
Cyst adalah sejenis tumbuhan dalam kilang ovari wanita, yang mengandungi cecair sama ada cecair bercampur protein, darah beku, darah haid, minyak, lemak dan lendir.
Cyst bukan penyakit tetapi ia selalu dihidapi oleh golongan wanita muda. Selain itu, kehadiran cyst tidak memberikan sebarang simptom-simpton tertentu dah hanya diketahui apabila seseorang individu itu melakukan pemeriksaan ultrasound.
Meskipun cyst ini tidak berbahaya, tetapi ia boleh mendatangkan kemudaratan seperti sakit bawah abdomen, rasa kembung abdomen, sakit pada payu dara, rasa letih, masalah ketidaksuburan dan sakit kepala.
Baru-baru ini, Hariza Azmi berkongsi mengenai cyst dan menasihatkan golongan wanita tidak mengambil atau mengamalkan sebarang makanan tambahan yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketumbuhan cyst.

TIGA tahun lepas, aku operate buang cyst. Selepas setahun, cyst tumbuh balik. So, buat checkup enam bulan sekali. Tupp aku stop pergi checkup, kononnya sihatlah.Okey, petang tadi buat checkup setelah sekian lama tak bertemu dengan ultrasound. Okey, ini hasilnya girls. Sembang punya sembang dengan doktor, macam kita sembang dengan kawan.Okey girls, dengar nasihat aku ini. Korang tak nak dengar, terpulanglah. Kalau sayangkan rahim tu, sila baca dan hadam.
- Jangan makan apa-apa suppliment termasuk pil putih, pil kecut jerawat dan apa-apa jenis suppliment. Never girls! Dalam badan kita dah ada estrogen (rasanya macam aku dengar estrogen). Makan lagi suppliment akan menambahkan estrogen dan boleh mengaktifkan hormon. Ingat, cyst ini asalnya dari hormon.
- Jangan minum soya, nasib baik aku bukan peminat soya.
- Kurangkan makan ayam kerana kebanyakan ayam ada cucuk estrogen itu. Itu doktor yang beritahu, bukan aku.
- Banyakkan makan ikan dan sayur, kecuali ikan parang.
- Amalkan pemakanan yang sihat
Tolong buat checkup sekurang-kurangnya enam bulan sekali. Jangan kau berani beri alasan, “Alaaa malu laa. Kelau kena dengan doktor lelaki macam mana?”. Aku jawab, “Abah kau! Malu konon.”.
Dah memang realiti doktor OnG ini banyak lelaki, terima sajalah. Aku dari dulu doktor lelaki yang periksa. kau ingat tak malu? Tapi nak buat macam mana? Saya redha sajalah. Nasib tadi doktor perempuan yang check.
Tak payah berangan nak makan ubat kurus, ubat cantik bagai hatta ada kelulusan KKM sekalipun. Mudah sungguh orang kita percaya dengan benda itu, entah betul ke tidak. Ingat girls. Jangan menyesal. Bye roger dulu.
Sumber: Hariza Azmi
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebelum Tukar Status, Buat Perkara Ini Supaya Anda Tak Menyesal Nanti

Tak lama lagi status ‘bujang’ akan bertukar menadi ‘berkahwin’. Ramai bakal pengantin teruja bila orang yang disayangi dan dicintai bakal menjadi teman seumur hidup. Tapi ada perkara yang perlu bakal pengantin lakukan. Kalau boleh, ubahlah perkara ini. Baik lelaki mahupun wanita, persediaan ini penting untuk kehidupan akan datang.
Perhubungan
Anda sudah melalui perhubungan ‘tanpa ikatan’. Ketika itu semua nampak sangat indah namun kehidupan berdua ada plot ‘twist’ tersendiri. Semestinya anda perlu bersedia untuk perhubungan dan komitmen yang lebih jitu. Mana yang suka bergaduh dan ‘minta putus’ tu, kenalah beringat perkara ini ya!
Pendapatan sendiri
Sangat penting untuk mempunyai pendapatan sendiri. Tak kiralah sama ada bekerja makan gaji atau bekerja sendiri. buat wanita khusunya, ini sangat penting kerana ia mengambil kira masa depan anda. Kedudukan kewangan yang kukuh membantu ekonomi keluarga yang lebih baik.
Tinggal Serumah
Jangan cepat melatah! Tinggal serumah bersama teman serumah atau tinggallah secara bersendirian. Gunakan masa yang ada untuk diri sendiri. Jika anda mempunyai teman serumah, berboraklah semahunya kerana selepas bergelas isteri atau suami, tanggungjawab anda adalah kepada keluarga.
Mengembara
Jika anda tidak pernah mengembara, gunakan kesempatan ini untuk ‘melihat’ dunia. Sekalipun tidak boleh ke luar negara, travel di dalam Malaysia pun dah cukup menyeronokkan. Bawa bersama rakan-rakan lain untuk menikmati saat ini bersama.
Hobi
Ciptalah hobi ikut kesukaan anda. Dekorasi rumah, membuat kek atau mungkin belajar menari! Bukan apa, ini adalah waktu terbaik untuk anda mempunyai masa dan ruang tersendiri. Bila kita buat apa yang kita suka, tentulah kita akan lebih gembira. Betul tak?
Berhenti berkongsi
Jangan terlalu terbuka berkongsi kisah cinta anda. Tak perlu hebahkan kepada seluruh dunia apa yang anda miliki sekarang; seorang lelaki atau wanita yang bakal menjadi pasangan hidupmu. Elak menggunakan media sosial untuk hebahkan pada semua.
Cukuplah sekadar berkongsi berita gembira bersama keluarga dan teman rapat. Nanti bila dah ada tarikh unutk pernikahan, silalah beritahu dunia ok!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di Jemput Ke Majlis Perkahwinan Tapi Tidak Hadir? Apa Hukumnya?

Dengan teknologi yang ada pada masa kini semuanya boleh dilihat hanya pada hujung jari sahaja. Termasuklah jemputan perkahwinan. Kalau dulu kita perlu pos kan kad ke rumah satu-satu namun kini ramai orang yang mengambil langkah mudah iaitu dengan menjemput hanya melalui Facebook atau sosial media lain sahaja.
Ya, sememangnya cara sebegini amat mudah, malah kita dapat melihat siapa lagi yang akan menghadiri majlis tersebut. Tetapi, apa hukumnya sekiranya kita dijemput tetapi tidak menghadirinya? Jom baca lebih lanjut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
- Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
- Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i
- Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn Majah (1913)
- Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim (2162)
Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
- Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
- Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
- Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
- Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gaduh-Gaduh Sayang, Penyedap Resipi Bahagia Rumahtangga. Ini 5 Tip Eratkan Cinta Dengan Pasangan

Perkahwinan adalah penyatuan yang paling suci antara lelaki dan wanita, ikatan lafaz cinta yang diungkapkan menjadi penguat sesebuah perhubungan. Namun langit tidaklah selalu cerah, bertikam lidah atau salah faham pasti akan berlaku. Terpulang kepada pasangan bagaimana untuk menangani perkara ini agar masjid yang dibina kekal utuh di dalam rahmat yang maha Esa.
KOMUNIKASI- Ini adalah peraturan yang paling penting dalam sesebuah perhubungan. Selalu mendengar masalah atau apa yang cuba disampaikan oleh pasangan anda. Jangan bersikap ego tinggi kerana tidak mahu kalah, perlu diingatkan bahawa apabila berkahwin hidup bukan lagi hanya tentang anda seorang. Apabila terjadi salah faham cuba selesaikan dengan cara yang baik dan bersikap saling memaafkan.
JUJUR- kejatuhan sesebuah rumahtangga disebabkan hilangnya kejujuran dalam diri. Sikap tulus dan terbuka amat diperlukan dalam melayari bahtera perkahwinan. Jika ada sesuatu perkara yang dilakukan oleh pasangan anda tidak sukai, maka berterus terang dengan mereka jangan dipendam di dalam hati.
MASA BERKUALITI- Luangkan masa yang berkualiti bersama dengan pasangan anda. Tidak semestinya meluangkan masa bersama perlu memakan kos yang banyak dengan melancong atau menginap di hotel-hotel mewah sebaliknya di rumah pun boleh menjadi lokasi terbaik untuk meluangkan masa berkualiti. Sebagai contoh, anda boleh menonton filem bersama-sama ataupun mengadakan makan malam yang romatis di rumah.

JANGAN PERNAH MENJERIT- Tanam sifat hormat di antara satu sama lain. Apabila bertikam lidah, kawal nada suara dan juga perkataan yang keluar daripada mulut anda. Jangan sesekali menjerit antara satu sama lain, kerana ini akan mewujudkan satu tekanan terhadap perhubungan sekaligus menjadikan anda lebih menjauh dengan pasangan. Kadangkala apabila berada dalam keadaan marah, perkara-perkara yang tidak sepatutnya akan terhambur dan akan menyesal selepas itu. Jadi cuba kawal perasaan anda.
BELAJAR BERKOMPROMI- Sikap bertoleransi merupakan satu kunci kebahagiaan. Jangan hanya pentingkan diri sendiri apabila membuat keputusan. Dalam setiap perkara yang anda berdua tidak bersetuju jangan ingat anda perlu selalu menang. Kadangkala mengalah lebih baik dari cuba membuktikan sesuatu. Percayalah dengan berlajar berkompromi, anda akan kenal pasangan dengan lebih mendalam dan kasih sayang akan bertambah erat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

