Marilah kita berusaha untuk sekurang-kurangnya melakukan tiga sunah nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW berpesan kepadaku supaya menjaga tiga ibadat iaitu berpuasa tiga hari setiap bulan; dua rakaat solat duha dan menunaikan solat witir sebelum tidur. (Riwayat al-Bukhari)
• Puasa tiga hari setiap bulan – Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkan kami berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke-13, 14 dan 15. Qatadah bin Milhan berkata: Baginda bersabda: Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa (sepanjang tahun). (Riwayat Abu Daud). Bagaimanapun, ada juga hadis yang menceritakan baginda SAW tidak kisah pada mana-mana hari untuk berpuasa untuk mencukupkan tiga hari itu.
• Solat duha – Nabi SAW sentiasa melakukan ibadat ini dan mengesyorkan umatnya melakukan yang sama. Masanya mulai matahari berada kira-kira segalah di langit timur iaitu 15 ke 20 minit selepas terbit matahari. Ia berterusan sehingga istiwa’ matahari kira-kira 15 ke 20 minit sebelum waktu zawal (gelincir matahari menandakan masuknya waktu zuhur). Waktu afdal adalah sekitar jam 10 pagi iaitu apabila terasa bahang panas matahari.
Menurut ulama, paling minimum solat duha adalah dua rakaat dan maksimum 12 rakaat. Yang kerap dilakukan oleh nabi SAW adalah empat rakaat. Ia berdasarkan daripada Muazah beliau menceritakan: Aku bertanya kepada Aisyah r.ha, adakah nabi SAW melakukan solat duha? Aisyah menjawab: Ya sebanyak empat rakaat dan baginda menambah bilangan rakaat mengikut yang dikehendaki Allah SWT. (Riwayat Muslim)
• Solat witir – ia dilakukan selepas solat isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat tahajud atau solat tarawih. Juga sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang subuh.
Dinamakan ‘witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil. Sabda Rasulullah SAW: Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah solat witir sebab Allah itu witir (ganjil/ Maha Esa) dan amat suka kepada ganjil. (Riwayat al-Tirmidzi dan Hakim).
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu bangun pada hujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri para malaikat dan itulah yang lebih utama. (Riwayat Muslim)
sumber : MOHD RADZI MOHD.ZIN
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI