
Hari perkahwinan bukan sekadar menjadi detik penyatuan dua jiwa, malah membuka ruang untuk mencipta kenangan yang akan dikenang sepanjang hayat. Bagi Illyyeen Ishak, hari bahagianya bersama pilihan hati, Muhammad Norhadi Yusri, menjadi lebih bermakna apabila dia memilih untuk menyarungkan busana perkahwinan milik ibunya.
Busana yang telah berusia puluhan tahun itu bukan sekadar pakaian lama yang disimpan sebagai kenangan. Sebaliknya, ia membawa bersamanya kisah cinta, doa dan perjalanan rumah tangga insan yang paling dekat di hati Illyyeen.
Menariknya, idea untuk mengenakan semula busana perkahwinan tersebut datang daripada ibunya sendiri. Cadangan itu disambut baik oleh Illyyeen yang melihatnya sebagai sesuatu yang cukup istimewa dan sarat dengan nilai sentimental.
Lebih daripada sekadar menghidupkan kembali gaya pengantin generasi terdahulu, pilihan itu menjadi simbol kasih seorang ibu kepada anak perempuannya. Busana yang pernah menjadi saksi hari bahagia si ibu kini mengiringi pula Illyyeen ketika memulakan perjalanan rumah tangganya bersama Muhammad Norhadi.
Setiap jahitan dan perincian pada busana berkenaan menyimpan memori tersendiri. Dahulu, persalinan itu dipakai oleh ibunya ketika melangkah ke alam perkahwinan. Selepas puluhan tahun berlalu, busana dalam siluet baju kurung itu sama kembali diberikan kehidupan baharu pada hari istimewa itu.
Meskipun trend busana pengantin sentiasa berubah, pakaian yang mempunyai nilai sentimental tetap memiliki keindahan tersendiri. Lebih manis, ia membawa bersama doa dan harapan seorang ibu agar rumah tangga anaknya turut dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan.
Walaupun telah tersimpan selama puluhan tahun, busana rona ungu lembut tersebut masih tampil anggun apabila digayakan oleh Illyyeen. Penampilannya membuktikan bahawa rekaan klasik tidak pernah benar-benar ditelan zaman, lebih-lebih lagi apabila dipakai bersama kisah yang begitu dekat dengan hati.
Keputusan Illyyeen juga memperlihatkan bahawa penampilan pengantin tidak semestinya bergantung pada busana baharu atau rekaan paling mewah. Ada kalanya, pakaian yang telah lama tersimpan mampu memberikan makna jauh lebih besar daripada nilai materialnya.
Mengenakan busana perkahwinan ibu pada hari akad nikah menjadikan momen tersebut sebagai satu kesinambungan indah antara dua generasi. Dahulu, busana itu menyaksikan permulaan kehidupan rumah tangga si ibu. Kini, pakaian yang sama menjadi saksi kepada permulaan perjalanan baharu pasangan dua sejoli ini
Pilihan ini boleh menjadi inspirasi kepada bakal pengantin yang mahu menyelitkan elemen keluarga dalam majlis mereka. Selain menyarungkan semula busana ibu, kain, renda, veil atau aksesori lama juga boleh diberikan nafas baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya.
BACA JUGA: Busana Pernikahan Izara Aishah Kekal Ikonik, Elegan Dalam Rekaan Rizalman Ibrahim