Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Ads
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
Ads
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
Ads
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lepas kata lafaz ‘aku terima nikahnya’, itulah saat jatuh semua tanggungjawab, keputusan kepada suami. Selama mana tak bercanggah dengan hukum, kena ikut. Andai ada yang bercanggah, kena nasihat bukan bergaduh.
Yang menikah bukan antara manusia dengan malaikat, bukan malaikat dengan jin. Manusia sesama manusia, kita PASTI bergaduh. Salah itu pasti wujud. Ada masa kita salah, ada masa dia salah, Maka jawabnya toleransi. Realiti perkahwinan tak seindah drama tv, bersedialah susah senang bersama.
Kadang-kadang kita mungkin tak perasan ada antara perkara ini kita sering lakukan kepada pasangan kita. Dan mungkin perkara yang kita lakukan ini sering menghalang rezeki kita dan keluarga. Periksa setiap perkara ini dan muhasabah diri kita sendiri.
1] TIDAK TERIMA PASANGAN SEADANYA
Masa awal perkahwinan ramai yang terpaksa mengikat perut memulakan hidup baru. Tak semua dapat kahwin dengan anak orang kaya yang sanggup sediakan segala-galanya. Lepas kahwin tinggal ‘cuci kaki’ sahaja. Masa ini. Belajarlah untuk susah senang bersama. Ada kala Tuhan menguji dengan kesempitan wang, maka jawabnya sabar dan banyakkan berbincang.
Usahlah bergaduh sesama pasangan, lagi-lagi berkenaan wang ringgit. Suami sebagai ketua keluarga haruslah memainkan peranan penting. Buang sifat ego dalam diri anda. Hidup berumah tangga ialah sebuah perkongsian. Belajarlah untuk menerima dan reda dengan kekurangan diri pasangan masing-masing, sama ada sikap, akhlak dan sebagainya. Bila pasangan tidak reda antara satu sama lain, di situlah rezeki akan tersekat.
2] ANGGAP ANAK SATU BEBAN
Memang perkahwinan membukakan pintu rezeki. Tapi bukan datang dalam bentuk wang ringgit sahaja. Pasangan yang baik pun rezeki, dikurniakan anak juga rezeki. Hati yang tenang juga rezeki. Dan kalau duit kita berkat, duit yang ada pun akan sentiasa rasa cukup.
Usahakan rezeki untuk anak-anak tanpa merungut, menyesal, ataupun rasa terbeban. Berikanlah kasih sayang kepada anak-anak, kerana setiap anak ialah rezeki Allah SWT. Mereka menjadi ujian untuk kita. Mereka juga amanah yang boleh menjadi kebaikan atau bala kepada kita di akhirat kelak. Justeru, hargailah kewujudan mereka kerana merekalah aset selepas kematian kita nanti.
3] TIDAK PERNAH BERSYUKUR
Kurangkan mempersoalkan ujian yang Allah berikan kepada kita dan banyakkan bersyukur dengan apa yang dimiliki. Kahwin itu ibadah. Jalan untuk dapat pahala. Mungkin di awal perkahwinan , anda terpaksa masak atau makan di rumah setiap hari. Ataupun beli bungkus, dan kemudian share berdua. Itu normal. Bukan senang nak mulakan hidup baru dari kosong.
Hidup kita tak sama dengan drama kisah cinta dalam tv yang biasanya cuma ada satu halangan dan kemudian terus dihabiskan dengan happy ending sampai bila-bila. Hidup ini banyak ujian yang bukan kita harungi. Belajar bersyukur dengan setiap yang mendatang. Tidak kira banyak atau sedikit, kerana syukur itu ialah kunci kepada rezeki yang melimpah ruah.
4] KEDEKUT DENGAN PASANGAN & ANAK-ANAK
Dulu ketika bercinta sanggup berjanji hidup susah senang bersama, kan? Bila ada rezeki lebih jangan simpan sendiri. Kongsikan sesama keluarga. Bila dihimpit masalah kewangan, jangan mudah putus asa. Anda kena kuat dan tabah. Usaha sehabis baik untuk cari jalan penyelesaian. Ada sebab Allah SWT hantar dugaan kepada anda berdua. Supaya anda tak perlu hadapi cabaran itu seorang diri. Lama-lama nanti, bila rezeki bertambah, masa susah ini lah akan jadi kenangan.
Sebab detik-detik inilah yang akan mengeratkan hubungan dan menambah perasaan sayang dalam hati anda berdua. Jangan terlalu berkira dengan keluarga. Perlu diingat keluargalah yang lebih utama, hendaklah bertolak ansur dan faham sesama pasangan, kerana rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi bersama pasangan dan anak-anak serta ahli keluarga. Ingatlah, zuriat anda juga pembawa rezeki anda.
5] CEPAT MARAH DAN SELALU NAIK ANGIN
Ada kalanya kita gagal untuk mengawal emosi dan perasaan kerana masalah yang timbul. Perasaan seperti serba salah , takut dan rasa tidak sedap hati yang berterusan akan menyebabkan anda merasa duka. Oleh itu, belajar untuk kawal perasaan anda. Ingat! Bukan semua orang boleh terima dan faham akan emosi kita. Memang wajar kita sebagai manusia beremosi kerana kita mempunyai perasaan dengan melepaskan marah atau meninggikan suara bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Gunakan kata-kata yang baik sesama pasangan. Jika anda mempunyai anak, jangan tunjukkan sifat buruk dengan memaki hamun ini di depan mereka. Ingat, anak-anak bakal mengikut segala tingkah laku ibu bapanya kerana mereka cermin kita di masa hadapan.
6] SUAMI ISTERI KURANG SABAR
Kunci segala kebahagiaan di dalam rumah tangga adalah sabar. Bahagia itu ada apabila kita sentiasa bersabar dalam banyak hal. Bersabarlah dalam menangani karenah masing-masing. Ada kalanya sesuatu itu kita tidak suka, begitu juga dengan pasangan. Mungkin ada sesuatu yang dia kurang gemar tentang perangai kita namun, tetap perlu bersabar, kerana kesabaran itulah punca rezeki. Ingat, pasangan yang perfect itu tak bermaksud pasangan yang ideal.
7] SENTIASA LUPA BERDOA
Ramai daripada kita sering ambil mudah dengan perkara ini. Lupakah kita, siapa yang paling berkuasa dan mampu perkenan kan doa-doa kita? Mintalah apa sahaja dengan-NYA. Lambat atau cepat, DIA sentiasa dengar doa-doa kita. Sentiasalah ingatkan pasangan juga untuk dekatkan diri kepada Allah, dan mendoakan yang baik-baik kedua-dua pasangan serta keluarga. Ibu bapa yang paling utama. Tanpa mereka, dan restu mereka membahagiakan kita suami isteri. Sentiasa ingat mereka dalam doa, khususnya setiap kali selepas solat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkahwinan merupakan salah satu perkara yang indah dalam hidup kita. Pastinya semua orang mengingkan perkahwinan yang mereka bina berkekalan hingga ke akhir hayat. Kalau boleh mahu melalui perkahwinan sekali sahaja seumur hidup.
Pemilihan baju pengantin adalah sangat penting kerana ia akan mencerminkan konsep majlis perkahwinan anda nanti. Sudah pasti ia adalah perkara yang rumit perlu diselesaikan oleh setiap pengantin. Ini beberapa tips yang kami akan kongsikan kepada anda. Semoga anda dapat membuat pilihan dengan bijak dan berhemah!
1. Berapa pasang
Tentukan berapa pasang yang korang nak. Jumlah pasang bergantung kepada berapa jenis majlis yang korang adakan. Secara umumnya, minimum dua pasang dah cukup; satu pasang dipakai ketika majlis pernikahan dan kenduri di rumah perempuan, dan satu pasang semasa kenduri di rumah lelaki. Kalau korang buat semua majlis serentak pada satu hari, satu pasang pun dah cukup. Yang penting, jangan pakai sepasang baju yang sama pada hari yang berlainan.
2. Beli / tempah / sewa
Untuk mendapatkan baju pengantin, tiga cara utama yang boleh dilakukan; tempah, beli ataupun sewa. Cara terbaik adalah dengan menempah, kerana anda boleh berbincang dengan tukang jahit berkenaan rekabentuk yang diingini berdasarkan citarasa anda. Tambahan lagi, ukuran dan saiz boleh disesuaikan dengan badan korang. Kalau korang nak beli yang dah siap, sesuai kalau korang yang ade bentuk dan saiz badan yang normal kerana kebanyakan baju direka berdasarkan saiz normal kebanyakan orang.
Ataupun, kalau korang takde bajet yang tinggi untuk menempah sendiri atau membeli yang dah siap, korang boleh menyewa set pakaian pengantin daripada butik-butik pengantin. Namun, harus diingat, perlu menyewa dengan lebih awal, takut takde saiz dan baju yang sesuai kalau lambat.
3. Reka bentuk
Rekabentuk baju pengantin yang korang pilih, samaada baju melayu, baju kebaya melayu, ala Inggeris, ala Bollywood dan sebagainya, perlulah sesuai dengan tema majlis perkahwinan korang. Dari segi jenis material pula, perlulah menentukan samaada nak kain satin, songket, lase dan sebagainya. Dapatkan pandangan daripada pereka baju ataupun jurujual butik pengantin untuk mendapatkan rekabentuk dan jenis material yang sesuai dangan bentuk badan korang untuk majlis perkahwinan.
A) Badan Gempal Dan Tinggi
Individu yang berbadan seperti ini sesuai menggayakan busana berwarna gelap seperti hitam, coklat gelap, biru gelap, hijau gelap kerana warna-warna ini mampu membuatkan anda kelihatan langsing. Jika ingin bergaya dengan baju bercorak, pilih corak bunga-bunga kecil. Elakkan memakai pakaian warna terlalu terang dan corak bunga yang besar kerana ia akan menyerlahkan kegempalan anda.
B) Badan Kurus Dan Rendah
Jika anda termasuk golongan ini, serlahkan penampilan dengan menggayakan warna busana yang lebih cerah dan corak bunga yang sedikit besar. Corak garis menegak sesuai dipakai supaya anda tampak lebih tinggi. Lengkapkan penampilan anda dengan memakai kasut tinggi seperti wedges, ia mampu membantu menambahkan ketinggian anda.
C) Badan Kurus Dan Tinggi
Bagi individu yang berbadan kurus dan tinggi, anda sesuai memakai warna cerah seperti merah jambu, merah, kuning, oren, hijau, biru muda dan coklat serta boleh juga menggayakan corak melintang dan bunga baju yang besar supaya mengurangkan anda dilihat terlalu kurus. Corak melintang dan besar mampu memberi gambaran bahawa anda lebih berisi.
D) Bentuk Badan Buah Pear
Busana yang tepat untuk bentuk tubuh ini adalah yang mampu menyeimbangkan bahagian atas tubuh dengan bahagian bawah tubuh. Pakaian dengan corak pelbagai dan berwarna terang sesuai dipakai pada bahagian atas. Pakaian atas (bahu/lengan) yang lebar, berenda-renda, perincian yang banyak juga mampu membuatkan tubuh bahagian atas anda kelihatan sedikit besar sekaligus ia menyeimbangkan tubuh.
E) Bentuk Tubuh Epal
Warna-warna yang ceria dan terang di bahagian atas tubuh dan warna gelap bahagian bawah tubuh adalah kombinasi yang sesuai. Gunakan tali pinggang dengan ukuran sederhana untuk tampil menarik. Pilih warna-warna gelap untuk memberikan kesan langsing.
F) Bentuk Tubuh 4 Segi Atau Brick/Rectangle
Pilihlah pakaian dengan potongan yang jelas agar membantu membentuk lekuk tubuh, seperti pakaian dengan struktur geometris dengan tali pinggang atau pakaian yang memiliki perincian pita dan kerut yang ringkas. Hindari pakaian jenis yang tipis dan ringan. Jangan mengenakan terlalu banyak perincian dan gabungan rona berlebihan agar kesannya tidak terlalu serabut. Untuk aksesori juga jangan terlalu banyak.
G) Bentuk Tubuh Jam Pasir
Mereka yang memiliki bentuk tubuh jenis ini sangat bertuah kerana anda sesuai memakai semua jenis busana dan warna. Untuk bahagian bawah tubuh digalakkan mengenakan skirt dengan potongan A-line agar anda kelihatan lebih ramping.
4. Warna
Pemilihan warna baju pengantin yang salah akan sedikit sebanyak mencacatkan majlis perkahwinan, jadi korang kene berhati-hati. Pastikan warna yang dipilih sesuai dengan bentuk tubuh dan warna kulit korang. Jika anda berbadan gempal, anda boleh tampak lansing jika mengenakan baju pengantin yang berwarna sedikit gelap dan diperbuat daripada material kain tidak licin.
Untuk pengantin yang berkulit gelap, seelok-eloknya elakkan warna gelap kerana akan menenggelamkan seri pengantin baru. Namun, memilih warna yang sangat terang juga adalah tidak sesuai terutama apabila gambar diambil. Pilihan terbaik adalah memilih baju pengantin yang berwarna lembut dan sederhana, seperti kuning dan putih. Apa-apapun, semuanya bergantung kepada citarasa dan minat korang.
5. Aksesori
Walaupun baju pengantin yang dipakai adalah ringkas dari segi rekabentuk, jenis dan warna materialnya, tapi korang masih boleh menyerlahkan penampilan dengan menggunakan aksesori yang sesuai. Rantai, keronsang, gelang, mahkota dan selendang adalah aksesori yang sesuai untuk dipakai pengantin wanita. Manakala, untuk pengantin lelaki, bergantung kepada jenis baju yang dipakai, aksesori yang sesuai adalah songkok, keronsang, sampin dan keris.
Perlu diingatkan aksesori yang dipakai usahlah terlampau banyak sehingga menyebabkan anda tidak selesa dan sukar bergerak. Di samping aksesori tambahan, pemilihan kasut yang bersesuaian dengan pakaian yang dipakai turut memainkan peranan yang penting. Elakkan memakai selipar biasa.
Sumber : miezipro
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lelaki juga manusia biasa. Kita boleh menangis apabila putus cinta (bagi yang berhati kering mungkin langsung tidak menitiskan air mata). Biasanya orang akan lihat, apabila putus cinta, wanita yang lebih derita. Tetapi sebenarnya lelaki yang lebih merana. Tidak percaya?.
Anda mungkin tidak mempercayai fakta ini. Namun ia telah dibuktikan melalui satu hasil penyelidikan yang dilakukan di Universiti Wake Forest, Utara Carolina, dan diterbitkan di dalam Journal of Health and Social Behavior. Hasil penyelidikan melibatkan 1000 orang dewasa (tidak pernah berkahwin) yang berusia 18 hingga 23 tahun, mendapati hubungan tidak bahagia lebih mempengaruhi lelaki berbanding wanita. Lelaki mengekspresikan kesedihan mereka dengan cara berbeza iaitu menerusi pelbagai masalah, manakala wanita lebih mengekspresi dengan bersikap murung.
Robin Simon iaitu Profesor bidang Sosiologi dari universiti tersebut menyatakan bahawa lelaki lebih beremosionaldari aspek positif hubungan cinta yang sedang terjalin. Katanya “ bagi lelaki muda, pasangan mereka sering menjadi sumber utama untuk mencurahkan kasih sayang. Berbeza dengan wanita yang cederung untuk berkongsi dengan keluarga mahupun teman-teman rapat”. Biasanya ketegangan dalam sesuatu hugungan itu dikaitkan dengan kesihatan emosi yang rendah, dan kerana hal tersebut akan mengacam identiti serta harga diri seorang lelaki.
Sekiranya lelaki secara emosional lebih dipengaruhi oleh kualiti hubungannya di saat ini, wanita pula lebih dipengaruhi oleh kenyataan sama ada mereka memiliki hubungan cinta atau tidak. Tidak hairanlah jika wanita lebih cederung untuk mengalami kemurungan ketika hubungan berakhir, dan sebaliknya mendapat manfaat lebih hanya dengan berada dalam sesuatu hubungan.
TIP HADAPI PUTUS CINTA
1-Berdamailah dengan diri sendiri- Untuk menghadapi kesedihan perpisahan, sebelum orang lain membantu anda, bantulah diri sendiri terlebih dahulu. Lupakan apa yang terjadi dengan memanjakan diri mu. Lakukan sesuatu yang boleh membuatkan diri rasa kurang tegang seperti ke spa untuk lakukan terapi.
2-Anda sedang tertekan dan merana kecewa, jadi jangan bebani emosi anda dengan mendengar suatu yang lebih mengusutkan fikiran daripada orang lain. Walaupun daripada kawan karib sendiri. Kecuali ia sesuatu manfaatyang boleh melegakan anda.
3-Luangkan masa lebih kerap dengan teman-teman rapat yang suka wujudkan situasi menghiburkan. Anda boleh lupakan masalah itu dengan cara gelak ketawa. Jika boleh, aturkan perjumpaan dan lakukan sesuatu perkara positif yang menyeronokkan.
4- Percaya dan anggaplah anda ditakdirkan untuk tidak bersama. Lakukan perubahan yang lebih baik pada diri sendiri dan carilah cinta baru yang pasti sedang menanti anda (berikan ruang dan masa sesuai untuk mencari cinta baru itu). Hubungi rakan wanita yang lama tidak anda hubungi. Jika dia masih ‘solo’, cubalah ajaknya keluar bersama. Mana tahu cinta anda berputik dari situ. Percayalah pada keajaiban cinta.
5- Jika selama ini anda kurang beri perhatian pada penampilan, tiba masanya kini anda lakukan perubahan. Ubah stail rambut, cara berpakaian. Tonjolkan diri yang baru dan itu boleh membuatkan anda berasa lebih percaya serta yakin diri.
6-Pastinya anda mempunyai hobi tertentu. Hilangkan rasa kesedihan dengan melakukan hobi anda itu lebih kerap. Jika anda suka memancing, ajak teman-teman untuk ikut sama. Pergi ke lokasi memancing lebih jauh dari tempat biasa.
7-Ini cara yang paling menyihatkan. Dengan cara bersukan dan beriadah juga membuatkan anda boleh melupakan segala masalah yang dihadapi. Pada masa yang sama ia boleh menyihatkan tubuh badan anda. Jika malas sekalipun, dengan berjogging atau berbasikal boleh menghilangkan rasa tegang yang sedang anda hadapi.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!