
Niat kerja sebagai ibadah
Niat bekerja sebagai satu ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT akan membetulkan hati manusia untuk melihat rezeki yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah SWT semata-mata, bukan dari manusia.
Begitu juga niat bekerja mencari rezeki untuk membantu umat Islam yang lain akan meluruskan hati seseorang Mukmin untuk ikhlas dalam pekerjaannya lalu berbuat baik dengan rakan sekerja.
Niat yang baik ini akan mengikis sebarang akhlak buruk seperti dengki, khianat, busuk hati terhadap rakan sekerja kerana niat yang baik akan meluruskan setiap perbuatan dan perlakuan seseorang Mukmin.
Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan sahabat untuk bekerja dengan niat kerana Allah SWT. Orang yang berniat kerana Allah SWT umpama juga melaksanakan perbuatan di jalan Allah SWT (fisabilillah).
Dalam satu hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Ka'ab bin Ujrah, ketika melihat seorang lelaki sedang gigih bekerja, sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kalaulah lelaki ini bekerja kuat dan gigih untuk fisabilillah." Lalu Nabi Muhammad SAW membetulkan sudut pandang sahabat bahawa apa yang dilakukan oleh lelaki itu yang bekerja dengan bersungguh-sungguh itu juga adalah bekerja di jalan Allah SWT.
Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi: "Jika seseorang manusia yang bekerja untuk menyara ibu bapanya, bekerja untuk menyara dirinya daripada meminta sedekah, bekerja untuk mencari rezeki yang halal, pekerjaan seseorang itu umpama fisabilillah. Namun, jika manusia itu bekerja untuk riak, untuk mendapat pandangan manusia, untuk berlaku tidak adil sesama manusia, seseorang itu telah melaksanakan pekerjaan yang menuruti perbuatan syaitan."

Oleh itu, umat Islam harus sedar bahawa bekerja dengan niat yang betul, akhlak dan perbuatan yang baik adalah tempat jatuh pandangan Allah SWT kepada seseorang Mukmin yang pastinya tidak saja mendapat pendapatan yang berkat tetapi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Amalan bangun awal pagi
Untuk mendapat rezeki yang berkat seseorang Mukmin juga mesti membiasakan diri dengan amalan bangun pada awal pagi. Nabi Muhammad SAW berdoa agar Allah SWT memberkati umatnya yang bangun pada awal pagi.
Justeru, menjalani kehidupan di awal pagi bukan bertujuan untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi untuk mendapat keberkatan doa Baginda SAW dan kerana taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Ulama dan sahabat memulakan hari mereka seawal pagi untuk merebut doa Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat kehidupan yang berkat.

Bagi sesetengah ulama yang menjalankan perniagaan, pada siang hari mereka gigih mencari rezeki dan apabila menjelang malam, mereka menghabiskan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.
Hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan mencukupi adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah, tetapi sering kehabisan dan tidak mendatangkan kebaikan. Begitu juga bentuk pekerjaan dan di manapun tempat bekerja, ia adalah tempat jatuhnya pandangan Allah kepada setiap hambanya.
Oleh itu, buat bakal pengantin yang mahukan rezeki yang diberkati, jalanilah pekerjaan dengan amanah dan sebaik mungkin untuk mendapat kehidupan yang berkat dan ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.
Kenal Tepi Jalan, Lepas 9 Hari Terus Planning Untuk Kahwin. Inilah Jodoh. Kahwin Pun Pakai Sneakers!

Ada orang yang mudah sangat bertemu jodoh, ada orang yang menunggu lama untuk bertemu jodoh. Walau macam mana keadaannya, kita sebagai hamba perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Jodoh yang menemukan pasangan suami isteri ini memang tak dijangka. Hanya bertegur sapa sekadar menolong akhirnya mereka memilih untuk hidup bersama sebagai pasangan hidup.
Berkongsi cerita dengan Nurul Diana Mohd Pudzi atau mesra dipanggil Dian, dia dan pasangannya Faiz berkenalan secara tak sengaja di tepi jalan. Kebetulan tayar kereta Dian pecah dan Faiz datang sebagai seorang stranger untuk menolong.
“Bunyi pelik pula bila saya kata kami bertemu tepi jalan tapi itulah kebenarannya. Selama 12 tahun memiliki lesen memandu, itulah kali pertama tayar kereta pecah. Tepi area Tesco Alor Setar adalah titik pertemuan kami.
Simple je masa tu. Faiz datang untuk tolong tukar tayar. Lepas selesai, saya ada up di media sosial buat offer siapa nak mekanik ‘herlok’. Tapi sungguh, memang tak sangka Faizlah jodoh saya.
Kami decided untuk kahwin lepas sembilan hari berjumpa semula. Faiz sangat yakin ajak saya kahwin kerana dia rasa ada keserasian di antara kami. Mula-mula ragu juga satu ayat ni membuatkan saya berserah 100% pada Allah dan Faiz ambil langkah pertama jumpa mak dan abah saya.
“Percaya pada jodoh? Kenal lama pun kadang tak kahwin…” itu katanya.
Seperti pengantin lain, Dian juga tidak terkecuali membuat persiapan perkahwinan. Tapi ada kelainan yang mereka buat sehingga menjadi bualan.
“Dari umur 17 tahun sehingga ke hari ini, saya tak pernah ada satu pun high heels. Jadi sewaktu kami merancang nak kahwin, saya ada beritahu Faiz nak pakai sneakers sebab takut jatuh, sakit kaki dan macam-macam lagi. Faiz ok je tapi ayat die, ‘Walaupun first time jumpa you pakai kasut atlet tapi I tertarik tengok you pakai stokin walaupun dah malam’..” kata Dian.
Tak cukup dengan itu, pasangan ini juga buat kejutan dengan hantaran yang unik! Kesemua hadiah hantaran hanyalah sekeping gambar yang dibingkaikan dan diletakkan di atas dulang.
“Ya, memang ada gambar je atas dulang. Saya dan Faiz nak beli barang hantaran yang memang kami akan dan boleh guna sepanjang masa. Faiz mahukan water jet, drone, kamera manakala saya sendiri nak mixer jadi mustahil barang ini boleh diletakkan di atas dulang.
Jika boleh, kasut pun nak diletakkan di atas dulang tapi disebabkan kena beli kasut lain untuk akad nikah, lebih baik kami ambil gambar sahaja dan pakai kasut tu. Tapi semua barang-barang yang dah dibingkaikan tu wujud tau. Bukan gambar Google!” katanya lagi.
Pengalaman perkahwinan untuk Pengasas jenama DIANZ ini berbeza namun Dian positif dalam kehidupan.
“Pengalaman sememangnya mematangkan kita. Bagi Dian komunikasi dalam rumah tangga adalah paling penting. Sentiasa mendengar dan memperbaiki salah kita dan pasangan. Bila pasangan meluahkan sikap atau perangai kita membuatkan mereka tak selesa, kita wajib take note dan berubah.
Jangan anggap itu perkara remeh kerana luka yang kecil boleh merebak menjadi kudis. Sentiasa cuba jadi yang terbaik dan sentiasa bercakap dari hati ke hati kerana dalam perkahwinan Cuma ada KITA. Jadi bila kita tak saling melengkapkan KITA DAN DIA, siapa lagi?”
Takutnya, Dalam Mood Bertunang, Jiwa Kita Mudah Rapuh Dengan Dugaan

Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimaterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.
Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?
Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan “booking kereta” sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di showroom kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 – RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.
Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam showroom, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan. Walau bagaimanapun untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.
Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari showroom? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar injen sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.

Bayangkan kalau baru booking kereta, sudah begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama. Sebenarnya dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan.
Antaranya ialah:
1. Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.
2. Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.
3. Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.
4. Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.
5. Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.
Syariat Dipertahankan
Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar. Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.
Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.
Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.
Oleh: Ustaz Ahmad Baei (http://baei.blogspot.com/2011/03/ramai-yang-jahil-hakikat-bertunang.html)
Jodoh Kita Mungkin Dekat, Tapi Kita Yang Tak Nak Usaha

Tak susah rupanya nak tambat hati orang yang kita suka, ini 60 tip patut pembaca Pesona Pengantin ikut!
1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.
2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.
3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.
4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.
5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.
6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.
7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.
8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.
.
9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.
10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.
11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.
12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.
13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).
14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.
15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.
16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.
17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.
18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.
19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.
20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.
21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.
22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.
23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.
24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.
25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.
26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.
.
27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.
28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.
29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.
30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.
31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.
32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.
33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.
34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.
35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.
36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.
37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.
38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.
39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.
40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.
41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.
42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.
43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.
44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.
45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.
46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.
47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.
48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.
49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.
50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.
51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.
52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.
53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.
54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.
55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.
.
56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.
57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.
58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.
59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.
60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.
sumber:http://feryco.com/60-petua-mendapatkan-pasangan