
Disebabkan sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan berbulan lamanya, sampai kesihatan tubuh badan diabaikan.
Kepada bakal pengantin baru, anda perlulah sentiasa ingat dan menjaga kesihatan badan agar majlis persandingan anda tidak bertukar menjadi majlis yang duka dan suram.
Pesona Pengantin memberikan beberapa tip yang baik untuk bakal pengantin baru mengembalikan kembali kecergasan tubuh badan seperti sedia kala:
1. Minum air 8 gelas sehari
Ketika demam, suhu badan adalah panas di mana banyak air diperlukan untuk mengembalikan kesegaran tubuh. Amalkan minum air masak sebanyak 8 gelas besar sehari. Kebaikan minum air yang banyak adalah untuk melancarkan sistem pencernaan di dalam badan, mencegah penyakit batu ginjal serta hati, melembapkan kulit, melancarkan darah dan meningkatkan hormon estrogen, menyihatkan jantung, menguatkan otot dan ligamen untuk sistem darah dan pernafasan, menguruskan badan, dan melegakan stres. Di samping itu, suhu panas badan anda juga akan menurun dengan cepat.
2. Jangan tidur lewat malam
Rehat dan tidur yang cukup amat penting bagi bakal pengantin. Berhentilah daripada melakukan sebarang kerja dan penuhilah masa rehat dengan tenang. Tidur lewat malam akan memburukkan lagi tubuh badan anda yang tidak sihat dan berasa lemah di samping akan mendapat lingkaran gelap di bawah mata pada keesokan harinya.
3. Elakkan minuman sejuk dan berais
Minuman berais dan sejuk adalah sangat bahaya dan menjadi pantang larang untuk anda ketika demam. Elakkan dari minum minuman sejuk, kerana ia akan membuatkan tekak anda berasa panas dan meningkatkan suhu dalam badan ketika demam. Di pagi hari sebelum majlis persandingan bermula, gantilah minuman sejuk yang anda suka kepada minuman panas.Tambahan limau nipis, lemon atau madu akan melegakan tekak dan badan anda di hari persandingan nanti.
4. Letakkan tuala lembap di dahi
Tuala lembap yang kecil, boleh diletakkan di dahi ketika suhu badan sedang naik. Anda akan rasa kesejukan di dahi dan lega daripada panas yang memerangkap di dalam kepala anda. Amalkan sekerap yang mungkin dan basahkan beberapa kali kain tersebut. Keesokan harinya, anda pasti akan beroleh sedikit tenaga untuk majlis bahagiamu
Sayang Saja Tak Cukup, Ini 5 Cara Berkesan Nak ‘Ikat’ Rasa Cinta Dalam Hubungan

Meskipun anda menyayangi pasangan itu masih belum cukup untuk mengukuhkan hubungan kerana anda masih perlu untuk terus memupuk rasa cinta agar hubungan menjadi lebih mesra dan kukuh. Ini penting bagi menjamin hubungan yang harmoni dan berpanjangan.
Pelbagai cara boleh anda lakukan untuk membuatkan rasa cinta bertambah. Nilai-nilai murni yang disemai dalam hubungan cinta akan menjadikan hubungan antara pasangan lebih erat sekali gus membawa kebahagiaan yang berkekalan.
Jom kita lihat lima cara berkesan untuk ‘ikat’ rasa cinta antara pasangan!
1. SENTIASA BERKOMUNIKASI
Salah satu cara yang paling berkesan untuk meningkatkan kualiti hubungan adalah dengan komunikasi yang baik. Kini ramai orang yang kurang berkomunikasi dengan pasangan atas pelbagai alasan sehingga boleh menyebabkan hubungan terjejas.
Sebenarnya, komunikasi dengan pasangan sangat mudah. Anda hanya perlu memberikan perhatian kepada pasangan dan sentiasa berkomunikasi tidak kira sama ada pasangan berada dekat ataupun jauh daripada anda. Salah satu cara yang sangat mudah untuk dilakukan adalah sms ataupun membuat panggilan telefon.
2. SELESAIKAN MASALAH DENGAN TENANG
Masalah memang selalu datang dalam perhubungan. Oleh itu, anda harus tenang dan santai dalam menghadapi dan menangani masalah tersebut. Kadangkala, pasangan boleh membuatkan kesabaran anda berkurangan kerana terlalu sibuk dengan hal yang tidak penting seperti melakukan hobi yang digemari ataupun bertemu dengan rakan-rakannya hingga kadang-kadang mengabaikan anda. Akan tetapi jika anda melihat perkara ini dengan tenang, maka hubungan anda akan menjadi lebih kuat.
3. BERI PERHATIAN YANG LEBIH
Sesebuah hubungan yang dijalin tanpa perhatian yang secukupnya memang sukar untuk memupuk rasa cinta yang mendalam. Oleh itu, anda harus memberi perhatian yang lebih buat pasangan. Perlu diingatkan agar anda tidak terlalu berlebihan, khuatir pasangan menjadi rimas dan bosan. Dengan adanya perhatian daripada pasangan akan membuat seseorang merasa dirinya dihargai dan disayangi.
4. ELAK SIFAT MARAH YANG BERLEBIHAN
Anda pasti sedar jika marah dengan berlebihan akan mengganggu dan menjejaskan hubungan. Anda harus kawal rasa amarah supaya hubungan yang dijalin tidak terputus di tengah jalan. Jika anda sedang marah, sebaiknya berbincang dengan baik dan tanpa ada ungkapan yang boleh membuatkan hati pasangan terluka. Sekiranya anda rasa anda adalah orang yang suka berkata secara spontan, lebih baik anda menghantar mesej buat pasangan agar dia lebih mengerti.
5. JANGAN JEMU MEMUJI PASANGAN
Apakah anda pernah memberikan pujian kepada pasangan? Anda harus memahami bahawa pujian mampu menimbulkan lebih rasa sayang dan cinta. Selalulah memuji pasangan agar dia merasakan anda betul-betul menyayangi dirinya. Sebagai contoh, berikan pujian apabila pasangan anda memakai baju baharu ataupun membuat stail potongan rambut baharu. Cara ini dapat mengukuhkan rasa cinta dalam sesebuah hubungan.
Suri Rumah Perlu Tahu Cara Pilih Ketam Banyak Isi Dan Manis

Ketam bukanlah hidangan makanan laut yang kita makan hari-hari. Tapi bila sesekali teringin nak makan ketam, bila dah siap masak, mesti rasa kecewa bila rasanya, tak seperti yang kita harapkan. Berbau, tak segar, isi sikit dan sebagainya. Ada caranya yang tersendiri nak pilih ketam yang segar agar tak menyesal bila tersalah pilih nanti.
Harga ketam pulak tu boleh tahan mahal harganya. Biarlah harga yang dibayar berbaloi dengan kualiti ketam yang dibeli. Berikut merupakan perkongsian tip oleh Penjual Makanan Laut sendiri, yang boleh dijadikan panduan ketika pilih ketam sebelum ada terus membeli.
1.Waktu Membeli
Jika ingin membeli ketam, belilah ketam di waktu selepas bulan mengambang penuh,kerana pada waktu ini isi ketam lebih padat dan banyak. Nampak seperti tidak logik, tapi percayalah memang ada perbezaannya.
2.Warna Cengkerang
Jika beli ketam, terutama ketam bunga yang bermacam jenis, lihat pada warna cengkerangnya, terutama bahagian atas dan juga pada sepit. Andai ada warna kebiruan, ia menandakan ketam itu masih segar.
3.Pilih Ketam Berat
Pilih ketam yang lebih berat daripada yang lain, timbang dengan tangan anda. Ketam lebih berat daripada yang lain menunjukkan isinya padat. timang-timang sikit ketam tu, untuk mengagak berat ketam.
4.Lihat Belakang Ketam
Ketam boleh juga diketahui kesegaran dengan lihat belakang ketam. Bentuk tiga segi dekat belakang, jika masih kuat melekap, ia adalah ketam segar.
5. Bau Laut
Bau mestilah ada bau laut, kalau dah ada bau hanyir yang kuat tu.Faham-faham aje la ehh.
6. Cukup Sifat
Ketam haruslah masih cukup sifat . Contohnya, kaki ketam masih kuat melekat pada badan dan mata ketam mesti ada lagi.Ini menunjukkan ia masih segar dari laut.
7.Pilih Ketam Betina
Jika berpeluang untuk memilih, pilihlah ketam betina. Ini kerana ketam betina ni, ada telur dan selalunya ketam betina lebih banyak isi.
*Cara memilih ketam betina ialah dengan melihat pada bahagian belakang badan ketam yang selalunya lebih lebar, bulat dan bukan tirus. Ketam betina badan agak bulat dan sepit yang ada adalah lebih pendek dan kecil berbanding ketam jantan yang mempunyai sepit lebih besar. Dari segi warna, ketam betina warna agak kelabu-coklat, berbanding ketam jantan putih-kebiruan.
8. Tiada Tompok-Tompok
Bahagian bawah ketam yang segar selalunya putih bersih, kalau ada tompok-tompok atau warna selain putih, ia sudah agak kurang segar
Sumber :the ikan dot com
Bila Isteri Buka Aurat, Adakah Suami Akan Tanggung Dosa Isterinya?

Soalan: Adakah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya?
Jawapan:
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:
- Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
al-Tahrim:6
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”
Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]
Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
al-An’am:164
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”
Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ
Fatir:18
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”
Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara’ bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya. Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:
- Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]
Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:
- Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
al-Nisa’:34
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”
Kata Syeikh al-Sa’di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]
Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin.
Sumber : http://www.muftiwp.gov.my