
Setiap pasangan pasti mahu kan hubungan yang indah dalam hidup mereka. Namun, kesempurnaan bukanlah kunci utama kerana semua orang tidak sempurna. Jodoh adalah cerminan diri kita sendiri. Oleh sebab itu kita boleh terlalu menilai peribadi seseorang.
Bagi wanita pasti ada yang sudah menetapkan ciri-ciri lelaki idaman mereka untuk dijadikan calon suami. Tetapi, setiap lelaki harus sedar akan perkara yang boleh membuatkan seorang wanita itu fobia dengannya.
Dalam erti kata lain ‘benci’ dengannya. Justeru para lelaki haruslah mengelakkan daripada memiliki perkara seperti dibawah:

Meninggikan suara
Bila berlakunya salah faham antara lelaki dan wanita, meninggikan suara kepada pasangan adalah satu perkara yang perlu bila sedang marah. Terutama bagi lelaki. Sebab itu, kalau sedang marah jangan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutya. Nanti menyesal.
Mengongkong
Buat itu tidak boleh, buat ini tidak boleh, itu sudah dikategorikan sebagai mengongkong. Hidup wanita itu seolah-olah ada yang tidak kena bila bersama anda. Kalau anda terlalu mengongkong, ini akan membuatkan wanita itu rimas dan tidak suka kepada anda.
Ego
‘Ego’ juga merupakan salah satu masalah yang merimaskan wanita. Oleh kerana ego ini adalah seseorang yang mementingkan diri sendiri dan tidak fikir mengenai orang lain. Tidak salah jika ada ego dalam diri, namun mestilah bersebab. Jangan disebabkan ego yang terlalu tinggi menyebabkan anda kehilangan insan yang dicintai.
Tidak mahu mengalah
Disebabkan keegoan lelaki tersebut ia membuatkan mereka tidak mahu mengalah dalam setiap perkara. Mereka merasakan setiap pandangan mereka adalah sentiasa betul. Kalau anda tidak mahu mengalah tentang perkara yang betul tidak mengapa, ini perkara yang salah yang anda sendiri lakukan juga tidak mahu mengalah.
Cemburu buta
Antara sifat yang dibenci tidak kira wanita atau lelaki adalah cemburu buta. Isu cemburu buta ini boleh merosakkan hubungan anda dengan sekelip mata. Oleh kerana terlalu cemburu, anda boleh hilang orang yang anda sayang. Jadi berhati-hatilah. Jangan terlalu cemburu sehingga tak kena tempat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Endometrium Yang Sihat Penting Buat Wanita


Rahim yang sihat penting agar wanita sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang optimum. Ia bukan sahaja penting untuk reproduktif, malah untuk kitaran haid dan juga hubungan kelamin agar kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga dapat dicapai.
Rahim merupakan sistem reproduksi wanita iaitu ruang untuk embrio atau janin berada apabila persenyawaan telah berlaku. Secara amnya, rahim terdiri daripada tiga lapisan iaitu:
- Perimetrium
- Myometrium
- Endometroium
Kedudukan dan lapisan rahim
Wanita mempunyai hormon-hormon reproduktif dan di antaranya ialah hormon Estrogen selain Progesteron, Folikel Stimulating Hormon (FSH) dan Luteinizing Hormon (LH). Estrogen amat penting untuk pembentukan ciri-ciri perkembangan seksual pada wanita seperti pembentukan payudara, bentuk tubuh badan serta kitaran haid dengan membentuk ketebalan endometrium (dinding rahim), menjaga kualiti dan kuantiti cairan serviks serta faraj sehingga sesuai untuk penetrasi sperma.

Purata ketebalan lapisan endometrium ialah 5 mm selepas kedatangan haid dan meningkat semasa kehamilan sekurang-kurangnya 8 mm untuk menerima implantasi janin dan menyokong bayi yang semakin meningkat di peringkat akhir kehamilan.
Jika lapisan ini menjadi nipis, ia menjadi sukar untuk embrio implantasi ke endometrium atau dinding rahim. Penipisan mungkin berlaku hasil daripada ketidakseimbangan hormon dalam pelbagai peringkat umur wanita.
Pengecutan endometrium biasanya terjadi di kalangan wanita selepas usia 40 tahun. Doktor akan memberikan preskripsi untuk melihat perubahan kepada endometrium. Jika sebaliknya berlaku, ini bermakna terdapat bekalan darah yang tidak mencukupi atau kerosakan kepada tisu telah berlaku.
PUNCA LAPISAN ENDOMETRIUM NIPIS
Penipisan lapisan endometrium merupakan masalah yang serius daripada pandangan pakar sakit puan. Berikut adalah antara punca lapisan endometrium nipis.
- Hormon estrogen rendah
Dalam perimenopausal (wanita berhampiran dengan usia menopaus) dan putus haid (wanita yang telah melintasi umur menopaus), terdapat tahap yang tidak mencukupi estrogen dan biasanya berlaku di kalangan wanita 40-an dan ke atas. Oleh itu, ia juga punca tahap kesuburan wanita semakin menurun selepas 35 tahun. Manakala wanita muda yang mempunyai tahap hormon estrogen rendah dan lapisan nipis pada kebiasaannya akan mengalami amenorea (ketiadaan haid) atau kurang darah haid.
2.Jangkitan dan penyakit keradangan pelvis
Jangkitan bakteria kronik, penyakit kelamin dan penyakit keradangan pelvis boleh menyebabkan keradangan berterusan yang membawa kepada parut pada lapisan endometrium.
- Prosedur pengkuretan
Ini satu prosedur di mana lapisan fungsi endometrium dicuci dan dikeluarkan selepas kes-kes keguguran. Jika dilakukan beberapa kali boleh merosakkan rongga dan dinding rahim. Dalam kes ekstrem, wanita tidak akan mengalami haid langsung dan kemudian akan mengalami masalah ketidaksuburan.
- Tisu parut dan melekat kerosakan
Kerosakan dan parut endometrium juga berlaku dalam keadaan seperti penyakit keradangan pelvis, pembedahan organ pembiakan, laparoskopi atau pembedahan caesearian.
- Penggunaan clomid yang berlebihan
Clomid adalah ubat yang merangsang ovulasi dalam membantu pasangan yang cuba untuk hamil. Ubat-ubatan ini boleh menyebabkan penipisan lapisan endometrium kerana ia adalah antiestrogen (aktiviti mengawal estrogen). Penggunaan clomid yang lama boleh menyebabkan endometrium tidak berkembang.
TANDA DAN GEJALA PENIPISAN ENDOMETRIUM
Tiada tanda-tanda khusus yang berkaitan dengan penipisan lapisan endometrium. Namun, terdapat beberapa simptom yang telah dikenal pasti antaranya ialah:
- Ketidaksuburan
- Kitaran haid yang tidak normal
- Sakit ketika datang haid
Ketebalan endometrium dengan mudah boleh didiagnosis menggunakan ultrasound yang dilakukan pada hari ke-10 hingga ke-12 kitaran haid. Ketebalan endometrium yang sihat adalah lebih daripada 7 mm.
Oleh itu, amat penting bagi wanita memastikan kesihatan yang baik. Jika ada sebarang keraguan atau kesangsian, berjumpalah dengan doktor agar sebarang isu boleh dirawat pada peringkat awal. Amalkan pemakanan yang baik serta senaman untuk penjagaan diri. Sayangi diri dengan mengutamakan kesihatan rahim anda.

Ketebalan endometrium normal.
Ketebalan endometrium setelah menopaus.

Sistem reproduksi wanita di usia muda berbanding meningkat usia.

FOTO: KOLEKSI METRO IVF
Dr Tee Swi Peng
Perunding Kesuburan
Metro IVF, Setiawalk Puchong
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
8 Tempat Cun Untuk Bergambar Yang Korang Sendiri Tak Sangka Ia Di Malaysia!

Mungkin masih ada di antara anda yang masih tertanya-tanya di mana lokasi yang cantik dan rare yang sesuai untuk menjalankan penggambaran luar untuk perkahwinan anda
Mungkin anda boleh dapatkan inspirasinya di sini! mungkin juga anda tidak akan menyangkakan ada tempat-tempat yang cantik ini di Malaysia! jom kita lihat.
1. Frim, Kepong

Forest Research Institute Malaysia atau FRIM terletak di Kepong, Selangor. Banyak pokok-pokok yang cantik, taman botanical dan air terjun yang boleh dijadikan latar belakang gambar.
2. Sekeping tenggiri
.jpg)
Sekeping Tenggiri adalah sebuah rumah penginapan yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur. Walaupun terletak di tengah-tengah bandar, suasana di Sekeping Tenggiri ni kelihatan nyaman dan tenang dengan pokok-pokok dan kolam yang terletak di sekitar rumah. Struktur binaan rumah yang telah diubah suai kelihatan sangat eksklusif.
3. Klia

Siapa cakap dekat lapangan terbang tak boleh ambil gambar yang cantik? Lihat saja hasil kreativiti jurugambar dan pasangan pengatin ini. Gambar perkahwinan anda akan nampak sangat unik dengan adanya kapal terbang di udara. Jangan pula bergambar di tengah-tengah landasan ketika ada kapal terbang yang ingin berlepas ya.
4. Rimbayu IJM Land

Bandar Rimbayu adalah sebuah bandar rancangan oleh IJM Land yang dibangunkan di Selangor terletak berdekatan dengan Kota Kemuning. Walaupun sebuah bandar, namun suasana persekitarannya ternyata damai dan nyaman dengan flora yang ditanam sekitar bandar dan taman-taman rekreasinya.
5. Taman SUK Shah Alam

Sebuah Taman Rekreasi yang terletak di Seksyen 5 Shah Alam. Masih ramai yang tidak tahu akan kewujudan taman ini, jadi amat sesuai untuk menjalankan penggambaran kerana tiada orang ramai lalu lalang. Kawasan persekitaran juga dipenuhi dengan pokok-pokok dan flora yang cantik.
6. Ladang Teh Cameron Highlands

Kalau nak gambar ala-ala hindustan sambil menari-nari di balik dedaun teh yang menghijau, boleh la ke Ladang Teh Cameron. Cuaca yang sejuk dengan kehadiran kabus pula akan membuatkan gambar perkahwinan seperti berada di luar negara.
7. Astaka Morocco

Terletak di Presint 1, Putrajaya dekat Taman Botani Putrajaya, Astaka Morocco sesuai untuk gambar ala-ala arabic kerana seni binanya yang berasaskan seni bina Morocco. Dengan ukiran-ukiran di dinding serta pokok-pokok palma disekitarnya membuatkan kamu seperti berada di Morocco. Untuk tujuan penggambaran, kamu perlu membayar yuran masuk.
8. Eco Majestic

Terletak di Semenyih, Eco Majestic adalah sebuah harta tanah yang dibangunkan oleh Eco World. Bermula dari pintu masuk sudah membuatkan kamu terpukau dengan landskap dan binaannya. Binaan yang berkonsepkan Royal membuatkan anda seperti seorang raja dan puteri. Pasti gambar perkahwinan anda akan kelihatan lebih mewah dan elegen.
Sumber : ohfesyen
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berdoa Agar Mudah Jumpa Jodoh, Tapi Sukar Untuk Dimakbulkan. Inilah Sebabnya

Sebagai orang Islam, percayalah bahawa tidak ada satu perkara pun yang tidak dapat diselesaikan dengan bantuan Allah. Maka dengan itu, berdoalah. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah dibandingkan doa.” (Riwayat At.Tirmidzi).
Para ulama menegaskan, kenapa doa sesuatu yang paling mulia di sisi Allah SWT dibandingkan yang lainnya? Ini kerana di dalam doa terdapat bentuk sikap rendah diri seorang hamba kepada Allah dan menunjukkan kuasa-Nya. Sememangnya benar tidak semua doa dimakbulkan tetapi itu tidak bermakna kita harus berputus asa dalam berdoa. Namun apa kaitannya pula doa dengan soal jodoh?
“Aku sudah puas berdoa tetapi masih belum lagi dipertemukan jodoh oleh-Nya. Apa salah aku sehinggakan tidak ada lelaki atau wanita yang mahu mendekati aku?….”
Begitulah persoalan yang bermain di fikiran mereka yang sudah putus asa dalam berdoa terutama dalam bab jodoh. Kajian dari LPPKN menjelaskan bahawa pentakrifan umur perkahwinan lewat adalah sekitar 37 tahun bagi lelaki dan 33 tahun bagi wanita. Ianya dapat dirumuskan di sini bahawa mereka yang lewat usia masih belum dipertemukan jodoh oleh-Nya dan salah satu puncanya adalah disebabkan oleh sebuah ‘doa’. Kenapa?
Doa yang memaksa, tiada sifat tawadhu’
Doa yang dipohon seolah-olah seperti memerintah agar doa dikabulkan dengan segera. Sesungguhnya doa itu tidak boleh dipaksa sebab kita adalah makhluk ciptaan-Nya yang lemah. Sedangkan tidak ada seorang pun umat manusia yang boleh mengatur kerana satu-satunya pengatur alam semesta hanyalah Allah SWT.
Contoh doa yang berbentuk paksaan adalah seperti:
“Ya Allah, jodohkanlah aku dengan dia, andai jodoh dia dengan orang lain maka jadikanlah aku orang lain itu agar aku menjadi jodoh dia…”
Rasulullah SAW bersabda:
“Akan dikabulkan doa setiap di antara kalian, selama dia tidak tergesa-gesa. Dia berkata, “Aku telah berdoa kepada Allah namun belum di kabulkan.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Justeru, dalam soal apa sekalipun, usahlah umat manusia itu bersifat ‘memaksa’ ketika memohon daripada-Nya.

Doa yang tidak sungguh-sungguh (main-main)
Doa yang tidak sungguh-sungguh bermaksud doa yang tidak serius atau dalam erti kata lain berdoa secara main-main. Mulut terkumat-kamit sedangkan hati ingat perkara lain. Apa yang didoakan tidak dihayati dan difahami dengan betul.
Contoh doa yang tidak sungguh-sungguh adalah seperti berdoa agar dipermudahkan jodoh oleh-Nya tetapi dalam kepala asyik dibayangi perkara lain. Sekiranya seseorang itu tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa, bagaimana doa mereka akan dimakbulkan?
Contoh kedua apabila mereka hanya berdoa memohon agar dikurniakan pasangan hidup sahaja walhal berdoa adalah satu ibadah. Bahkan ianya dikatakan sebagai roh ibadah. Ada juga yang berdoa hanya ketika ditimpa masalah atau dalam kesempitan.
“Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan”. (HR Tirmizi)
Seperti mana ditegaskan, orang yang hidupnya tidak dipenuhi dengan berdoa maka dia adalah manusia yang sombong. Atas sebab itulah dalam surah Al-Isra’ ayat 37 Allah SWT mengingatkan kita supaya jangan berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya kita tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak akan menyamai setinggi gunung-ganang. (Utusan Online,2017).
Pohonlah sesuatu itu dengan kesungguhan dan keikhlasan agar setiap masalah yang dialami dapat diatasi dengan sempurna.

Doa tanpa usaha
Doa tanpa usaha adalah doa yang sia-sia. Mereka seperti ini dapat dikategorikan sebagai manusia yang kurang bijak. Tetapi sekiranya usaha tanpa doa pula dikategorikan sebagai seorang hamba yang sombong. Setiap doa harus diiringi dengan usaha yang sewajarnya.
Contoh mudah apabila seseorang itu berdoa agar dipertemukan jodoh oleh-Nya tetapi tidak ada sebarang usaha yang dilakukan. Si dia tidak berusaha dalam mencari jodoh. Hanya sekadar bersandar pada doa yang dipohon.
Dengan berdoa dan berusaha, setiap manusia akan dapat melepasi cabaran dan rintangan. Allah menegaskan dalam surah Al Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Kita perlu memahami tidak semua yang kita doa kepada Allah dimakbulkan di dunia tetapi mungkin diterima di akhirat kelak. Ketika kita berdoa memohon kepada Allah kita sebenarnya berada dekat dengan Allah. Ini sekali gus boleh mewujudkan keinsafan bahawa dalam apa jua situasi, hanya Allah tempat kita bergantung dan meminta pertolongan.
Kesimpulannya, marilah kita sama-sama berdoa kepada-Nya. Berdoa perlu istiqamah iaitu sentiasa berterusan tanpa memikirkan apakah doa itu akan dimakbulkan. Apa yang penting keikhlasan kita semasa bermunajat dan dengan penuh pengharapan daripada-Nya.
Sumber : BaitulMuslim
Gambar sekadar hiasan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!


