
Baharu sahaja mengadakan majlis bersiram, kini Mas Idayu dalam persiapan untuk majlis akad nikah dan resepsi yang bakal diadakan pada 16 September 2022. Tentunya Anas Abdullah adalah orang paling sibuk memandangkan dia adalah perunding perkahwinan dan pereka busana untuk Mummy Mas Idayu.
Hampir 12 tahun berada dalam industri seni, Anas kini sedang sibuk menguruskan majlis kahwin selebriti terkenal, Mas Idayu. Kisah perkenalannya dengan Mas Idayu bermula sejak dia bergelar pereka fesyen.
Dia ditugaskan untuk menjaga imej Mummy Mas Idayu dan dari situ mereka mulai bekerjasama sehingga menjadi perancang perkahwinan untuk majlis persandingan Mas Idayu yang akan diadakan tidak lama lagi.
Selepas agak lama majlis perkahwinan tak dapat dilangsungkan kerana PKP, apa perkara baru atau teringin Anas bakal lakukan untuk majlis perkahwinan ni?
“Dua tahun pereka fesyen dan perunding perkahwinan tidak boleh berkarya. Ilham untuk menghasilkan dekorasi perkahwinan tersekat. Pengantin pun banyak memilih untuk mengadakan majlis yang simple. Namun kini saya dan perancang perkahwinan lain kembali beraksi.
Apabila diberi peluang bekerjasama dengan Mas Idayu untuk majlis perkahwinannya, sudah tentu saya nak balas dendam. Sebagai perunding perkahwinan dan pereka fesyen, impian saya adalah untuk menghasilkan busana perkahwinan dengan fesyen lain dari yang lain.

Rekaan ini nanti tidak pernah dilakukan oleh orang lain dan sebolehnya saya mahu jadikan fesyen ini sebagai trend. Mengenali Mummy, dia tidak suka sesuatu yang over dan lebih kepada minimalis namun masih ada elemen eksklusif. Less is more!


Perbezaan uruskan majlis perkahwinan anak dara dengan perkahwinan pasangan yang sudah pernah berkahwin?
“Pucuk pangkalnya adalah bajet. Menguruskan perkahwinan anak dara tidak ada masalah. Kalau mereka ada peruntukkan yang besar, perunding perkahwinan tidak ada masalah untuk berkarya. Cuma saya sangat berharap agar pasangan muda atau pasangan yang baharu nak kahwin ini tidak berhutang semata-mata untuk merealisasikan impian perkahwinan mereka.

Kenalah ukur baju di badan sendiri! Pasangan yang pernah berkahwin pula, ia lebih kepada citarasa mereka.
Untuk wedding Mummy Mas Idayu, memang Mummy sendiri nak uar-uarkan kepada umum. Tidak seperti perkahwinan terdahulu yang dirahsiakan. Memang mudah bekerjasama dengan Mummy. Dia ada citarasa dan sentiasa jujur beritahu apa yang dia mahu dan apa yang dia tak suka. Bila dah tunjuk lakaran, kita akan usahakan berpandukan permintaannya.
Untuk kali ini, Mummy teringin nak konsep fairytale dan English. Mudah-mudahan segala urusan kami dipermudahkan!”
Tak sabar nak tengok majlis perkahwinan Mummy Mas Idayu. Semoga dipermudahkan segala urusan mereka!
Sebelum Kahwin, Kenal Dulu Keluarga Mentua. Itu Tip Penting AYDA JEBAT Highlightkan!

Dah bergelar ibu dan ayah dah pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir. Sewaktu Ayda masih sarat mengandung, sempat Pesona Pengantin menemubual mereka dan mencungkil kisah rumahtangga mereka berdua.
Pilihan suami ‘anak emak’ bukan semua orang suka. Ada yang kata lelaki anak emak biasanya manja dan tidak berdikari. Seringkali berkepit dengan mak dan segala yang berlaku dalam kehidupan dikongsikan kepada ibu. Lain orang, lain pendapat mereka. Begitu juga dengan apa yang didefinisikan Ayda Jebat mengenai Nabil Mahir.
Semakin hari semakin comel mum-to-be Ayda Jebat. Akaun Instagram Ayda tidak pernah sunyi dengan aktiviti yang dilakukan bersama suami tersayang, Nabil Mahir. Bukan senang selebriti yang seorang ini hendak meluangkan masa di rumah. Hikmahnya PKP ini, dapat juga waktu itu diluangkan bukan sahaja untuk keluarga tetapi dimanfaatkan untuk menjaga bayi yang sudah lapan bulan di dalam kandungan.
Lebih sesuai mengaitkan Nabil sebagai lelaki ‘family man’, Ayda mengatakan dari awal lagi memang dia mempunyai misi mencari lelaki anak emak.
“Saya melihat ini sebagai sesuatu yang sangat positif. Sebaik sahaja melahirkan anak nanti, saya akan mulai sibuk dengan urusan kerja. Tak boleh lagi nak meluangkan masa macam sekarang. Lagipun, ketika bujang saya memang tinggal di sini seorang. Semua ahli keluarga saya ada di Melaka.
Jadi, apabila kami bernikah saya rasa sangat seronok kerana dikelilingi keluarga. Tidak rasa sunyi macam dulu! Sebab tu dari awal lagi, saya memang nak cari anak emak, yang tinggal bersama kelaurga.
Lain orang, lain pemahaman dan keperluan mereka. Jadi, untuk saya sendiri, ini yang terbaik. Mungkin mereka sebelum ini tinggal bersama keluarga, apabila sudah berumahtangga mereka lebih selesa untuk tinggal berdua dengan isteri. Begitulah sebaliknya.”katanya.
Situasi pandemik ini juga banyak membataskan pergerakkan terutamanya untuk berjumpa ahli keluarga. Beruntung buat Ayda dan Nabil, mereka tinggal sebumbung dengan ahli keluarga lain dan menggunakan masa yang ada untuk membuat aktiviti bersama.
“Macam sekarang, semuanya lebih terjaga dan kami boleh berjumpa antara satu sama lain. Paling penting, makan minum pun terjaga!” tawa Ayda.
Sempat Nabil mencelah, “Jam dua atau tiga pagi selalunya Ayda akan minta makan kerana lapar. Bila ada di rumah keluarga, lapar selalu pun tak apa!”
TIP BAWA DIRI DI RUMAH MENTUA
“Manusia ada macam-macam perangainya. Keluarga Nabil terima saya seadanya saya. Ada orang yang tanya, tak susah ke duduk rumah mentua? Kena bangun awal pagi, siapkan makanan dan macam-macam lagi. TIDAK! Bagi saya dan ibu Nabil, memesan makanan dari kedai pun tak apa. Tak perlu masuk dapur.
Sebab itu, sangat penting untuk mengenali keluarga mentua dan sebelum berkahwin. Biar mereka tahu siapa kita dan kita tahu bagaimana penerimaan mereka. itu sangat penting!” ujar Ayda.
Nak tonton video Ayda Jebat dan Nabil Mahir? Jom!
Jangan lupa Klik SINI untuk minuman kesihatan anda!
Asid folik juga sangat bagus diamalkan untuk pasangan suami isteri yang ingin berusaha mendapat zuriat. Tekan SINI untuk pembelian anda!
Baca artikel berkaitan di SINI.
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Elok Dah Bertunang, Jumpa Pula Orang Yang Lebih Baik. Dilema Betul!

Seringkali kita mendengar ucapan; “Ajal maut, rezeki dan jodoh itu merupakan rahsia Allah S.W.T” Dari situ, kita yakin bahawa jodoh kita pasti ada cuma masanya saja yang belum tiba. Setiap manusia mempunyai watak yang berbeza-beza. Begitu juga pasangannya. Bila ada ujian bertunang, jangan cepat melatah.
Bertunang sebenarnya salah satu kaedah untuk mengenali pasangan dengan lebih teliti. Ia merupakan fasa perkenalan dan persediaan bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Islam memandang pertunangan itu sebagai satu jalan untuk mencapai matlamat yang besar iaitu berkahwin namun, ia bukanlah syarat sah sebuah perkahwinan.
Dalam kemanisan pertunangan, kita berisiko untuk melakukan perkara diluar jangkaan. Misalnya seperti bergaduh, syak wasangka buruk, cemburu buta, melanggari batas pergaulan dan yang lebih buruk ada sehingga ke tahap berzina. Kadang kala apabila merasakan hubungan tidak lagi sehaluan, Akhirnya masing-masing mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan.
Benarlah kata orang;
“Bertunang penuh dengan dugaan dan cabaran”
Oleh sebab itu, dinasihatkan kepada pasangan yang sudah bertunang agar tempoh pertunangan hendaklah disingkatkan. bertunang merupakan jalan terdekat kepada perkahwinan. Di mana, seorang lelaki dan seorang perempuan sudah bertekad dan bersedia untuk membina keluarga sendiri.
Namun, ramai yang kecundang serta tidak mampu untuk meneruskan perjalanan panjang tersebut. dalam islam, bertunang bukanlah asbab yang membolehkan sesuatu hubungan yang haram menjadi halal. Ada garis panduan yang perlu kita fahami dan ikuti untuk memastikan ikatan pertunangan itu mendapat redha dan rahmat Ilahi seterusnya membentuk rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Justeru itu, disediakan 7 tip bagi pasangan bertunang mengekalkan hubungan mereka hingga ke alam perkahwinan;
.
#1- Menjaga Batas Pergaulan
Walaupun sudah bertunang, masih ada batasan antara kita dan pasangan. Masing-masing perlu faham tentang agama, adab dan akhlak dalam pergaulan. Tidak semestinya sudah bertunang maka segalanya boleh dilakukan.
Pasangan bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan, kecuali jika ada bersama mereka mahram. Tidak boleh berpegangan tangan dan tidak boleh menayangkan aurat kepada pasangan. Tidak sama sekali!
Dalam proses pertunangan, seharusnya kita dan pasangan perlu sehabis daya mengelakkan diri dari perbuatan dosa dan maksiat hatta berbalas pesanan ringkas sekalipun. Setiap batasan agama perlu dijaga, agar kita dan pasangan tidak terjebak dengan fitnah atau berzina yang boleh membinasakan.
#2- Mengeratkan Hubungan Dengan Keluarga Pasangan
Kadangkala kita dan pasangan terlupa dek kerana terlalu sibuk bekerja dan sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan. Ya! terlupa tentang keluarga pasangan.
Barangkali kita pernah dengar tentang ayat ini;
“Apabila seseorang itu berkahwin, dia bukan sahaja mengahwini pasangannya malah mengahwini seluruh isi keluarganya.”
Nah, oleh sebab itu, ketika bertunang, seharusnya kita mengambil peluang untuk mengenali keluarga pasangan dengan lebih dekat dan cuba mengeratkan hubungan silaturahim dengan mereka sebelum mendirikan rumahtangga.
Sama ada menelefon bertanya khabar ibu bapanya ataupun pergi sendiri menziarahi mereka dengan membawa buah tangan. Sekurang-kurangnya nanti apabila sudah berkahwin, tidaklah berasa janggal atau kekok dengan keluarga mertua.
#3- Berbincang Ketika Berselisih Faham
Apabila kita dan pasangan berjauhan, maka muncul lah bisikan syaitan untuk memporak-perandakan hubungan. Ketika inilah saat paling getir dalam proses pertunangan.
Kadangkala timbul khabar angin yang memperkatakan perihal buruk pasangan. Baik dari percakapan langsung mahupun dari media sosial. Lantas, fikiran menjadi celaru dan buntu dalam membuat keputusan. Malah, mungkin juga terlintas dibenak fikiran;
“Apakah aku tersalah memilih pasangan?”
Seeloknya, bertemu mukalah dengan pasangan sambil ditemani mahram. Berbincang dengan cara baik dan sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian. Boleh juga meminta nasihat dan pandangan dari keluarga kedua belah pihak. Bersikap rasional, banyakkan bertenang. Jangan bermain dengan emosi kerana ia boleh mewujudkan perasaan gelisah dalam hati dan terburu-buru dalam membuat keputusan.
#4- Mengamalkan Sikap Bertolak Ansur
Setelah mengikat tali pertunangan, sesetengah orang sukar untuk bersabar dan bertolak ansur dengan pasangan. Jangan begitu. Rintangan dan cabaran dalam pertunangan tidaklah sehebat cabaran dalam perkahwinan. Sebaiknya, masing-masing perlu banyak bersabar dan mengawal sikap buruk dalam diri. Semakin dekat dengan majlis perkahwinan, semakin tekanan demi tekanan muncul. Daripada perkara kecil sehinggalah perkara besar.
Masing-masing perlu bijak menangani masalah dan menunjukkan sikap bertolak ansur dengan pasangan. Jika pasangan tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, maka dengarlah pula pendapatnya. Walaupun kita berasa keputusan kita sudah tepat namun jangan pula berasa pandangan pasangan langsung tidak penting!
.
#5- Memahami Situasi Pasangan
Banyak kes pasangan bertunang memutuskan ikatan pertunangan dengan sebab dan alasan tidak lagi sehaluan. Jika diamati, kebanyakan dari mereka adalah pasangan yang sudah pun mengenali antara satu sama lain mungkin sudah bertahun lamanya.ebenarnya, bukan tidak sehaluan tetapi kita yang tidak mampu untuk memahami situasi pasangan. Mana tidaknya, pasangan bekerja siang dan malam hanya untuk mengumpul wang hantaran tidak termasuk lagi yang lain-lain.
Tetapi kita pula menyangka pasangan tidak ada masa untuk kita. Kadangkala, kita marah atau cemburu tak tentu pasal apabila melihat pasangan kita berjalan dengan kenalannya ataupun rakan sekerjanya.
Kita selalu berfikiran negatif terhadap pasangan kita sedangkan pasangan kita langsung tidak seperti yang kita bayangkan. Cubalah untuk memahami situasi pasangan. Siasat atau bertanyalah dahulu sebelum membuat sebarang andaian yang merugikan.
#6- Menerima Kelebihan Dan Kekurangan
Setelah bertunang, kita hanya memerlukan masa beberapa bulan atau setahun saja lagi untuk mengenali pasangan. Kadangkala, kita belum masak dengan perangainya atau belum melihat sifat tersembunyinya. Namun, perlu kita setkan dalam akal dan hati kita bahawa setiap manusia pasti mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Ketika bercinta, komitmennya berbeza dan pasti berubah setelah berumah tangga.
Percayalah, apabila kita sentiasa bersyukur dan menerima pasangan apa adanya, pasti Allah tambahkan lagi nikmat yang tak disangka-sangka. Kata ustaz Hasrizal abd jamil dalam salah satu bukunya yang berjudul, Aku Terima Nikahnya;
“Dalam soal berumah tangga jangan terlalu memilih dan hanya mencari yang sempurna. Terimalah seseorang seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredai.”
#7- Perancangan Selepas Berkahwin
Sebelum menginjak ke alam rumah tangga, pastikan kita dan pasangan terlebih dahulu memikirkan dan berbincang tentang perancangan setelah berkahwin. Misalnya, tentang tempat tinggal. Setelah berkahwin, kebanyakannya si isteri perlu mengikut suaminya sama ada berpindah ke rumah mertua ataupun berpindah ke rumah sendiri.
Kalau perkara sebegini tidak dibincangkan terlebih dahulu, takut nanti apabila sudah berkahwin, perkara ini menjadi asbab kepada pergaduhan atau lebih teruk lagi jika ada campur tangan mertua. Walaupun kelihatan remeh, namun jangan memandang enteng. Perincikan setiap perkara atau buat keputusan dan persetujuan awal kedua belah pihak ketika dalam fasa pertunangan lagi. Jadi, mudahlah bagi kita dan pasangan untuk membayangkan masa depan setelah berumah tangga nanti.
Tuntasnya, hakikat pertunangan dalam Islam membawa seribu satu hikmah. Dalam usia pertunangan, kita dan pasangan bakal berdepan dengan pelbagai perkara baru dan sentiasa mencuba untuk menyesuaikan diri menghadapi episod rumah tangga yang akan datang.
Kredit foto: Sweetpictures KL
Lima Tahun Pertama Kahwin, Ujian Paling Besar Adalah Komunikasi

Lelaki ini kongsi, tiada yang lebih penting dalam perhubungan selain skill komunikasi yang betul. Fasa 5 tahun awal perkahwinan adalah bersabar dan perbaiki komunikasi. Teruskan bersabar dan banyakkan berbincang.
Nasihat daripada saya yang tak seberapa ini buat pasangan pengantin baru, ataupun yang akan berkahwin nanti,
1. Perbaiki skill komunikasi bersama pasangan.
2. Bersabarlah dengan penuh kesabaran sehingga mampu bersabar dan terus bersabar. Hehe.
Saya ingat lagi, masa zaman sebelum berkahwin dulu, saya kerap menghabiskan beberapa buah buku berkaitan dengan skill komunikasi, memahami perspektif lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Dan kebanyakkannya adalah buku dari Barat. Hehe.
“Bagaimana nak menikah tanpa couple” dan sebagainya.
Kenapa saya baca buku-buku ni?
Sebab masa sebelum berkahwin, saya kerap mendapat nasihat berkaitan dengan komunikasi. Ramai orang beritahu saya, perempuan ini makhluk Allah yang unik dan kompleks.
Antaranya, boleh jadi, setiap jam atau minit emosinya boleh berubah2, kadang-kadang tanpa sebab! Contoh, ada perempuan tiba-tiba menangis, bila ditanya kenapa, dia akan jawab tak tahu. Memang dia pun tak tahu kenapa.
Hehe.
So, bila dah nak menghampiri fasa berkahwin, saya pun rasa sedikit confident bahawa saya sudah memahami serba sedikit tentang perempuan. Takpe, yang penting confident tinggi, betul salah belakang kira. Haha.
Apabila sudah berkahwin, saya pun cubalah mengaplikasikan beberapa jenis teori yang saya belajar melalui buku-buku yang saya dah baca. Dengan harapan, boleh mengurangkan salah faham dengan isteri.
Tetapi…..
Saya terlupa satu lagi nasihat penting. Selain daripada komunikasi, saya mesti BERSABAR dan TERUS BERSABAR.
saya banyak kali dengar nasihat sabar ini, tetapi itulah. Easier said than done. Pernah beberapa kali kami salah faham, dan bila kami duduk berbincang, barulah saya faham. Seterusnya, antara punca perselisihan berlaku adalah sebenarnya saya yang kurang sabar.
Teringat pula dengan nasihat beberapa abang senior dan pakcik2, antara nasihat mereka,
” Fasa 5 tahun awal perkahwinan adalah bersabar dan perbaiki komunikasi. Teruskan bersabar dan banyakkan berbincang..”
Ya, saya mungkin banyak membaca bagaimana memperbaiki komunikasi dengan pasangan. Tetapi saya masih kurang bersabar. Sabar ini bukan semata-mata dengan isteri, malah bersabar dengan tekanan keluarga, tekanan kewangan, sabar dengan masalah dalaman keluarga kedua belah pihak, sabar dengan karenah isteri mengandung, bersabar dengan karendah anak yang asyik menangis, bersabar sebab tak cukup tidur, bersabar sebab isteri tak seperti yang diharapkan, dan baaaanyak lagi. Tidak semestinya bersabar kepada isteri saja.
Akhirnya, Alhamdulillah saya dan isteri jika ada apa-apa masalah, kami akan luahkan, tidak sembunyi, kemudian berbincang. Masing2 akan rendahkan ego untuk akui kesalahan jika benar2 salah.
So, sekali lagi nasihat dari saya yang masih merangkak-rangkak dalam alam perkahwinan ini untuk anda yang baru menjadi pengantin baru dan akan berkahwin nanti,
1. Paksa diri untuk baca buku berkaitan psikologi lelaki perempuan sangat penting, terutama untuk LELAKI. Ya lelaki. Kenapa?
Serius bro, perempuan ni unik. Sumpah, sangat unik. Susah la nak cakap, nanti dah kahwin, hang tau la.
Contoh, kalau isteri saya nak luahkan sesuatu masalah pada saya, saya akan tanya dia,
“ini nak suruh dengar saja ke, atau nak minta solusi?”
Nanti dia akan tersengih. Biasanya jawapan akan diberikan,
“dengar je la..”
Hehe. Pada sebahagian perempuan, kita jadi pendengar setia masalah dia pun, dah cukup menyelesaikan sebahagian masalah dia.
2. Apabila ada perselisihan, duduk bersama, luahkan masalah, dan selesaikan. Lelaki, mesti rasional di saat perempuan emosi.
InsyaAllah, sakinah mawaddah dan rahmah Allah akan turun pada hambaNya yang sentiasa berbincang.
3. Lelaki, banyakkan rasional dan sabar, sabar dan terussssssss sabar. Jangan terikut dengan rentak emosi isteri.
Dan kalau ada masalah, jangan lari! Hadapinya, dan selesaikannya.
4. JANGAN LETAK EXPECTATION pada pasangan. Jangan harapkan suami macam dalam drama, atau isteri seperti bidadari dari kayangan.
Ingat, kita ini hidup di akhir zaman. Bukannya zaman Nabi. So, faham2 sajalah manusia akhir zaman macam mana.
Kita pun faham karenah kita macam mana. Don’t expect more. Tak kisahlah dia ustaz ustazah ke, engineer ke, doktor ke, usahawan ke, atau sesiapa la.
5. Dan terakhir, sama-sama bangunkan agama di dalam rumahtangga. Sesekali, solatlah berjemaah bersama isteri dan tadarus al Quran bersama. Tak mampu buat setiap hari, hujung minggu pun jadilah.
Ramai kes cerai berlaku sebab amal agama hilang dari rumahtangga. Bila bercerai, akhirnya, orang akan menyalahkan takdir. Dan lebih ekstrem, ada yang menyatakan kahwin ini satu perjudian.
Kahwin bukan perjudiaan. Kahwin bukan tempat bertaruh nasib. Kahwin adalah sunnah Nabi. Dan perkahwinan juga adalah pilihan dan takdir.
Kau ada pilihan untuk memilih pasangan yang baik pada sisi agama, atau memilih pasangan yang JAUH daripada agama. Kemudian, kau terimalah takdir hasil dari pilihan yang telah kau buat.
Jadikahlah rumahtangga anda sebahagian dari Syurga dunia, sehingga anda betul-betul merasakan,
“Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah lagi hendak kau dustakan?”
Wallahu’alam.
Ikhlas daripada,
Shukery Azizan,
Penulis buku Aku Bukan Malaikat 1 & 2,
Shah Alam.