
Diam-diam ubi berisi. Begitulah perumpamaan bagi pasangan pelakon Nad Zainal dan Ungku Ismail yang akhirnya selamat bergelar suami isteri.
Kisah cinta mereka tidak diwar-warkan. Sama ada Nad Zainal mahupun Ungku Ismail, lebih selesa mendiamkan diri. Semuanya terungkai apabila masing-masing memuat naik status tentang pernikahan mereka.



Menerusi Instagram miliknya, Nad Zainal memuat naik beberapa keping foto bersama Ungku Ismail dalam persalinan serba putih.
Melalui satu video yang juga dikongsi di Instagram, Nad juga berkongsi momen indah bersama Ungku Ismail.
Nad atau nama lengkapnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 berserta gelang tangan emas daripada pengantin lelaki. Kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri iaitu pada 23 Januari lalu bersamaan dengan 1 Rejab 1444 Hijrah.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan rapat dengan selepas sama-sama terlibat menerusi drama Cina Buta. Hubungan itu kemudiannya berlanjutan sebagai rakan kongsi menjayakan program berbentuk travelog dalam saluran YouTube milik pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu.
Keintiman Nad Zainal dan Ungku Ismail semakin dapat ‘dihidu’ apabila Ungku Ismail dilihat setia di sisi Nad sepanjang dramatis itu berada dalam situasi kesihatan kritikal akibat masalah paru-paru pada November tahun lalu.
Nad turut mengakui menyayangi lelaki itu apabila memuat naik satu hantaran berbaur cinta ingin kekal selama-lamanya mencintai Ungku Ismail.
Sumber: Instagram Nad Zainal
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Suami Boleh Buat Isteri Macam Touch ‘n Go, Kaum Wanita Jangan Mudah Terpengaruh Bila Dipujuk ‘Kahwin Lari’

Isu pasangan yang berkahwin di sempadan (Siam) begitu hangat diperkatakan hingga ke hari ini. Kahwin Lari atau nikah lari sering kali dikaitkan dengan perkahwinan yang dilakukan tanpa wali nikah yang terdekat. Selalunya ramai pasangan mengambil pendekatan bernikah di Thailand (Siam).
Pernikahan di Thailand tidak sepatutnya berlaku sekiranya setiap pasangan berfikir secara mendalam dan memikirkan kesan pada masa hadapan terutama kaum wanita. Banyak masalah yang bakal dihadapi apabila perkahwinan dilangsungkan di luar negara.
Berikut huraian lengkap daripada Fahmi Ramli yang merupakan seorang Peguam Syarie Perundangan Islam yang banyak berkhidmat di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kuala Lumpurdan Selangor.

WANITA JANGAN MUDAH TERPENGARUH DENGAN PUJUKAN ‘KAHWIN LARI’
Isu kahwin tanpa pengetahuan keluarga atau bahasa mudahnya kahwin lari adalah isu yang selalu kita dengar. Bahkan, banyak juga isu sebegini ada dalam drama tv, novel dan lain-lain.
Rakyat Malaysia ini biasa dengar isu sebegini. Bahkan ada di kalangan mereka ini memang lebih suka berkahwin di sana. Tambah-tambah pasangan lelaki yang bakal menjadi suami tersebut adalah ‘suami orang’. Ada juga yang pilih untuk berkahwin di sana disebabkan tidak mendapat restu daripada wali atau keluarga.
Tapi, apa yang menjadikan saya nak berkongsi dengan pembaca adalah tentang kesan yang buruk kepada wanita. Ramai wanita tak tahu, bila perkahwinan berlaku di sempadan Thailand ini misalnya, kesan yang paling buruk akan berlaku adalah kepada wanita itu sendiri berbanding lelaki tersebut.
Antara kesannya adalah:
✅ Boleh jadi tak sah
Mungkin perkahwinan yang nampak macam ‘real’ sebab ada tok kadi semua, tapi ramai juga yang tertipu dengan agen yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Tempat pernikahan yang berlaku tersebut adalah menjadi perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu kerana hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf.
Bahkan, ada juga wanita yang jarak dia dengan wali tidak melebihi dua marhalah dan bermacam lagi alasan. Jadi, kesan yang paling buruk adalah kepada wanita tersebut.
Apabila perkahwinan yang tidak sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang, akan muncul kesan yang lain hanya disebabkan pernikahan tidak sah. Persetubuhan suami isteri juga menjadi persetubuhan syubhah.

✅ Anak Tak Sah Taraf
Inilah kesan utama yang akan menyusul sekiranya berlaku pernikahan di Sempadan Thai. Anak yang akan dilahirkan tidak boleh ber ‘bin’ atau ‘binti’ kan kepada bapanya disebabkan tidak mempunyai sijil pernikahan Siam. Jadi, yang ada hanya maklumat ibu semata-mata. Jika si bapa ini masih hidup dan belum buat pengesahan mungkin tak menjadi masalah besar.
Tapi, cuba bayangkan jika bapa tersebut telah meninggal atau hilang sebelum dibuat pengesahan. Menjadi satu masalah besar untuk si ibu berseorangan membuat pengesahan nikah di Mahkamah dan kemudian membuat pengesahan nasab anak untuk di’bin’ atau ‘binti’ kan anak tersebut kepada bapanya.
✅ Tanggung Nafkah Anak Sendiri
Rentetan daripada kelahiran anak tak sah taraf, isu yang akan timbul adalah ibu dan keluarga ibu tersebut yang akan menanggung segalanya nafkah anak tak sah taraf ini. Si bapa tidak bertanggungan untuk memberi nafkah kepada anak tidak sah taraf kerana ia bukan dinasabkan kepada dirinya.
Bahkan, jika si ibu nak tuntut perintah nafkah anak di Malaysia ini, ibu tersebut mesti melalui proses mengesahkan pernikahan, mengesahkan nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak.
Ada banyak peristiwa yang pihak suami enggan peduli nafkah anak yang dilahirkan hasil pernikahan di Malaysia apatah lagi pernikahan di Siam. Meskipun dari segi benih biologi (sperma) tu datang daripada lelaki tersebut, tapi dari segi hukum dan undang-umdang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.
✅ Sukar bercerai di Malaysia
Jangan ingat langit itu selalu cerah. Rumahtangga ini sifatnya pasang surut. Masa nak pujuk kahwin tu lemah lembut la sifatnya. Pijak semut pun tak mati. Tapi lepas kahwin, timbul pulak isu tak dapat nafkah, kena pukul, tak dapat giliran bermalam yang adil bagi poligami, curang dengan perempuan lain pulak dan macam-macam lagi.
Jadi, isteri ni mula tidak puas hati dan nak mohon cerai. Isteri ini perlu pilih antara dua, cerai semula di tempat pernikahan mereka di Siam tersebut atau membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah dalam Malaysia dan kemudian baru boleh buat permohonan cerai.
✅ Abai hak isteri
Bila dah kahwin di Siam, tak ada jaminan pun suami tu akan bertanggungjawab berkaitan nafkah dan giliran yang adil untuk berpoligami. Pasangan yang bernikah dalam Malaysia pun ada masalah inikan pula yang bernikah di sana.
Jadi, si isteri ini, jika nak tuntut nafkah diri di Mahkamah, perlu dapatkan pengesahan nikah dahulu. Begitu juga dengan hak bermalam. Ada wanita yang teraniaya dimana suami pernikahan Siam ini tinggalkan terus dan hilang begitu sahaja tanpa nafkah dan sebagainya selepas berjaya melepaskan nafsunya semata-mata.
✅ Hak selepas cerai
Jika berlaku perceraian, pastinya ramai wanita yang akan membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan. Selagimana wanita tersebut tidak ada Sijil Perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di Mahkamah.
Banyak wanita yang teraniaya pada isu ini. Sudahlah dipukul, diambil duit dan melahirkan anak tak sah taraf, kemudian bila dicerai atau ditinggalkan, tak dapat pula nak tuntut hak selepas cerai. Tambah-tambah harta sepencarian yang melibatkan hartanah.
✅ Pusaka suami
Bila suami tersebut meninggal dunia, pasti akan timbul banyak isu besar kepada pasangan yang bernikah di Siam ini tentang Pusaka. Harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami seperti wang di bank, kwsp, insuran, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya tidak boleh diperolehi sedangkan wanita tersebut memang isteri.
Tapi, disebabkan pernikahan tersebut tidak disahkan oleh Mahkamah , maka, isteri tersebut tidak boleh menuntut pusaka tersebut. Akhirnya semua pusama itu hanya dapat kepada isteri pertama sahaja sedangkan dia juga isteri kedua kepada si mati.
Mungkin ada lagi isu lain yang wujud bila berlaku pernikahan di Siam ini. Tapi, pastinya wanita yang akan menjadi mangsa terbesar lelaki yang memujuk untuk bernikah di Siam. Percayalah, isu sebegini masih terus berlaku disebabkan kita mudah terdorong dengan tipu daya dan hawa nafsu. Jangan mudah termakan dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya akan berlaku adil dan bertanggungjawab selepas balik ke Malaysia.
Berapa ramai dah yang tertipu dek kerana janji tersebut. Kita berharap akan ada kesedaran kepada wanita tentang isu sebegini. Yang menjadi mangsa terbesar adalah wanita. Tolong sampaikan amanat ini pada wanita lain supaya mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.

Berikut ulasan yang dipetik melalui artikel menerusi Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Adalah dinasihatkan agar sebaik-baiknya, pasangan yang ingin berkahwin, contohnya di negara Thailand atas apa-apa sebab termasuk sebab tidak mendapat izin wali atau tanpa kebenaran poligami daripada isteri hendaklah terlebih dahulu mendapatkan surat kebenaran untuk berkahwin di luar negara dari Pejabat Agama di negeri masing-masing.
Ini akan melibatkan beberapa langkah, seperti menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat kebenaran poligami jika ingin berpoligami tapi tidak mendapat izin daripada isteri, mengemukakan surat akuan status diri (dara, janda atau balu) dan sebagainya. Sekiranya berkahwin di Siam setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, proses pendaftaran nikah Thailand di Malaysia akan menjadi lebih mudah setelah kembali dari Siam nanti.
Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di sini.
PESONA PENGANTIN: Umat Islam dinasihat supaya jangan terlalu ghairah untuk berkahwin di sempadan atau di luar negara terutama di Thailand kerana dibimbangi terjerat dengan sindiket pernikahan.
Sumber: Peguam Syarie Perundangan Islam Fahmi Ramli Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kredit foto (top image): Pexels
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Habiskan Duit Berbelas Ribu Untuk Kahwin, Nasihat Ajak & Afifah Paling Padu Untuk Bakal Pengantin!

13 tahun melayari bahtera perkahwinan bukannya mudah. Pelbagai pahit manis dalam kehidupan terpaksa dilalui demi mencari kebahagiaan dan mengutuhkan sebuah ‘istana’. Tidak dilahirkan dalam keluarga berada, Mohd Hanaffi bin Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak Shiro dan isteri, Nur Afifah Binti Amin melalui fasa bermula dari bawah.

Siapa sangka, kasih yang berpaut sejak di bangku sekolah membawa mereka sehingga ke jenjang pelamin. 22 tahun lamanya perkenalan mereka bukan jangka masa seketika. Jatuh bangun pasangan ini hanya mereka yang tahu. Bak kata Afifah, “makan atau tidak, hanya kita sahaja yang tahu.”
Membuka kembali kisah bagaimana mereka memulakan kehidupan, Afifah sendiri membuat percaturan dan perancangannya telah Allah makbulkan.
“Kami berdua masing-masing dapat tawaran sambung ke tingkatan 6. Ajak lebih dahulu dapat tawaran tu kemudian kami berbincang juga macam mana hala tuju kami seterusnya. Saya berada di kelas aliran Sains dan akademi kami memang berbeza. Tetapi kelebihan Ajak adalah dari segi fizikal. Itu yang kami cuba seimbangkan titik permulaannya.

Bagi saya, tak semestinya kekuatan kita apda akademik, kita terus bagus. Jadi saya memilih untuk meneruskan tingkatan 6 manakala saya cadangkan supaya Ajak bermula dari bawah. By the time saya tamat universiti, sekurang-kurangnya Ajak pun dah ada kerjaya tetap ketika itu. memang saya beritahu Ajak supaya cari sesuatu yang boleh menunjukkan dia ‘jadi orang!”
Apabila kita sudah ada matlamat hidup, selebihnya kita tingkatkan usaha dan berdoa kepada Allah. Memilih untuk menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ajak menjadikan kerjaya itu sebagaisumber pencariannya untuk mengukuhkan kewangan demi bakal isteri tercinta.

“Masa tu kita dah tahu siapa bakal isteri kita. Tetapi kekangan kewangan membataskan kami untuk terus berkahwin, memang tak ada duit. jadi, bila masuk Navy, sikit demi sikit gaji yang saya terima digunakan untuk beli barang rumah. Beli peti sejuk, mesin basuh, TV, perabut dan macam-macam lagi.
Semua barang-barang tu memang saya ‘simpan’ dulu di kedai. Bila tiba hari kami berkahwin, semua barang-barang tu sampai ke rumah. Rasa macam orang kaya! Walaupun tak lengkap tapi cukup sempurna untuk kami ketika tu. Kata orang, ukur baju di badan sendiri.” Kata Ajak.
Apa nasihat Ajak untuk semua bakal pengantin?
“Abang dah melalui fasa menjadi raja sehari. Habis belanja berbelas ribu untuk majlis perkahwinan dulu. Sekarang ni musim PKP, hanya RM2000 pun dah boleh kahwin. Tak perlu pun berbelanja banyak-banyak. Kena ingat, duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya adalah duit. Sampai anak dah tiga orang pun tetap bayar loan setiap bulan!” seloroh Ajak.
Betul kata Ajak dan Afifah. Nak kahwin ni sebenarnya memerlukan persediaan dari segi kewangan. Kalau boleh, kukuhkan kedudukan kewangan dulu sebelum ambil keputusan untuk berumahtangga. Yang berkahwin pada musim PKP ni, ambillah peluang untuk berjimat sebaik mungkin!
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anita Baharom Nikah 22 Disember, Dapat Restu Semua Anak-anak, Anggap Jodoh Sudah Ditetapkan Allah

Selepas hampir setahun memegang status ibu tunggal, pelakon Anita Baharom sedia bergelar isteri sekali lagi. Kesungguhan bakal suami, Engku Isyamuddin Tuan Losin yang mahu menjadikannya suri hati.
Anita akan melangsungkan pernikahan dengan Engku Isyamuddin pada 22 Disember ini di Subang Jaya, Selangor. Menyifatkan jodohnya dengan bakal suami, Engku Isyamuddin sudah ditetapkan Allah SWT, Anita menerimanya dengan rasa syukur serta seikhlas hati.
Anita yang dikenali menerusi drama Dunia Baru dan Keluarga Iskandar berkata, dia juga berbincang dengan anak-anaknya lebih dulu dan penerimaan mereka masing-masing terhadap calon suami sangat baik dan positif.

ANAK-ANAK BERI LAMPU HIJAU
Karakter mudah mesra duda berusia 48 tahun itu yang disenangi anak-anaknya juga antara faktor persahabatan mereka diteruskan ke fasa pernikahan.
“Anak-anak memang rapat dengan Isyamuddin terutama putera nombor dua saya, Iskandar kerana mereka mempunyai minat mendalam dengan sukan bola sepak.
“Puteri sulung dan si bongsu pun bagi lampu hijau apabila saya memaklumkan mengenai perancangan kami mahu mendirikan rumah tangga. Sebelum ini mereka sudah beberapa kali berjumpa,” ujar Anita yang kini meniti usia 39 tahun.
“Saya pun sebelum membuat keputusan nak berumah tangga semula, ada buat solat istikarah juga dan minta pandangan kenalan yang arif dalam agama. Kata mereka, jodoh dah sampai itu perkara yang baik dan calon suami pun berstatus duda.
“Alhamdulillah, saya tak berkahwin dengan suami orang. Malah, anak-anak saya juga menerima baik dan sayang dengan Engku Isyamuddin yang saya lihat amat penyayang. Apabila anak-anak selesa dengan bakal suami, saya jadi tambah yakin,” katanya
Persiapan hari bahagia yang akan berlangsung di sebuah dewan acara di Subang Jaya, Selangor juga sudah disempurnakan dalam tempoh sebulan.
Tambahnya, tidak timbul isu cepat mencari pengganti arwah suaminya kerana ketika berkawan, mereka langsung tiada berbincang perihal hati dan perasaan.
“Jodoh ajal maut adalah ketentuan Allah dan urusan ke arah mendirikan masjid seakan dipermudahkan walaupun tarikh pernikahan dipilih pada November lalu. Apabila bakal suami ajak kahwin, saya sendiri maklumkan enggan menunggu lama.
“Persiapan termasuk urusan dokumen berjalan juga lancar. Ikut perancangan, kami mahu bernikah di masjid tetapi tukar lokasi ke dewan besar kerana mengundang 200 tetamu,” katanya.

Majlis resepsi pasangan itu akan diadakan sehari selepas akad nikah dengan mengundang seramai 500 jemputan.
Dari segi pemilihan tarikh iaitu 22.12.22, Anita, berkata, mereka sepakat memilih kerana menunjukkan nombor yang cantik selain dia dan bakal suami sama-sama menyukai nombor dua.
Ditanya detik pertemuan, Sukan Sea 2017 yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah mencetuskan perkenalannya dengan Isyamuddin gara-gara dia dan arwah suami ligat mencari tiket perlawanan bola sepak.
“Kebetulan waktu habis ikhtiar, Isyamuddin yang memandu kereta rasmi Sukan Sea lalu di hadapan kami. Saya dengan selamba terus bertanyakan tiket kepadanya.
“Selepas itu kami hanya ‘follow’ media sosial masing-masing. Arwah suami pun tahu tetapi setakat jadi pengikut saja sampailah dia dapat berita arwah meninggal dunia.
“Selepas edah ada beberapa kali keluar makan ditemani anak-anak hingga akhirnya bulan lalu dia menyuarakan hasrat menjadikan saya isterinya,” kongsi Anita.
Untuk info, perkahwinan Anita dengan Mohd. Ismadi dikurniakan tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, serta Mohamad Dhia Mikail, 8.
Suami Anita yang juga bekas penerbit program TV3, Allahyarham Mohd. Ismadi Ismail menghembuskan nafas ketika tidur pada 1 Januari lalu.
Sumber: Kosmo online dan Harian Metro
Kredit foto: Instagram Anita Baharom
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

