
Zaman sekarang, pekerjaan sesorang menjadi titik utama menilai seseorang. Walhal nilai tanggung jawab, budi bahasa semua lebih penting dalam membentuk sesebuah keluarga. Wanita ini kongsi walaupun suami nya kerja kilang tapi Alhamdulillah, aturan Allah itu lebih cantik dan indah.
Kredit : Twitter Katyylulu
Ikut Situasi, Apa Suami Faham Tak Sama Dengan Apa Isteri Faham

Ini adalah sebagai salah satu usaha bagi mengurangkan tekanan dari kedua-dua belah pihak, suami dan isteri, melalui artikel ini, kami cuba memberikan fokus kepada kepentingan memahami perbezaan sifat lelaki dan wanita. Fikiran dan kehendak seorang lelaki dan wanita ada yang sama dan yang berbeza. Apabila tidak memahami perkara yang berbeza, ia akan sangat mudah mencetus sangka buruk, rasa disisih dan sebagainya.

FUNGSI RUMAHTANGGA
Dalam kesempatan yang amat terbatas ini, saya akan membawakan empat isu terlebih dahulu, sekadar mencuba-cuba memberi sedikit pembuka minda buat insan yang bergelar suami dan isteri dalam melayari rumah tangga mereka. Agar kita semua mampu menepati objektif sebuah rumahtangga yang digariskan oleh Allah swt iaitu :-
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Ertinya : Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasanganmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ( Al-Rum : 21)
Berdasarkan rujukan huraian para ulama silam di dalam kitab-kitab tafsir, dapat disimpulkan dari ayat di atas, antara fungsi rumahtangga yang MESTI diusahakan oleh kedua-dua pasangan adalah untuk menjadikannya sebagai :-
1) Litaskunu Ilayha
Tempat merasa tenteram, kerehatan dan ketenangan. Faktor terkuat untuk menghasilkan aspek ini adalah individu di dalam rumah itu sendiri. Walau rumah sebesar dan sehebat mana pun binaannya, tanpa ahli rumah yang berkualiti, rumah tetap tidak mampu menghilangkan masalah.
2) Mawaddah wa rahmah
Tempat emosi dan perasaan belas, kasih sayang dan cinta dipupuk. Maka adalah tanggungjawab pasangan untuk sentiasa memperbaharui kasih dan sayang mereka di antara satu sama lain. Itulah salah satu huraian yang diberikan oleh Sahabat Nabi, Ibn Abbas r.a apabila beliau berkata :
المودة حب الرجل امرأته
Ertinya : Mawaddah itu adalah kasihnya seorang suami terhadap isterinya ( Tafsir Al-Qurtubi) Justeru mempelajari caranya juga merupakan satu tuntutan, menzahirkannya kepada pasangan juga merupakan sebuah tuntutan.
Saling ambil berat atas kebajikan, perasaan, kerungsingan. Tabiat natural manusia cenderung kepada keinginan seseorang untuk mengambil berat tentang dirinya. Justeru, ini adalah antara item penting yang mesti diwujudkan di dalam sebuah rumahtangga. Wajib ke atas kedua-duanya, suami terhadap isteri dan begitu juga sebaliknya. Sahabat nabi, Ibn Abbas r.a menjelaskan
الرحمة رحمته إياها أن يصيبها بسوء
Ertinya : Al-Rahmah itu adalah belasnya dan ambil tahunya seorang lelaki ke atas isterinya apabila dia ditimpa kesusahan dan keburukan. ( tafsir Al-Qurtubi)
Imam Ibn Abbas r.a dan Mujahid pernah menerangkan bahawa Mawaddah bermaksud Jima' manakala rahmah itu adalah anak. Hasilnya, nafqah batin dan kepuasan suami isteri melaluinya adalah crucial di dalam sebuah rumahtangga. Kehadiran anak pula juga merupakan satu objektif perkahwinan yang dibanggai Rasulullah. Namun bagi yang belum mendapat rezeki itu, banyakkan berdoa dan teruskan usaha.

Dia duduk di depan TV sedangkan aku buat segalanya, aku bukan maid.
Lelaki
Wanita sekadar meluah kepanikannya terhadap sekeliling, dia sebenarnya perlukan teman ketika mengemas agar hati gembira, badan sihat.
Bantulah sekadarnya atau yakinkan isteri untuk berehat terlebih dahulu, namun perlu ajaknya sekali dan jangan terus berehat sendirian & membiarkannya bekerja.
Sekali sekala, buat kejutan dengan mengemas seluruh rumah bersih secara mengejut (i.e basuh baju, sidai, basuh pinggan dsbgnya).
Wanita
Lelaki akan memberi seribu satu macam justifikasi untuk berehat. Fahamilah kerehatan mampu memberi kestabilan minda dan tubuh kepada diri suami, mengurangkan risiko marah tidak bertempat. Bukankah ia baik untuk isteri dan anak-anak?
Justeru, buatlah apa yang disukai dahulu & itulah tanda lelaki ingin merasakan rumah sebagai tempat berehat & bertenang.
Adakalanya dia juga tidak ingin menganggu kepakaranmu, dibimbangi menjadi beban kerana ketidaksempurnaan kerjanya. Itu boleh jua menjadi tanda kasihnya kepadamu.
Bila aku bercakap kepadanya, dia sering menganggu atau memberi penyelesaian
Lelaki
Fahamilah, bahawa wanita dalam banyak kebarangkalian dan keadaan, mereka bercerita masalahnya sekadar untuk melepas bebanan dan bukan mencari penyelesaian segera. Justeru, jadilah pendengar yang baik.
Dia juga suka bercakap masalahnya bagi meraih simpati dan kasih suami terhadapnya. Tunjukkan simpati. Namun cuba elak buat sementara sebarang penyelesaian melalui lafaz, dan banyakkan response melalui sentuhan.
Wanita
Lelaki kerap ingin menjadi hero dan juara dalam bidangnya, khususnya di hadapan wanita. Kerana itu dia sering menyampuk sebagai tanda ambil seriusnya dia terhadap masalahmu dan ingin segera menyelesaikannya.
Respons dan berterusan dengan wajah kurang senang selepas cadangannya dibuat akan boleh disalah tanggap sebagai merendahkan kewibawaannya.

Bila dia bercakap, terus menerus dan langsung tidak berminat untuk mendengarku bercakap. Tak pandang kita pun."
Lelaki
Wanita lebih rasa dihargai apabila kita melihat dengan tepat ke matanya dan menunjukkan reaksi wajah. Justeru, walau rasa kurang selesa dengan cara itu, ambillah hatinya.
Wanita
Sebahagian lelaki tidak suka memandang tepat di wajah isteri khususnya apabila isteri membangkitkan masalah dalam rumahtangga mereka. Kerana setiap ungkitan itu dianggap mencabar wibawa dan egonya. Justeru fahamilah jika dia senyap semasa anda bercakap dan memberikan luahan, itu sudah memadai sebagai tanda dia mendengar dan berfikir walau dia tidak memandang mata dan wajahmu. Lelaki juga adakalanya tidak suka berada dlm suasana perbincangan terlalu serius di rumah yang dianggapnya tempat merasa rehat dan bertenang. Tidak mahu ia menjadi seperti pejabat. Dia akan mendengar cuma tidak mahu dianggap seperti meeting rasmi di pejabat.
Dia langsung tidak lagi sedar penampilanku, adakah melampau untuk aku harapkan penghargaan sekali sekala terutama di hari istimewa.
Lelaki
Wanita tidak seperti lelaki yang cukup dengan hanya sekali pujian, khususnya berkaitan penampilan dirinya. Lebih kerap mereka dipuji, lebih terasa mereka berharga di mata suami. Sentiasa ringankan mulut memuji. Adalah difahami salah satu tabiat lelaki bosan mengulangi pujian kepada perkara yang telah diperolehinya (namun sebelum memperolehinya, dia memang pemurah dengan puji-pujian).Justeru bagi mengelakkan kebosanan menjengah, pelbagaikan cara, sama ada pujian & penghargaan melalui tulisan, rakaman, sentuhan dan hadiah. Isteri memang emosi bab ini, kerana sifat wanita akan merasa terancam dan bimbang apabila si suami sering didedahkan dengan wanita di luar rumah dan di TV yang dirasakan melebihi penampilan dirinya. Justeru, penghargaan lelaki adalah perlu baginya untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.
Wanita
Suami biasanya memang kerap memuji isteri tetapi pujiannya kerap di dalam hati tanpa suara dan lafaz. Namun jangan dianggap tiada lafaz itu bermakna tiada penghargaan. Tanda penghargaan suami adalah tungkus lumusnya bekerja mencari nafqah dan menyediakan keperluan zahir dan batin isteri. Sebahagian dari tabiat suami adalah menganggap nafqah pujian, penghargaan sebagai sampingan. Fahami sikap mereka itu nescaya stress boleh dikurangkan. Jangan bimbang, tidak semua suami melihat penampilan dan tubuh sebagai aset penting isteri. Justeru, jika merasakan diri 'kurang perform' di bahagian itu, tingkatkan prestasi di bidang lain yang boleh dihargai oleh suami.
sumber : http://zaharuddin.net/
gambar hiasan : Tangkap Pictures
Tak Salah Kongsi Duit Hantaran Sama-Sama, Bukan Tugas Lelaki Seorang Tanggung Segalanya



Nak menyenangkan, buatlah satu majlis sederhana. Tak payahlah nak turutkan sangat,
Padahal cuci pinggan, kemas rumah pun kau nak berperang komen dengan lelaki. Hah, adat elok begini tak nak ikut pula.
Nanti ada yang komen,
Aduhai perempuan, kalau nak buat besar tetapi bakal suami kau tak mampu, then kongsilah duit. Tak pun, pujuklah keluarga untuk buat kecil-kecilan. Ada yang boleh pujuk, ada yang tidak. Tetapi pokok pangkalnya berusaha.
‘Ringan-Ringan’ Dengan Isteri Di Bulan Puasa. Boleh Atau Sebaliknya?

Di antara persoalan yang sering diajukan berkenaan puasa adalah hukum-hakam yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami dan isteri di siang hari bulan Ramadhan. Di dalam Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadan kali ini kami akan kongsikan beberapa permasalahan yang berkaitan isu tersebut.
Hukum Bercumbuan Dan Bermesraan Semasa Berpuasa
Kata Saidatuna Ummul Mukminin A’isyah R.anha:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium salah seorang dari isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.
Riwayat Muslim (1106)
Di dalam riwayat yang lain, Saidatuna A’isyah R.anha mengatakan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).
Riwayat Abu Daud (2382)
Berdasarkan kedua-dua hadis yang sahih di atas, dapatlah kita ketahui bahawasanya baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.
Manakala pendapat dalam mazhab al-Imam al-Syafie adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi berikut:
Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.
Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/355).
Seperkara yang perlu kami nyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saiduna Umar Ibn al-Khattab beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ قَالَ أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ
Maksudnya: Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium dalam keadaan aku berpuasa. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa ?
Riwayat Abu Daud (2385)
Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Baginda S.A.W mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/321).
Hukum Persetubuhan Di Siang Hari Bulan Ramadhan
Bersama dengan pasangan di siang hari bulan Ramadhan adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم
Maksudnya: Telah di halalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian.
Surah al-Baqarah (187)
Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul feqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan.
Maka apabila Allah mengatakan telah halal bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala yang difahami dari ayat ini (mafhum) adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.
Kesan Bagi Sesiapa Yang Bersetubuh Di Siang Hari Ramadhan
Sesiapa yang bersama dengan pasangannya di siang hari bulan Ramadhan, maka kesan dari perbuatan tersebut adalah:
Pertama: Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ
Maksudnya: Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.
Riwayat Ibn Majah (1671)
Kedua: Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):
Membebaskan seorang hamba.
Berpuasa dua bulan berturut-turut.
Memberi makan kepada 60 orang miskin.
Ini adalah berdasarkan kisah seorang arab badwi yang datang menemui Rasulullah S.A.W sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah yang berikut:
أَتَى النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ رَجُلٌ فَقَالَ هَلَكْتُ . قَالَ ” وَمَا أَهْلَكَكَ ” . قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ . فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ” أَعْتِقْ رَقَبَةً ” . قَالَ لاَ أَجِدُهَا . قَالَ ” صُمْ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ” . قَالَ لاَ أُطِيقُ . قَالَ ” أَطْعِمْ سِتِّينَ مِسْكِينًا ” . قَالَ لاَ أَجِدُ
Maksudnya: Seorang lelaki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu dia mengatakan: “Aku telah binasa”. Lalu Rasulullah berkata: “Apa yang menyebabkan kamu binasa ?”. Maka lelaki itu menjawab: “Aku telah bersama dengan isteriku pada bulan Ramadhan”. Maka Nabi S.A.W bersabda: “Bebaskanlah seorang hamba”. Lelaki itu menjawab: “Aku tidak memilikinya”. Baginda bersabda lagi: “Puasalah selama dua bulan berturut-turut”. Lalu lelaki itu mengatakan: “Aku tidak mampu”. Kata Baginda lagi: “Berilah makan kepada 60 orang miskin”. Maka jawab lelaki itu: “Aku tidak memiliki sesuatu untuk diberi makan”.
Riwayat al-Bukhari (1936)
Adakah Beronani Membatalkan Puasa ?
Jumhur ulama mazhab yang empat mengatakan bahawa perbuatan beronani atau mengeluarkan mani dengan sengaja itu membatalkan puasa. Inilah juga yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah. Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/356).
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anhu yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
Maksudnya: Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.
Riwayat al-Bukhari (1894)
Sebagaimana makan dan minum membatalkan puasa, begitulah juga perbuatan seseorang yang mendatangi syahwatnya dengan cara beronani turut membatalkan puasa.
Demikian juga kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya kami telah sebutkan bahawasanya seorang lelaki itu apabila dia mengeluarkan air mani dengan sengaja maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/342).
Keluar Mani Secara Tidak Sengaja Membatalkan Puasa ?
Dalam beberapa keadaan, boleh jadi seseorang lelaki itu keluar air maninya selain dari sebab mencium dan bermesraan dengan isteri.
Di dalam kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, penulisnya menyebut tentang dua keadaan keluar air mani tetapi tidak membatalkan puasa:
Jika seseorang lelaki memandang, talazzuz (bersedap-sedap), lalu terkeluar air mani maka itu tidak membatalkan puasa.
Jika seseorang bermimpi di siang hari bulan puasa lalu terkeluar air maninya maka itu juga tidak membatalkan puasa.
Kedua-dua ini tidak membatalkan puasa kerana terpancutnya air mani itu bukan disebabkan oleh mubasyarah (dengan usaha). Inilah pendapat yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (6/321).
Penutup
Akhir kalam, semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami isu ini. Ameen.
Akhukum Fillah
S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
23 JUN 2016 BERSAMAAN 18 RAMADHAN 1437 H