Mana yang perlu didahulukan? Bergantung pada hubungan jenis apa yang anda mahu. Jika anda inginkan bersama seseorang tapi masih mahu berkawan dan anda rasa kawan itu sangat penting, lebih baik teruskan berkawan dan jangan berhubungan dengan sesiapa. Kerana tindakan itu mungkin akan menyeksa orang yang sudah pilih untuk bersama dengan diri anda. Tidak baik jika menganiayai pasangan hidup anda.
Ya, kawan itu penting cuma harus tahu, yang nantinya akan hidup sebantal, serumah ialah pasangan sehidup semati anda. Jadi jika anda dahulukan rakan daripada pasangan, anda sangat kejam orangnya. Dalam perhubungan sifat bertolak ansur harus ada dalam perhubungan agar ia tidak terlalu skema dan terhad dalam batas pergaulan. Alasan kawan-kawan lebih kelakar berbanding pasangan. Ini bukanlah alasan yang bagus dan boleh diterima pakai, kerana alasan ini adalah alasan untuk menyedapkan hati sendiri.
Harusnya anda perlu ingat pasangan anda inilah yang akan menjaga ada sehingga akhir hayat. Percayalah di saat jatuh tersungkur dan tidak mampu untuk bangun sendiri, pasanganlah yang akan menghulurkan tangan dan akan sentiasa berada disisi anda. Di mana rakan? Ada, hanya mampu menziarah dan memberikan kata-kata semangat yang mungkin telah biasa didengar- ‘bersabarlah ye’, ‘ada hikmahnya’ dan sebagainya. Di mana gelak tawa yang dahulunya menjadi satu keagungan dalam berkawan?
Pasangan bercerai kerana tidak faham zon tanggungjawab masing-masing, sebagai suami atau isteri. Mereka berpisah kerana wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing, sedangkan kos hidup semakin meningkat.Kebahagiaan yang mereka angan-angankan ketika bertunang dan bercengkerama dengan gambaran rumah yang selesa, pakaian bergaya, kereta, makan enak di restoran dan melancong, tidak menjelma menjadi realiti setelah berkahwin.
Terdapat orang yang bercerai kerana tiada kemahiran seks dalam membelai pasangan masing-masing hingga saat-saat yang dijangkakan menyeronokkan muncul sebagai detik-detik yang membosankan dan menyakitkan. Akhlak yang tidak baik seperti pengotor, berbohong, balik lewat malam, mengutamakan kawan lebih daripada pasangan juga menyebabkan perceraian.
Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya seperti siang dan malam. Begitulah juga manusia, perkahwinan menemukan pasangan untuk bersama mengharungi segala suka duka kehidupan.
Perkahwinan juga bertujuan memperluaskan hubungan kekeluargaan antara keluarga lelaki dan perempuan dan mengembangkan zuriat keturunan yang soleh. Pilihlah pasangan anda dengan sebaik mungkin sebelum membuat sesuatu keputusan yang mungkin tidak dapat ditarik balik.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila sebut tentang cuti sekolah, pasti terbayang lambakan jemputan walimah, nasi minyak, bunga telur dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi jika terlibat dengan kerja kenduri di kampung, meriahnya tak terbayangkan!
Sampaikan tak menang tangan untuk memenuhi kesemuanya, tak kira di bandar atau di desa.
Dalam suasana keterujaan maksima memenuhi jemputan walimah, jangan lupa – kita sebagai tetamu undangan walimah juga ada tanggungjawab yang harus dipraktik.
Yakni, dalam apa jua perkara yang kita lakukan sekalipun, jangan lupa untuk mengutamakan adab.
Begitu juga ketika menghadiri undangan walimah, ada adab-adab yang kita harus perhalusi agar kemurnian syariat bersulam budaya timur di kalangan generasi kita terjaga sebaiknya.
Adab #1
Apa saja yang kita buat, kita harus tetapkan niat dan matlamat. Dalam soal memenuhi undangan walimah, jangan lupa untuk pastikan niat kita lurus dan tulus.
Jika sebelum ini niat kita lebih kepada mengisi perut, sibuk berswafoto dengan pengantin atau melaram dengan fesyen terkini, apa kata jika selepas ini kita tajdid niat.
Ia juga sebagai tanda memuliakan tuan rumah untuk turut berkongsi kegembiraan yang sedang diraikan mereka.
Adab #2
Bila kenduri, kita akan lihat 1001 warna-warni tetamu yang hadir dari hujung rambut atau hujung benang tudung hinggalah ke hujung kasut.
Tak salah melaram, namun ada had-had yang perlu kita patuhi sebagai Muslim.
Buat lelaki mahupun perempuan, berfesyen retro atau millennium sekalipun, dengan segala hormatnya sila pastikan busana yang dikenakan itu sopan, longgar dan menutup aurat.
Dalam erti kata lain, pilihlah busana yang patuh syariah kerana itu anjuran yang sebaiknya dalam Islam.
Adab #3
Sebaik sahaja sepasang kaki kita menjejak tempat kenduri, INGAT – jangan gopoh lagi gelojoh mengaut nasi minyak lauk ayam masak merah bagai esok tiada lagi untukmu.
Sebaiknya, cuba jejaki di mana tuan rumah untuk bersalaman, lalu bermesra seadanya.
Jika tetamu ramai berbaris untuk bersalaman dengan tuan rumah, kita pula tak perlu berlama-lama. Cukup sekadar berbasa-basi seketika.
Adab #4
Makan. Ini merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh para hadirin. Tak sah datang tanpa menjamah juadah.
Ini bukan baru berlaku malah tabiat buruk ini seakan diwarisi zaman-berzaman di ceruk rantau mana sekalipun.
Maka, tanggungjawab kita sebagai tetamu yang budiman untuk mengambil lauk-pauk sekadar perlu dan mampu dikunyah.
Jangan bila tengok 10 jenis lauk terhidang, 10 jenis juga kita rembat.
Fikirkanlah ramai lagi tetamu beratur mengambil juadah, alih-alih lauk lesap sekelip mata akibat nafsu tamak sebahagian daripada kita.
Cubalah untuk bersederhana. Jangan biarkan syaitan bersorak sambil berzumba melihat pembaziran demi pembaziran.
Kita datang sebagai tetamu untuk menjamu selera bukan melahap dan akhirnya tersandar bagai ular sawa kekenyangan.
Membazir itu amalan syaitan. Kita bukan kawan syaitan kan?
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa : 27)
Adab #5
Terkadang mata kita terdorong untuk mencari cacat cela majlis. Lisan pula terlepas cerita kekurangan dan keburukan majlis.
Terkadang lauk-pauk terkurang rasa, tak kena selera. Terkadang kita condemn warna pelamin tak sepadan busana pengantin, terkadang tuan rumah tak sediakan goodies – kita label kedekut haji bakhil.
Ada saja yang tak kena di mata. Siap pakat bergosip dengan ‘geng bawang’, kemudian tularkan pula di media sosial.
Kalau diikutkan, tuan rumah mana yang tidak impikan perjalanan majlisnya lancar lagi sempurna sesuai dengan perancangan.
Jadi, tak perlulah mengata majlis orang. Tak perlu susah-susah lakar carta banding beza majlis A dan majlis B. Tak perlu tularkan di media sosial segala cela itu ini.
Beruntung dan bersyukurlah tuan rumah masih ingat kita dan jemput ke majlisnya.
What goes around will comes around. Hari ini kita mengutuk majlis orang, majlis kita esok lusa belum tentu lagi.
Adab #6
Selalunya kita menerima undangan, namun kita tak tahu suasana dan atur cara majlis tersebut. Bila sudah tiba di majlis, baru kita sedari banyak perkara mungkar berlaku di dalamnya.
Tak perlulah kita curi-curi ambil gambar kemungkaran itu, tularkan di media sosial sambil berlagak holier-than-thou. Tak perlu itu semua.
Cara terbaik, minta izinlah untuk berundur diri daripada tuan rumah dan berikan alasan berhemah tanpa mengecilkan hati mereka.
Adab #7
Bila sudah habis makan sehingga menjilat jari, dan kau lihat para tetamu terkial-kial mencari seat kosong sambil memimpin anak, sebelah tangan pula memegang pinggan nasi – apakah maksudnya?
Tak lain tak bukan, kau harus segerakan urusan, tak perlu berlama-lamaan sampai dua tiga kali sendawa.
Jangan buat-buat tak faham, para tetamu datang berpusu-pusu, maka kita seharusnya peka dengan situasi itu.
Lebih molek lagi jika kita tolong buang sisa makanan di tempat pembuangan, kemudian susun ke tepi.
Petugas kenduri memang ada, tapi tak salah kalau kita ringankan tulang mempercepatkan dan mempermudahkan urusan semua pihak.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim, lihat juga hadis ke-36, Hadis Arba’in An-Nawawi)
Adab #8
Memberi hadiah perkahwinan buat pasangan mempelai sudah lama menjadi tradisi di kalangan masyarakat kita.
Malah jika tiada hadiah, tradisi ‘salam-kaut’ juga menjadi amalan biasa di kalangan kita. Kedua-dua tradisi ini tiada kaitan langsung dalam tuntutan agama Islam namun ia sudah menjadi budaya zaman berzaman.
Meski tuan rumah tidak pernah meminta hadiah, apa lagi menetapkan jumlah, anggaplah ianya sebagai sagu hati seikhlas kita tanda meraikan kegembiraan dan penghargaan di hari bahagia mereka.
Jika tiada, cukuplah doa buat pasangan pengantin dan ucapan terima kasih buat tuan rumah.
Bukankah menggembirakan orang lain juga termasuk satu sunnah?
Sabda Rasulullah s.a.w., “Pekerjaan yang paling dicintai Allah adalah menggembirakan seorang Muslim.” (Hadis Riwayat Thabrani, Mu’jam al-Kabir (no. 13646))
Penutup
Ini hanya merupakan sebahagian kecil adab-adab menghadiri undangan yang terkadang terlepas pandang.
Banyak aspek lagi yang harus dititikberatkan, bukan untuk menyusahkan bahkan ia mencerminkan keperibadian sejati seorang Muslim beridentitikan budaya timur.
Apa yang biasa, betulkan. Apa yang betul, biasakan.
Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.
Sumber : Iluvislam
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kek dan majlis perkahwinan cukup sinonim antara satu sama lain. Seakan tidak lengkap sebuah majlis perkahwinan tanpa kek perkahwinan. Kek perkahwinan memainkan peranan penting bagi memeriahkan lagi sesebuah majlis resepsi. Acara memotong kek perkahwinan biasanya akan dilaksanakan dengan begitu indah dan istimewa.
Pendek kata kek perkahwinan merupakan nadi pelengkap majlis hari bahagia pasangan mempelai. Namun sebelum menempah kek perkahwinan, beberapa perkara harus diperhatikan. Berikut dikongsikan tip penting sebelum menempah kek perkahwinan.
1. Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah membuat tinjauan melalui laman sosial sama ada Facebook mahupun Instagram tentang pilihan kek perkahwinan yang anda inginkan. Sebelum mengambil keputusan untuk menempah kek perkahwinan, disarankan anda untuk mencuba dahulu kek yang anda sukai. Sebagai contoh apabila anda mengunjungi kedai kek, pastikan disediakan sample atau tester. Cubalah rasa terlebih dahulu. Apabila sudah ‘berjumpa’ dengan kek yang anda sukai, bolehlah terus menempahnya.
2. Perhatikan juga reka bentuk kek yang anda sukai. Mungkin anda boleh melakar sendiri bentuk kek yang anda ingini megikut cita rasa anda. Bawa lakaran kek anda itu untuk diserahkan kepada pembuat kek. Berbincanglah dengan pembuat kek tentang apa yang anda inginkan. Pastikan pemilihan warna dan hiasan menepati citarasa anda.
3. Kunci dekorasi sesebuah kek perkahwinan terletak kepada konsep dan tema kek itu sendiri. Tanpa konsep, kek perkahwinan anda akan kelihatan tidak sempurna. Pilihlah konsep dan tema kek perkahwinan yang bersesuaian dengan tema majlis perkahwinan anda.
4. Warna kek perkahwinan yang dipilih seharusnya sama tema dan konsep majlis perkahwinan anda. Hindari warna-warna yang terlalu kontra dengan tema majlis resepsi anda. Pilihan warna-warna lembut dengan terapan hiasan yang romantis lebih sesuai.
5. Kek perkahwinan mempunyai harga yang berbeza-beza. Ia bergantung kepada saiz dan berat kek tersebut. Oleh itu pastikan anda menempah kek perkahwinan mengikut bajet yang anda telah tetapkan.
6. Kenal pasti dan tentukan jumlah sebenar tetamu yang bakal hadir ke majlis resepsi anda. Ia penting sebelum anda membuat tempahan kek. Sekiranya anda menjemput 500 orang tetamu, anda memerlukan kek yang lebih besar dan bertingkat-tingkat. Sekiranya majlis resepsi anda diadakan di dalam dewan atau dalam satu ruang yang besar dan luas tidak menjadi masalah untuk anda mendapatkan saiz kek yang besar dan tinggi.
7. Tentukan sudut yang sesuai untuk meletakkan kek perkahwinan anda. Jika kek perkahwinan anda besar dan bertingkat, letaklah kek perkahwinan anda di sudut hadapan berhampiran dengan pelamin.
8. Salah satu perkara yang perlu diambil kira ialah faktor lokasi. Ia sangat penting sebelum anda membuat keputusan untuk menempah kek perkahwinan. Sekiranya anda mengadakan majlis perkahwinan dalam taman atau outdoor jangan sesekali menempah kek jenis krim, meringue atau butter cream. Cuaca yang panas boleh mencairkan kek perkahwinan anda. Silalah rujuk dengan pembuat kek mengenai jenis kek yang sesuai untuk lokasi dan cuaca serta persekitaran majlis resepsi anda. Seelok-eloknya, pilihlah kek perkahwinan jenis fondant penuh kerana ia lebih sesuai dengan pelbagai situasi.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keputihan atau lelehan faraj ialah jangkitan kulat, selalunya berlaku disebabkan oleh kulat jenis candida albicans. Keputihan lazim dialami oleh wanita, tetapi ia juga boleh berlaku kepada lelaki. Walau bagaimanapun, terdapat desas-desus yang mengaitkan keputihan dengan kesuburan. Adakah keputihan menjadi penyebab seseorang wanita itu sukar hamil?
Adakah saya mengalami keputihan?
Keputihan biasanya tidak menyakitkan, tetapi ia memberikan kesan tidak selesa kepada si penghidapnya. Lelehan faraj yang sihat adalah cair dan berwarna jernih. Walau bagaimanapun, keputihan yang tidak sihat mengeluarkan lelehan yang pekat, berwarna putih dan ada kalanya keruh serta berbau busuk. Simptom-simptom seseorang wanita itu mengalami keputihan adalah:
Lelehan putih (seperti keju kotej, yang selalunya tidak berbau
Kegatalan dan iritasi di sekeliling faraj
Sakit dan rasa pedih semasa melakukan hubungan seks atau semasa membuang air kecil
Namun, jika anda tidak pasti sama ada anda mengalami keputihan ataupun tidak, anda perlu memeriksa lelehan faraj anda.
Mengapa saya boleh mengalami keputihan?
Salah satu pencetus keputihan berlaku adalah hubungan seks, dan kadangkala keputihan juga disalurkan melalui hubungan seks. Keputihan berlaku disebabkan oleh kulat yang dipanggil candida, selalunya tidak menyakitkan. Keputihan cenderung untuk membiak pada keadaan panas dan lembap, dan berkembang jika sisa bakteria berubah. Ini boleh terjadi jika:
Kulit anda mengalami iritasi atau rosak
Anda mengambil antibiotik
Kawalan diabetes anda lemah
Anda mengalami sistem imun yang lemah
Anda mengalami fasa menopaus
Anda sedang hamil
Adakah keputihan boleh mempengaruhi kesuburan?
Tiada bukti yang menunjukkan keputihan yang berlaku pada seseorang wanita itu boleh menjejaskan peluangnya untuk hamil. Meskipun keputihan atau lelehan faraj membuatkan bahagian intim anda berasa tidak selesa, namun ia bukanlah termasuk dalam kategori penyakit kelamin atau STI. Walau bagaimanapun, gejala keputihan seperti gatal dan rengsa boleh mengurangkan nafsu seks anda. Malahan, keputihan juga boleh membuatkan anda rasa pedih selepas melakukan hubungan seks.
Jangkitan keputihan sepatutnya tidak menghalang anda untuk hamil. Namun, jika masalah ini dibiarkan tidak dirawat, ia mungkin akan menjejaskan keseimbangan pH pada lelehan faraj anda, seterusnya menyukarkan sperma untuk sampai kepada telur anda. Justeru itu, keputihan perlulah dirawat bagi membolehkan anda dan pasangan menikmati hubungan intim anda berdua, sekali gus membantu meningkatkan peluang anda untuk hamil.
Bagaimana untuk merawat keputihan?
Anda perlu guna ubat antikulat untuk merawat masalah keputihan. Ubat antikulat ini boleh diambil dalam bentuk tablet dan dimasukkan ke dalam faraj anda. Selain itu, ubat antikulat juga terdapat dalam bentuk krim bagi membantu anda melegakan kerengsaan. Jika menggunakan ubat ini, keputihan biasanya akan hilang dalam masa seminggu, selepas 1 dos ubat digunakan atau krim disapu setiap hari.
Jika keputihan masih belum hilang, anda masih perlu menjalani rawatan. Tempoh rawatan boleh berlangsung sehingga 6 bulan. Lazimnya, doktor akan membantu anda untuk mengenal pasti punca keputihan anda, yang mungkin disebabkan oleh haid ataupun hubungan seks. Doktor juga akan menyarankan anda kekerapan menggunakan ubat tersebut.
Rawatan keputihan hanya perlu diberikan kepada anda jika anda sahaja yang mengalaminya, bukannya pasangan anda.
Buat bakal pengantin yang nak naikkan seri pengantin waktu atas pelamin, anda pasti tercari-cari petua cantik yang buat nampak wajah nampak fresh dan berseri.