PERNIKAHAN dan perkahwinan adalah antara kemuncak dan sisi manis dalam kehidupan setiap insan. Secara fitrahnya, tidak ada individu yang tidak mahu mempunyai pasangan hidup untuk berkongsi kegembiraan hidup berkeluarga dan mengembangkan zuriat.


.

Malah, Islam sendiri amat menggalakkan umatnya berkahwin sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat-umat lain”. (riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalam zaman moden dan canggih sekarang, kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga adalah hasil pilihan sendiri. Bukan seperti zaman dahulu di mana ibu bapa menentukan jodoh anak-anak.

Secara purata, terdapat 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara.

Di mana silapnya? Walhal perkahwinan itu rata-rata adalah atas dasar suka sama suka. Realitinya ramai pasangan yang bercinta bertahun-tahun lamanya sehingga dikatakan sudah mengenali luar dalam hati budi satu sama lain.

Inilah yang perlu kita perhalusi bagi mencari jalan bagaimana dapat menyelamatkan rumah tangga yang dibina daripada berakhir dengan perceraian. Para suami harus faham yang isteri dan anak-anak itu adalah amanah Allah dan mereka akan dipertanggungjawabkan tentangnya di akhirat kelak.

Sukar untuk memahami bagaimana rumah tangga yang dibina dengan kasih sayang yang dipupuk sejak bertahun-tahun semasa bercinta itu kasihnya boleh pudar hanya selepas dua atau tiga tahun usia perkahwinan?


.

Bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh ibu bapa apabila penat lelah mengurus majlis perkahwinan masih belum hilang, rumah tangga anak mereka sudah berantakan sehingga membawa kepada perceraian. Lebih malang, jika perceraian itu berpunca daripada hal atau perkara kecil dan remeh temeh.

IKLAN

Perkahwinan bukan suatu eksperimen, sebaliknya ia adalah permulaan kepada satu episod baharu membina kehidupan dengan pasangan masing-masing mengecapi kebahagiaan dan nikmat yang Allah kurniakan semasa hayat.

Ini sebagai mana ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al- Rum: 21)


.

Untuk itu, amat penting kepada mereka yang mahu mendirikan rumahtangga mengikuti nasihat Rasulullah SAW dalam memilih jodoh. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia. (riwayat Bukhari dan Muslim)

IKLAN

Ringkasnya, untuk menjamin kebahagiaan hidup dunia dan akhirat, hendaklah kita mencari jodoh orang yang mempunyai pengetahuan agama. Jangan kita diperdayakan dengan rupa paras yang cantik semata-mata sekiranya individu tersebut tidak pernah mencecah dahinya ke tanah untuk solat.

Sememangnya hidup berumahtangga tidak sunyi daripada wujudnya perselisihan faham dan kadang kala pertengkaran. Cuma suami dan isteri perlu mengamalkan sikap tasamuh atau bertolak ansur. Perkara yang kecil jangan diperbesarkan. Jangan kerana tidak bubuh belacan dalam masakan (seperti dialog filem Seniman Bujang Lapuk) menjadi punca pertengkaran sehingga membawa perceraian.

Tidak ada manusia yang sempurna. Justeru, kita perlu bersedia menerima kekuatan dan kelemahan yang ada pada pasangan masing-masing. Sepatutnya, setiap suami isteri melihat dan mencari kekuatan yang ada pada pasangan masing-masing untuk menambah ceria dan bahagia hidup berumah tangga. Janganlah kemanisan berpacaran yang wujud semasa bercinta terhenti apabila selesai majlis akad nikah. Sepatutnya, rasa cinta dan kasih itu makin membara selepas kita sah bergelar suami dan isteri.

IKLAN

Ini antara aspek yang perlu diperbetulkan dalam majoriti golongan muda Islam. Sepatutnya, rasa kasih dan cinta sejati itu dicurahkan selepas menjadi suami isteri. Bukannya semasa menjadi pasangan kekasih waima sudah bertunang sekalipun.

Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah membenarkan perceraian jika itu adalah penyelesaian terbaik selepas semua proses rundingan dan sulh (perdamaian) menjadi buntu.

Allah SWT pula ada berfirman yang maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci (disebabkan tingkah lakunya) janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu. (an-Nisa’: 19)

Bagaimanapun, dalam kebanyakan perceraian, anak-anak dan bekas isteri menjadi mangsa akibat bekas suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah. Ini menunjukkan pentingnya kefahaman agama itu bukan sahaja pada saat kita mencari jodoh. Sebaliknya, ia juga mustahak ketika berlaku perceraian supaya kehidupan bekas isteri dan anak-anak tidak terabai gara-gara liatnya bekas suami membayar nafkah.