Pasangan yang menjalinkan hubungan cinta pasti ingin mengakhiri kisah tersebut dengan pertalian yang sah. Janji setia untuk hidup bersama menjadi paksi dalam perhubungan yang dibina. Namun, adakah anda sedar jika hubungan tersebut tidak dijaga dengan baik, ia boleh berentakan dan terputus di tengah jalan.
Setiap pasangan harus menjaga hubungan yang dibina untuk memastikan ia mekar mewangi buat selamanya. Jauhi perkara yang boleh merosakkan hubungan sekali gus membuatkan ikatan yang diimpikan berentakan begitu saja.
Jom kita lihat 7 sebab dan kesilapan yang boleh membuatkan jalinan cinta retak seribu.
1. MENIPU PASANGAN
Ads
Kata-kata manis ibarat madu namun bertukar menjadi pahit, berselindung di sebalik penipuan yang menjadi racun dalam perhubungan. Perhubungan yang jujur dan ikhlas tidak sepatutnya dicemari dengan penipuan. Jika tiada lagi perasaan sayang atau sudah mempunyai teman lain maka penyelesaian yang terbaik ialah berterus-terang. Jangan bertangguh kerana ini akan mendorong kepada penipuan yang berterusan.
2. CEMBURU BUTA
Apabila terbit perasaan sayang maka perasaan cemburu juga timbul apatah lagi bila melihat lelaki yang anda puja bersama dengan wanita lain. Selidik dulu siapakah wanita itu? Cemburu yang membabi buta boleh merosakkan perhubungan. Cemburu itu sememangnya tidak salah tapi biarlah kena pada tempat dan keadaannya. Jalan terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersikap terbuka dan jujur dalam perhubungan agar tidak timbul sebarang syak wasangka.
3. CUBA MENGUBAH
Si Dia Apabila anda diterima sebagai kekasih atau suri hidupnya, itu tidak bermakna yang anda juga boleh mengubah si dia. Tindakan anda yang cuba mengubah si dia dianggap menjengkelkan dan manipulatif. Malah ia juga mendorong kepada kekecewaan. Justeru, elak daripada menjadi queen control kerana ia boleh merosakkan perhubungan sebaliknya hargailah nilai kebebasan. Terimalah dia sebagaimana dia menerima anda seadanya.
Ads
4.MELETAKKAN SEMUA KESALAHAN PADA SI DIA
Pernahkah anda berada di dalam situasi yang mana semua kesalahan dicampakkan kepada anda? Bagaimana sakitnya hati diperlekehkan begitu jugalah perasaan yang dialami si dia apabila diletakkan semua kesalahan di bahunya. Anda langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Tekanan yang anda berikan pada si dia mengundang keburukan yang akhirnya membawa kepada keretakan dalam perhubungan.
5. LUPAKAN BEKAS KEKASIH
Selagi anda tidak dapat melupakan bekas kekasih selagi itulah anda tidak boleh memulakan perhubungan baru. Banyak masalah akan timbul sekiranya anda terjebak dalam perhubungan baru. Ingatan anda yang masih kuat pada bekas kekasih menyebabkan anda membandingkan si dia dengan bekas kekasih. Tindakan ini boleh membuat si dia terluka dan menjejaskan perhubungan yang baru dibina.
Ads
6. KOMUNIKASI YANG LEMAH
Kelemahan berkomunikasi merupakan isu yang kerap berlaku dalam kehancuran perhubungan. Fenomena ini terjadi disebabkan minat dan kepentingan berbeza. Hindarkan kewujudan sempadan ataupun rintangan dalam perhubungan. Komunikasi mengeratkan perhubungan antara anda dan si dia. Berkongsilah pengalaman, idea dan apa jua penceritaan yang boleh menarik minat kedua-dua
belah pihak.
7. TERLALU AWAL MENCURAHKAN CINTA
Perhubungan baru memerlukan masa untuk bercambah dengan mekar. Namun salah satu kesilapan anda ialah terlalu awal mencurahkan perasaan cinta pada si dia. Cinta adalah satu komitmen. Justeru sebelum kedua-dua hati mengikat komitmen dengan cinta, adalah lebih baik mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bersama.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apa hukum suami selalu merajuk, bersikap dingin dan tidak menghiraukan isteri? Suami juga sering menyakiti hati isteri dengan kata kata nya. Berhakkah isteri menuntut cerai kerana ditakuti dharar dari segi aqal di kemudian hari?
JAWAPAN:
Pada asalnya tidak boleh bagi seseorang wanita menuntut cerai sewenangnya daripada suaminya kerana itu ialah akhlak yang buruk. Daripada Thauban RA, bahawa
Maksudnya: Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa alasan makan haram baginya bau syurga.
Hadis riwayat Imam al-Tirmizi (1187) dalam Sunan dan beliau menghasankannya.
Melihat kepada situasi di atas, hal demikian masih boleh dibincangkan bersama dengan kesabaran dan hikmah bijaksana. Tidak sepatutnya cerai terus dijadikan sarana untuk menyelesaikan masalah. Ini kerana Iblis bersukacita dengan kejayaan tentera-tenteranya yang berjaya menceraikan suami isteri. Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesugguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka mengadap Iblis, seraya berkata: “Aku telah berbuat sekian sekian.” Iblis menjawab: “Kamu tak buat apa pun.” Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: “Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya. Iblis membalas: “Kamu hebat!”.
Hadis riwayat Imam Muslim (2813)
Justeru, gunalah sarana yang lebih baik seperti bersemuka, atau menggunakan wakil atau hakam daripada kalangan keluarga atau orang yang dipercayai menjadi orang tengah. Baik juga jika dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing untuk khidmat nasihat dan kaunseling.
Adapun dalam keadaan yang tidak boleh dieelakkan, boleh bagi wanita itu meminta cerai jika berlaku dharar seperti:
Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (8/204).
Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan “engkau anak anjing”, “engkau anak laknat”, “engkau anak kafir” dan sebagainya. Rujuk Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/345)
Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: 6 bulan.
Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (7/305)
Suami itu dipenjara dalam suatu tempoh masa yang lama dan isteri itu menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. Rujuk Mausu’ah al-Kuwaitiyyah (29/67).
Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Syeikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai dari suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Syeikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkara Syeikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan isteri itu kegagalan menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya.
Selain itu penanya juga boleh merujuk Seksyen 52 Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303:
(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun; (b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan; (c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih; (d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun; (e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk; (f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit; (g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu; (h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain— (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau (ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau (v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau (vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak; (i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya; (j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak; (k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; (l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
SUMBER : http://muftiwp.gov.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meniti alam perkahwinan di usia yang muda mungkin banyak cabarannya. Tambahan lagi, status sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekangan membahagikan masa untuk keluarga dan pelajaran.
Menurut pasangan yang berkahwin di usia yang masih hijau, Fatin Amirah Amirrazli, 23 dan pasangannya Muhammad Nor Suhardy Azreen Samsuddin, 24, kematangan, sifat sabar dan bertolak ansur harus dipegang dan dijadikan prinsip hidup agar perkahwinan di usia muda sentiasa utuh.
Fatin yang mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun manakala pasangannya ketika itu berusia 21 tahun membuktikan masjid yang dibina selama ini bahagia hingga ke hari ini. Hasil perkahwinan selama tiga tahun telah mengurniakan mereka dengan seorang cahaya mata yang menjadi permata hati dan penambah kekuatan untuk pasangan ini terus bahagia hingga ke akhir hayat.
Detik Perkenalan
Kami mula berkenalan melalui media sosial dan ketika itu kami berdua masih belajar. Aku di matrikulasi manakala Suhardy di Politeknik. Niat sekadar berkawan membawa hubungan kami semakin akrab dari sehari demi sehari. Pada Disember 2013, kami mengatur satu perjumpaan di pusat beli belah Kuala Lumpur untuk bertemu buat kali pertama.
Pertemuan pertama kali itu membawa hubungan persahabatan kami semakin akrab. Rasa sayang mula timbul dan terdetik rasa rindu saat kami berjauhan. Perkenalan selama 30 bulan menjentik hati kami untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Ketika umur aku 21 tahun dan Suhardy 22 tahun, kami selamat diijabkabulkan dan sah bergelar suami isteri.
Saudara Menentang
Pertemuan Suhardy dengan keluargaku pada kali pertama agak formal. Setelah berbincang dengan cukup mendalam dan terperinci, ibu bapa aku memutuskan untuk menyatukan aku dengan Suhardy secepat mungkin.
Persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga rupanya mencetuskan ketegangan yang tidak disangka. Ini kerana ada saudara-mara terdekat aku yang tidak bersetuju di atas perkahwinan aku dengan Suhardy. Mereka bimbang aku tidak dapat memberikan perhatian dalam pembelajaran sejurus aku berkahwin kelak.
Mereka mencadangkan agar kami menangguhkan perkahwinan ini. Disebabkan kedua orang tua aku sudah bersetuju serta yakin aku mampu bergelar isteri dan pelajar yang baik, perkahwinan kami diteruskan jua. Keluarga Suhardy juga merasakan perkara yang sama dan yakin bahawa Suhardy dapat menjadi suami yang bertanggungjawab walaupun usia kami masih muda.
Banyak Kelebihan
Aku bangga bergelar isteri pada usia muda, begitu juga Suhardy. Perkahwinan kami membuatkan kami matang dalam menguruskan kehidupan. Menjadi isteri dan ibu pada usia yang muda membuatkan aku rasa lebih bertanggungjawab kepada keluarga. Malah pemikiran kami juga lebih dewasa dan terbuka.
Isu kahwin muda dipandang negatif oleh segelintir masyarakat di Malaysia. Ramai yang menganggap berkahwin muda merupakan sesuatu perkara yang tidak wajar. Sedangkan jodoh dan ajal manusia itu telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Jadi, usia bukanlah ukuran kepada sesebuah kebahagiaan dalam perkahwinan.
Pilihlah pasangan yang tepat dan memahami anda dan keluarga. Sentiasalah mengutamakan keluarga terlebih dahulu dalam memilih pasangan agar perkahwinan berkekalan dan diberkati. Restu keluarga amat penting dan paling utama, tanya pada diri anda, adakah anda yakin dan mampu untuk menjadi isteri dan suami terbaik di usia yang muda. Pastikan juga anda mampu menggalas tanggungjawab.
WALAUPUN PERKAHWINAN NAMPAK INDAH, NAMUN DI SEBALIK PERKAHWINAN ITU BANYAK ONAK DAN DURI YANG PERLU DIHADAPI. PERSIAPAN TENTANG ILMU AGAMA, KEWANGAN DAN MENTAL AMAT PENTING SEBELUM BERGELAR PASANGAN SUAMI ISTERI. RASA CINTA, JUJUR DAN SABAR MERUPAKAN ANTARA SIFAT YANG HARUS DISEMAI DALAM DIRI UNTUK MEMBENTUK SEBUAH KELUARGA YANG BAHAGIA.
Foto : Koleksi Peribadi Fatin & Suhardy
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setelah kita mengetahui tentang tujuan menikah maka Islam juga mengajarkan kepada umatnya untuk berhati-hati dalam memilih pasangan hidup karena hidup berumah tangga tidak hanya untuk satu atau dua tahun saja, akan tetapi diniatkan untuk selama-lamanya sampai akhir hayat kita. Lelaki ini kongsi kenapa perempuan lebih berhati-hati memilih pasangan hidup berbanding lelaki.
Wanita kena betul-betul pilih pasangan
Ini isu hidup dan mati
Kredit : twitter Werdan12
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!