Persefahaman antara suami isteri penting untuk memastikan hubungan yang dibina terjalin erat. Antara resipi persefahaman paling utama dalam sesebuah rumah tangga ialah menjadi pendengar yang setia. Namun bukan semua mampu berperanan sebagai pendengar yang baik dengan rasa empati.

Banyak yang berlaku, ketika pasangan meluahkan rasa atau menceritakan sesuatu, anda mula hilag fokus mungkin kerana pasangan terlalu lama bercerita. Bagi membuatkan rumah tangga lebih harmoni dan saling melengkapi penting agar anda menumpukan perhatian sepenuh terhadap apa yang diceritakan pasangan.

Bagi mengelakkan pasangan rasa tidak dipedulikan, tertekan sehingga akhirnya hubungan anda berdua renggang kerana pasangan berkecil hati, penting untuk anda menjadi pendengar setia yang baik.

1. BERI SEPENUH PERHATIAN

Tiada apa yang lebih penting melainkan memberi sepenuh perhatian kepada si dia. Walaupun isu yang dibangkitkan membosankan mahupun tidak relevan, gagahkan diri anda untuk memberikan tumpuan pada setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya. Hentikan segala apa yang tengah anda lakukan. Contohnya jika anda sedang sms, makan, online atau sebagainya, dengarkanlah luahannya dengan penuh teliti.

2. PANDANG TEPAT PADA MATANYA

Ini merupakan tip paling penting untuk menjadi pendengar yang baik. Apabila anda melihat ke arah matanya, secara tidak langsung pasangan akan rasa selesa dan seronok untuk meluahkan segalanya kepada anda. Renunglah dia sedalam-dalamnya dan berikan perhatian terhadapnya.

3. JANGAN MENCELAH

Ini merupakan langkah yang sewajar anda jauhi. Elakkan daripada mencelah sesuka hati ketika pasangan sedang asyik berbicara tentang sesuatu. Jika anda mencelah, pasti pasangan akan bosan dan marah, selain tidak mahu menjadikan anda tempat untuk dia meluahkan rasa. Jadi, sila elakkan!

4. BERI PENDAPAT BERNAS

Tip ini kadang-kala wajar, namun anda perlu memastikan masa yang sesuai untuk disampaikan. Kadang-kala kita lebih suka memberikan pendapat mahupun pandangan yang tidak rasional, kelakar dan tidak boleh diterima pakai ketika pasangan sedang meluahkan sesuatu. Oleh itu, berfikir dahulu sedalam-dalamnya. Jika pendapat atau cadangan yang anda berikan itu bernas, itu cukup baik. Jika tidak? Boleh membuatkan pasangan panas hati.

5. TANYA SOALAN

Untuk menunjukkan bahawa anda memberikan tumpuan sepenuhnya, anda bebas untuk gunakan tip ini. Tanyakan soalan, namun soalan yang ditanya perlulah berkaitan, rasional dan munasabah. Jika anda mengajukan apa-apa soalan, pasangan pasti tahu yang anda berminat malah dia ada mood untuk menceritakan dengan lebih lanjut. Sebelum bertanya, biarkan pasangan menghabiskan apa yang ingin dinyatakannya.

6. TUNJUKKAN RASA EMPATI

Wajar untuk anda lakukan yang ini. Ketika pasangan sedang sesi luahkan, selang-selikan dengan mood dan emosi mengikut kesesuaian jalan ceritanya. Jika hal yang dibincangkan itu menyedihkan, mainkan emosi anda mengikut mood yang bersesuaian. Anda tidak perlu berpura-pura atau mengajuk-ajuk dengan ekspresi yang menjengkelkan. Be natural and don’t be stone!

7. ULANG LUAHANNYA

Selain mengajukan soalan dan pendapat, langkah lain yang boleh anda cuba ialah mengulangi apa yang sedang dibicarakannya. Anda harus kreatif! Sudah pasti anda tidak mahu dianggap bodoh kerana tidak berupaya memahami apa yang disampaikan bukan? Jadi, selepas si dia bercerita, luahkan semula apa yang dibicarakannya sambil memberikan pandangan atau cadangan. Perkara ini penting untuk memastikan pasangan sedar yang anda betul-betul berminat dengan apa yang dia ingin sampaikan.

8. JANGAN BERKATA APA-APA

Sekiranya topik luahan perasaan itu punya kaitan dengan anda, lebih baik anda berdiam diri dan dengar dengan penuh teliti. Dengar apa saja yang pasangan katakan dan beri respons apabila dia inginkan jawapan. Biarkan dia meluahkan segala yang terbuku. Dengan cara sebegini akan membuatkan pasangan lebih reda dan tenang kerana perasaan marah itu akhirnya berjaya dikeluarkan. Ingat! Jangan tambah kemarahan atau kepedihan di atinya.

INI YANG PERLU SUAMI BUAT!

Wanita akan merasakan dirinya disayangi dan diutamakan apabila luahan perasaannya didengari oleh pasangan.
Jadilah pendengar yang baik kerana itu merupakan salah satu resipi untuk membina sebuah percintaan yang bahagia dan kekal untuk selamanya.
Jangan sesekali membuat jenaka atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya ketika pasangan meluahkan sesuatu. Nampak seperti anda tidak serius dalam perhubungan malah menggores perasaan si dia.