Berbakat, berkarisma dan bercita-cita tinggi. Semua pakej lengkap yang ada pada Azura Mazaruddin. Anugerah yang ada tidak pernah disia-siakan malah terus digilap agar terus memancarkan gemerlapannya. Menyertai pertandingan rekaan fesyen Anugerah Jarum Berlian dan seterusnya memenangi pertandingan tersebut, Azura berjaya memecah dominasi kaum lelaki dalam bidang seni rekaan fesyen tanah air.
Siapa sangka dalam usia 19 tahun, Azura berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Nyata tahun 2003 telah membawa tuah kepada anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini. Sejak detik itu, bintang anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini terus berkelip terang dalam industri fesyen tempatan setanding dengan pereka-pereka senior yang sedia ada.
“Saya meminati bidang fesyen sejak alam persekolahan lagi. Meskipun saya tidak ada kemahiran menjahit namun saya amat berminat dalam mata pelajaran seni. Ketika di tingkatan lima, saya mengambil subjek pendidikan seni dan lulus dengan baik dalam subjek tersebut.
“Ketika memohon untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya memohon kursus dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen di peringkat Diploma. Usai menamatkan pengajian di peringkat diploma, saya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah pula. Ketika itulah saya menyertai pertandingan Anugerah Jarum Berlian dan memenangi pertandingan tersebut,” cerita Azura membuka lembaran bicara.
INGIN BEBAS BERKARYA
Oleh kerana kecintaan Azura dalam dunia rekaan fesyen selain ingin hidup berdikari, beliau sudah mula menerima tempahan pakaian daripada pelanggan sejak masih menuntut di UiTM. Pernah menaiki kenderaan awam untuk bertemu dengan pelanggan serta bergerak dari rumah ke rumah, Azura tekad untuk serius dalam bidang ini.
“Saya berjaya membeli kereta sendiri dengan wang simpanan hasil daripada tempahan-tempahan tersebut. Dengan adanya kereta sendiri, ia lebih ‘memanjangkan’ lagi langkah saya untuk berurusan dengan pihak pelanggan. Ketika itu saya masih lagi belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Pernah juga saya cuba untuk mereka pakaian korporat namun ia bukanlah ‘jiwa’ saya yang sebenar.
Ads
“Saya gemar berkarya maka saya lebih selesa menumpahkan idea dalam seni rekaan busana pengantin. Selepas setahun bergerak secara mobile akhirnya saya berjaya membuka butik dengan menyewa sebuah rumah. Alhamdulillah tidak lama kemudian saya berjaya membuka sebuah butik di Taman Melawati,” ungkap Azura sambil mengakui sudah lapan tahun beliau beroperasi di butik.
Dengan adanya butik, Azura punya lebih banyak kebebasan untuk melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan. Maka bermulalah jenama di bawah Azura Couture seperti Shellebelle dan juga Mazazitv.
Ditanya tentang resipi kejayaannya dalam mengusahakan bisnes, jawab Azura, sikap degil yang ada pada dirinya telah membuahkan hasil. Di sebalik kelembutan yang terpamer pada riak wajahnya, wanita ini ternyata seorang yang berani.
“Memang saya agak degil namun degil saya bertempat. Apa sahaja perkara yang ingin saya lakukan saya akan rujuk kepada ahli keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa saya terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan dalam apa jua perniagaan pasti ada persaingan. Walau bagaimanapun saya menganggap persaingan itu sebagai sesuatu yang sihat.
“Saya menjadikan pesaing-pesaing saya sebagai satu cabaran untuk mengukur sejauh mana tahap swadaya untuk bersaing. Bagi saya, jika mereka boleh melakukannya dengan baik, saya juga boleh berjaya seperti mereka. Saya mencabar diri saya untuk mencipta kejayaan seperti yang dicapai oleh pesaing-pesaing saya,” jelas Azura yang kini berusia 33 tahun.
Ads
Jelas Azura lagi, beliau banyak mengaplikasikan sikap jujur dalam soal menguruskan perniagaannya. Ia merangkumi semua aspek seperti membina kepercayaan dua hala antara dirinya dengan pelanggan.
“Ketika berurusan dengan para pelanggan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kepercayaan. Jika tidak, mana mungkin kita saling dapat bekerjasama dengan baik. Sikap telus perlu ada dan saya melayan setiap pelanggan sama rata.
“Saya selalu berpesan kepada staf bahawa servis dan layanan kepada pelanggan itu amatlah penting. Saya melatih staf saya untuk belajar cara-cara melayan pelanggan agar pelanggan berasa diri mereka selesa dan dihargai,” jelas Azura yang sering tampil dengan rekaan-rekaan yang elegan, kreatif dan tersendiri.
“Saya mencabar diri saya untuk mencipta kejayaan seperti yang dicapai oleh pesaing-pesaing saya,”
CEREWET KETIKA BEKERJA
Ads
Ibarat isi dengan kuku, begitulah akrabnya cabaran dalam dunia perniagaan. Bagi Azura, setiap tahun, cabaran datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Akui Azura, tahun 2017 lebih kepada cabaran daripada dunia sosial.
“Perkembangan dunia sosial yang berkembang dengan pesat menyebabkan rekaan kami mudah untuk diciplak memandangkan ia tersebar dengan cepat di dalam media sosial. Bohonglah jika tiada perasaan terkilan apabila rekaan saya diciplak. Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu rekaan kerana ia memerlukan daya konsentrasi yang tinggi.
“Selain itu antara cabaran lain yang perlu didepani oleh seorang pereka fesyen ialah apabila rekaan fesyen yang telah diciplak dijual dengan harga yang tidak munasabah. Namun saya percaya masyarakat hari ini bijak membezakan dari sudut harga dan juga kualiti. Kekemasan jahitan serta rekaan kami lebih teliti dan eksklusif,” tutur Azura yang menitikberatkan pemilihan fabrik yang bukan sahaja selesa untuk dipakai tetapi juga mudah digosok, selain tidak mudah berkedut.
Sikap cerewet yang ada pada diri Azura merupakan tunjang kekuatan dalam mengemudikan bisnesnya. Ia bagi memastikan setiap tugasan dilakukan mengikut landasan yang betul terutama daripada segi pengurusan perniagaan dan juga penghasilan rekaan fesyen.
“Fokus itu amat penting untuk mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi. Saya boleh bekerja sehari suntuk tanpa henti hanya untuk mendapatkan karya seni yang terbaik. Rekaan fesyen juga berbeza setiap tahun dan kami cuba hasilkan rekaan yang bersesuaian dengan pemakai.
“Selalunya rekaan yang dihasilkan mampu ‘dibawa’ dengan baik oleh pelanggan. Saya mahu pelanggan kelihatan cantik apabila memperagakan rekaan busana berlabelkan Azura Couture,” akhiri Azura yang sedang merancang membina laman web sendiri bagi memudahkan urusan jual beli agar ia lebih cepat dan efisien terutamanya untuk koleksi ready to wear dari Shellebelle.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkara penting yang perlu dibuat oleh bakal pengantin sebaik sahaja telah menetapkan majlis perkahwinan ialah memilih pakej perkahwinan yang terbaik mengikut kemampuan. Tentulah korang mahukan yang terbaik bukan?
Jangan terburu-buru memilih pakej perkahwinan gara-gara ditawarkan harga yang rendah. Semak dahulu apa yang ditawarkan sebelum bersetuju memilih pakej tersebut. Dapatkan juga nasihat daripada ahli keluarga dan juga rakan-rakan.
Buatlah pilihan yang tepat dan buat perbandingan sebelum membuat keputusan.
1.Cari maklumat dan buat rujukan- sebelum membuat survey sebaiknya pengantin sudah mempunyai pengetahuan tentang apa yang diperlukan semasa majlis perkahwinan. Anda boleh mendapat maklumat dengan berkunjung ke pameran pengantin, majalah , internet, saudara mara dan kenalan.
2.Tengok kualiti pakej yang ditawarkan- Penting untuk anda melihat kualiti, apakah wang yang dilaburkan setimpal dengan pakej yang ditawarkan.
3.Pilih ikut kemampuan walaupun cantik tetapi mahal, jangan sampai pembaziran di kemudian hari. Masih ada pakej yang sederhana dan cantik serta berkualiti yang boleh bakal pengantin pilih.
4.Pastikan butik tersebut berpengalaman dalam bidang perkahwinan dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
5.Jangan buat bayaran pada orang tengah, bayar sendiri di butik dan dapatkan bukti pembayaran bagi mengelak dari tertipu.
6.Elak dari membuat tempahan pakej dengan butik yang jauh dari tempat tinggal anda terutama yang melibatkan pelamin, khemah dan katering. Ia bagi mengelakkan dari sebarang masalah yang tidak diingini seperti kelewatan dan sebagainya.
7.Pastikan rekaan pelamin dan baju dari butik itu sendiri kerana ada juga butik yang mengambil dari butik lain. Ini bagi memastikan baju dan pelamin dapat disiapkan seperti masa yang dijanjikan.
Bulan Ramadan ni berpusu-pusu orang mengerjakan ibadat sunat terutamanya solat sunat tarawih. Apa saja yang boleh menambahkan pahala, itulah yang akan kita kejar termasuklah bersedekah.
Meriah rumah anak-anak yatim menerima kunjungan dari para dermawan yang menghantar makanan, barangan keperluan dan tak lupa juga yang menghulurkan wang. Apabila kita bersedekah sebenarnya kita melipatgandakan lagi rezeki yang ada. Tak percaya? Dengar apa kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ini…
Antara yang paling murah rezeki adalah Sheikh Tahir al-Baghdadi. Apa yang dipesannya unutk sentiasa murah rezeki ada tiga perkara iaitu:
Jangan tinggal membaca surah al-Waqiah setiap malam
Jangan tinggal solat sunat Dhuha
Jangan tinggal amalan bersedekah
Menurut Ustaz Tuan Ibrahim lagi, di dalam hadis Nabi mengatakan barangsiapa membaca surah al-Waqiah pada malam hari dijamin rezeki oleh Allah pada keesokkan harinya. Namun jika di antara ketiga-tiga amalan ini sukar dilakukan, jangan sesekali tinggalkan amalan bersedekah.
Pesan Ustaz Tuan Ibrahim, ada 3 perkara lagi yang sangat digalakkan untuk menambahkan rezeki iaitu:
Jangan tinggal sedekah. Allah menyebut di dalam al-Quran, kamu tidak akan masuk di dalam golongan orang yang membuat kebaikan sehingga kamu memberi benda yang kamu sayang.
Jangan tinggal membaca al-Quran. Jika terlalu susah untuk baca al-Quran atau tidak pandai, cukuplah sekadar mendengar, sekurang-kurangnya dapat mengambil keberkatan. Jangan tinggal satu hari pun tanpa membaca atau mendengat al-Quran.
Jangan berllau satu hari pun tanpa menambahkan ilmu yang mendekatkan kita dengan Allah.
Jadi pilihan di tangan anda. Jika mahu rezeki sentiasa mencurah-curah, boleh selitkan nasihat dari Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam rutin harian.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas akad nikah, maka akan bermulalah kehidupan baru anda sebagai suami dan isteri. Anda akan tahu semua benda tentang pasangan anda, begitu juga dengan si dia. Hakikatnya, ia tidak sama seperti zaman percintaan anda dan dia dahulu.
Kadang-kadang ada pasangan yang masih rasa susah nak sesuaikan diri dengan keadaan ini. Mungkin dengan 8 tips ini mampu untuk membantu anda untuk sesuaikan diri hidup dengan pasangan buat pertama kali.
1) Terima pasangan seadanya
Kalau sebelum kahwin dulu mesti banyak perangai buruk yang disembunyikan. Tapi sekarang bila dah kahwin, anda sendiri akan nampak kekurangan pasangan anda. Tak bolehlah nak harap dia jadi seorang yang sempurna.
2) Jangan bergaduh perkara yang remeh
Disebabkan hal kecil sampai kecoh satu rumah. Apa salahnya cakap elok-elok atau minta tolong. Kan mudah, jadi tak perlu besarkan perkara yang kecil tu.
3) Suarakan pendapat anda
Jika anda tak suka dengan tabiat si dia sampai betul-betul buat anda rasa marah, beritahu padanya. Ada benda yang tak boleh dibiarkan lama-lama kerana ia akan merosakkan hubungan anda.
4) Belajar untuk ucap ‘maaf’
Kalau anda ada buat salah sama ada sedar atau tidak, ringan-ringankan mulut dengan perkataan maaf. Tak salah pun, sebaliknya pasangan kita akan merasa tenang dengan ucapan itu. Mungkin dalam diam anda sendiri tak tahu yang anda telah melukakan hatinya.
5) Belajar jadi satu pasukan
Dalam kehidupan berumah tangga perlunya ada kerjasama antara anda berdua. Bila anda jadi satu pasukan, anda akan bekerjasa untuk memastikan matlamat perkahwinan tercapai.
6) Muhasabah diri
Kalau anda rasa pasangan anda suka menyakitkan hati anda, cuba muhasabah diri dan bertenang. Semak semula apa tabiat anda sebenarnya sampai ia boleh menyakitkan hati pasangan anda.
7) Luangkan waktu bersama
Setelah penat kerja seharian, apa kata ambil waktu dirumah itu untuk luangkan bersama pasangan. Ini adalah satu-satu cara untuk mengukuhkan hubungan anda dan mewujudkan suasana yang mengeratkan lagi hubungan anda.
8) Letak garis panduan
Kalau anda tinggal bersama keluarga atau mentua, letakkan garis panduan untuk memastikan anda masih boleh sesuaikan diri sebagai suami isteri tanpa pengaruh dari keluarga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!