Berpuasa Bukan Alasan Abaikan Rutin Penjagaan Kulit Terutama Buat Bakal Pengantin.

Share

Bulan yang paling mulia di antara semua bulan datang lagi. Keberkatan yang menjadi hadiah utama pada Ramadan ini perlu direbut. Dalam keghairahan itu, jangan lupa untuk memberi perhatian kepada penjagaan kulit tubuh. Maklumlah, ada di kalangan bakal pengantin bakal naik pelamin selepas raya, sudah tentu proses penjagaan tubuh secara total perlu diberi perhatian khusus agar tampil menawan di hari bahagia kelak.

Hidrasi adalah masalah utama yang sering berlaku pada bulan Ramadan. Untuk atasinya, banyakkan minum air putih. Di samping itu, perhatikan juga penampilan anda kerana bulan Ramadan bukan alasan untuk bermalas-malas.

Rutin kecantikan perlu diteruskan. Walaupun anda sibuk dengan menguruskan rutin harian, tentunya anda tidak mahu kelihatan terabai di hadapansemua orang terutamanya untuk ke tempat kerja. Beberapa tip di bawah boleh dijadikan panduan:

Jaga Kelembapan Kulit

Memandangkan kadar pengambilan air berkurangan, melembapkan diri di bahagian luaran adalah lebih penting. Gunakan buih pembersih badan yang mempunyai kadar lembapan tinggi dan usai itu, gunakan losen badan. Produk yang menggunakan minyak semula jadi dan mentega seperti minyak kelapa dan shea butter memberi impak sempurna berbanding losen biasa. Gunakannya pada tubuh dan kaki untuk mendapatkan kulit yang halus dan lembut.

Bebas Masalah Bau Badan

Apa kata anda gunakan pewangi semula jadi untuk tubuh? Selain menggunakan deodoran, penggunaan jus lemon juga boleh mengelakkan daripada timbulnya bau badan. Lemon mempunyai antiseptik terbaik, antibakteria dan anti-odor. Ia mengurangkan bau peluh dan meninggalkan haruman lemon yang segar pada tubuh.

Kulit Halus dan Mulus

Jika anda ingin bebas dari bulu halus, waxing adalah jalan terbaik. Biarpun ia menyakitkan tetapi ia berbaloi kerana anda tidak perlu mencukurnya setiap tiga hari kerana waxing akan memperlahankan pertumbuhan bulu-bulu halus.

Face Mask dan Pengelupasan

Yogurt asli adalah helah terbaik untuk perawatan wajah. Yogurt terkenal dengan kelembapan yang ada padanya, malah ia juga memberi kelegaan pada kulit, menegang dan cara terbaik untuk pengelupasan.

Solekan

Warnai wajah dengan solekan biarpun minimalis. Secara asasnya, gunakan bedak asas, pemerah pipi, maskara dan pengilat bibir untuk tampil sederhana tetapi masih menawan.

Rehatkan Rambut

Hampir setiap hari rambut menjadi ‘mangsa’ pencemaran dan bahan kimia. Sesekali, rehatkan rambut daripada sebarang produk. Masker rambut seminggu sekali untuk mengekalkan kesihatan rambut. Anda juga boleh menggunakan masker dari tanah liat agar minyak berlebihan dan kotoran pada rambut boleh dibersihkan.

Rias Kuku

Pada waktu siang, banyak kerja-kerja rumah boleh diselesaikan sehingga boleh menyebabkan tangan menjadi kasar. Pada waktu malam, rawatan lebih tertumpu pada bahagian tangan. Tidak perlu krim atau peralatan merias, cukup sekadar losen yang memberi lembapan secukupnya. Palitkan setompok kecil losen pada kuku dan kutikel. Keesokan harinya, ketika anda bangun untuk sahur, kulit tangan dirasakan lebih lembut dan halus

IKLAN