
Anda mungkin gugup dengan rancangan kekasih mempertemukan anda dengan ibu bapanya. Tetapi cepat atau lambat, ini memang perlu dilalui.
Rileks dan siapkan diri anda sebaik-baiknya sebelum bertemu dengan calon mertua. Jangan sampai kegugupan anda meninggalkan kesan yang buruk pada mereka. Dipetik dari Allwomenstalk, berikut tips bertemu calon mentua untuk pertama kali:
1. Tunggu
Jangan terburu-buru meminta dia mengenalkan anda pada ibu bapanya. Tunggu sampai waktunya sudah tepat. Sebelum bertemu dengan ibu bapanya, pastikan bahawa anda sudah mengenali si dia dengan baik dan yakin bahawa hubungan anda sudah serius.
2. Ketahui tentang keluarga
Sebelum bertemu, ketahui tentang keluarganya dari dia. Adakah kedua-dua ibu bapanya masih bersama, sama ada dia tinggal bersama ramai saudara, dan perkara asas lain yang perlu anda ketahui. Anda juga boleh cuba mengenali nama adik atau kakaknya dengan melihat fotonya terlebih dahulu sebelum bertemu mereka.
3. Tentukan tempat
Tentukan lokasi di mana anda akan bertemu dengannya. Jika anda lebih selesa bertemu di rumah, katakan padanya tentang idea tersebut. Tetapi jika anda bersetuju untuk bertemu di luar, carilah tempat neutral seperti restoran.
4. Tepati waktu
Jangan buat ibu bapanya perasaan yang buruk tentang anda kerana datang lewat dari masa yang dijanjikan. Kecuali ada perkara mendadak atau kecemasan yang membuat anda terlambat. Jika demikian, khabarkan mereka bahawa anda akan datang lewat kerana perkara tersebut.
5. Bawakan hadiah
Tidak perlu membawakan hadiah yang besar atau mahal. Anda hanya membawakan sedikit hadiah untuk mereka walaupun sekadar makanan. Tanyakan pada kekasih anda apa makanan kegemaran ibu bapanya. Ini boleh membuat mereka rasa kagum pada anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terjaga Di Tengah Malam Tanda Allah Sayangkan Kita

Pada malam hari ketika tengah tidur, kita mungkin pernah tiba-tiba terjaga dari tidur di tengah malam. Sebenarnya pada ketika itu ada zikir dan doa khusus yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w untuk kita baca.
Malah Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa ketika seseorang itu terjaga dari tidur pada malam hari jika ia berdoa maka akan dikabulkan doanya dan jika bangun kemudian solat maka solatnya akan diterima oleh Allah taala. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berikut ini.
![]()
Dari ‘Ubadah bin Shamit Radhiallahu’anhu, dari Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam beliau bersabda: “Barangsiapa yang terjaga di malam hari, kemudian dia membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، اَلْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Laa ilaaha illallaah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa ‘alaa kulli syai-in qodiir, alhamdulillaah, wa subhaanallaah, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah.
Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya.
BagiNya kerajaan dan pujian. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala Puji bagi Allah, Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.
Kemudian dia mengucapkan:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
Allaahummaghfir lii.
Ya Allah, ampunilah dosaku.
Atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, jika dia berwudhu dan melaksanakan solat maka akan diterima solatnya.”
al-Bukhari 1103, Abu Dawud 5060, at-Tirmidzi 3414 dan Ibnu Majah 3878, shahih.
Imam Ibnu Baththal Rahimahullah berkata, “Bagi orang sampai kepadanya hadits ini, sepantasnya dia berusaha mengamalkannya dan mengikhlaskan niatnya (ketika mengamalkannya) untuk Allah Ta’ala.”
(dinukil oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitab Fathul Baari 3/41).
Keterangan:
Imam Ibnu Hajar Rahimahullah berkata, “Perbuatan yang disebutkan dalam hadits ini hanyalah (mampu dilakukan) oleh orang telah terbiasa, senang dan banyak berzikir (kepada Allah), sehingga zikir tersebut menjadi ucapan (kebiasaan) dirinya sewaktu tidur dan terjaga, maka Allah Ta’ala memuliakan orang yang demikian sifatnya dengan mengabulkan doanya dan menerima solatnya.” (Kitab Fathul Baari 3/40).

Keutamaan mengucapkan zikir ini juga berlaku bagi orang yang terjaga di malam hari kemudian dia mengucapkan zikir ini (berulang-ulang) sampai dia tertidur.
Imam an-Nawawi berkata, “Orang yang terjaga di malam hari dan ingin tidur (lagi) setelahnya, dianjurkan baginya untuk berzikir kepada Allah Ta’ala sampai dia tertidur.
Dzikir-dzikir yang dibaca (pada waktu itu) banyak sekali yang disebutkan (dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam), di antaranya, Kemudian beliau Shallallahu’alaihi wasallam menyebutkan hadits di atas (kitab al-Adzkaar hal. 79 – cet. Darul Manar, Kairo, 1420 H).
Di antara para ulama ada yang menjelasakan bahwa peluang dikabulkannya doa dan diterimanya solat pada saat setelah mengucapkan zikir ini lebih besar dibandingkan waktu-waktu lainnya (lihat kitab Tuhfatul Ahwadzi (9/254)
Sumber : apacerita
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Inilah 12 Tanda Dia Jodoh Korang. Kalau Dah Jumpa, Ikat Cepat & Jangan Lepaskan!

Jodoh adalah misteri yang ditentukan tuhan. Ia melibatkan adanya kesamaan antara dua insan yang punya ikatan emosi, spiritual dan fizikal untuk hidup bahagia bersama. Walaupun mungkin anda tidak dapat mengungkapkan misteri itu, namun sekurang-kurangnya anda mampu melihat tanda-tanda bahawa dia pilihan tepat untuk anda.
Oleh itu, perlu untuk anda ketahui tanda-tandanya sebelum anda memastikan dia jodoh anda. Apabila masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan benarlah dia insan yang ditakdirkan untuk hidup bersama anda, jangan sesekali pula anda melepaskan.
“Jangan takut untuk jatuh cinta. Percayalah, ada seseorang yang akan hadir dalam hidupmu, mengubah segalanya dan membuatmu tertawa bahagia…”
1. Terima anda seadanya
Apapun anda sebelum ini atau apa yang pernah anda lakukan dahulu, dia langsung tak ambil kisah kerana yang penting siapa anda sekarang. Dia sedar bahawa setiap manusia ada kelemahan dan keburukan masing-masing. Malah siapalah dia yang ingin menghukum anda atas kelemahan anda itu.
2. Bersahaja di depan anda
Dia tidak berpura-pura menjadi orang lain, bahkan selesa menjadi dirinya sendiri dan bersikap bersahaja di depan anda. Jika anda amati tingkah laku, cara pertuturan, caranya makan dan sebagainya yang menunjukkan sikapnya yang dibuat-buat atau pelik, sah dia berlakon di hadapan anda. Tapi jika dia tampil bersahaja maka benarlah dia calon hidup anda yang tepat.
3. Rasa senang apabila bersamanya
Bukan hanya dirinya, malah apabila berada di sampingnya anda tidak akan rasa jemu. Ini menandakan yang anda miliki kesamaan dengannya. Apabila ada daya tarikan antara anda berdua secara automatiknya akan muncul perasaan tenang, gembira dan rasa tidak tertekan apabila bersama. Malah kehadirannya dalam hidup anda menjadi pengubat ketika anda senang mahupun susah.
4. Sentiasa jujur dengan anda
Kejujuran merupakan kunci utama dalam membina sebuah hubungan. Selagi kejujuran bertakhta di hati, kebahagiaan akan menjadi milik anda berdua. Dengan adanya sikap jujur, hubungan yang terjalin antara anda berdua akan menjadi lebih ikhlas. Namun jika anda miliki pasangan yang tidak jujur maka akan wujud kecurangan dalam hubungan. Sebaiknya gabungkan sikap jujur dan kesetiaan bagi menghangatkan lagi sebuah percintaan yang sejati.
5. Memahami diri anda
Dia hendaklah sentiasa memahami diri pasangannya dan berada bersama anda dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang. Apabila anda hadapi kesulitan, dia berusaha untuk menghulurkan bantuan dan menjadi penawar pada kesulitan yang anda hadapi. Bukan itu sahaja, dia juga sanggup mengharungi ranjau duri yang anda berdua hadapi dalam hubungan.
6. Tidak malu tampilkan kelemahannya
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini jadi tidak hairanlah jika kita punya kelemahan tertentu. Apabila dia ditakdirkan untuk menjadi pasangan anda, dia tidak akan pernah menutup kelemahan yang dimilikinya serta bersedia memberitahu anda mengenainya. Memang benar, bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan otang yang dicintai. Namun yang baiknya apabila anda berdua tahu kelemahan masing-masing, maka dari situ anda berdua boleh berusaha untuk membaiki kelemahan tersebut menjadi lebih baik.
7. Saling mempercayai antara satu sama lain
Dalam sesebuah hubungan, penting anda dan pasangan miliki sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Ia penting bagi mengelakkan timbul rasa ragu-ragu antara anda dan pasangan. Malah apabila ada sikap percaya, hubungan yang dibina akan menjadi lebih tulus. Apabila anda berdua saling mempercayai, pastikan anda berdua akan rasa selamat memberitahu apa jua rahsia kerana anda berdua tahu rahsia itu akan tersimpan kemas dalam diri masing-masing. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
8. Dia menginspirasikan anda menjadi lebih baik
Kehadirannya dalam hidup anda membuatkan anda sentiasa rasa bersemangat. Sokongan positif yang sentiasa didorongkan kepada anda membuatkan anda ingin menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Hubungan yang saling menyokong antara satu sama lain ini bakal menjadikan hubungan anda berdua lebih berjaya di masa akan datang.
9. Orang sekeliling menerimanya dengan tangan terbuka
Apabila keluarga terutamanya orang tua dan kawan-kawan anda boleh menerima kehadirannya, itu petanda dia jodoh anda. Sudah tentu kehadirannya disenangi oleh orang penting yang ada di sekeliling anda. Penerimaan keluarga dan kawan-kawan anda itu sebagai bukti bahawa mereka yakin dia boleh memberikan kebahagiaan kepada anda hingga akhir hayat.
10. Dapat membayangkan masa depan bersamanya
Apabila anda sudah boleh membayangkan masa depan anda untuk hidup bersama dengannya, memang dialah jodoh anda. Biasanya kalau sesebuah hubungan itu dijalin secara serius, pasangan anda tidak ragu-ragu untuk membincangkan tentang masa depan misalnya tentang tarikh untuk berjumpa orang tua anda, merisik, bertunang dan berkahwin.
11. Dengarkan kata hati
Dengarlah kata hati anda saat anda ingin membuat keputusan untuk hidup bersama seseorang. Manusia dikurniakan Allah dengan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangan. Dengan deria ini anda akan saling mengetahui perasaan, membaca fikiran dan dapat menduga reaksi serta tindak balas pada situasi tertentu. Apabila ada keyakinan dengan pilihan anda, berdoa dan berserahlah pada ketentuan Ilahi agar jodoh yang ditakdirkan ini tepat untuk anda.
12. Lakukan solat Istikharah dan bertawakal
Jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah SWT. Jika dia pilihan anda, buatlah keputusan dengan sebaiknya. Namun jika dia bukan jodoh anda, tolaklah dia dengan sebaiknya. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada-Nya. Teruskan berdoa dan lakukan solat Istikharah agar anda diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang sebaiknya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nasihat Lelaki Ini Tentang Kahwin, Buatlah Persediaan Awal Supaya Korang Boleh Terima Pasangan Seadanya

Mungkin ada yang mengatakan bila sudah kahwin, kelegaan dirasai kerana semua perkara dapat dilalui bersama sama ada susah dan senang. Itu mungkin pada awal perkahwinan semuanya dirasakan indah tambahan pula orang yang kita sayang ada bersama kita.
Namun ketahuilah hakikatnya bila sudah berkahwin banyak perkara yang tidak kita ketahui tentang pasangan sebelum ini akan terserlah . Ikuti perkongsian lelaki ini sebaik telah berkahwin.

Assalamualaikum wbt
Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan confession ini.
Aku rasa tertarik nak tulis lepas baca confession Nasihat Mak Tentang Perkahwinan dan Nasihat Ayah Tentang Perkahwinan. Terima kasih pada confessor yang sudi kongsi nasihat tersebut. Aku yakin ianya sangat bermanfaat buat kita.
Aku seorang lelaki, sudah berkahwin. So aku tulis ni nak tambah lagi beberapa nasihat, yang aku rasa sangat berguna untuk orang yang belum kahwin dan sudah berkahwin. Aku dulu sebelum kahwin takde orang pun bagi nasihat ni pada aku. Padahal nasihat-nasihat ni sangat penting untuk kita tahu sebelum nak kahwin.
Sejak akhir-akhir ni, kita perasan ramai pasangan yang berkahwin pada usia muda, which is very good. Daripada ber-couple tak tentu hala tu, lebih baik kahwin kan. So bagus la trend kahwin muda sekarang ni. Tapi kalau korang perasan, kes perceraian pun semakin meningkat sekarang ni. Tak percaya? Cuba korang pergi Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah terdekat, pergi tanya statistik berapa ramai yang bercerai dalam satu hari? Pasti korang ternganga mulut tak percaya. Tapi itulah realiti yang berlaku sekarang.
Sebab apa bercerai? Ianya multifactorial. Banyak sebab. Setiap kes berbeza. Jadi aku rasa terpanggil untuk menulis supaya korang buat persediaan sebelum kahwin, jangan menonong je nak kahwin sebab kawan-kawan korang dah kahwin. Persediaan ini penting supaya korang well-aware untuk menghadapi alam perkahwinan.
1. Sila kurangkan expectation/harapan kepada suami & isteri.
Sebelum kahwin, aku tertarik dengan isteri aku ni sebab dia bertudung labuh, lemah lembut, sopan santun. Boleh masuk kategori ayu dan isteri pilihan la. So aku tak teragak-agak nak kahwin dengan dia. Sebelum kahwin aku expect isteri aku ni ala-ala bidadari la, melayan aku dengan lemah lembut dan sopan santun bila kami dah kahwin nanti.
Lepas kahwin, aku terkejut besar. Isteri aku ni dia kentut merata-rata, tak cover langsung. Bila makan, kaki letak atas kerusi. Bagi aku nampak macam biadap. Makan pun dengan pelahap, tak sopan langsung. Situasi ni semua dalam rumah. Sebelum kahwin aku terbayang isteri aku ni ayu, sopan santun. Tapi bila dah duduk sekali, rupanya jauh panggang dari api. Tipah tertipu kejap. Haha..
Kisah di atas ni adalah expectation aku pada isteri. Kisah di bawah pulak adalah expectation isteri pada suami.
Lepas beberapa bulan kahwin, isteri aku cakap dekat aku yang aku ni tak romantik. Dalam hati aku, eh ni apa kes pulak. Pastu aku tanya isteri aku, kenapa cakap macam tu? Korang nak tau apa dia jawab?
Isteri aku jawab, selama kita kahwin ni, tak pernah pun kita candle light dinner. Abang tak pernah pun buat surprise tutup mata dengan kain, tutup lampu dalam rumah, lepas tu ‘jeng jeng jeng surprise’. Haritu kita pergi pantai, abang takde pun main kejar-kejar lari-lari dan berpelukan di tepi pantai sambil di pukul ombak. Tak sweet lah abang ni.
Lepas tu aku tempik dekat isteri aku, sayang, abang ni kayu. Tak reti nak sweet-sweet macam dalam drama TV3 pukul 7 tu. Tu la, suka sangat tengok cerita-cerita romantik lepas tu berangan macam-macam. Ingat abang ni pelakon drama ke?
Hahaha, tu la kisah expectation antara kami suami isteri. Sebenarnya ada banyak kisah lagi, tapi kang nanti tak larat pulak korang baca kalau aku tulis semua.
Ada seseorang yang cerita dekat aku, ada satu pasangan ni, si isteri minta cerai. Aku tanya la sebab apa? Pastu dia cerita :
Si suami ni seorang yang alim, ala-ala macam ustaz. Jadi ramai la perempuan yang berkenan nak jadikan suami. Ditakdirkan, seorang perempuan ni dijodohkan dengan ustaz ni. Lepas beberapa bulan kahwin, si isteri minta cerai sebab suami dia selalu subuh gajah. Dia ingat bila kahwin dengan ustaz, suami dia akan qiyamullail dan solat tahajud setiap malam. Rupanya dia silap. Suami dia selalu bangun lewat dan dia pulak yang kena kejutkan suami dia. Dia nak suami yang menjadi imam dan membimbing dia menjadi lebih baik, tetapi dia pulak yang kena kejutkan suami.
Take home message yang pertama : Isteri bukanlah bidadari dan suami bukanlah malaikat. Korang jangan letak expectation tinggi-tinggi pada suami dan isteri. Kita ni manusia banyak kekurangan. Sebelum kahwin memang tak nampak kekurangan tu. Tapi bila dah kahwin, duduk sekali, sejuta kekurangan korang akan nampak pada pasangan.
2. Perempuan sangat misteri
Korang pernah tengok tak cerita Misteri Nusantara dekat TV3? Aku tak pasti ada lagi ke tak cerita tu sekarang sebab dah bertahun aku tak tengok TV3. Hahaha. Cerita tu membongkar kisah-kisah misteri tentang makhluk ghaib, jin, hantu dan sebagainya. Tapi ada lagi satu kategori misteri yang diorang belum bongkar, iaitu perempuan. Nak tahu sebab apa perempuan itu misteri? Meh aku cerita. Aku tulis ikut situasi supaya korang senang faham.
Situasi 1 :
Aku dan isteri nak makan dekat luar. Dalam kereta, aku tanya isteri aku, nak makan kat mana? Dia jawab, ikut abang lah. sayang ikut je. Aku pun tanpa berfikir panjang terus memandu ke restoran kegemaran aku. Bila sampai je depan restoran tu, isteri aku cakap, “ala, asyik restoran ni je, pergi la restoran lain”. Lepas tu aku tanya dia balik, nak pergi restoran mana, dia jawab “ikut abang lah, sayang ikut je”. Facepalm.
Situasi 2 :
Bila sampai restoran, waiter/pelayan bagi menu makanan. Aku tak tengok pun menu tu sebab aku dah tahu nak order apa. Aku suka order nasi goreng kampung, manakala isteri aku suka nasi goreng tomyam. Setiap kali makan luar, aku akan order nasi goreng kampung. So aku tak perlu nak tengok menu pun.
Berbalik pada kisah tadi, isteri aku tanya aku kenapa tak tengok menu. Aku pun jawab, buat apa nak tengok sebab abang dah tahu nak order apa. Pastu isteri aku jawab, abang ni asyik order nasi goreng kampung je, cuba la order menu lain. Dalam hati aku, “dah tekak aku suka nasi goreng kampung, buat apa nak order menu lain”.
Isteri aku pun membelek-belek menu yang ada. Aku tahu isteri aku suka order nasi goreng tomyam, tapi disebabkan kali ni isteri aku membelek menu tu lama-lama, aku rasa mesti dia nak order menu yang berbeza. Setelah lama membelek menu, isteri aku pun melambai tangan untuk memanggil waiter. Bila waiter sampai tanya nak order apa, isteri aku jawab, “nasi goreng tomyam”. Facepalm.
Ingatkan dia belek menu lama-lama tu nak order menu lain, last-last order menu yang sama jugak. Bukan main lagi dia marah aku mula-mula order menu sama, rupanya dia pun order menu yang sama jugak. Tak ke membazir masa tengok menu lama-lama tadi? Kalau order je terus tanpa tengok menu mesti dah sampai makanan yang kita order.
Situasi 3 :
Aku baru balik dari kerja. Bila sampai rumah, tengok isteri macam senyap, lain dari biasa. So aku tanya dia, sayang ok ke? Dia jawab, ok je. Bila dia jawab ok, aku assume dia ok la. So aku pun berbaring atas sofa sambil layan FB.
Malam tu sebelum nak masuk tido, isteri aku marah aku. Dia kata, “abang tak perasan ke sayang tengah ada masalah, tak stabil dari petang tadi”. Pastu aku jawab, “laa tadi abang tanya sayang ok ke tak, sayang cakap ok je”. Abang assume sayang ok la. Facepalm.
Situasi 4 :
Kawan aku ajak jumpa lepak dekat mamak. Aku pun bagitau isteri aku, “sayang, abang nak keluar kejap jumpa member, ok ke?. Pastu dia jawab, ok je”
Bila aku balik rumah, isteri aku bising. Sebenarnya dia tak nak aku keluar lepak dengan member. Dalam hati aku, “la, aku tanya tadi dia kata ok je nak keluar”. Facepalm.
Situasi 5 :
Sewaktu lepak-lepak dengan member dekat mamak, aku mesej isteri aku tanya, nak order apa-apa tak? Nanti abang boleh tapaukan. Isteri aku jawab, “takpe la bang, sayang dah kenyang”.
Bila aku balik rumah, isteri aku tanya “abang tak beli apa-apa makanan ke untuk sayang?”. Facepalm.
Haaa. tu la beberapa situasi yang telah berlaku yang menyebabkan aku rasa orang perempuan ini sangat misteri. Walaupun dah kahwin bertahun-tahun, masih lagi susah nak memahami insan yang bergelar perempuan.
Take home message kedua : Perempuan sangat misteri. Korang kena belajar memahami apa yang diorang cakap. Kadang-kadang apa yang diorang cakap berlawanan dengan apa yang diorang maksudkan. Senang cite, perempuan ni kadang-kadang diorang tak cakap direct. Banyak sangat kiasan dan bunga yang menyebabkan orang lelaki tak faham. Untuk mengelakkan salah faham, lelaki kena cuba memahami bahasa perempuan manakala orang perempuan kena cuba cakap direct apa yang mereka nak/maksudkan supaya orang lelaki mudah faham.
Kepada yang akan berkahwin dan sudah berkahwin, aku suggest korang baca buku ‘Men from Mars, Women from Venus’ dan follow FB Pak Utih’s Page. Ada banyak tips dan nasihat yang sangat berguna kat situ.
Kesimpulannya, sebelum kahwin kena buat persediaan dulu, kalau tak nanti korang terkejut beruk pulak. Hehehe
– Mad
Sumber : iium confession
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

