
Setiap manusia dicipta berpasang-pasangan di antara lelaki dan wanita. Pertunangan adalah ikatan yang menyatakan hasrat lelaki untuk memperisterikan seorang wanita. Namun begitu bertunang bukan lesen besar untuk anda tidak menjaga pergaulan sesama pasangan. Jom kita baca empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh pasangan yang bertunang.
- Bertunang bukanlah lesen untuk anda bersukaria, berdua-duaan ke sana ke mari tanpa batasan. Walaupun sudah bertunang pandangan sesama sendiri masih perlu dijaga agar tidak mendatangkan fitnah
- Tempoh bertunang juga merupakan tempoh masa pasangan untuk lebih memahami diri masing-masing. Apabila sudah berjanji untuk berkahwin dengan pasangan, maka mula praktikkan untuk tidak melakukan perkara yang boleh mengundang luka ataupun curiga pasangan. Pergaulan antara lelaki dan wanita lain juga perlu dijaga agar tujuan murni membina ‘masjid’ berjalan dengan lancar.
- Bertunang tidak bermaksud, lelaki boleh mengongkong wanita atau sebaliknya. Paling penting tahu batasan agar tidak saling menyakiti antara satu sama lain. Tempoh ini juga menjadi penanda aras untuk anda menilai perangai masing-masing dan ia menjadi satu ukuran kepada setiap pasangan dalam mengenali bakal suami atau isteri mereka.
- Tidak digalakkan untuk bertunang terlalu lama, sebaiknya apabila sudah melangsungkan majlis pertunangan. Pasangan tersebut harus mula merancang untuk berkahwin pula. Semakin cepat semakin bagus kerana ia akan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lelaki Ini Kongsi Tip ‘Tidak Terbabas’ Buat Yang Bernikah Di Bulan Rejab & Syaaban

Jika dahulu hujung minggu sepanjang cuti persekolahan cukup sinonim dengan musim ‘kenduri kahwin’, namun kini trend itu bagaikan tidak relevan lagi.
Pelbagai faktor yang diambil kira oleh pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dalam memilih tarikh untuk hari paling bersejarah dalam hidup mereka. Malahan, ada pasangan yang memilih padanan tarikh yang ‘cantik’ atau simbolik, bersesuaian dengan tarikh penting dalam hidup mereka. Tidak ketinggalan, ada juga yang menunggu masa yang sesuai untuk semua sanak-saudara dapat berkumpul. Buat pasangan yang bernikah hampir bulan puasa pula, Pak Utih kongsi tip khas buat pasangan yang baru bernikah.
KHAS BUAT PASANGAN YANG BAHARU BERNIKAH (BULAN REJAB DAN SYAABAN)
“Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa bercampur kepada isteri kamu, mereka pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu telah berkhianat kepada diri-diri kamu. Maka diampunkanNya kamu dan dimaafkanNya kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditentukan Allah buat kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga berbeza bagi kamu tali putih dari tali hitam dari waktu fajar. Kemudian itu sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan kamu mencampuri mereka padahal kamu sedang I’tikaf di dalam masjid-masjid. Itulah batas-batas Allah, maka janganlah kamu dekati akan dia. Demikianlah Allah telah menjelaskan perintah-perintahNya kepada manusia, supaya mereka bertakwa” (Al Baqarah: 187)
Salah satu sebab turunnya ayat ini berkaitkan dengan kisah Saidina Umar Al Khattab as yang telah menyetubuhi isterinya setelah isterinya terjaga daripada tidur. Oleh kerana merasa ragu-ragu sama ada puasanya telah terbatal ataupun tidak, beliau telah merujuk kepada Rasulullah saw dan turunlah ayat 187 mengubah syarat berpuasa yang terdahulu.
Mengikut tafsir Ibnu Kathir, syarat berpuasa yang terdahulu hanya membenarkan seseorang itu makan, minum, dan bercampur dengan isterinya diantara waktu Maghrib dan Isyak sahaja. Betapa beratnya syarat berpuasa pada zaman dahulu berbanding dengan setelah turunnya ayat 187 ini.
Cabaran yang sedang dihadapi oleh pasangan muda suami isteri kebelakangan ini ialah memilih tarikh majlis perkahwinan mereka hampir sangat dengan bulan Ramadhan. Kalau zaman saya dulu, orang-orang tua kita akan berusaha mencari tarikh yang diistilahkan sebagai “pengapit raya”. Iaitu mana-mana tarikh di antara hari raya puasa dengan hari raya haji.
Seingat saya, memang tidak pernah dengar pasangan dahulu berkahwin pada tarikh yang hampir dengan bulan Ramadhan. Ini bertujuan untuk mengelakkan pasangan yang baru dapat “lesen memandu” itu terbabas memandu di siang hari.
Mudah-mudahan kekuatan iman dapat mengawal “steering kereta itu” semasa siang Ramadhan.
Di sini ada tip agar tidak terbabas:
1. Selepas sahur terutama sekali hari cuti atau hari minggu, jangan naik semula ke katil baring-baring. Keadaan ini amat merbahaya kerana perut sudah kenyang dan hormon testosteron lelaki sedang paras tertinggi. Mudah di hasut syaitan (walaupun syaitan sedang diikat).
2. Suami terus ke masjid atau surau. Dan jangan pulang awal. Jika ada kuliah subuh sila tunggu sampai selesai matahari naik paras dhuha.
3. Isteri pula, bila dengar suami dah pulang ke rumah dari surau, terus bangun tinggalkan katil. Buatlah kerja kemas mengemas atau basuh baju. Jangan masih terbaring atas katil walaupun diselubungi selimut.
4. Jika ingin bersembang pada siang hari, elakkan di atas katil.
5. Jangan ada niat nak membatalkan puasa dengan berbuka sebelum sengaja “terbabaskan kereta ke longkang” itu. Nilai satu hari puasa Ramadhan tidak sama dengan nikmat 30 minit itu dan diganti dengan hari-hari lain.
6. Bila suami dah mula nak “terbabas”, isterilah yang wajib mengingatkannya. Biasanya, minda lelaki pada waktu itu telah “tidak siuman”.
Nasihat Pak Utih… boleh share.
#pakutih
#mahligaikasih
#suamihensemisteriohsem
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Sebab Anda Perlu Memilih Isteri Yang ‘Terbaik’ Menurut Islam

Tidak kira bagi lelaki dan perempuan, anda perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Ini kerana,perkahwinan bukanlah kontrak semata untuk menghalalkan hubungan dua jiwa. Tetapi, perkahwinan ini memerlukan tanggungjawab bersama untuk menjadi lebih baik.
Isteri merupakan pasangan hidup dan teman perkongsian segala suka dan duka. Di antara ciri-ciriutama yang dianjurkan dalam pemilihan jodoh ialah :
1. Yang beragama dan berakhlak mulia
Ia dimaksudkan dengan agama di sini ialah bukanlah agama Islam semata-mata tetapi memahami prinsip-prinsip dalam agama Islam serta mempunyai akhlak dan perlakuan yang mulia.
2.Bersifat pengasih dan penyayang
sebaik-baik wanita ialah mereka yang pengasih dan penyayang, mampu memberikan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Wanita yang kasar, pendendam dan pemarah tidak akan dapat menjadi seorang isteri yang baik. Begitu juga dengan suami, mereka perlu bersifat pengasih dan penyayang serta pandai mendidik isteri dan anak-anak bersesuaian dengan keadaan.
3. Boleh melahirkan zuriat
Tujuan perkahwinan ialah untuk menyambung dan memperkembangkan zuriat. Kehidupan tanpa anak-anak akan sunyi dan tidak bahagia.
4. Masih perawan
Ia dimaksudkan di sini ialah wanita yang bersih dan belum biasa mengenali permainan cinta lebih baik daripada janda yang telah biasa dengan permainan asmara kecuali pada keadaan tertentu.
5. Keturunan yang baik
Di sini bermaksud keturunan bangsawan ataupun hartawan tetapi keturunan yang yang baik dari segi keagamaan, kecerdasan, kesihatan dan akhlak yang mulia.
6. Tiada jurang perbezaan yang besar
Seeloknya tidak ada jurang umur, status sosial, pendidikan yang terlalu besar antara calon suami dan isteri. Perbezaan yang jauh daripada aspek yang dinyatakan tadi akan menyukarkan lahirnya keserasian dan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga.
7. Bukan keluarga yang terdekat
Perkahwinan dengan keluarga yang terdekat seperti sepupu sebenarnya kurang digalakkan kerana ia tidak dapat memberi jaringan yang lebih besar dan luas. Sebaiknya, calon suami dan isteri datangnya daripada keluarga yang jauh seperti perumpamaan benih pokok jika dicantumkan dengan baka yang berlainan akan melahirkan baka yang baik.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Korang Suami Idaman Bila Ada Semua Ni, Isteri Pasti Jadi Insan Paling Terbahagia

Isi Kandungan
ToggleMembina sebuah keluarga yang bahagia menjadi tujuan utama dalam sesebuah perkahwinan. Sebuah keluarga diibaratkan sebagai sebuah kapal yang sedang mengharungi lautan. Suami adalah nakhoda yang mengendalikan kapal tersebut, sedangkan isteri adalah anak kapal yang membantu suami sehingga kapal tetap sejahtera.
Semak tip berikut sama ada korang miliki seorang suami yang mithali menurut Islam. Jika belum miliki ciri ini, masih belum terlambat untuk korang membaiki diri menjadi suami yang terpuji.

MEMBINA IMAN DAN TAKWA
Seorang suami yang baik menurut Islam ialah mereka yang selalu taat pada Allah. Imannya yang kuat pada sang Pencipta membuatnya tidak pernah lalai menjalankan kewajipannya sebagai seorang Muslim. Bila suami selalu rajin beribadah, segala urusan peribadi mahupun urusan keluarganya akan dimudahkan oleh Allah.
MENJADI PEMIMPIN KELUARGA
Seperti yang sudah disebutkan sebelumnya bahawa suami adalah seorang nahkoda yang memimpin perjalanan mengharungi lautan agar sampai pada tujuan iaitu keluarga yang sakinah, mawadah, dan wa rahmah. Menurut Islam, kelak di akhirat nanti suami akan dimintai pertanggungjawabkan sebagai seorang pemimpin keluarga. Ia seharusnya boleh membahagiakan isteri dan anak-anaknya. Suami juga perlu boleh membuat keputusan-keputusan yang memerhatikan hak dan kewajipan setiap anggota keluarga.
MEMBERIKAN NAFKAH YANG HALAL
Seorang suami yang baik wajib memberi nafkah kepada keluarganya dengan cara-cara yang halal termasuk memberikan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang layak. Pemberian nafkah perlu sesuai dengan keperluan, tidak berlebihan dan tidak kekurangan.

MEMULIAKAN ISTERI
Dengan memiliki akhlak mulia, suami akan selalu menjaga hubungan baik dengan orang lain mahupun dengan Allah. Memiliki akhlak mulia juga bererti menghindarkan diri dari perbuatan dan perkataan yang kotor. Suami yang berakhlak mulia akan selalu lembut dan baik kepada isterinya.
MENJAGA PENAMPILAN
Menjaga penampilan bererti tampil rapi, bersih dan wangi. Selain itu, seorang suami yang baik juga perlu berpakaian sesuai syariat Islam. Mengapa demikian? Ini kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Bila suami tampil bersih dan berpakaian kemas, tentu akan memberikan kesempurnaan dalam keluarga. Seperti halnya suami yang menginginkan isteri tampil cantik, begitu pula isteri pun ingin agar suami dapat menjaga penampilannya.
MENJAGA AIB KELUARGA
Dalam kehidupan sehari-hari, jarang seseorang terjebak oleh keinginan memperkata kekurangan pasangannya. Seorang suami yang baik menurut Islam tidak boleh mengaibkan keluarga. Keluh kesah mengenai hal-hal buruk isteri justeru menjadi petanda kurang baik bagi keharmonian keluarga. Bukankah sejak awal ketika anda memintanya sebagai isteri, anda sudah siap menerimanya dengan segala kelebihan mahupun kekurangannya? Maka bila suatu kali anda tergoda untuk membicarakan kekurangan isteri, ingat lagi komitmen perkawinan anda.

SELALU MENEPATI JANJI
Karakter inilah yang perlu dimiliki oleh seorang suami Islam yang baik. Ia perlu sentiasa boleh memanfaatkan waktu dengan baik dan menepati janjinya kepada siapa pun. Dalam Islam, waktu amatlah berharga sehingga manusia perlu memanfaatkan lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, senggang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.
MEMBANTU ISTERI MELAKUKAN KERJA RUMAH
Masih banyak yang faham bahawa pekerjaan rumah tangga biarlah menjadi urusan isteri semata-mata. Padahal untuk menjaga keharmonian keluarga perlukan kerjasama yang baik antara suami dan isteri. Sebagai bentuk kepedulian anda terhadap isteri, bantulah dia mengerjakan kerjaan rumah ketika anda memiliki kesempatan. Dengan begitu, anda telah menjadi seorang suami yang baik di mata isteri.
MENDIDIK ANAK-ANAK DENGAN BAIK
Suami juga berperanan dalam mendidik anak-anak. Suami yang baik ialah yang boleh membuat anak-anaknya mencintai ilmu serta mengamalkannya bagi bangsa, negara dan agamanya. Mendidik keluarga dengan ajaran Islam dan mengajak mereka menjalankan perintah Allah akan menjaga mereka dari api neraka.
MELUANGKAN WAKTU UNTUK ISTERINYA
Tersenyumlah dan peluklah isteri anda sekerap mungkin. Ungkapkan rasa cinta dan terima kasih anda atas semua yang telah istri anda lakukan. Suami yang baik akan selalu meluangkan waktu untuk bersama dan mendengarkan apa yang menjadi permintaan isterinya.
Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI