
Tanda hubungan bahagia boleh diketahui melalui perangai pasangan masing-masing. Jika anda kentut, mesti anda akan memerhati sekeliling anda supaya tiada orang di situ. Tapi, jika anda suka kentut di depan pasangan anda, itu tandanya anda sedang bahagia.
Sebenarnya, kentut di depan pasangan meninggalkan impak besar dalam sesuatu perhubungan seperti ketika pasangan anda mengucapkan ‘I love you’. Semak 5 sebab kentut di depan pasangan tanda hubungan bahagia mampu mengeratkan lagi perhubungan.

#1 Jenis suka bergurau
Hakikatnya kentut di depan pasangan membuatkan anda dan pasangan ketawa kerana lucu.
#2 Memori indah bersama
Percayalah, terkenangkan insiden kentut di depan pasangan akan membuatkan mereka ketawa dan menjadikan hubungan bahagia apabila mengenangkannya kembali.
#3 Kentut itu seksi
Tiada yang paling seksi selain dapat menerima baik buruk pasangan termasuk bau kentut. Samalah seperti, melihat teman wanita tidak memakai make up tetapi masih cantik. Jika tiada kepercayaan, perhubungan akan mula runtuh.
Jika anda kentut di depan pasangan , secara tidak langsung membuktikan anda tidak takut untuk menyerlahkan diri anda.
#4 Selesa dengan pasangan
Anda seorang yang tidak akan menyorokkan sesuatu atau berahsia dengan pasangan kerana melepaskan kentut di depan pasangan
#5 Seorang jujur
Selalunya pasangan yang sering kentut didepan pasangan mereka ini adalah seorang yang jujur. Ini kerana mereka lebih memilih untuk berterus-terang dan tidak suka simpan dengan perasaan mereka.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Senarai Tetamu Antara Perkara Terpenting Dalam Keseluruhan Proses Perkahwinan

Berapa agaknya tetamu yang patut diundang untuk kenduri kahwin? Pengalaman peribadi membuktikan ini bukan kerja mudah. Malah senarai tetamu adalah antara item terpenting dalam keseluruhan proses perkahwinan.
Ada mempelai, ada pelamin. Ada nasi putih, ada nasi minyak. Ada kurma, ada ayam masak merah. Ada acar buah, ada sirap bandung. Ada bunga manggar, ada kompang. Ada pulut pahar, ada telur pengantin.
Bayangkan jika semua sudah disediakan, tetapi tetamu tidak ada. Majlis warna-warni – dengan muzik dan nyanyian artis tersohor pun – pasti menjadi muram durja jika tiada tetamu bertandang.
Tanpa para undangan, nasi minyak akan dingin tidak berjamah. Ayam golek, kurma, acar buah, semua terbiar di penanggah. Pelamin dan bunga manggar pun sayu tidak diperhatikan. Hatta, telur pengantin pun terkoteng-koteng tidak disentuh.
Demikianlah pentingnya tetamu dalam mana-mana kenduri atau resepsi perkahwinan. Sebenarnya kehebatan dan kesempurnaan majlis bukan terletak pada juadah dan perhiasan, tetapi pada ramai dan meriah sambutan tetamu.
Sebab itu bukan mudah merancang siapa yang patut diundang. Kerja ini perlu dilakukan jauh lebih awal dari perkara-perkara lain. Kalau sudah ditentukan jumlah tetamu, baru boleh dibajetkan berapa gantang nasi, berapa kilo kurma daging, berapa butir telur pengantin.
Jadi, berapa kad undangan perlu dicetak? Berapa kepala patut dijemput? 500? 1,000? 1,500? Ini kena congak betul-betul. Dan biasa terjadi, betapa pun kita telah dan semak berulang kali, pasti akan ada seorang dua yang tercicir dari senarai undangan. Almaklumlah kita selalu lupa.
Apabila teringat namanya, kad undangan sudah habis diposkan. Nasib baik zaman sekarang undangan boleh diedarkan menerusi media sosial. Boleh guna WhatsApps, Facebook, Twitter, SMS, dan lain-lain. Secara peribadi, saya lebih suka menerima undangan menerusi pos.
Adat orang kita apabila berkahwin, mana boleh jemput setakat orang sebelah rumah dan keluarga rapat. Paling tidak pun kad kahwin kena edar sekampung. Saudara mara, termasuk yang bau-bau bacang pun kena jemput juga. Pendek kata, selagi ada bau, wajib dipanggil.
Kawan sepejabat terutamanya bos, patut diberitahu. Datang atau tidak belakang kira, tetapi kad mesti dihulur, kalau tidak nanti ada yang berasa hati. Perangai orang kita, kalau tidak diundang akan menjadi bahan sindiran. Kalau diundang tidak pula datang.
Selain teman pejabat, cikgu dan pensyarah pun masuk dalam senarai undangan, termasuk guru yang paling garang. Teman-teman sekolah pun kena panggil, demikian juga alumni kolej atau universiti.
Itu tidak termasuk bekas kekasih, rakan kuliah agama, penjual ikan, India surat khabar, hatta pengawal keselamatan kawasan perumahan. Wajib juga dipanggil ialah rakan dan taulan yang pernah mengundang kita ketika mereka kahwin dahulu. Kalau tidak dijemput, dikatakan tidak tahu membalas budi pula.
Tolak, campur, tolak lagi, campur lagi, maka untuk majlis kahwin biasa-biasa yang dibuat di bawah khemah depan rumah pun, paling koman kena juga undang 500. Kalau semua datang berdua, ertinya 1,000 orang. Kalau ada yang bawa anak, bawa pembantu rumah, bertambahlah lagi bilangan kepala. Lagipun dalam kad undangan biasanya dijemput “tuan/puan seisi keluarga.” Belum pernah saya terlihat dalam kad undangan dinyatakan dengan jelas “kita jemput laki-bini sahaja, anak-pinak, cucu-cicit, pembantu rumah tak boleh bawa, harap maklum!”
Maka jika yang dijemput dan hadir hanya 500 orang, itu bererti purata 500 pinggan nasi, 500 ketul lauk, 500 gelas sirap bandung, 500 pisang pencuci mulut, dan 500 telur pengantin sebagai buah tangan. Al maklumlah, perkahwinan kita tidak sah jika tiada telur pengantin.
Pendek kata, bilangan undangan ada kaitan rapat dengan kos majlis. Itu baru kos makanan. Tetapi seperti yang semua sedia maklum, perkahwinan bukan setakat makanan.
Ada penanggah, ada kanopi, meja, kerusi, itu semua kena duit. Wajib juga ada pelamin, ada pulut pahar, itu pun kena fulus. Tidak kira status mempelai, pelamin mesti ada. Mana boleh pengantin baharu hanya bersanding di atas tangga!
Kemudian ada pasukan kompang, ada tukang selawat dan tukang baca doa. Kalau di kampung, ada acara silat menyambut pengantin. Menjadi kemestian juga ada muzik, ada karaoke, dan ada juruhebah sambilan sebagai penyeri majlis. Semua itu sekarang kena duit, tidak ada yang percuma lagi.
Paling tidak pun alasan pasukan kompang: “Kenalah hulur sikit, boleh juga kita orang beli koyok sebab tangan lenguh pukul kompang…” Si juruhebah sambilan pun menuntut upah juga sebab “nak beli ubat batuk, suara serak ketika mengendalikan majlis.”
Pendek kata, majlis sederhana di kampung dengan tetamu sekitar 500 kepala pun, paling tidak kena keluar belanja sekitar RM10,000. Itu masak sendiri secara gotong-royong.
Pernah saya dan isteri diundang ke resepsi perkahwinan anak seorang VVIP di sebuah hotel terkemuka. Saya difahamkan kos per kepala RM200, dan ada lebih 1,000 tetamu.
Perihal kahwin di hotel, jamuan sudahlah RM ratus-ratus ribu, belanja lain pun kena fulus besar juga. Sebab buat di hotel serba-serbi kena yang berkelas-kelas. Pengendali majlis tidak boleh koman, paling tidak pun yang pernah menjadi pengacara di stesen TV.
Tukang selawat dan baca doa pun tidak boleh pakai imam surau, paling tidak pun calon ‘Imam Muda’ atau ‘PU’. Hatta penyanyi undangan pun mesti artis tersohor, atau paling tidak pun mana-mana finalis ‘Gegar Veganza’. Barulah putih…
Pendek kata kahwin memang semakin mahal sekarang. Baik pihak lelaki mahupun pihak perempuan kena betul-betul mengatur bajet, supaya semua berjalan sempurna, dan yang lebih penting tidak kantoi selepas kahwin. Ada yang persiapan melampaui kemampuan, akibatnya lepas kahwin dikejar ahlong.
Anak teruna masa kini menangguhkan perkahwinan, juga atas sebab fulus. Walaupun sudah berjumpa si jantung hati, sudah bersumpah setia sehidup semati, hasrat terhalang sebab orang tua gadis meletakkan hantaran di luar kemampuan. Bajet hanya RM5,000, bakal mertua mendesak RM10,000. Kantoi!
Jadi, berapa tanda harga yang patut diletakkan di batang tubuh anak gadis kita? Kalau tanya pihak lelaki pasti mereka mahu wang hantaran serendah mungkin. Alasannya, anak teruna baharu lepas universiti, baharu dapat kerja, gaji tidak seberapa. Tetapi, kena ingat anak gadis pun baharu dapat kerja, belum sempat kumpul duit. Pihak perempuan memerlukan belanja yang lebih besar sebab adat perkahwinan kita, persiapan sebelah perempuan biasanya lebih menjadi tumpuan. Tetapi, bagi pihak perempuan pula janganlah meletakkan harga terlalu tinggi.
Sebab selain harga hantaran dalam bentuk tunai, anak teruna perlu juga menyediakan hantaran-hantaran lain seperti kasut, beg tangan, kain persalinan, cincin kahwin, sirih junjung, coklat, buah-buahan dan sebagainya. Barang-barang ini pun anak teruna kena keluar paling tidak tiga empat ribu RM.
Perkahwinan – tidak kira yang pertama, kedua, ketiga, hatta keempat! – adalah benda baik. Mudahkan, jangan susahkan!
Oleh: ABD JALIL ALI
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bakal Pengantin Sila Berhenti Dari Beli Barang ‘Kehendak’ Sepanjang Musim PKP Ini

Disebabkan COVID-19 yang membawa kepada penutupan sekolah, pejabat, kedai dan sebagainya, secara tidak langsung memberi kesan besar kepada pendapatan isi rumah.
Suami atau isteri mungkin dipotong gaji, jadi pendapatan berkurang. Paling terkesan jika pekerja yang menerima gaji harian dan tidak mempunyai simpanan. Bantuan daripada kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) memang ada tetapi sejauh mana kita dapat berjimat cermat dengan wang yang kita ada sekarang?

.
Jom kami kongsikan 5 Tips Jimat Wang Semasa Perintah Kawalan Pergerakan
1. Beli Barang Keperluan Sahaja
Pada masa sekarang, perkara paling utama dan penting adalah makanan dan minuman. Fokus pada keperluan bukannya kehendak diri.
Beras, ikan, sayur, ayam, gula, tepung, susu, lampin anak dan senarainya anda sendiri tahu. Itu paling mustahak. Anda tidak bekerja, wang adalah terhad. Dengan membeli barangan keperluan ini, terjamin kelangsungan hidup untuk tempoh yang lebih panjang.
2. Beli dalam Kuantiti Borong atau Banyak
Satu keluarga hanya seorang sahaja dibenarkan keluar. Kita tiada pilihan jika ingin benar-benar hidup normal seperti sebelum ini. Jadi, peluang yang ada ini perlu digunakan sebaiknya.
Buat senarai barangan keperluan dan beli secara borong, pukal atau dalam kuantiti yang banyak. Harganya jauh lebih murah. Jika orang tanya, kenapa beli banyak-banyak, membazir sahaja? Jangan bimbang, benda anda beli akan digunakan juga sebab tahan lama. Bukannya semua barang perlu beli banyak seperti Roti Gardenia yang boleh tahan 3 – 4 hari sahaja.
Contohnya, pada kebiasaan anda membeli susu formula anak hanya sekotak. Kini, mungkin boleh beli 3 kotak pada harga yang lebih jimat (harga sekotak). Atau mungkin beli ubat gigi 2 kotak pada harga jimat RM2 atau RM3 ringgit. Atau cari barangan yang dipakej seperti:
Beli 2 percuma 1
Beli sekotak dan percuma 300g
Beli 3 dan jimat 50% pada item berikutnya.
Motifnya, selagi anda dapat harga murah, teruskan. Harga murah dapat jimat wang anda.
3. Henti Beli Barangan Tidak Berfaedah
Sebab itu pentingnya senarai barangan ketika membeli-belah. Ia supaya kita berdisplin dan tidak mudah beli barang yang tidak perlu. Barang tidak perlu ini ada kalanya tidak berfaedah langsung kepada keluarga.
Contoh paling mudah adalah barangan mainan anak-anak, gula-gula dan makanan segera. Bukan tidak boleh tetapi tempoh PKP sekarang kurang sesuai. Utamakan yang perlu dan bermanfaat kepada keluarga.
Duit yang ada bukan sentiasa bertambah tetapi sebaliknya berkurang setiap kali anda membuat pembelian. Jika membeli barangan tidak berfaedah, anda sebenarnya ‘membuang’ duit dan merugikan keluarga sendiri.
4. Henti Beli Barang Kehendak
Sudah nama manusia, jadi barangan kehendak ini perlu ada untuk memenuhi nafsu diri. Untuk tips berjimat musim COVID-19, barangan kehendak adalah perkara utama perlu dijauhi.
Anda sendiri boleh berfikir yang mana satu barangan keperluan dan kehendak, bukan?
Contoh barangan kehendak adalah pakaian mahal, sport rim kereta, handphone mahal dan sebagainya. Sudahlah tiada duit, berbelanja pula pada barang sebegini. Sangat tidak sihat untuk kewangan keluarga. Hentikan dahulu buat masa sekarang.
5. Jangan Malu Mohon Bantuan
Waktu sekarang bukan masanya malu tak bertempat. Jika tidak cukup keperluan, mohon bantuan. Ada banyak organisasi dan individu berhati mulia akan tampil memberi sumbangan.
Ada sumbangan barangan keperluan, duit dan sebagainya. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan kita. Kita perlu fikirkan anak isteri di rumah yang kelaparan jika tiada apa-apa tindakan dari ayah di rumah.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Maksud: Cita-cita tanpa usaha tidak akan tercapai.
Jika buat carian di internet, anda akan jumpa banyak penderma dan pertubuhan sedia memberi bantuan kepada sesiapa sahaja. Asalnya anda tampil memohon. Mereka mungkin terlepas pandang anda kerana terlalu banyak keluarga yang perlu dibantu tetapi tindakan anda boleh memberi kesenangan kepada keluarga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baca 40 Kali Selama 40 Hari, Agar Dijauhkan Dari Kemiskinan

Untuk anda semua yang akan berkahwin dan baru berumahtangga, terasa kesempitan wang, ini adalah surah yang harus anda amalkan agar ada jalan untuk rezeki anda dipermudahkan.

.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W.
“Barangsiapa membaca Surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam, tiadalah akan menimpa kepadanya kefakiran atau kepapaan” Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”
Surah Al-Waqi’ah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqi’ah kerana di ambil dari lafal Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat.

.
Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.
Di dalam surah Al-Waqi’ah terkandung beberapa khasiat, antara lain:
Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.
Bila di baca 14 kali setiap selesai solat Asar, maka orang yang membacanya itu akan memperoleh kekayaan yang berlimpah ruah.
Jika di baca surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis (sekali duduk), insyaAllah di tunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.
Supaya menjadi orang yang kaya sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 kali selepas solat subuh dan 3 kali selepas solat Isya’.
InsyaAllah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan di jadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.
Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki. Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat.
Setiap selepas solat fardhu bacalah Surah Al-Waqi’ah ini sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya; pada malam Jumaat berikutnya itu, selepas solat Maghrib bacalah surah ini sebanyak 25 kali, selepas solat Isya’ bacalah surah ini sebanyak 125 kali diikuti dengan selawat keatas Nabi sebanyak 1000 kali. Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah. Kemudian amalkanlah surah ini sekali pada waktu pagi dan petang. Insya’Allah berhasil.
Surah ini jika dibaca disisi mayat atau orang yang sedang nazak, insyaAllah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, InsyaAllah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca disisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya
Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.
Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.
Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali. Insya’Allah, dengan mengamalkan seperti berikut, ia akan menjadi orang kaya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!


