Sebagai seorang anak jangan sesekali rasa ‘terbeban’ untuk berikan duit gaji kita kepada mak ayah walaupun sedikit.Walaupun gaji kita tak besar mana, terikat dengan pelbagai hutang dan komitmen, paling penting asingkan sedikit duit gaji untuk mak ayah.Percayalah perkara kecil yang kita lakukan ini mampu beri kesan yang amat besar dalam kehidupan. Rezeki akan jadi melimpah ruah, hati lebih tenang malah hidup pun rasa lebih tenang.
Meskipun adakalanya mak ayah ‘menolak’ tak mahu duit kita, sebab mereka pun dah ada duit sendiri. Namun rebutlah peluang tetap beri walaupun nilainya sedikit kerana dari situlah Allah lorongkan keberkatan dalam kehidupan dan setiap rezeki kita.
Ikuti perkongsian daripada Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, membuka mata dan hati kita sebagai seorang anak akan tanggungjawab dan punca keberkatan dalam kehidupan.
PAGI JUMAAT PENUH BARAKAH INI AKU NAK BERKONGSI SATU KISAH BENAR. KISAH YANG SEORANG KAWAN BAIK AKU SAMPAIKAN SENDIRI PADA AKU. TENTANG KEBERKATAN DUIT DAN HIDUP.AKU NAMAKAN KAWAN AKU INI ALANG SAJA.ALANG KERJA KERAJAAN. NAMUN BUKANLAH GRED BESAR. BUKAN TAHAP DEGREE, MASTER ATAU YANG LEBIH TINGGI. LULUSAN DIPLOMA SAHAJA.
Tahun pertama dia kerja, sedikit duit gaji disisihkan untuk mak dan ayahnya. Padahal masa tu, gajinya tak sampai pun seribu. Dia hantar rm100 sebulan. Rm50 untuk ibu, rm50 untuk ayah.Begitulah rutinnya setiap bulan. Walau mak ayah dia bukan orang miskin, namun tetap dia hantar juga. Malah, pencen ayah dia sendiri 4x ganda lebih mahal dari gaji dia.
“AKU TAK MAMPU BERI BANYAK. SEDIKIT PUN AKU TETAP KIRIM JUGA. BUKAN SEBAB MEREKA NAK DUIT AKU. MEREKA TAK MINTA PUN.TAPI AKU NAK MEREKA RASA JUGA HASIL TITIK PELUH AKU. SELAMA INI, MEREKA TANGGUNG AKU. SEKARANG, AKU DAH KERJA. AKU NAK MEREKA RASA JUGA. LAGI PUN, KALAU IKUT ADAT, UMUR MEREKA BERAPA LAMA SAHAJA LAGI. BERAPA LAMA SAHAJA LAGI MAMPU AKU BERBAKTI DAN MENGHARGAI.”
Itu yang Alang sering ucap bila orang tanya kenapa dia masih kirim duit setiap bulan pada ibu dan ayahnya kerana ayahnya boleh dikatakan seorang yang berada juga.
Kehidupan Rasa Sukar
Sampai satu masa, Alang kahwin. Bebanan hidup berkeluarga mula dia rasa. Sewa rumah tidak lagi dikongai dengan rakan bujang, semua atas bahu dia. Segala bil-bil, ansuran kereta, bebanan pinjaman peribadi dan sebagainya; dia kena fikir dan lunaskan.
Meski pun isteri Alang pun bekerja, namun kehidupan memang agak sukar memandangkan kos sara hidup yang tinggi.Sejak itu, Alang mula berhenti kirim duit pada ibu dan ayahnya. Dia mula fikir tentang keluarga sendiri, tambah-tambah isterinya mula mengandung. Makin banyak nak guna duit.Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun berlalu. Walau gajinya dan isteri sentiasa meningkat setiap tahun, namun bebanan kewangan makin lama makin berat. Anak-anak makin bertambah, bebanan hutang pun begitu juga.
Alang bukan lupa nak kirim duit pada mak ayahnya, dia nak tunggu kewangan dia stabil dulu. Namun tak pernah stabil, makin merosot adalah.Gaji bersih dia hanya tinggal 3 angka sahaja selepas tolak semua bebanan. Sedangkan gaji kasar dia masa tu dah melebihi RM3000.
Ads
Dengan baki tiga angka itulah dia nak survive sebulan di kota raya. Memang tenat la kan?
Sehinggalah suatu hari, dia renung dalam diri. Bermonolog sendirian.
‘KENAPA HIDUP AKU SUKAR. MAKAN CUKUP-CUKUP SAHAJA. BARU ADA LEBIH SIKIT, BANYAK PULA BENDA PERLU GUNA DUIT.
AKU DULU, WALAU GAJI KECIL TETAPI TIDAK RASA SETENAT INI. TIDAK RASA SESESAK INI WALAU MASA TU GAJI TAK SAMPAI SERIBU.
AGAKNYA DULU HIDUP AKU LEBIH BERKAT. AGAKNYA BERKAT AKU ISTIQOMAH KIRIM DUIT PADA ORANG TUA.’
Inginkan Keberkatan Hidup
Alang nekad, biar dia makan nasi lauk kicap sekali pun, dia akan kirim duit belanja pada ibu dan ayahnya di kampung. Walau ibu dan ayahnya tidak meminta-minta, walau kehidupan ibu dan ayahnya jauh lebih senang dari dia. Alang nekad kirim duit seratus untuk ibu, dan seratus untuk ayahnya setiap bulan.Gaji bersih dia selepas kirim duit belanja pada orang tuanya hanya sekitar RM700 sahaja.
Ads
Awalnya, si ayah menolak. Dia tahu anaknya sesak. Lagipun, pencen dia sendiri tak habis nak makan. Anak-anak lain lagi kirim duit belanja.
Tapi Alang mendesak.
“AYAH. IBU. TERIMALAH DUIT ALANG. BIARLAH SEDIKIT, BIAR PUN DUIT AYAH IBU JAUH LEBIH BANYAK DARI DUIT ALANG, NAMUN ALANG NAKKAN KEBERKATAN HIDUP. RASA DAN GUNALAH DUIT HASIL TITIK PELUH ALANG,” KATANYA PADA KEDUA ORANG TUA.
Bertahun-tahun lamanya dia tidak mengirim duit. Semenjak dia kahwin dan punya keluarga. Kononnya sebab untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga pun semput-semput. Namun kali ini dia tekad, semput pun dia nak juga kirim.
Walau duitnya tidak banyak, malah terkadang terpaksa berhutang sementara tunggu gaji masuk, hidup Alang terasa makin tenang. Terasa keberkatan hidup mula muncul sebaik mengirim semula duit belanja kepada orang tua.
Apa-apa masalah yang tidak dijangka, yang tidak mampu dia selesaikan memandangkan duit poket pun tidak cukup, Allah hantar orang lain bantu.Motornya rosak orang lain bagi pinjam tanpa diminta. Masalah tempat kerja, ada sahaja datang bantu selesaikan.
Beberapa bulan selepas istiqomah kirim duit belanja pada ibu ayah, rezeki Alang mula mencurah. Satu demi satu idea dan lubang buat duit seolah terhampar di depan mata.Allah buka lubang rezeki lain sebaik sebahagian duit gajinya diberi pada ayah dan ibu. Rezeki yang berganda-ganda mula masuk.
Di situ Alang dapat rasa dengan jelas betapa berkatnya mengirim duit belanja pada ibu dan ayah.
Ads
Rezeki Datang Tidak Disangka-Sangka
“CIKGU. AKU DULU SELALU SANGKA BILA KIRIM DUIT PADA IBU AYAH AKU AKAN MAKIN SEMPIT. MAKLUMLAH GAJI KECIK.NAMUN JIKA KITA IKHLAS, JIKA TERUS MENYANTUNI ORANG TUA, SEBENARNYA HIDUP KITA LEBIH BERKAT. YANG SEMPIT ITU ALLAH LAPANGKAN. YANG SUKAR ITU ALLAH MUDAHKAN.REZEKI YANG JAUH ITU ALLAH DEKATKAN.
Janganlah sesekali terlintas lagi difikiran bahawa sedikit kiriman duit belanja untuk ibu dan ayah itu menjadi beban pada kita. Jangan! Kira-kira Matematik pasti menunjukkan duit kita makin berkurangan, namun kira-kira Tuhan melalui keberkatan dan rezeki yang datang tidak disangka-sangka itu rupanya berbeza.
Jika masih ada orang tua, kirimlah duit belanja buat mereka walau mereka itu jutawan sekalipun.Bagi mereka rasa walau RM10 duit dari hasil titik peluh kita. Nescaya hidup makin berkat, rezeki makin dekat.”
Aku hanya mampu mengangguk kepala tanda setuju. Sesungguhnya apa yang Alang kata dan cerita itu benar belaka. Ibu dan bapa ini, doanya mereka sahaja tidak ternilai harganya. Jika masih ada ibu bapa, jangan berkira untuk mengirim duit belanja. Seringgit kita kirim untuk gembirakan mereka, Tuhan pasti balas beribu-ribu kali ganda. Malah, melalui rezeki dan keberkatan hidup yang tidak dijangka-jangka. Sungguh!
Sumber: Mohd Fadli Salleh
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semasa azan berkumandang, pintu langit terbuka dan doa mudah dimakbulkan bagi hamba yang taat. Allah turut mengurniakan waktu istimewa untuk hambaNya yang berdoa pada awal waktu solat iaitu antara azan dan laungan iqamah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa di antara azan dan iqamah tidak tertolak”(Hadis Riwayat At Tirmidzi dan Abu Daud).
2. SEMASA HUJAN TURUN
Apabila hujan turun membasahi bumi bukan sahaja dapat menyirami tumbuhan dan menyejukkan bumi yang kering. Waktu ini juga Allah cipta untuk hambaNya berdoa supaya dapat dikabulkan.
Rasulullah s.a.w bersabda “Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (Hadis Riwayat Al Hakim)
3. 2 WAKTU PADA HARI JUMAAT
Hari Jumaat adalah hari yang istimewa di sisi Allah.
Rasulullah SAW pernah membicarakan tentang hari Jumaat dalam sebuah hadis sahih di mana Baginda bersabda:
“Hari Jumaat ada 12 jam yang mana tiada seorang hamba muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (dimakbulkan), maka carilah ia di hujung waktu selepas Asar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Selain itu, satu lagi waktu yang patut dianggap mustajab oleh para ulama’ adalah ketika waktu imam duduk di mimbar sehingga solat Jumaat selesai.
Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy ‘ari RA katanya bahawa Abdullah bin Umar RA berkata : Adakah engkau pernah mendengar ayahmu menceritakan tentang Rasulullah SAW melakukan solat Jumaat? Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya” aku pernah mendengar ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masa yang paling mustajab itu ialah ketika bermulanya duduk imam di atas mimbar sehinggalah selesai solat Jumaat”.(Hadis Riwayat Muslim).
4. SEPERTIGA MALAM TERAKHIR
Apabila sepertiga terakhir malam, Allah memberkati hamba-hambanya dengan turun ke langit dunia dan mengkabulkan hajat yang terbuku di hati mereka.
Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah SAW bersabda,
“Di malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
5. HARI ARAFAH PADA MUSIM HAJI
Sesiapa yang sampai ke sini sememangnya bertuahlah kerana berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah Al Mukarramah lebih-lebih lagi pada musim haji.
Sabda Rasulullah SAW “Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
6. KETIKA WAKTU SAHUR DAN BERBUKA PUASA
Disamping waktu terakhir sepertiga malam, waktu sahur juga tergolong dalam waktu mustajab itu. Oleh itu banyakkan berdoa dan berzikir sambil bersahur sehingga masuknya waktu solat fardhu Subuh. Setelah penat seharian berpuasa, Allah mengurniakan satu lagi waktu mustajab untuk orang berpuasa memanjatkan doa kepadaNya.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)
Semoga amalan kita yang berterusan dapat diterima di sisi Allah dan dapat mempersiapkan diri kembali bertemu denganNya dengan timbangan amal yang cukup. Semoga kita semua tidak berputus asa untuk berdoa kepada Allah.
Allâhumma innî as’aluka bi annî asyhadu annaka antallâhu, lâ ilâha illâ antal ahadus shamad, alladzî lam yalid wa lam yûlad, wa lam yakullahû kufuwan ahad.
Artinya, “Tuhanku, aku memohon (pertolongan) kepada-Mu. Aku bersaksi bahwa Engkau adalah Allah. Tiada tuhan selain Engkau Yang Maha Esa, tempat bergantung yang tiada melahirkan dan tiada dilahirkan, serta tiada apapun yang menyamai-Nya.”
Berdoa pada waktu-waktu mustajab adalah cara kita sebagai umat islam berusaha untuk mendapatkan keredhaan serta kejayaan dunia dan akhirat dari Ilahi. Di samping itu jangan lupa juga berdoa kepada Allah pada setiap masa, tanpa hanya menunggu waktu-waktu yang disebutkan di atas ini kerana Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi setiap hambaNya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melupakan kekasih lama bukannya mudah. Sebab itulah ada sesetengah wanita mahupun lelaki masih tidak dapat melupakan memori manis bersama bekas kekasih, walaupun sudah menemui cinta baru.
Jangan biarkan keadaan ini berlarutan kerana ia akan menghancurkan kebahagiaan rumah tangga. Sebaik-baiknya,pastikan anda benar-benar bersedia untuk menjalani kehidupan bersama pasangan anda yang baru.
Ikuti tip ini bagi melupakan kenangan anda bersama dengan bekas kekasih dahulu.
Pertama
Menghapus kenangan bersama si dia. Setiap perkara yang dilakukan akan membuatkan anda mengingatinya kembali. Singkirkan dia daripada lamunan dirimu dan simpan foto-foto anda berdua mahupun hadiah-hadiah pemberiannya di satu tempat yang lebih jauh dari jangkauan dan pandangan mata anda. Jangan lupa padamkan nombor telefon bimbitnya daripada genggaman anda. Termasuklah juga khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pesanan suara yang pernah anda terima daripadanya.
Kedua
Jangan menyeksa diri anda. Apabila ada benda-benda atau sesuatu yang tidak dapat disingkirkan dari ingatan, mahu tidak mahu akan membuat anda teringat kembali kepadanya. Misalnya lagu kenangan anda berdua disiarkan kembali di corong radio, jangan sampai membuat anda terkenang kembali dan berasa sedih meratapi nasib yang menimpa. Hal itu tidak kena pada tempatnya.
Ketiga
Si dia punya pengganti. Apabila mengetahui si dia sudah mempunyai pengganti, sememangnya wajar untuk anda melahirkan perasaan cemburu. Perlu disedari, sudah tiba masanya untuk anda melakukan perkara yang sama.
Keempat
Berhenti membandingkan. Sikap anda yang suka membanding dengan teman lain sepatutnya disingkirkan. Jangan sesekali membandingkan sikap, perangai, bentuk fizikal, saiz yang besar atau tingkah laku teman baru dengan bekas kekasih.
Kelima
Kehidupan berbeza. Kebiasaannya, anda akan menghabiskan cuti hujung minggu bersama, tetapi kini anda terpaksa keseorangan. Bagaimana kita dapat menjalani hari tersebut tanpa seseorang di sisi? Sebenarnya perasaan cemas tersebut akan hilang dengan sendirinya. Anda harus menyedari bahawa sememangnya sudah ditakdirkan anda hidup bersendirian dan harus menikmati hujung minggu dengan sebaik-baiknya.
Keenam
Ingat hal-hal yang buruk tentang dirinya. Pada umumnya, wanita cenderung mengingati setiap perkara yang dilakukan bersama bekas kekasih. Untuk melupakannya, anda harus mengingati setiap perkara buruk yang ada pada dirinya. Misalnya, dia sering kali mengutuk diri anda, panas baran, meninggikan suara atau tiada ketepatan masa.
Ketujuh
Rakan dan keluarga pendengar setia. Walaupun pelbagai langkah telah dilakukan untuk melupakan dirinya, namun ingatan terhadapnya sentiasa bermain di fikiran. Luahkan masalah anda itu kepada rakan-rakan dan keluarga rapat yang boleh dipercayai. Jangan sesekali menyimpannya di dalam hati. Takut nanti anda pula yang merana. Dengan cara sebegitu, ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan kehadiran si dia dari fikiran anda.
Kelapan
Cipta fantasi. Kita selalu memikirkan bahawa perpisahan itu tidak akan berlaku sekiranya pasangan memahami hati budi dan bertolak ansur. Masalahnya kini, anda sudah pun memutuskan hubungan cinta dan tiada gunanya lagi untuk berbicara tentang diri si dia. Lebih baik anda mencari pengganti dan ceritakan hal ini kepada teman-teman lain. Siapa tahu mereka mungkin mempunyai kenalan yang lagi bagus daripada kekasih lama. Selalulah berfikiran positif.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai ketua dan imam keluarga, suami haruslah memiliki sifat-sifat terpuji sebagaimana Rasulullah SAW dalam mendidik isteri serta anak-anak demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Agar rumah tangga yang dibina sentiasa diberkati, ikuti amalan yang dilakukan oleh Rasullah SAW ini. Semoga dengan amalan ini akan menjadikan anda seorang suami dan ketua yang boleh membawa keluarga ke jalan yang diredai.
1. Berbincang sebelum mengambil keputusan
Rasulullah tidak pernah rasa segan atau keberatan untuk mendengar serta mengambil pendapat isterinya. Ini terjadi ketika Rasulullah meminta pendapat Ummu Salamah dalam perjanjian Hudaybiyah. Waktu itu, Rasulullah memerintahkan para sahabat untuk mencukur rambut dan menyembelih haiwan korban, namun mereka tidak mahu melakukannya. Melihatkan respons para sahabat itu, baginda masuk ke bilik Ummu Salamah dan menceritakan kepada Ummu Salamah apa yang berlaku. Lantas Ummu Salamah mengajukan pendapatnya dan berkata, “Keluarlah, ya Rasulullah, kemudian engkau bercukur lalu potong haiwan korban.” Baginda pun keluar, bercukur lalu memotong haiwan korban. Melihatkan perkara tersebut, para sahabat bangkit lantas bercukur lalu memotong haiwan korban.
2. Sentiasa romantik dalam rumah tangga
Rasulullah sentiasa memuliakan, menghormati dan menggembirakan isterinya. Baginda menjelaskan kepada umatnya bahawa bergembiralah dan bersenda-gurau (bermesraan) dengan isteri termasuk dalam perbuatan yang memberi pahala kepada suami. Baginda bersabda, “Segala yang melalaikan seorang Muslim adalah batil, kecuali memanah, melatih kuda dan bercanda-ria dengan isteri; ini semua termasuk kebenaran.”
3. Tempat bersandar di kala susah
Rasulullah merupakan seorang suami yang sangat memahami hati, perasan dan keadaan para isterinya. Maymunah iaitu salah seorang isteri baginda berkata, “Suatu kali Rasulullah mendatangi salah seorang daripada kami. Salah seorang daripada kami itu sedang haid. Maka baginda meletakkan kepalanya di dada isterinya yang sedang haid itu, lalu baginda membaca Al-Quran.”
4. Menjahit bajunya sendiri
Jika ada pakaian Rasulullah yang koyak, baginda akan menjahitnya sendiri tanpa menyuruh isterinya. Bahkan baginda juga akan memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
5. Sentiasa membantu isteri
‘Aisyah pernah ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah di rumahnya? Lantas ‘Aisyah menjawab, “Baginda selalu melayani (membantu) isterinya.” Pernah satu ketika Rasulullah pulang ke rumah dan melihatkan tiada makanan yang siap dimasak, baginda sama sekali tidak marah. Sebaliknya baginda akan tersenyum sambil menyingsingkan lengan bajunya untuk membantu isteri di dapur. Menurut cerita yang disampaikan oleh ‘Aisyah, jika Rasulullah berada di rumah, baginda sentiasa membantunya menguruskan perihal rumah tangga.
6. Segera berangkat ke masjid
Tatkala mendengar laungan azan, Rasulullah akan segera berangkat ke masjid dan akan segera pula kembali ke rumah selepas selesai baginda menunaikan solat.
7. Berpuasa jika tiada makanan
Satu hari ketika Rasulullah pulang pada waktu pagi dalam keadaan yang sangat lapar, baginda dapati tiada sebarang makanan yang boleh dimakan termasuklah makanan mentah kerana isteri baginda, ‘Aisyah belum ke pasar. Rasulullah bertanya, “Belum ada sarapan, ya Khumaira?” “Belum ada apa-apa, wahai Rasulullah,” jawab ‘Aisyah dengan rasa serba salah. Tanpa memarahi ‘Aisyah mahupun timbul rasa kesal dalam dirinya, baginda berkata, “Jika begitu, aku puasa saja pada hari ini.”
8. Tidak suka memarahi isteri dan anak-anak
Rasulullah sangat marah apabila melihat seorang suami sedang memukul isterinya, lantas baginda menegur lelaki tersebut, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lelaki tersebut menjawab dalam keadaan gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Aku sudah memberinya nasihat, tetapi dia masih begitu. Disebabkan itulah aku memukulnya.” Sahut Rasulullah, “Aku tidak menanyakan alasanmu. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”
9. Lemah lembut terhadap isteri
Rasulullah merupakan seorang suami yang sangat meninggikan kedudukan isterinya dan amat menghormati mereka. Pernah Rasulullah bersabda, “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.” Menjadi seorang ketua keluarga yang prihatin, sabar dan merendah hati sama sekali tidak pernah merendahkan diri suami sebagai seorang pemimpin dalam keluarga.
10. Rasa cinta yang tinggi terhadap Allah SWT
Rasulullah sememangnya mempunyai rasa kecintaan yang sangat tinggi terhadap Allah SWT. Malah rasa kehambaan baginda nyata sudah melekat dalam dirinya sehinggakan baginda tidak sombong.
11. Tidak merasakan dirinya lebih
Anugerah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah sama sekali tidak dijadikan alasan untuk baginda merasa tinggi diri, riak, sombong dan bongkak ketika di hadapan khalayak ramai mahupun untuk dirinya sendiri.
12. Terus-menerus melakukan beribadah
Walaupun hakikatnya pintu syurga sudah terbentang luas untuk baginda dan baginda merupakan insan terpilih sebagai ahli syurga, namun sama sekali baginda tidak lupa. Sebaliknya Rasulullah masih bangun di waktu malam hari untuk beribadah kepada Allah SWT hinggakan baginda pernah terjatuh kerana kakinya sudah bengkak.
13. Sentiasa bersyukur
Ketika Rasulullah berada dalam kesakitan Ketika kondisi fisiknya sudah tidak mampu menanggung kemauan jiwanya yang tinggi, ketika ditanya oleh ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”Jawab Nabi dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, apakah aku tak boleh menjadi hamba-Nya yang bersyukur?”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!