Majlis persandingan pasangan suami isteri selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza buat kali kedua bersempena meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam menarik perhatian ramai peminat dan para netizen. Lebih menarik lagi, bekas isteri Norman, Abby Abadi dan suaminya, Jaiezzany turut bersanding dalam majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal, di Shah Alam baru-baru ini.
Bertemakan Islamik Vintage, kedua-dua pasangan yang disertai anak-anak mereka berpakaian serba putih pada malam persandingan tersebut. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 600 tetamu termasuk rakan artis dan keluarga kedua-dua pasangan.
Ibarat menyatukan keluarga besar dalam satu majlis, ia meninggalkan momen yang cukup indah buat seluruh keluarga besar ini. Buat Memey dan juga Norman, tentunya majlis persandingan ini melakar magis yang tersendiri dalam kehidupan mereka.
“Saya dan abang memang merancang untuk mengadakan majlis persandingan bersempena dengan ulangtahun perkahwinan kami yang ke enam. Kebetulan pihak Mahligai Impian ingin mengadakan majlis sempena perlantikan saya dan abang sebagai duta Mahligai Impian yang merupakan sebuah syarikat katering dan perancang perkahwinan.
“Dari situ kami terfikir apa salahnya menggunakan peluang ini untuk majlis persandingan yang sememangnya ada dalam agenda kami. Kiranya majlis ini berkonsepkan 2 +1. Bukan itu sahaja, kami terfikir alangkah indahnya jika majlis persandingan kami ini nanti dapat diraikan bersama ahli keluarga. Ketika inilah terdetiknya idea untuk bersanding bersama kak Abby dan suaminya, Jaiezzany,”ujar Memey.
Hasrat itu disuarakan pada Abby namun pada mulanya Abby sedikit keberatan. Ujar Memey mungkin Abby terfikir majlis itu lebih kepada nilai sentimental buat Norman dan Memey. Lagi pun Abby sudah lama tidak muncul di khalayak peminat.
“Selepas berbincang selain melihat kesungguhan anak-anak untuk melihat kami bersanding bersama di pentas pelamin, akhirnya kak Abby bersetuju. Yang paling gembira tentulah anak-anak kami. Pendek kata majlis ini melibatkan penglibatan sepenuhnya anak-anak kami.
“Persiapan untuk mengadakan majlis ini hanya memakan masa selama sebulan sahaja. Segala urusan persiapan majlis berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Majlis persandingan ini sebenarnya sebagai simbolik penyatuan keluarga besar kami serta mewar-warkan kepada perlantikan saya dan abang sebagai duta Mahligai Impian,”ungkap Memey yang dilantik sebagai duta syarikat katering dan perancang perkahwinan tersebut selama setahun bermula Mac yang lalu.
Menurut Memey lagi majlis persandingan ini juga sebenarnya dapat menyatukan keluarga besar Memey dan Norman serta keluarga Abby dan juga suaminya, Jaiezzany. Secara tidak langsung ia membuka wadah untuk mengeratkan lagi hubungan tali persaudaraan dengan seluruh ahli keluarga.
Ditanya apa perasaan Memey ketika berada di pentas pelaminan untuk kali kedua. Ini jawapan ringkas Memey.
“Saya rasa amat bersyukur sangat kerana diberi peluang sekali lagi untuk bergandingan di pentas pelaminan bersama imam saya. Ibarat kegembiraan berganda apabila ‘hari bersejarah’ ini turut diraikan bersama Abby dan juga suaminya serta anak-anak kami. Penyatuan keluarga besar kami benar-benar meninggalkan momen yang tersendiri,”ungkap Memey jujur.
Akui Memey lagi, persandingan tersebut juga memberi peluang kepada dirinya untuk berkongsi potret perkahwinan memandangkan majlis sebelum ini dia belum lagi berhijab.
“Memang inilah perbezaan yang paling jelas antara majlis persandingan dahulu dengan sekarang. Jika sebelum ini saya tidak berpeluang untuk berkongsi gambar perkahwinan lantaran belum berhijab kini apabila bersanding kali kedua, saya berpeluang untuk berkongsi momen persandingan bersama para peminat,”kongsi Memey.
Menginjak ke angka enam tahun usia perkahwinan membuktikan bahawa Memey dan Norman telah berjaya melepasi tempoh kritikal dalam sebuah perkahwinan. Ini kerana untuk lima tahun pertama perkahwinan ia dianggap sebagai tempoh percubaan dalam sesebuah institusi perkahwinan.
“Perbezaan usia saya dan abang agak jauh kira-kira 12 tahun. Saya berkahwin dengan abang ketika usia saya 24 tahun manakala abang 36 tahun. Tidak dapat dinafikan abang banyak membimbing saya dalam melayari alam perkahwinan. Sikapnya yang matang banyak membantu mengharmonikan rumahtangga yang kami bina.
“Hingga kini kami masih belajar untuk memperbaiki mana yang kurang. Kasih sayang perlu sentiasa dibajai. Oleh itu kami bersama-sama berusaha untuk menyuburkan cinta di alam rumahtangga. Hingga kini kami masih saling mengenali hati budi masing-masing. Cabaran dan dugaan ada di mana-mana oleh itu kita perlu sentiasa kuat untuk menghadapinya. Sesungguhnya kita tidak sempurna. Mana yang kurang kita perbaiki manakala mana yang baik kita tingkatkan menjadi lebih baik,”ujar Memey.
Pesona Pengantin mendoakan agar mahligai bahagia Memey dan Norman serta Abby Abadi dan Jaiezzany berkekalan hingga ke hujung nyawa.
Credit Picture: Majalah Mingguan Wanita & Keluarga
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI