Dengan teknologi yang ada pada masa kini semuanya boleh dilihat hanya pada hujung jari sahaja. Termasuklah jemputan perkahwinan. Kalau dulu kita perlu pos kan kad ke rumah satu-satu namun kini ramai orang yang mengambil langkah mudah iaitu dengan menjemput hanya melalui Facebook atau sosial media lain sahaja.
Ya, sememangnya cara sebegini amat mudah, malah kita dapat melihat siapa lagi yang akan menghadiri majlis tersebut. Tetapi, apa hukumnya sekiranya kita dijemput tetapi tidak menghadirinya? Jom baca lebih lanjut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
Ads
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i
Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn Majah (1913)
Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim (2162)
Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ads
Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Ads
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bab ni, kalau anda bertuah, mungkin anda di soal. Kalau tak, tidaklah. Tapi sebelum apa-apa pon, persediaan itu penting. Ini antara soalan & jawapan yang berpotensi ditanya masa hantar boring nikah.
Soalan yang ditanya masa interview untuk hantar borang nikah:
Ucap dua kalimah syahadah beserta maknanya sekali.
Baca Surah Al-Fatihah
Baca doa qunut
Apa yang awak tahu tentang munakahat? Sebutkan rukun nikah?
Apa itu thaharah? Hadas ada berapa jenis? Najis ada berapa jenis? Bila kena mandi wajib?
Tanggungjawab suami/Isteri.
Taharah?
Bersihkan diri, pakaian, tempat tinggal, dan lain lain daripada kotoran @ najis
Hari ini sudah masuk hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan buat seluruh rakyat Malaysia disebabkan peningkatan jumlah kes wabak COVID-19. Namun, masih ramai rakyat Malaysia yang ingkar dan tidak mendengar arahan yang dikeluarkan. Walhal, apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan bersama.
Seluruh rakyat Malaysia tidak digalakkan untuk pulang ke kampung dan disaran agar menetap di mana sahaja mereka berada agar virus itu tidak tersebar ke tempat lain. Melainkan jika anda betul-betul ada hal penting atau kecemasan yang tidak boleh dielakkan, barulah boleh pulang ke kampung.
Antara individu yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini tentulah pasangan yang tinggal berjauhan (PJJ) kerana mereka tidak berpeluang untuk bertemu orang tersayang walaupun sedang cuti di rumah. Kebiasaannya, waktu cuti akan digunakan untuk menghabiskan masa dengan yang tersayang tetapi kali ini, lain situasinya.
Jangan bersedih. Walaupun tidak dapat bertemu untuk 14 hari ini, masih ada pelbagai cara untuk kalian melepaskan rindu.
1. Sentiasa Berhubung
Teruskan berhubung dengan pasangan kerana hanya ini cara yang ada untuk anda kekal update tentang kehidupan masing-masing. Selain panggilan telefon, anda juga buat video call menerusi Skype, FaceTime atau sebagainya. Ini bukti yang anda sememangnya rindukan dia. Namun, jangan lakukan secara terpaksa dan pastikan anda sentiasa ada setiap kali dia mahu berkongsi cerita. Jarak waktu dan masa bukan lagi satu masalah sekarang. Pelbagai medium boleh digunakan untuk berhubung.
2. Ekspresikan Perasaan Buat Si Dia
Ketika berjauhan, jangan lupa luahkan perasaan sayang dan rindu anda kepada si dia. Namun, luahkan perasaan anda dengan kata dan ayat yang betul kepada pasangan masing-masing. Boleh juga hantar kiriman kata-kata cinta menerusi e-mel berserta lagu yang menggambarkan perasaan anda ketika ini. Tentu si dia rasa dihargai dan disayangi.
3. Buat Aktiviti Bersama-Sama
Walaupun anda berada di lokasi yang berbeza, anda masih boleh melakukan aktiviti bersama-sama. Contohnya, bermain game online, menonton YouTube atau beriadah di luar sambil membuat panggilan video. Selain itu, anda juga boleh membeli-belah menerusi online bersama-sama. Dengan teknologi yang ada sekarang, tak susah untuk anda jadi lebih kreatif dalam perhubungan.
4. Luaskan Topik Perbualan
Takkan asyik nak borak benda yang sama je kan? Asyik tanya soalan, “sayang buat apa? makan apa tadi?”. Bosan ya guys kalau asyik tanya soalan sama je. Cubalah beri cadangan kepada pasangan untuk buat perkara yang anda berdua minat. Contohnya, jika anda berdua suka menonton drama Korea, cadangkanlah kepada pasangan untuk menonton drama menarik yang pasti dia sukai. Pasti anda berdua akan ada lebih banyak topik untuk dibincangkan.
5. Rancang Masa Depan
Semasa berkomunikasi jarak jauh, berbincanglah tentang perancangan masa depan bersama. Perancangan untuk beli rumah, untuk mendapatkan zuriat atau sebagainya. Senaraikan juga perkara yang ingin anda lakukan apabila dapat peluang untuk berjumpa.
PESONA PENGANTIN: Ingat ya semua, jangan pentingkan diri sendiri dan ikutlah arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan. Ya, memang rindu bila dah lama tak jumpa suami atau isteri kita tetapi mencegah lebih baik. Takut nanti anda sebenarnya menyebarkan virus kepada pasangan. Lagi teruk kan? So, jumpa menerusi video call sahajalah ya!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semasa hamil, keperluan harian wanita untuk nutrien tertentu, seperti asid folik, kalsium, dan zat besi akan meningkat. Vitamin dan mineral ini adalah penting untuk pertumbuhan, perkembangan, dan kehidupan janin yang sihat.
Untuk membantu mewujudkan persekitaran berkhasiat bagi tumbesaran janin, adalah penting bahawa anda mendapatkan diet dan seimbang sebelum dan semasa anda hamil. Jika anda memilih untuk menambah diet anda dengan vitamin prenatal, tentukan dengan teliti jumlah harian yang anda perlu ambil kerana anda tidak mahu terkurang atau terlebih dos.
Vitamin Prenatal terdiri daripada pelbagai vitamin dan mineral yang membantu anda bayi mendapatkan nutrien yang penting untuk perkembangan bayi yang sihat. Kandungan vitamin prenatal boleh berbeza-beza bergantung keadaan keadaan atau masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, terdapat multivitamin yang mempunyai jumlah zat besi yang lebih tinggi daripada biasa, mensasarkan wanita yang mengalami anemia akibat kekurangan zat besi.
Walaupun Vitamin prenatal tertentu hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor, banyak juga yang boleh di beli di farmasi biasa. Pastikan doktor anda diberitahu tentang sebarang vitamin sintetik yang anda ambil kerana pengambilan terlalu banyak boleh memberikan risiko terhadap janin yang sedang membesar.
Anda disyorkan untuk anda mengambil:
10 mikrogram vitamin D setiap hari sepanjang kehamilan anda dan jika anda menyusukan badan.
400 mikrogram asid folik setiap hari – anda perlu mengambil vitamin ini dari sebelum anda hamil lagi sehingga anda 12 minggu kehamilan.
Elakkan daripada mengambil vitamin lain secara individu sebagai contoh Vitamin A, B (selain dari asid folik) atau E kerana kebimbangan kearah terlebih dos atau overdosing kerana ancaman toksin terhadap janin. Ambil dalam dos yang disarankan kecuali diarahkan oleh doktor.
Jika anda mengambil diet yang seimbang dan lebih kepada buah-buahan dan sayuran, anda tidak perlu mengambil vitamin tambahan kerana anda mungkin sudah pun mempunyai vitamin dan mineral yang mencukupi di dalam badan anda.
Jenis Vitamin dan Mineral
Asid Folik
Asid folik adalah penting untuk kehamilan kerana ia boleh membantu mencegah kecacatan kelahiran dikenali sebagai kecacatan tiub neural, seperti spina bifida. Anda perlu mengambil 400 mikrogram asid folik setiap hari semasa anda cuba untuk hamil dan sehingga anda 12 minggu mengandung. Jika anda tidak mengambil asid folik sebelum anda hamil, anda perlu bermula sebaik sahaja anda mengetahui bahawa anda hamil. Anda juga dinasihat memakan makanan yang mengandungi folat (bentuk semula jadi asid folik), seperti sayur-sayuran berdaun hijau.
Bila perlu mengambil asid folik yang lebih tinggi
Bagi wanita yang mempunyai peningkatan risiko untuk mendapat kecacatan tiub neural, adalah dinasihatkan untuk mengambil dos yang lebih tinggi sebanyak 5 miligram (5mg) asid folik setiap hari sehingga kandungan mencapai 12 minggu. Wanita mempunyai risiko yang tinggi jika mereka:
atau pasangan mereka mempunyai kecacatan tiub neural
mempunyai anak yang ada kecacatan tiub neural
atau pasangan mereka mempunyai sejarah keluarga kecacatan tiub neural
mempunyai kencing manis
Mereka yang mengambil ubat anti-epileptik
Vitamin D
Vitamin D mengawal jumlah kalsium dan fosfat dalam badan, ini adalah diperlukan untuk memastikan tulang dan gigi yang sihat. Anda perlu mengambil vitamin D semasa hamil dan semasa menyusu badan untuk pastikan bayi anda dengan cukup vitamin D untuk beberapa bulan pertama usianya.
Bayi yang tidak mempunyai cukup vitamin D boleh menyebabkan tulang mereka menjadi lembut dan boleh membawa kepada penyakit riket (penyakit yang menjejaskan perkembangan tulang pada kanak-kanak ).
Vitamin D boleh didapati secara semulajadi dalam ikan berminyak seperti salmon, ikan kembung dan sardin, telur dan daging. Sesetengah produk bijirin sarapan, soya, produk tenusu, susu tepung dan marjerin juga diperkayakan dengan vitamin D tambahan. Sumber terbaik vitamin D adalah cahaya matahari yang diserap melalui kulit anda tetapi anda tidak perlu untuk berjemur untuk mendapatkannya.
Vitamin C
Vitamin C melindungi sel-sel dan membantu memastikan mereka yang sihat. Diet yang seimbang yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran, termasuk brokoli, buah-buahan sitrus, tomato, cili, dan buahan tropika boleh menyediakan semua vitamin C yang anda perlukan dan anda tidak perlu mengambil supplemen tambahan.
Zat Besi
Jika anda kekurangan zat besi, anda mungkin menjadi cepat letih dan mengalami anemia. Daging tanpa lemak, sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan kering, dan kacang tanah banyak mengandungi zat besi. Bijirin sarapan juga banyak diperkayakan dengan zat besi. Anda mungkin akan dinasihat mengambil pil zat besi sekiranya anda kekurangan hemoglobin.
Kalsium
Kalsium adalah penting untuk membuat tulang dan gigi bayi anda. Produk tenusu dan ikan sangat kaya dengan kalsium. Bijirin sarapan, buah-buahan kering aprikot, badam dan sebarang produk tauhu dan sayur-sayuran berdaun hijau seperti kangkong, bayam dan brokoli mempunyai sumber kalsium yang tinggi. Anda juga disarankan mengambil pil kalsium 1000 mg setiap hari sekiranya anda hamil atau menyusukan badan untuk perkembangan tulang yang sihat pada bayi dan anda sendiri.
Apa yang yang anda tidak perlu makan
Vitamin yang diambil secara individu seperti Vitamin B kompleks ( selain dari asid folik) atau Vitamin E kecuali dengan arahan doktor. Sebarang vitamin yang diambil secara berlebihan boleh membahayakan janin. Ambil dalam bentuk Tablet MULTIVITAMIN kerana ia mengandungi kuantiti yang lebih kecil jadi risiko overdosing menjadi kurang.
Apa yang anda dilarang makan
Jangan sesekali mengambil Vitamin A tambahan atau mana-mana supplement tambahan yang mengandungi Vitamin A (retinol). Vitamin A yang terlalu banyak sudah terbukti toksik pada janin. Elak dari memakan organ hati kerana ia mengandungi Vitamin A berlebihan. Sekiranya anda mengalami masalah jerawat dan sedang mengambil Vitamin A berdos tinggi sebagai rawatan, hentikan pengambilan serta merta sebaik sahaja anda disahkan hamil.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!