
Gaji sudah mencecah lima angka, tetapi perbelanjaan bulanan sering tidak mencukupi. Apabila dicongak-congak, tidak tahu ke mana sebenarnya duit itu dibelanjakan. Sebagai manusia biasa pasti kita tidak akan pernah terlepas daripada mengeluh dengan kekurangan rezeki. Namun pernahkah kita audit diri kita sendiri? Apakah punca yang menyebabkan sukarnya untuk kita menjemput rezeki?
Datuk Professor Dr. Muhaya Mohamad pernah membincangkan isu ini. Beliau memberitahu, setiap individu sebenarnya telah ditetapkan rezeki, jodoh dan umur mereka semenjak berada di dalam kandungan iaitu ketika berusia 4 bulan. Jadi, selagi manusia itu tidak lagi menikmati rezeki yang Allah telah tetapkan, manusia itu tidak akan mati.
“Seseorang itu kena yakin dengan Allah. Rezeki itu bukan hanya pada duit, tetapi kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan hati yang ingin berbuat baik. Rezeki itu sebenarnya meluas.
Kena tahu tentang undang-undang kompensasi. Undang-undang kompensasi ini adalah apa yang kita buat, itu yang kita dapat. Contohnya, kalau kita bergaji RM3000, tetapi kita bekerja seperti orang yang bergaji RM2000, lebihan yang RM1000 tadi akan diambil balik. Begitu juga sebaliknya,” Betul lah apa yang Prof Muhaya katakan tu. Gaji kita banyak tu, kita buat kerja senilai dengan tu. Kalau kurang, ia akan pergi ke mana-mana yang kita pun tak akan tahu.
Selain itu, beliau juga berkongsi bahawa jika seseorang itu banyak berbuat dosa, maka ia juga akan menolak rezeki dan hilang keberkatan. Kalau orang menganggap dia mendapat rezeki kerana dia kuat bekerja, itu silap. Kerja yang kita buat itu adalah amalan soleh. Rezeki yang kita dapat adalah rahmat Allah. Jadi, kalau kita buat sesuatu kerja yang tidak ada keberkatan Allah, tidak ada Bismillah, duit yang kita perolehi itu akan hilang begitu sahaja.

sekarang!
