
1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.
2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.
3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.
4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoakan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana mensia-siakan doa mereka.
5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.
6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.
7. KETIKA RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan.
8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%.
9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.
10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.
11. KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.
12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan anda.
13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah-lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perempuan Lambat Kahwin, Lagi Susah Nak Mengandung

Ramai wanita memilih menangguhkan usaha memulakan keluarga. Wanita (dan lelaki) mungkin ingin membina kerjaya, menjalinkan hubungan dengan pasangan yang sesuai, menjadi lebih stabil dari segi kewangan dan emosi atau salah satu daripada kombinasi faktor berkenaan.
Namun, ramai orang muda tidak sedar kesan umur terhadap kesuburan. Apabila wanita semakin matang, kebarangkalian kehamilan semakin menurun manakala kebarangkalian ketidaksuburan meningkat. Kesuburan lelaki juga menurun mengikut umur dan sperma yang dihasilkan berkemungkinan mempunyai kromosom tidak normal.

Peluang kehamilan mengikut umur
Apabila usia wanita semakin meningkat, ovulasi tidak lagi kerap dan jumlah telur yang berkualiti berkurangan dengan ketara, maka mereka semakin sukar untuk hamil. Kajian juga menunjukkan terdapatnya peningkatan kadar ketidaknormalan kromosom dalam kalangan wanita yang lanjut usia.
Keguguran dan komplikasi lain berkaitan kehamilan, termasuk diabetes gestasi (kencing manis ketika hamil) dan darah tinggi, lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita berumur 35 tahun ke atas.
Penurunan kesuburan yang berkait dengan umur dan peningkatan kebarangkalian keguguran bermakna menangguh mendapatkan anak akan memberi lebih tekanan fizikal terhadap tubuh wanita dan menjejaskan kesihatan bayinya.

Ada juga wanita yang tidak inginkan anak langsung kerana dia (atau pasangannya, atau kedua-duanya) mungkin mempunyai masalah genetik (contohnya talasemia, sindrom Down) dan bimbang masa depan anak yang belum dilahirkan.
Bagaimanapun, sekiranya anda berfikir untuk memulakan keluarga tetapi mempunyai kebimbangan seperti yang disebutkan di atas, anda perlu pertimbangkan perkara berikut:
• Dapatkan pengetahuan mengenai peningkatan risiko ketidaknormalan kromosom dan jenis ujian yang ada untuk mengesannya. Seorang kaunselor genetik, pakar kesuburan atau pakar ginekologi boleh memberi maklumat terperinci dan membantu anda memilih ujian yang sesuai.
• Sekiranya anda menghidap masalah kesihatan (contohnya darah tinggi, diabetes, penyakit tiroid, obesiti), pastikan ia stabil dan terkawal sebelum memikirkan mengenai kehamilan. Bincang dengan doktor anda mengenai perkara ini dan bagaimana ia boleh menjejaskan masalah kesihatan yang sedia ada.

• Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil diet yang berkhasiat dan seimbang serta banyak bersenam.
Kemajuan dalam rawatan kesuburan dan pencapaian bidang teknologi reproduktif sejak kebelakangan ini juga memberi peluang kepada ramai pasangan mencapai impian mereka untuk mendapat anak dan memulakan sebuah keluarga. Sebagai contoh:
• Persenyawaan in vitro atau In vitro Fertilization (IVF) – proses apabila telur disenyawakan dengan sperma di dalam makmal dan kemudian embrio dialih ke dalam rahim.
• Permanian intrauterin atau Intrauterine Insemination (IUI) – sperma dimasukkan ke dalam rahim menggunakan peranti khas berdekatan dengan telur hampir pada waktu ovulasi.
• Suntikan sperma intrasitoplasmik atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) – dilakukan sebagai sebahagian daripada pusingan rawatan persenyawaan in vitro apabila satu sperma disuntik ke dalam sebiji telur menggunakan alat manipulasi mikro yang sangat halus.
• Penyimpanan krio – pembekuan tisu manusia (contohnya air mani, telur dan embrio) dan menyimpannya di dalam tangki yang direka khas untuk digunakan apabila pasangan membuat keputusan untuk mendapat anak.
• PGD & PGS – prosedur apabila embrio hasil rawatan IVF diuji untuk mengesan masalah genetik dan hanya embrio yang sihat dipilih untuk implantasi (dimasukkan ke dalam rahim).
Namun begitu, perlu diketahui anda mempunyai peluang lebih tinggi untuk hamil, melahirkan bayi yang sihat dan gembira ketika berumur dalam lingkungan 20-an dan awal 30-an. Sekiranya anda mempunyai masalah kesuburan, lebih awal anda berjumpa doktor, lebih mudah doktor mengatasi masalah kesuburan anda. Oleh itu, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan pakar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ini Alasan Kenapa Wanita Tak Boleh Mengiringi Jenazah Suaminya Ke Kubur

Bolehkah wanita menghantar jenazah suaminya ke kubur?
Oleh: Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar AlHamid
Jawapan:
TIDAK BOLEH, !!
khususnya bagi isteri yang suaminya yang meninggal, kerana iddahnya telah bermula dan isteri tidak boleh keluar meninggalkan rumah suami kecuali darurat.
Darurat ini bukan mengikut persepsi kita, tapi mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak. Antara sebab yang dibenarkan untuk meninggalkan rumah suami adalah jika keselamatannya terancam. Sebab-sebab seperti ingin menziarahi kubur, atau menghadiri majlis ilmu tidaklah termasuk sebab yang darurat.
Ibadah mesti mengikut cara yang diatur oleh Allah, bukannya mengikut hawa nafsu. Jadi, kalau ingin suami yang meninggal mendapat reda Allah Ta’ala, isteri tidak boleh keluar daripada rumah suaminya selama 4 bulan 10 hari. Yang beri suami dan yang tak izinkan keluar ialah Allah SWT, jadi kita kena patuhi arahan Allah dan bukan dengar apa masyarakat kata.
Ambil iktibar daripada kisah Ummu Salamah yang pada asalnya ingin menunjukkan cara ratapan luar biasa ketika suaminya meninggal. Tetapi setelah dilarang oleh Nabi SAW, dia akur dan menurut apa yang diajar Rasulullah ﷺ, dan akhirnya diganjar Allah dengan dia akhirnya diperisterikan oleh lelaki terbaik, iaitu baginda RasuluLlah ﷺ sendiri. Iktibarnya – bilamana mendahulukan Allah, pasti ada ganjaran tak kira sama ada akan diberikan ketika di dunia ataupun disimpan untuk akhirat.
Isteri tidak perlu merasa bersalah dengan anggapan masyarakat yang mungkin mengatakan –“Isterinya tak hantar suaminya ke kuburlah.” Dan isteri juga tak perlu rasa bersalah dan membuat helah seperti isteri ikut tapi duduk dalam kereta saja, atau duduk jauh sikit daripada tempat dikebumikan. Perasaan bersalah itu perlu diambil kira berdasarkan hukum Allah, dan bukan hukum budaya masyarakat. Jangan takut apa orang cakap.
Pada zaman Rasulullah ﷺ sudah ada golongan wanita yang nak ikut ke kubur, lalu Nabi ﷺ bertanya kepada mereka, “Kamu nak pergi kubur, adakah kamu pikul jenazah itu? Jawab mereka, “Tidak.” Baginda Rasulullah ﷺ bertanya lagi, “Adakah kamu akan masuk ke dalam kubur untuk menguburkan jenazah?” Jawab mereka, “Tidak.” Lalu Rasulullah ﷺ berkata, “Kamu balik kamu dapat ganjaran, lebih baik daripada kamu ikut dan kamu dapat dosa.”
Ini bukan menunjukkan yang agama ini tiada perasaan kepada kaum wanita. Hari ini orang akan mengatakan seorang isteri tak penuhi hak suami jika isteri tak hantar jenazah ke kubur. Lama-kelamaan orang akan kata tak penuhi hak suami jika tak semua ahli keluarga hadir di kubur. Generasi akan datang pula akan kata tak penuhi hak suami jika tak masuk dalam kubur. Perubahan demi perubahan akan berlaku jika ianya dicipta mengikut akal fikiran manusia atau budaya tempatan yang sumbernya tak tetap. Tapi jika ikut hukum Allah, ia sama saja tak kira di mana berada – Malaysia, Indonesia atau Yaman dan lain-lain.
Jika ada yang kata, “Eh awak tak penuhi hak suami awaklah.
Jawab padanya, “Eh, Allah yang suruh saya tak ikut.” Oleh itu, pastikan apa yang kita buat itu adalah sesuai mengikut apa yang Allah Ta’ala suruh.
Jika ikut cakap orang kita dapat dosa, tapi ikut cakap Nabi ﷺ, yang tak pernah bercakap kecuali ianya wahyu daripada Allah Ta’ala, kita akan dapat pahala. Maka, rugi jika seseorang itu ikut cakap orang!
Di akhirat nanti bukan kawan itu yang akan membela kita di hadapan Allah, bahkan dia akan menjauh daripada kita.
Jika isteri ingin melihat suami buat kali terakhir atau ingin solatkan, bawa jenazah pulang ke rumah sebelum dikebumikan. Siapa kata jenazah tak boleh dibawa pulang ke rumah jika telah dimandi (dan disolatkan) di masjid?
Jika ingin solatkan, baca Quran atau apa saja – buat di rumah agar isteri tak perlu keluar. Kalau boleh mandikan di rumah lebih baik, tapi kalau tak boleh, bawa ke masjid, dan kemudian bawa balik ke rumah. Nak buat tahlil di masjid boleh, tapi isteri buat di rumah saja.
Isteri tak boleh keluar menunggu suami dimandikan di masjid atau seumpamanya, kerana iddah bermula setelah suami meninggal.
Perempuan, kalau nak pergi ke kubur, pergi pada hari selain daripada hari pengkembumian. Kecuali, jika satu Kampung itu tiada lelaki, semuanya perempuan. Maka, dalam hal ini – perempuan yang bawa jenazah, yang gali kubur, yang kebumikan, yang uruskan semuanya.
Perempuan bukan dilarang pergi ke kubur, tapi risau berlaku perkara yang tidak sesuai dengan syarak jika ikut bersama lelaki yang menguruskan jenazah.
Kita pun lihat sendiri banyak berlaku, perempuan ahli keluarga duduk di hadapan kubur, dan sekelilingnya semuanya lelaki. Batasan antara lelaki dan perempuan tak lagi diperhatikan. Tambahan pula kalau perempuannya tidak menjaga cara berpakaian yang sopan dan menurut syarak.
Biarkan orang lelaki siap menguruskan. Esok pagi-pagi, baru anak dan ahli keluarga pergi untuk bacakan Yasin ke… dan akan dapat baca dalam keadaan tenang dan tak bercampur dengan lelaki.
Ambil iktibar daripada kisah anak perempuan Nabi Syuaib, yang ketika ingin mengambil air daripada perigi. Walaupun memerlukan, mereka tidak beratur bersama lelaki, tetapi mereka tunggu jauh daripada perigi sehingga lelaki selesai, baru mereka akan ambil air. Sama juga kalau nak ziarah kubur, tunggu orang lelaki selesai dulu, pergi keesokan harinya.
Terdapat bayak perbahasan ulama dalam kes isteri yang kematian suami dan perlu keluar bekerja, kerana memang sukar mendapatkan cuti selama 4 bulan 10 hari. Dalam keadaan darurat, seseorang dibenarkan melakukan sesuatu yang haram sekalipun.
Dalam hal ini, kalau isteri bekerja, perlu dilihat adakah pekerjaan itu keperluan darurat atau tidak. Kalau dengan dia tidak bekerja, tapi keperluan asasnya dapat dipenuhi, maka itu bukan darurat yang membolehkan dia untuk keluar bekerja. Tapi, kalau dengan dia tak bekerja, dia tak boleh makan, atau anak-anaknya tiada yang menanggung atau keluarga suaminya tidak mampu menanggungnya. Dia ada sebab yang menyebabkan dia tidak boleh berhenti kerja, tapi sebab dan daruratnya itu perlu diambil kira oleh syarak dan bukan oleh diri sendiri.
Jadi, dalam hal ini, dia boleh keluar bekerja tetapi tetap tidak boleh meninggalkan tuntutan lain seperti berhias, dan melakukan hanya yang diperlukan sahaja dan keluar dari rumah pergi kerja, dan kemudian pulang ke rumah, dan tidak pula singgah di tempat-tempat yang tak berkaitan. Kalau nak pergi kedai, cuma untuk keperluan beli makanan, minuman dan rawatan perubatan sahaja.
Mohd. Farid Ravi Abdullah, Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) juga mengupas:
Hadis Ummu Athiyyah r.ah. perlu diberi perhatian yang memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW tidak menegah dengan keras tetapi sebagai satu peringatan agar wanita yang menziarahi kubur lebih bersifat berhati-hati dan memelihara hukum dan adab menziarahi kubur.
Isteri yang ingin mengiringi jenazah suami atau adik-beradiknya atau sesiapa daripada kalangan orang Islam adalah tidak haram. Sebahagian ulama menghukumnya dengan makruh, ini kerana kemungkinan berlakunya ratapan, teriakkan dan sebagainya.
Sekiranya seorang wanita dapat mengawal dirinya dan tidak berkelakuan seperti apa yang ditegah di kubur, maka wanita ini tidak ada halangan untuk mengiringi atau menziarahi kubur.
Pada masa yang sama, wanita juga boleh menyembahyangkan jenazah terutama jika mayat itu adalah suami atau saudara yang terdekat.
Ia juga disebut sebagai tempoh berkabung. Bagaimanapun ia tidak bermaksud balu berkenaan tidak boleh langsung keluar rumah. Apa yang dilarang ialah keluar untuk suka-suka untuk aktiviti sosial seperti menghadiri majlis keramaian dan menghias diri.
Sebaliknya, jika untuk menuntut ilmu, bekerja atau ke hospital tiada halangan berbuat demikian. Ini termasuklah dalam tempoh idah isteri boleh ziarahi kubur suaminya.
Wallahu’alam bissawab.
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Inspirasi Solekan Buat Anda Kelihatan Lebih Muda

Solekan pada hari pernikah adalah wajib untuk semua bakal pengantin. Make up saat inilah yang memainkan peranan penting untuk menaikan seri wajah. Betul, bila jadi perempuan memang akan didatangi dengan pelbagai dugaan mata yang membuat mata menjadi rambang. Lagi teruk perangai cerewat semakin menebal ketika menjelang hari penting iaitu majlis perkahwinan. Pada masa itulah raut wajah yang bulat ingin tampil lonjong, hidung yang berbunga inginkan ilusi lebih kuncup dan sebagainya. Ditambah pula dengan mengayakan busana pengantin mengikut citarasa fesyen terkini dan paling penting ialah seri pengantin yang dipancarkan dari wajah.
Bila bercakap mengenai seri pengantin, perkara utama untuk kelihatan cantik, anggun, jelita dan sebagainya ialah solekan ketika majlis. Bagi anda yang sering ke majlis perkahwinan pasti anda sendiri boleh menilai pemilihan gaya solekan pengantin. Pengantin sekalian, pastikan sekurang-kurangnya anda tahu tentang dunia solekan seperti trend solekan terkini dan study hasil kerja makeup artis yang bakal menyolek anda agar tidak terkejut dengan hasil magis mereka saat hari istimewa anda.
Lazimnya solekan terang atau bold menjadi pilihan pengantin. Apa kata kali ini, kenakan solekan lebih santai dan natural dalam majlis persandingan anda. Selera orang tentunya berbeza, ada yang gemar dengan solekan bold, namun ada juga yang suka makeup natural. Tanpa makeup yang tebal pun keayuan atau seri wajah dapat dilihat dan terserlah pada hari pernikahan. Caranya dengan menggunakan makeup natural seperti berikut!
Solekan Natural Bronze tampil lebih elegan
Dengan menggunakan warna bronze di mata, pipi dan bibir, seri wajah dapat dilihat lebih ketara dengan hasil monochromatic bombshell bukan sekadar itu sahaja malahan glowing pada wajah semakin menyerlah.
Tampil lebih muda dan segar
Keayuan wajah juga terpancar dengan memfokuskan warna pink pada bibir dan pipi dengan rona peach segar. Solekan ini juga memberi hasil tampil lebih muda dan segar.
Solekan santai dengan hiasan kepala tampil lebih manis.
Kulit yang bersih serta solekan nipis dapat menyuntik elemen mewah namun tidak terlalu sarat dengan sentuhan hiasan kepala lebih yang agak menonjol dan menyerlah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

