya. Sentiasa ingat anda adalah seorang perempuan dan juga isteri bukannya pembantu yang harus mengendalikan segala-galanya.
Walaupun anda sentiasa betul 100%. tiada ada yang lebih provokatif daripada frasa “apa yang telah saya beritahu?” Dengan mengatakan ini, anda menunjukkan pada suami anda bahawa anda lebih bijak daripada dia dan ini akan membuatkan hubungan anda jadi tidak begitu baik. Setiap individu perlu merasa penting dalam hidup mereka. Menunjukkan penguasaan anda pada dirinya tidak akan membantu untuk membina hubungan yang harmoni.
Tidak seperti wanita, lelaki tidak akan jatuh cinta pada wanita yang bersimpati pada dirinya. Sentiasa di sisi suami dari segi emosi dan fizikal tidak bererti hubungan anda dan suami anda itu begitu mendalam dan bahagia. Wanita yang bijak akan sentiasa menyokong dan memberikan inspirasi kepada suaminya untuk mendapatkan pencapaian yang baru. Ini adalah rahsia kepada hubungan yang bahagia.
Hanya kerana wanita telah menemui cinta dalam hidupnya ini tidak bermakna dia perlu melepaskan rakan-rakan dan kerjayanya. Jika anda mengorbankan kehidupan peribadi anda untuk menjaga keluarga anda, suami anda mungkin akan hilang minat dalam hubungan satu hari nanti. Anda boleh teruskan dengan kehidupan peribadi anda tetapi ingat jangan keterlaluan sehingga mengabaikan suami dan anak.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download sekarang!

sekarang!

