
Dalam hubungan cinta, pelbagai faktor boleh menyumbang kepada perbalahan antara pasangan. Cemburu dan mudah naik angin antara punca tercetusnya pergaduhan dalam perhubungan. Namun, adakah anda tahu, terdapat punca lain juga yang boleh buat anda dan si dia bermasam muka . Berikut lima punca yang tak masuk akal jadi penyebab sesebuah pergaduhan dalam hubungan cinta.
1. BERI SOKONGAN MELAMPAU
Sanggup batalkan temu janji dengan rakan-rakan kerana si dia telah menerima berita buruk? Syabas! Ia menunjukkan anda seorang teman wanita yang begitu prihatin dan turut memikirkan masa depannya. Tetapi, jika anda terlalu memberi sokongan yang keterlaluan sangat, ia akan membuatkan si dia rasa bengang. Ingat, lelaki tak suka wanita yang terlalu merimaskan.
2. MEMBUAT PANGGILAN KETIKA MEMANDU
Lebih baik berhenti dulu daripada membuat panggilan kepada si dia ketika anda sedang memandu. Menurut ahli sains, berbual ketika memandu mendorong kepada salah faham dan perhatian kepadanya juga terganggu. Tak pasal-pasal anda dan dia bergaduh pula.
3. SUKA MENGALAH
Apabila si dia buat anda naik angin, memang anda terasa untuk pergi dan ambil masa untuk bertenang. Namun, satu kajian mendapati strategi tersebut tidak berapa menjadi dan jika salah seorang sering mengalah dalam pertengkaran, ia meningkatkan peluang untuk anda berdua berpisah.
4. JADI SUMBER KEWANGAN SI DIA
Memang hebat bila wanita mula mengatasi lelaki dari segi pendapatan. Tetapi jika si dia bergantung harap padamu dari segi kewangan, dia mempunyai potensi lima kali ganda menjadi penipu dan ini boleh beri kesan buruk pada hubungan .
5. KUAT TIDUR
Mungkin perkara ini nampak remeh, namun ia boleh menyebabkan perbalahan dalam hubungan. Pasangan yang kuat tidur boleh menjadikan rumah tangga kucar-kacir dan mengganggu institusi kekeluargaan. Sebagai contoh suami menghabiskan masa lapang dengan tidur tanpa menghiraukan isteri dan anak-anak. Walhal, isteri dan anak-anak perlukan masa bersama seperti pergi beriadah dan bercuti.
“Hiburkan Isteri, Allah Tambah Kasih Sayang Dan Cinta…”

Semua isteri yang bekerja tiada hasrat lain yang diimpikan melainkan ingin meluangkan masa bersama keluarga terutamanya dengan anak-anak. Namun harus diingatkan, menjadi suri rumah bukan mudah seperti yang disangka. Ia menuntut pengorbanan yang tiada waktu rehat atau kurang ‘ME TIME’, selain berdepan dengan banyak cabaran. Lelaki bernama Muhammad Ahmad ini kongsi, isteri kita perlukan hiburan. Berusahalah luangkan masa untuk hiburkan isteri.
Isteri kita perlukan hiburan.
Kita suami mungkin banyak peluang untuk berhibur,time outstation lagilah banyak masa untuk hiburkan hati. Berusahalah luangkan masa untuk hiburkan isteri. pagi tadi saya ajak isteri main sorok-sorok, dia menyorok saya pergi dapur blasah nasi ?. Last anak jumpa umienya menyorok dalam bilik. Seronok sebenar hiburkan isteri. Lagi seronok tiba-tiba kita ajak pergi jalan-jalan dan bagi hadiah. Bahagia sangat apabila dapat melihat orang yang kita cinta dan sayang sentiasa terhibur.
Para suami buatlah apa cara sekali pun untuk hiburkan isteri. Menyanyi,melawak,tengok wayang terpulanglah asalkan isteri kita terhibur. Ada kawan saya ada set karaoke dalam rumah. time lapang karok sama-sama. Ada kawan saya hiburkan isterinya ride motor pusing satu malaysia.
Hiburkan isteri Allah tambah kasih sayang dan cinta.
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
Selepas Berkahwin, Apakah Hak Anak Perempuan Pada Kedua Ibu Bapanya?

Soalan
1) Apakah hak seorang anak perempuan thadap kedua ibu bapanya setelah bkahwin?
2) Adakah dikira derhaka kpd ibu bapa sendiri jika ingkar dgn permintaan / kemahuan mrk krn suami tidak membenarkannya? Cth. Balik kg semasa cuti / raya. (Tiada penggiliran)
3) Berusaha utk berbincang ttp suami bkeras mgatakan jika masih mahu bgilir balik kg,saya dikira derhaka / tidak taat padanya… suami bg rasioanal knp,tp isteri (saya)tidak bsetuju dgn rasional itu.
Jawapan
Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini telah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.
Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan si isteri ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.
Pihak suami perlu ingat bahawa setelah dia mengawini wanita tersebut, ibu bapa mertuanya telah menjadi mahramnya yang sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Si suami bukan hanya mengahwini isterinya sahaja tetapi dia perlu membina hubungan silaturrahim yang erat antaranya dengan keluarga si isteri. Perlulah diberi kasih sayang dan dipenuhi segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan. Malah si suami dianggap derhaka sekiranya menimbulkan perasaan benci atau tidak suka di hati ibubapa mertua.
Kedua-duanya (suami dan isteri) wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak) selagi ada hayatnya di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas dari segi tanggungjawab untuk berbakti kepada orang tuanya. Si suami hendaklah memahami situasi ini dan dia tidak boleh hanya mementingkan dirinya dan keluarganya sahaja.

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tuanya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.
Namun pendapat yang mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.
Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta keizinan dan redha daripada suami. Sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.
Moga puan mampu berbincang dengan cara yang baik bersama suami. Kesabaran puan melayani karenah suami akan diganjari pahala yang melimpah ruah biarpun terpaksa memendam perasaan. Allah SWT tetap akan memberi yang terbaik kepada kita. Insya Allah.
Tanda-Tanda Dia Jodoh Korang. Kalau Dah Jumpa, Boleh Buka Langkah!

Jodoh adalah misteri yang ditentukan tuhan. Ia melibatkan adanya kesamaan antara dua insan yang punya ikatan emosi, spiritual dan fizikal untuk hidup bahagia bersama. Walaupun mungkin anda tidak dapat mengungkapkan misteri itu, namun sekurang-kurangnya anda mampu melihat tanda-tanda bahawa dia pilihan tepat untuk anda.
Oleh itu, perlu untuk anda ketahui tanda-tandanya sebelum anda memastikan dia jodoh anda. Apabila masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan benarlah dia insan yang ditakdirkan untuk hidup bersama anda, jangan sesekali pula anda melepaskan.
“Jangan takut untuk jatuh cinta. Percayalah, ada seseorang yang akan hadir dalam hidupmu, mengubah segalanya dan membuatmu tertawa bahagia…”
1. Terima anda seadanya
Apapun anda sebelum ini atau apa yang pernah anda lakukan dahulu, dia langsung tak ambil kisah kerana yang penting siapa anda sekarang. Dia sedar bahawa setiap manusia ada kelemahan dan keburukan masing-masing. Malah siapalah dia yang ingin menghukum anda atas kelemahan anda itu.
2. Bersahaja di depan anda
Dia tidak berpura-pura menjadi orang lain, bahkan selesa menjadi dirinya sendiri dan bersikap bersahaja di depan anda. Jika anda amati tingkah laku, cara pertuturan, caranya makan dan sebagainya yang menunjukkan sikapnya yang dibuat-buat atau pelik, sah dia berlakon di hadapan anda. Tapi jika dia tampil bersahaja maka benarlah dia calon hidup anda yang tepat.
3. Rasa senang apabila bersamanya
Bukan hanya dirinya, malah apabila berada di sampingnya anda tidak akan rasa jemu. Ini menandakan yang anda miliki kesamaan dengannya. Apabila ada daya tarikan antara anda berdua secara automatiknya akan muncul perasaan tenang, gembira dan rasa tidak tertekan apabila bersama. Malah kehadirannya dalam hidup anda menjadi pengubat ketika anda senang mahupun susah.
4. Sentiasa jujur dengan anda
Kejujuran merupakan kunci utama dalam membina sebuah hubungan. Selagi kejujuran bertakhta di hati, kebahagiaan akan menjadi milik anda berdua. Dengan adanya sikap jujur, hubungan yang terjalin antara anda berdua akan menjadi lebih ikhlas. Namun jika anda miliki pasangan yang tidak jujur maka akan wujud kecurangan dalam hubungan. Sebaiknya gabungkan sikap jujur dan kesetiaan bagi menghangatkan lagi sebuah percintaan yang sejati.
5. Memahami diri anda
Dia hendaklah sentiasa memahami diri pasangannya dan berada bersama anda dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang. Apabila anda hadapi kesulitan, dia berusaha untuk menghulurkan bantuan dan menjadi penawar pada kesulitan yang anda hadapi. Bukan itu sahaja, dia juga sanggup mengharungi ranjau duri yang anda berdua hadapi dalam hubungan.
6. Tidak malu tampilkan kelemahannya
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini jadi tidak hairanlah jika kita punya kelemahan tertentu. Apabila dia ditakdirkan untuk menjadi pasangan anda, dia tidak akan pernah menutup kelemahan yang dimilikinya serta bersedia memberitahu anda mengenainya. Memang benar, bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan otang yang dicintai. Namun yang baiknya apabila anda berdua tahu kelemahan masing-masing, maka dari situ anda berdua boleh berusaha untuk membaiki kelemahan tersebut menjadi lebih baik.
7. Saling mempercayai antara satu sama lain
Dalam sesebuah hubungan, penting anda dan pasangan miliki sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Ia penting bagi mengelakkan timbul rasa ragu-ragu antara anda dan pasangan. Malah apabila ada sikap percaya, hubungan yang dibina akan menjadi lebih tulus. Apabila anda berdua saling mempercayai, pastikan anda berdua akan rasa selamat memberitahu apa jua rahsia kerana anda berdua tahu rahsia itu akan tersimpan kemas dalam diri masing-masing. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
8. Dia menginspirasikan anda menjadi lebih baik
Kehadirannya dalam hidup anda membuatkan anda sentiasa rasa bersemangat. Sokongan positif yang sentiasa didorongkan kepada anda membuatkan anda ingin menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Hubungan yang saling menyokong antara satu sama lain ini bakal menjadikan hubungan anda berdua lebih berjaya di masa akan datang.
9. Orang sekeliling menerimanya dengan tangan terbuka
Apabila keluarga terutamanya orang tua dan kawan-kawan anda boleh menerima kehadirannya, itu petanda dia jodoh anda. Sudah tentu kehadirannya disenangi oleh orang penting yang ada di sekeliling anda. Penerimaan keluarga dan kawan-kawan anda itu sebagai bukti bahawa mereka yakin dia boleh memberikan kebahagiaan kepada anda hingga akhir hayat.
10. Dapat membayangkan masa depan bersamanya
Apabila anda sudah boleh membayangkan masa depan anda untuk hidup bersama dengannya, memang dialah jodoh anda. Biasanya kalau sesebuah hubungan itu dijalin secara serius, pasangan anda tidak ragu-ragu untuk membincangkan tentang masa depan misalnya tentang tarikh untuk berjumpa orang tua anda, merisik, bertunang dan berkahwin.
11. Dengarkan kata hati
Dengarlah kata hati anda saat anda ingin membuat keputusan untuk hidup bersama seseorang. Manusia dikurniakan Allah dengan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangan. Dengan deria ini anda akan saling mengetahui perasaan, membaca fikiran dan dapat menduga reaksi serta tindak balas pada situasi tertentu. Apabila ada keyakinan dengan pilihan anda, berdoa dan berserahlah pada ketentuan Ilahi agar jodoh yang ditakdirkan ini tepat untuk anda.
12. Lakukan solat Istikharah dan bertawakal
Jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah SWT. Jika dia pilihan anda, buatlah keputusan dengan sebaiknya. Namun jika dia bukan jodoh anda, tolaklah dia dengan sebaiknya. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada-Nya. Teruskan berdoa dan lakukan solat Istikharah agar anda diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang sebaiknya.