
Menjelang hari bahagianya, pemilihan bridesmaid Bella Astillah turut menjadi perhatian ramai. Namun bagi penyanyi dan pelakon popular itu, barisan pengiring pengantin bukan sekadar pelengkap majlis atau ruang untuk menghimpunkan nama-nama popular dalam industri.
Menerusi perkongsian di Threads, Bella menjelaskan bahawa pemilihan bridesmaid dibuat berdasarkan nilai sebuah persahabatan yang tulus dan telah terjalin sekian lama. Baginya, gelaran sahabat baik tidak semestinya diukur melalui kekerapan bersama, kemunculan dalam setiap hantaran atau sejauh mana hubungan itu dipamerkan kepada umum.
“Apa sebenarnya nilai persahabatan di mata korang? Adakah ‘best friend’ hanya dikira bila sentiasa berkepit, sentiasa muncul dalam posting dan sentiasa ditunjukkan kepada satu dunia?” tulisnya.
Bella turut mempersoalkan tanggapan segelintir pihak bahawa barisan bridesmaid seseorang selebriti perlu terdiri daripada individu popular atau rakan artis. Sebaliknya, dia lebih menghargai persahabatan yang lahir secara jujur tanpa mengambil kira status mahupun populariti.
“Dan sejak bila pula bila kita bercakap tentang ‘bridesmaids’, semua dalam itu wajib yang popular atau artis? Saya lebih memilih pure and genuine friendship,” jelas Bella.

Pada masa sama, Bella menegaskan bahawa dia tetap menyayangi dan menghormati rakan-rakannya dalam industri seni. Namun, setiap individu mempunyai kehidupan, kerjaya, keluarga dan komitmen masing-masing. Justeru, mereka tidak perlu sentiasa kelihatan bersama di media sosial hanya untuk membuktikan keakraban.
“Sudah tentu ada kawan-kawan dalam industri yang saya sangat hormati dan sayang juga. Tapi semua ada kehidupan sendiri, ada kerja, keluarga, komitmen dan kesibukan masing-masing. Tak semestinya setiap masa kena bersama atau sentiasa muncul di media sosial untuk membuktikan sesuatu,” katanya.
Menurut Bella, semakin meningkat usia, semakin seseorang memahami bahawa hubungan paling ikhlas tidak semestinya menjadi hubungan yang paling kerap diperlihatkan kepada umum.
“Ada kawan yang kita bercakap setiap hari, ada yang tinggal beribu batu jauh, ada yang mungkin berbulan tidak berjumpa. Tapi bila berjumpa, hubungan itu tetap sama,” luahnya.
Antara sahabat yang mempunyai tempat istimewa dalam hidup Bella ialah Elyssa Murni Johari. Persahabatan mereka bermula sejak Bella berusia lapan tahun dan kekal erat sehingga kini meskipun Elyssa menetap jauh di Dubai.
Pemilihan bridesmaid sememangnya cukup peribadi buat seseorang bakal pengantin. Mereka bukan sahaja hadir dalam busana sedondon atau berdiri manis mengiringi pengantin, tetapi menjadi individu yang telah menyaksikan pelbagai fasa kehidupan, daripada suka dan duka sehinggalah menuju hari paling bermakna.
Buat Bella, barisan bridesmaid yang dipilih bukan mengenai siapa paling dikenali ramai, sebaliknya siapa yang benar-benar mengenali dirinya. Dalam dunia yang sering menilai keakraban berdasarkan apa yang terlihat di media sosial, perkongsiannya menjadi peringatan bahawa persahabatan sejati tidak memerlukan pembuktian kepada sesiapa.
Difahamkan, Bella memilih sembilan individu untuk menjadi bridesmaid pada hari bahagianya. Selain Elyssa, antara nama yang diperkenalkan ialah adiknya sendiri iaitu Didi Astillah, Tya Arifin, To’ Puan Syamim Freida dan Emma Suhaimi.
Kesemua mereka dipilih bukan kerana status atau populariti, sebaliknya atas hubungan persahabatan yang tulus serta kehadiran masing-masing dalam pelbagai fasa kehidupan Bella. Biarpun tidak semuanya dikenali umum, merekalah insan yang mahu berada di sisi Bella ketika dia melangkah menuju lembaran baharu dalam kehidupannya.

sekarang!
